Showing posts with label Isu Tajdid. Show all posts
Showing posts with label Isu Tajdid. Show all posts

Monday, 26 April 2010

TAJDID ATAU MERUNTUH ?



MINGGU lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman tentang tajdid atau pembaharuan dalam Islam. Ia supaya kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang besar.  Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama akidah-syariah-akhlak.
Salah faham terhadap tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW. Di peringkat masyarakat dan umat pula, faham tajdid yang salah boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jati diri umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam.

Asas kerangka faham tajdid
Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman. Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi di bawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya.

Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya. Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat-ayat al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai khaira ummah - umat terunggul.

Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firman-Nya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-kurniaan Ku, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu. (al-Maaidah: 3)

Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan. Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.

Tajdid sekularis dan tajdid Modenis

Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ia menjadi sempurna.

Kelompok ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama.

Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan. Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syarak mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jati diri dalaman umat.
Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok ‘mujaddid modenis Islamis’ yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri.  Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti umat.

Berbeza dengan kelompok ‘mujaddid sekularis liberalis’, kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka ‘tajdid‘ agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya.

Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dalam pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para salafus soleh.  Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran salaf atau salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya: tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.

Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taimiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani.

Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahan aliran ini pun ada banyak percanggahan pandangan.  Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran ‘mujaddid modenis Islamis’ ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan akidah-syariah-akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.

Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran ‘tajdid‘ yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam.

Tajdid‘ sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan. Sesetengahnya sampai ke tahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya.

Maka rata-ratanya aliran ‘tajdid‘ ini kurang mendapat tempat di kalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awam pun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.

Lain halnya dengan ‘tajdid modenis Islamis’ yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan di mana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana.

Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong ‘pembaharuan’ yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya.

Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya. Mereka yang meneliti tentang hakikat ‘tajdid‘ dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan pakej yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam akidah, syariah dan akhlaknya.

Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.  Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran ‘tajdid‘ dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya.

Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan di tengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh.

Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia.  Pepatah Arab mengatakan Likulli Saaqitin Laqiit, "tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya". Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng.

Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain.

Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Dubay yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara terbuka di tengah masyarakat. 

Dubay ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara. (al-Fatawa al-hadithiyyah).

Polemik Tajdid dan Pembaharuan

Arkib Utusan 13/04/2010



DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.

Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.

Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.

Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.

Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.

Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.

Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah Tajdid
Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.

Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.

Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.

Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.

Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.
Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.

Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.

Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.

Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.

Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.
Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha’rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.

Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash’ariy, al-Shafi’ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.

Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.

Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.

Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.

Mengenal Mujaddid Sebenar
Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.

Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.

Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.
Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.

Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. 

Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.