Showing posts with label Bid'ah. Show all posts
Showing posts with label Bid'ah. Show all posts

Tuesday, 9 March 2010

Penjelasan Bid'ah

http://al-amindaud.blogspot.com/2010/02/ini-bidaah-itu-bidaah.html

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Bid'ah dari segi bahasa ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya. Manakala dari segi istilah pula ialah mengadakan sesuatu perbuatan atau iktikad atau mengeluarkan perkataan yang tidak terdapat keizinannya daripada syara' samada Al-Quran, As-Sunnah, ijma' atau qiyas dan tidak termasuk juga dalam Qawaid As-Syar'iyyah. Berdasarkan ini setiap perkara baru dirujuk kepada al-quran, as-sunnah, ijma' atau qiyas. Sekiranya ada, maka ia dikira sebagai sebahagian syariat. Sekiranya tidak ada, hendaklah dilihat kepada Qawaid As-Syar'iyyah. Sekiranya ada, maka ia juga sebahagian syariat dan tidak boleh dianggap bid'ah. Setelah tidak ditemui, barulah boleh dikatakan bid'ah atau sesat.

Ada nas yang menganjurkan perkara-perkara baru yang baik dan ada nas yang mencela orang yang menganjurkan jalan-jalan yang buruk. Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang melakukan sunnah (perbuatan) yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya hingga ke hari kiamat, dan sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa orang beramal dengannya hingga ke hari kiamat".
"Sesiapa yang mengadakan dalam perkara Kami ini (agama) perkara yang bukan daripadanya, maka ia tertolak."

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu amalan yang dilakukan tidak boleh dengan mudahnya dilabelkan sebagai bid'ah melainkan mencukupi syarat-syaratnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulamak. Bid'ah yang wajib diperangi mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut. Pertama, ia hendaklah termasuk dalam perkara yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan ibadah. Kedua, amalan itu dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah dan ketiga tidak didapati asasnya dalam agama.

Bagaimanapun, dalam memerangi bid'ah ini, hendaklah digunakan cara yang paling baik, yang tidak membawa kepada keburukan atau kefasadan yang lebih besar. Tidak semua perkara atau amalan bid'ah yang dilakukan itu wajib diperangi kerana hari ini penggunaan ungkapan bid'ah dan ibtida' begitu laris diperkatakan oleh masyarakat. Kadang-kadang digunakan begitu luas sehingga tidak ada sesuatu pun yang boleh keluar daripadanya. Di waktu yang lain pula maknanya begitu sempit.

Hadis ini mengisyaratkan bahawa akan timbul bentuk-bentuk pembaharuan yang tidak dapat dinafikan. Bentuk pertama ialah pembaharuan yang tertolak manakala bentuk kedua ialah pembaharuan yang diterima.
Pembaharuan yang diterima ialah sesuatu yang bertepatan dengan ajaran Islam berdasarkan rumusan yang tersirat dalam hadis iaitu mafhum mukhalafahnya seolah-olah hadis tersebut mengatakan : "Sesiapa yang melakukan amalan yang diperintahkan Kami atau mengadakan pembaharuan dalam urusan Kami ini yang ia termasuk di dalamnya, maka ia diterima".

Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya Al-I'tisam membahagikan bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah sayyiah.

Imam 'Izzuddin bin Abdul Salam membahagikan bid'ah kepada bid'ah wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Ibadah yang telah ditentukan oleh Rasulullah cara dan masanya wajib ditunaikan sepertimana yang ditunaikan oleh baginda tanpa penambahan dan mengurangkan seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya.

Ibadah yang diriwayatkan daripada Rasulullah dan tidak terikat dengan bentuk, masa, tempat, keadaan atau bilangan dan tidak ada riwayat larangan melakukan pada waktu-waktu tertentu, maka terpulanglah kepada umat Islam memilih masa dan tempat yang sesuai untuk melakukannya seperti solat sunat mutlak, zikir, membaca Al-Quran, selawat, kenduri kendara dan sebagainya. Maka ini tidak dianggap sebagai bid'ah.
Tetapi sekiranya dikaitkan dengan Rasulullah saw, maka ia menjadi bid'ah kerana ia adalah pendustaan kepada baginda.

Adapun pengurangan dan penambahan pada ibadah yang ditetapkan oleh syara' adalah bid'ah seperti menambah dan mengurangkan rakaat, menambah atau mengurangkan rukuk dan sujud dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Menurut As-Sheikh Imam Abu Amru Abdul Aziz bin As-Salam dalam penghujung kitabnya Al-Qawaid, beliau berkata: "Bid'ah ini dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dan cara menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syara'. Jika termasuk dalam kaedah yang mewajibkan jadilah wajib. Jika termasuk dalam kaedah yang mensunatkan jadilah sunat. Jika termasuk dalam kaedah yang mengharamkan jadilah haram. Jika termasuk dalam kaedah yang memakruhkan jadilah makruh dan jika termasuk dalam kaedah yang mengharuskan jadilah harus."

Contoh bid'ah wajib ialah meletakkan kaedah nahu dan sorof, membukukan Al- Quran, menyusun ilmu-ilmu seperti usuluddin, fekah dan sebagainya. Contoh bid'ah sunat ialah mengadakan sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah dan solat Terawikh berjemaah. Contoh bid'ah makruh seperti menghiasi masjid dan mashaf. Manakala contoh bid'ah harus pula ialah bersalam-salaman selepas solat, membahagi-bahagikan makanan, minuman dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sesuatu yang tidak dilakukan oleh Raslullah s.a.w dan para sahabat bukanlah bererti tidak dianjurkan oleh syara'. Pendapat mengatakan bahawa perkara itu bid'ah adalah tidak tepat, dilihat kepada dua sudut iaitu pertama sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah tidak menunjukkan ia tidak dianjurkan oleh syara' atau tidak juga dilarang, maka ia dianggap harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya dan kedua ialah pendapat yang mengatakan: "Kalaulah ia baik, sudah tentu ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kita" adalah pendapat seolah-olah syariat Islam adalah sesuatu yang jumud sedangkan Islam itu syumul.

Islam mampu menetapkan hukum pada setiap amalan atau peristiwa yang berlaku samada dalam muamalah atau sebahagian daripada ibadah yang tidak ditentukan oleh syariat iaitu dengan berpandukan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang terdapat dalam syariat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara persoalan yang sering timbul ialah menghukum bid'ah ke atas persoalan khilafiah atau yang ditetapkan oleh hadis dhaif.

Jawapannya termasuk dalam kesalahan yang nyata menetapkan hukum bid'ah ke atas perkara yang para ulamak tidak sekata mengenainya dari sudut sabit (wujud) atau tiadanya atau dari sudut kuat atau lemah dalilnya. Begitu juga pada perkara yang ditetapkan oleh hadis yang dianggap dhaif oleh para ulamak hadis kerana dengan label tersebut, menyebabkan kita menghukum para sahabat dan generasi salafus soleh sebagai pembawa bid'ah kerana seorang mujtahid akan menganggap ijtihadnya lebih masyhur daripada ijtihad orang lain.

Sebagai contoh Saidatina Aisyah pernah berselisih pendapat dengan Ibn Abbas pada satu hukum yang telah ditetapkan oleh Ibn Abbas. Sudah tentu boleh membawa kepada bid'ah membid'ahkan sesama mereka.
Demikian juga keadaannya pada perkara yang ditetapkan berpandukan hadis yang dhaif. Tidak boleh juga menghukumnya sebagai bid'ah kerana hukum memang sabit secara umum, tetapi lemahnya berlaku pada sanad hadis yang mungkin disebabkan kecacatan pada rawi atau pada matan hadis.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita jangan bersegera melabelkan seseorang itu dengan bid'ah dan sesat. Terdapat sesetengah golongan yang sampai ke peringkat melampaui batas sehingga berani mempertikaikan autoriti para ulamak besar dan melemparkan tuduhan tersilap, bid'ah dan kurang mengkaji hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Di antara ulamak yang mereka pertikaikan ialah imam-imam mazhab yang empat. Sedangkan mereka telah pun diperakui oleh umat Islam kelayakan mereka untuk dijadikan ikutan.

Terdapat juga sebahagian yang lain mempertikaikan ulamak lain yang mempunyai pendapat yang tidak sesuai dengan selera dan prinsip hidupnya walaupun mereka yakin bahawa mereka yang dipertikaikan itu benar dalam beberapa aspek yang lain seperti mempertikaikan pandangan Syafie dalam qunut dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Di antara perkara yang sering dikaitkan dengan bid'ah sedangkan perkara-perkara tersebut adalah perkara khilafiah (yang diperselisihkan oleh ulamak) seperti tawasul dengan orang yang telah mati, menggerakkan atau mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat, berdoa selepas solat fardhu, doa secara berjemaah, membaca Qunut dalam solat Subuh, malam Nisfu Syaaban, hukum berselawat selepas azan, memohon syafaat dengan Rasulullah s.a.w, azan pertama pada hari Jumaat, sunat Qabliyyah Jumaat, bilangan rakaat solat Terawikh, menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka yang telah mati, perayaan Maulid Ar-Rasul dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Terdapat segolongan pemuda yang melampau dalam meletakkan pengertian bid'ah sehingga menghukumkannya terhadap perkara-perkara kecil, kerana mengikut hawa nafsu atau kerana terpengaruh dengan manhaj (prinsip) jamaah tertentu yang menganggap bid'ah ialah sesuatu amalan yang baru diwujudkan dan tidak pemah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Mereka lupa atau sengaja melupai keluasan dan kesyumulan Islam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, malah setiap sesuatu yang muncul samada yang berbentuk istilah atau peristiwa sehinggalah ke hari kiamat.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kita sepatutnya mengetahui pengertian bid'ah yang sebenarnya. Kita jangan terlalu cepat menghukum sesuatu perkara itu bid'ah yang dholalah (yang sesat).

Bid'ah yang wajib diperangi ialah bid'ah dalam perkara akidah yang membawa kepada syirik dan bid'ah saiyyiah (buruk). Dalam masa yang sama, kita pula jangan meringan-ringankan perkara bid'ah sehingga menokok tambah dalam perkara agama.

Panduan dalam menentukan sesuatu itu bid'ah atau tidak ialah merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma', qiyas dan pandangan ulamak.

Sumber 1: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) (artikel asal sudah tiada memandangkan MAIS sekarang menggunakan server dan domain baru)

Thursday, 11 February 2010

Hukum Zikir Secara Berjemaah Selepas Solat

Hukum Zikir Secara Berjemaah Selepas Solat





ZIKIR SECARA BERJEMAAH SELEPAS SOLAT BUKAN BID’AH?
Oleh:
Dr. Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia
asmadi@uum.edu.my

Polemik bid’ah semakin menular di tengah-tengah masyarakat. Tidak dapat dinafikan wujudnya amalan-amalan bid’ah yang subur di kalangan mereka. Antaranya ialah ketaksuban seseorang kepada Syeikh-nya dan menolak pandangan dari pihak yang lain. Bahkan ia juga membawa kepada ‘mendoktrin’ pengikut memuja syeikh-syeikh dengan diwar-warkan kehebatannya.

Walaupun begitu, polemik bid’ah dan membid’ah ini seharusnya ditangani dengan teliti dan berasaskan dengan petunjuk dari al-Quran dan al-sunnah. Sebahagian yang mengamalkan sesuatu amalan, contohnya amalan berzikir secara berjemaah selepas solat, merasakan mereka mengamalkannya di atas pentunjuk al-Quran ataupun al-sunnah. Mereka membawa juga hujah-hujah berpandukan ayat-ayat suci al-Quran dan sunnah disamping penerangan dari ulama-ulama silam dan semasa untuk menguatkan hujah mereka.

Sebahagian masyarakat yang lain pula melabelkan mereka sebagai pencetus dan pengamal bid’ah. Mereka berpandangan bahawa perkara tersebut tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mereka menyatakan bahawa bertaqlid pada ulama dengan mengenepikan petunjuk al-Quran dan al-sunnah merupakan suatu kesesatan berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
Hendaklah kamu dengar dan patuh walaupun hamba Habsyi memerintah kamu. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu, maka akan melihat perselisihan yang banyak. Justeru, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa` al-Rasyidin selepasku. Gigitlah dengan geraham-geraham kamu (berpegang teguh). Dan Jauhilah perkara-perkara baru, kerana sesungguhnya setiap yang bid’ah itu sesat.


Hadith di atas menjadi dalil kepada pandangan yang berpegang bahawa ia dengan jelas melarang dari menambah perkara-perkara baru dalam ibadah. Dengan kata-kata lain, penambahan dalam ibadah diluar dari suruhan Syarak adalah sesat. Justeru, persoalan ibadah bukan lagi soal furu’, bahkan menjadi seumpama persoalan akidah kerana boleh membawa kepada kesesatan.

Mereka berpandangan bahawa orang yang bertaqlid kepada orang-orang terdahulu diibaratkan sebagai golongan Yahudi dan Nasrani yang bertaqlid kepada rahib-rahib dan pendita-pendita mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 31 yang bermaksud:
Mereka menjadikan pendita-pendita mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah
.

Justeru, bertaqlid pada para fuqaha yang tidak berpegang kepada nas, termasuk dalam golongan ini.

Pada kesempatan yang ini, penulis hanya ingin menyentuh dua isu utama iaitu bertaqlid dengan ulama dan masalah zikir secara berjemaah selepas solat. Diharapkan artikel ini dapat membantu pembaca memahami secara lebih mendalam dan menghayatinya secara rasional tanpa dipengaruhi dengan sebarang emosi.

Bertaqlid kepada ulama.

Ada yang mengatakan fenomena bertaqlid kepada ulama khususnya ulama empat mazhab hari ini merupakan sebab utama kejatuhan umat Islam kini. Kongkongan taqlid menyebabkan ulama-ulama takut untuk mengeluarkan pandangan sendiri. Kelahiran pelbagai bid’ah pada hari ini adalah kerana budaya bertaqlid tersebut contohnya amalan zikir selepas solat secara berjemaah merupakan amalan bid’ah. Golongan yang melakukan bid’ah ini menjadikan ulama-ulama mereka seperti Yahudi dan Nasrani menjadikan pendita dan rahib sebagai tuhan-tuhan mereka.

Persoalan keharusan bertaqlid.

Persoalan pertama ialah keharusan bertaqlid. Benarkah orang yang mahu berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah seumpama salafussoleh telah bebas dari bertaqlid?
Sekiranya pembaca ditanya mengenai siapakah yang meriwayatkan hadith yang penulis tuliskan di atas (penulis sengaja tidak menyatakan periwayat hadith tersebut), dan saudara pembaca bertanya Ustaz A, dan ustaz itu menyatakan Abu Daud (Bab al-Sunnah, nombor 3991) dan al-Tirmizi (Bab al-Ilm, nombor 2660) yang meriwayatkannya, maka sebenarnya saudara sedang bertaqlid dengan Ustaz A itu. Sekiranya ditanya pula, apakah hujahnya hadith yang saudara pegang itu sahih? Saudara pun berkata: Ustaz B pakar hadith, dia mengatakan hadith tersebut sahih dan tidak ada cacat cela. Saudara sebenarnya bertaqlid dengan Ustaz B tersebut.
Justeru, saudara tidak termasukkah dalam maksud ayat al-Quran di atas yang menolak mengikut pendita dan rahib-rahib (bagi Yahudi dan Nasrani), dan saudara juga berpandukan dan mengikut pandangan ustaz-ustaz tersebut pada hari ini?

Dalam satu suasana yang lain, seseorang contohnya C mengatakan bahawa dia berzikir selepas solat secara berjemaah kerana berpegang kepada sebahagian ulama-ulama Salaf yang membenarkan amalan tersebut. Ulama tersebut meyakini amalan tersebut kerana adanya hadith sahih dari Rasulullah SAW.

Sekiranya difikirkan secara rasional, kedua-dua pihak pertama dan kedua mengamalkan taqlid. Pihak pertama bertaqlid kepada Ustaz A dan B. Adapun pihak kedua bertaqlid kepada ulama-ulama Salaf (iaitu ulama dalam lingkungan tiga kurun selepas Rasulullah SAW). Pihak pertama bertaqlid dengan Ustaz A dan B (yang hidup pada zaman ini) kerana yakin dengan ilmu dan akhlaknya ketika remaja dan dewasa. Pihak kedua juga bertaqlid dengan mazhab Salaf kerana yakin dengan keilmuan dan akhlak mereka semenjak remaja bahkan mereka terkenal dengan kesolehan dan warak. Bahkan ilmu mereka diiktiraf seantero dunia sejak dahulu berbanding Ustaz A dan B.

Adalah tidak benar mentafsirkan ayat di atas (seumpama mengikut pendita dan rahib) terhadap masyarakat yang bertaqlid kepada mazhab yang empat. Qiyas tersebut amat tidak tepat kerana pendita-pendita Yahudi dan rahib-rahib Nasrani merupakan mereka yang mencipta sendiri hukum-hukum kepada kaum mereka dan bertentangan dengan nas-nas Taurat dan Injil. Kaum-kaum mereka lantas mengikut mereka walaupun mereka sedar ia bertentangan dengan taurat dan Injil.

Walhal ulama-ulama mazhab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah pencetus hukum-hakam tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan menjelaskan kehendak ayat dan hadith serta pengertiannya. Mereka mentafsirkan permasalahan semasa dengan melihat kaedah syarak keseluruhannya. Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: al-‘Ulama warasatul anbiya` yang bermaksud ulama itu pewaris para nabi. Justeru itu, masyhur di kalangan ulama-ulama Usul yang mengatakan mazhab orang-orang awam adalah mazhab muftinya atau imamnya.

Ulama menutup pintu berijtihad dan takut mempraktikkannya.

Ijtihad bererti menggunakan segala usaha dan kemampuan oleh mujtahid (ulama yang memenuhi syarat ijtihad) untuk mengeluarkan hukum pada sesuatu perkara. Persoalan menutup pintu ijtihad merupakan isu utama apabila membicarakan perkembangan mazhab-mazhab fiqh. Kekusutan masyarakat Islam selepas jatuh sistem kekhilafahan amat berkait rapat dengan permasalahan ini. Ulama dilabelkan sebagai jumud, taksub dan terkongkong dengan fenomena ini.

Hasilnya lahir gerakan-gerakan tajdid (pembaharuan) dalam kurun yang lepas, antaranya gerakan dipelopori Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan dan Sheikh Muhammad Abduh. Perkembangan ini berterusan dan negara-negara Arab menerima kesan yang besar di atas gerakan ini. Hasilnya, mereka yang pernah berada di Timur Tengah pernah merasai bagaimana masyarakat Arab semakin terlerai dari pegangan mazhab masing-masing.

Namun, masyarakat Arab tidak juga maju walaupun ikatan mazhab semakin terungkai. Walaupun kemunduran negara Islam bukanlah bererti gerakan tajdid ini salah, namun kemunduran negara Islam tetap dikaitkan dengan pegangan mazhab. Saudara bacalah buku berkaitan al-Madkhal fi al-Fiqh al-Islami dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islami. Bacalah sendiri tanpa perlu meminta pertolongan orang lain untuk menterjemahkannya bagi mengelakkan saudara bertaqlid kepada penterjemahannya dan tafsirannya. Saudara akan dapati, hampir kesemua penulis mengaitkan kemunduran umat Islam dengan budaya taqlid mazhab.

Jika begitu keadaannya, kenapa tidak boleh digunakan hujah, kemajuan umat Islam Malaysia berpunca dari ketertiban dan iltizam mereka pada ulama khususnya ajaran yang dibawa oleh ulama-ulama tafsir, hadith, aqidah, ulama fiqh dan ahli-ahli sufi yang haq.

Penulis tidak menafikan adanya fenomena enggan berijtihad (mengeluarkan hukum baru) di kalangan ulama silam. Ia merupakan rentetan ramai golongan jahil yang mendakwa dirinya ulama dan berijtihad sesuka hati. Keadaan kerosakan masyarakat tersebut menjadikan mereka mengeluarkan kaedah: “Tertutupnya pintu ijtihad”. Walhal pintu ijtihad terbuka luas sehingga hari kiamat kepada orang-orang yang mempunyai syarat-syarat ijtihad.

Zikir selepas solat fardu secara berjemaah dan lantang.

Ada dua isu utama untuk diperkatakan di bawah tajuk kecil ini iaitu bentuk zikir, menyebut secara kuat (lantang) dan menyebut secara berjemaah.

Secara umumnya berzikir di dalam masjid ada dua bentuk iaitu pertamanya, zikir yang disebut di dalam sunnah bahawa ia dilakukan selepas solat fardhu. Keduanya ialah zikir yang dinyatakan dalam sunnah bahawa ia dilakukan selain dari waktu solat.

Hadith-hadith yang menerangkan zikir-zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardhu ialah:

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dari Abu Hurairah RA dariapada Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan.


Isu kedua ialah menyebut zikir secara lantang dan berjemaah. Amalan ini dilakukan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas RA yang berkata: Raf’u al-Saut bilzikr Hina yansarifunnas minalmaktubah kana ‘ala ‘ahd al-Nabi SAW, yang bermaksud:
Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telahpun berlaku di zaman Nabi SAW.
(Lihat Fath al-Bari, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, Hal: 259 dan Syarh Sahih Muslim, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 4-6, Hal:234-235).

Bahkan Ibn Abbas mengatakan lagi:
Saya tahu bahawa mereka selesai menunaikan solat apabila saya mendengar zikir.


Dalam riwayat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ibnu Abbas RA mengatakan: Saya mengetahui tamatnya solat Rasulullah SAW dengan laungan takbir. Lihat bagaimana Ibn Hajar mengulas kata-kata Ibn Abbas tersebut:
Daripada riwayat di atas, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka (para sahabat) memulakan zikir mereka dengan takbir (Allahu akbar) selepas solat mendahului tasbih dan tahmid (Perbezaan riwayat mana yang didahulukan antara tasbih, tahmid dan takbir)
(Fath al-Bari:2/259).

Hadith riwayat Ibn Abbas yang menerangkan perlakuan Rasulullah SAW dan huraian Ibn Hajar menunjukkan secara nyata bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat RA berzikir secara lantang dan berjemaah.

Pandangan yang menolak hujah tersebut, berpegang kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang pernah mengingkari perlakuan sekumpulan para sahabat yang berkumpul di dalam sebuah masjid untuk berzikir kepada Allah SWT, dan menganggapnya suatu bid’ah. Ulama mentafsirkan tindakan Ibn Mas’ud dalam dua keadaan. Pertamanya kerana tidak sampai kepada Ibn Mas’ud hadith-hadith yang menyatakan keharusan berzikir beramai-ramai. Perkara ini diperakui oleh ulama hadith bahawa tidak semestinya setiap sahabat mengetahui segala hadith. Keduanya, bantahan tadi dikira sebagai qaul sahabi (pendapat sahabat) dan tidak boleh bercanggah dengan apa yang pasti daripada Rasulullah SAW.

Justeru, al-sunnah dengan nyata membenarkan berzikir dengan lantang secara berjemaah selepas setiap solat fardhu selagi tidak mengganggu orang-orang yang bersolat. Justeru, perbuatan berzikir tersebut bukanlah suatu bid’ah sebagaimana yang tersalah faham. Bahkan, perbuatan tersebut berpandukan kepada sunnah yang jelas.

Bagi yang menolak amalan berzikir secara berjemaah selepas setiap solat juga mengemukakan hujah-hujah mereka. Antaranya ialah penolakan Imam al-Syafie Rahimahullah terhadap amalan itu. Mereka memetik kata-kata Imam al-Syafie mengenai perkara tersebut. Bagi memperjelaskan persoalan tersebut saya menterjemahkan kata-kata Imam al-Syafie secara keseluruhan dan menghuraikannya. Pembaca boleh menghukum samada huraian saya melencong dari kata-kata Imam kita ini.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah:

Bab perkataan Imam dan duduknya selepas salam.

Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie mengkhabarkan kepada kami dan berkata: Ibrahim bin Saad mengkhabarkan kepadaku, dari Ibn Shihab berkata: Hindun binti al-Harith bin Abdullah bin Abi Rabi’ah menyampaikan hadis ini kepadaku, dari Ummu Salamah isteri Nabi SAW yang berkata:
((Adalah apabila Rasulullah SAW memberi salam selepas solatnya, bangun wanita-wanita selepas salamnya, dan duduk Rasulullah SAW di tempatnya sekejap)). Berkata Ibn Shihab: “Kami melihat duduk baginda (yang demikian itu)- wallahu a’lam- supaya keluar wanita (untuk mengelakkan) bertembung orang ramai yang tamat dari solat”.


Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata:
Ibn ‘Uyainah telah mengkhabarkan kepada kami, dari ‘Amr bin Dinar, dari Abu Ma’bad, dari Ibn ‘Abbas berkata: Adalah aku mengetahui selesainya soalat Rasulullah SAW dengan takbir (zikir Allahu Akbar). Berkata ‘Amr bin Dinar: Kemudian aku menyebutnya kembali (hadith ini) kepada Abu Ma’bad, dan dia (Abu Ma’bad) berkata: “Aku tidak meriwayatkan kepadamu”. Berkata ‘Amr: Sesungguhnya engkau meriwayatkan kepadaku. Berkata: Adalah dia merupakan orang paling boleh dipercayai dari mawal( hamba-hamba) Ibn ‘Abbas. Berkata al-Syafie: Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr).


Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: telah menyampaikan hadith ini Musa bin ‘Uqbah, dari Abi al-Zubair, sesungguh beliau mendengar Abdullah bin Zubair berkata:
“Adalah Rasulullah SAW apabila memberi salam selepas solat, berkata dengan lafaz yang kuat: La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, wala haula wala quwwata illa billah, wala na’budu illa iyyahu, lahulni’mah, walahulfadhl, walahulthana`ul hasanu, la ilaha illallhu mukhlisina lahuddin walau karihal kafirun”. Berkata al-Syafie: “Dan amalan ini harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum. Dan al-Syafie berkata lagi: “Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.
(Tamat petikan dari Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)

Kesimpulan yang penulis dapat buat dari kenyataan Imam Syafie Rahimahullah yang terakhir itu ialah:

1. Amalan berzikir dengan kuat harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum menurut pandangan Imam Syafie. Namun beliau tidak secara terang-terangan mengatakannya haram atau sesat mahupun bid’ah kerana pandangan Salaf yang lain juga bersandar kepada hadith Ibn ‘Abbas namun Imam Syafie meraguinya kerana Abu Ma’bad terlupa dia pernah meriwayatkannya kepada ‘Amr bin Dinar sebagaimana kata Imam Syafie: :
Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr). Manakala hadith Ibn al-Zubair dianggap oleh Imam al-Syafie sebagai mengambil kata-kata Ibn ‘Abbas sebagaimana katanya: Aku mengira apa yang diriwayatkan Ibn al-Zubair mengenai tahlil Nabi SAW (zikir La ilaha illallahu) sebagaimana apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas”.


2. Imam Syafie berpendapat bahawa mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang beliau nyatakan, sama ada secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Imam al-Syafie menyebutnya sebagai baik (hasan). Namun perkara yang mempunyai sanad (sandaran) dari sunnah secara nyata adalah lebih baik dari hasan. Tetapi sekiranya diamalkan perbuatan ini pada hari ini di depan mereka yang menolak zikir selepas solat, nescaya Imam tersebut akan dicap sebagai pembawa bid’ah, sesat dan ahli neraka! Inilah bahaya kejahilan terhadap keseluruhan hadith-hadith Nabi SAW atau taksub kepada pandangan seseorang.

3. Pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah lagi:
Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.

Imam al-Syafie memilih perkataan ‘memilih’ untuk mentarjihkan atau menguatkan pandangannya. Itulah cara ulama hadith yang juga imam faqih. Memilih pandangan sendiri tetapi bukan dengan membid’ahkan dan menyesatkan pihak yang tidak bersetuju dengannya khususnya dalam perkara yang masih terbuka untuk ijtihad.

Pandangan Imam al-Nawawi terhadap hadith Ibn ‘Abbas:

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.

Imam al-Nawawi menambah lagi:
“Katanya: (Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Ma’bad kemudian dia menafikannya) pada menjadikannya hujah (dalil) oleh Muslim dengan hadith ini, merupakan bukti bahawa dia (Imam Muslim) berpegang sahihnya hadith (Ibn ‘Abbas) ini walaupun dinafikan oleh perawi asalnya, kerana yang merawikannya itu thiqah (diyakini). Ini merupakan mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh”.
(Tamat nukilan dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237). Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260).

Berhati-hati dalam menghukum sesuatu amalan sebagai bid’ah.

Melalui perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada pembaca yang mahukan kebenaran, bagaimana ulama-ulama kita membahaskan tajuk tersebut.

1. Hadith Ibn ‘Abbas mengenai berzikir secara lantang diterima oleh sebahagian ulama salaf sebagai hujjah dan sunat diamalkan. Bahkan ia diamalkan oleh sebahagian ulama salaf. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita membid’ahkan dan menyesatkan sebahagian ulama salaf dan orang-orang yang mengamalkan sebahagian dari amalan dan berpegang kepada hadith ini.

2. Masyarakat juga seharusnya menghormati pandangan yang tidak berpegang kepada amalan ini kerana terdapat persoalan ijtihad mengenai status hadith tersebut dan syarahan yang berbeza di kalangan ahli hadith yang menyebabkan ulama berbeza pandangan. Walaupun begitu, amalam Imam yang menguatkan zikirnya sekali sekala untuk dipelajari umum merupakan perkara yang disyariatkan menurut pandangan ini.

3. Perbezaan pandangan ulama hadith dan fuqaha` mengenai persoalan tersebut tidak langsung mencetuskan perkataan bid’ah yang menyesatkan, masuk neraka dan seumpamanya. Kalau adapun mereka menyebut bid’ah atau muhdath (perkara baru) tetapi dalam taraf ‘hasan’ kerana amalan yang nyata ada sanadnya adalah lebih utama dari amalan muhdath. Mereka menyebutnya sebagai bid’ah atau penambahan dari sudut bahasa tetapi tidak mengatakannya sebagai ‘dalalah’ atau sesat. Inilah akhlak ulama Salaf. Inilah kefahaman ulama hadith yang hakiki dan fuqaha` apabila berdepan dengan persoalan-persoalan khilaf dan ijtihad (qadaya khilafiayyah ijtihadiyyah).

Semoga kita semua diberikan pentunjuk oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari amalan-amalan bid’ah dan ketaksuban pada mana-mana individu sehingga kita menolak hujah-hujah Al-Quran dan al-sunnah. Semoga kita menjadi pengikut ulama-ulama Salaf dan tidak mudah terpengaruh dengan aliran semasa yang membuang sumbangan ulama-ulama Salaf yang mu’tabar yang diterima umat sepanjang zaman. Semoga umat Islam lebih cermat dalam menghukum sebahagian masyarakat yang lain.

Wallahu ‘A’lam.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Utara Malaysia. Berkelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA, Sarjana Fiqh & Usul al-Fiqh (UIA) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri’ (Universiti of Jordan).