Thursday, 13 May 2010

Sapa Kapiaq?????

  http://bahrusshofa.blogspot.com/

Sapa Kapiaq?????

Kita diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa menjaga adab dan menghormati Junjungan Nabi SAW. Sekali-kali kita tidak dibenarkan untuk menyakiti akan hati baginda yang suci. Maka kenapa, ada segelintir yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung mencarik kehormatan Junjungan Nabi SAW. Tanpa segan silu dan rasa bersalah, mereka memfatwakan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan SAW yang mulia adalah kafir dan diazab dalam neraka.

Puak-puak ini mendakwa mereka mengikut hadits yang shohih, tetapi kenapa pula mereka meninggalkan ayat al-Quran. Tidakkah mereka mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum kerasulan Junjungan Nabi SAW. Adakah mereka lupa ayat Allah dalam surah al-Isra` ayat 15 yang berbunyi:-

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً

" ... Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah."

Apakah mereka tidak mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum Baginda Muhammad SAW dinobatkan sebagai utusan Allah. Juga apa maslahatnya pada umat atau apa faedahnya kita menimbulkan isu yang boleh mencarik hati Junjungan Nabi SAW? Kalau kita tiada apa-apa yang elok dan molek hendak dikatakan berkaitan ayahanda dan bonda Junjungan SAW, bukankah elok kalau kita diam sahaja. ... Allahu ... Allah.

Inilah akibatnya apabila berhujjah dengan satu atau dua hadits tanpa melihat kepada ajaran Islam secara keseluruhan dan bersepadu, baik dari aspek aqidah, syariah dan lain-lainnya. Inilah akibat dari pembelajaran mereka berdasarkan ajaran memisah-misahkan Tawhid, akhirnya mata mereka jadi cemey sehingga tidak dapat melihat dengan sempurna. Tidakkah mereka melihat segala dalil yang ada dalam Islam seperti dalil ayat yang menunjukkan bahawa ahlul fatrah itu tidak diazab? Di manakah mereka meletakkan ayat tersebut. Mereka juga gagal memahami pandangan JUMHUR ULAMA berhubung isu tersebut, sehingga mereka bertindak khianat dengan memproklamir bahawa pendapat yang mereka pegangi itu adalah pendapat jumhur ulama sedangkan hakikatnya bukan begitu. Mereka juga tidak segan-segan menuduh bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW sebagai selamat adalah pandangan Syi`ah. Binawe punya manusia, bila dituduh Wahabau mereka marah dan tuduh pihak penuduh bermudah-mudah menghukum mereka. Tapi depa sendiri mudah-mudah je nak menuduh orang lain. (Maap le bahso ese ni, jangankan bahasa, ikut darjat kepanasan hari ini, nak gocoh pun seeeeeeeeeeeeeeettttt).

Wahai ikhwah yang budiman, ketahuilah oleh kamu sekalian bahawa JUMHUR ULAMA AHLUS SUNNAH WAL JAMA`AH merajihkan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setidak-tidaknya termasuk dalam golongan AHLUL FATRAH dan tidak diazab oleh Allah SWT. Inilah pendapat JUMHUR, manakala pendapat yang menyatakan mereka kafir itu adalah pendapat yang dhoif yang marjuh. Manakala penisbahan pendapat ini kepada Imam Abu Hanifah juga bermasalah, kerana dalam kebanyakan naskhah "Fiqhul Akbar" yang sampai kepada kita tidak pun ada pernyataan yang menghukumkan kafir ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW. Ramai ulama-ulama Hanafi, antara Syaikh Muhammad Zahid al-Kawthari rahimahUllah, telah menolak penisbahan pernyataan tersebut kepada Imam Abu Hanifah. Bahkan Mulla 'Ali al-Qari yang dikatakan sebagai menyokong pernyataan tersebut pada permulaannya telah menarikbalik pernyataannya itu syarahnya atas kitab "asy-Syifa`". Hal ini insya-Allah, akan kita tulis kemudian. Zaman kita sekarang ini, kalau ada yang berani dan tidak segan silu mengkafirkan ayahanda dan bonda Junjungan SAW maka biasanya mereka terdiri daripada kalangan pengikut dan pemuja anak Pak Wahab.

Sebenarnya, telah banyak penulisan ustaz-ustaz kita berhubung perkara ini, antaranya yang telah ditulis oleh al-Fadhil Sidi Abu Zahrah dalam blog beliau yang boleh dirujuk di sini. Di sini ese cuma nak menambahkan lagi khazanah ilmu kita dengan mendatangkan perkataan ulama-ulama lain berhubung perkara ini. Buat permulaannya ese, nukilkan perkataan Syaikh Manshur Ali Naashif yang berjodol "at-Taajul Jaami' lil Ushuuli fi ahaaditsir Rasul shallaAllahu 'alaihi wa sallam", karya yang telah diberi pengiktirafan oleh ramai ulama besar. Bahkan ianya diberi kata sambutan oleh Mufti Mesir pada zamannya Syaikh Muhammad Bakhit dan juga Syaikh Yusuf ad-Dajwi rahimahumAllah. Pada halaman 382, beliau, rahimahUllah, menulis:-
"Ziarahnya Junjungan Nabi SAW ke kubur bonda baginda, iaitu as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllah wa radhiya 'anha. Dan tatkala Junjungan Nabi SAW berziarah ke kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya meninggal dunia sebelum kedatangan Islam dan memperolehi nikmatnya. Dan Allah ta`ala tidak mengizinkan NabiNya untuk memohon keampunan bonda baginda kerana untuk beristighfar memohon keampunan bagi seseorang memerlukan syarat orang tersebut hendaklah beragama Islam sedangkan bonda baginda wafat atas agama kaumnya. Ini tidaklah menafikan yang bonda baginda SAW itu masuk ke syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH, dan JUMHUR ULAMA berpandangan bahawa mereka (yakni ahlul fatrah) ini adalah golongan yang selamat dari azab Allah, sebagaimana firman Allah - Dan tiadalah Kami mengazabkan sesuatu kaum melainkan setelah diutuskan kepada mereka seorang rasul - iaitu kepada sekalian umat. Bahkan telah warid dan shohih di sisi pemuka-pemuka kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan kedua ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setelah kerasulan baginda, lalu mereka berdua beriman dengan baginda, maka dari itu disimpulkan bahawasanya kedua mereka adalah daripada ahli syurga. Telah bersyair sebahagian ulama:-
Telah kuyakini yang ayahanda serta bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Hingga atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian itu tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Junjungan Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dialah yang lemah dan dari hakikat berlepas diri

Dan perkara ini (yakni perkara menghidupkan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW) bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik (dinisbahkan kepada kekuasaan mutlak Allah, yakni ianya termasuk perkara yang mumkin dan bukannya mustahil). Maka kelebihan Allah itu luas dan kemuliaan yang dianugerahkan kepada kekasihNya adalah berlebih-lebih lagi dan jauh lebih luas.

Ulama-ulama kita seperti Imam as-Sayuthi dalam "Masalikul Hunafa` fi Walidayy al-Musthofa" menjelaskan bahawa pendapat rajih yang dipegang oleh Jumhur Ulama adalah setidak-tidaknya dengan 3 alasan, iaitu: (i) ayahanda bonda Junjungan termasuk ahlul fatrah; (ii) mereka atas agama al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala; (iii) mereka dihidupkan sebentar oleh Allah dan menyatakan kesaksian mereka atas tawhid dan risalah. Dan Imam as-Sayuthi telah memenuhkan alasan-alasan ini dengan hujjah naqli baik berupa ayat-ayat al-Quran maupun hadits dan atsar. Silalah tuan-tuan telek akan hujjah beliau di sana. Maka tidak benar jika dikatakan bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW selamat hanya beralasankan kepada hadits dhoif yang memberitakan tentang mereka dihidupkan sebentar.

Allahu ... Allah, berhentilah daripada menyakiti hati Junjungan Nabi SAW dengan memburuk-burukkan ayahanda, bonda, kaum kerabat dan para sahabat baginda. Sesungguhnya kita tidak ada hak untuk memperkatakan apa-apa selain kebaikan bagi insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk menjadi ayahanda, menjadi bonda, menjadi kerabat dan sahabatnya Junjungan Nabi SAW. Apakah Allah tersalah pilih ???? سبحان الله.

Akhirul kalam, maka tersebut dalam kitab "Tahqiiqul Maqaam 'ala Kifaayatil 'Awaam" kitab ilmu tawhid karangan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar (baca betul-betul ya .. " ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah" bukan ulama Syi`ah), Syaikhul Islam, Syaikhul Azhar, Syaikh Ibrahim al-Baijuri rahimahUllah, pada halaman 13, setelah beliau menerangkan pendapat yang RAJIH menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi adalah termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH YANG SELAMAT, menceritakan bahawa al-Qadhi Abu Bakar ibnul 'Arabi rahimahUllah, salah seorang ulama besar Malikiyyah, telah ditanyai berhubung seseorang berkata yang ayahanda Junjungan Nabi SAW itu berada di neraka. Maka al-Qadhi telah menjawab bahawa orang tersebut adalah MAL`UUN (kalau bahasa kita kita kata "melaun" yakni orang yang kena laknat) kerana Allah ta`ala telah berfirman: " Sesungguhnya orang - orang yang menyakiti Allah dan rasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan bagi mereka azab siksa yang menghina." Dan sebesar-besar perkara yang menyakiti Junjungan Nabi SAW adalah mengatakan bahawa ayahanda baginda berada di neraka.

Allahu ... Allah, hentikan menyakiti Baginda Nabi SAW.

JANGAN SAKITI RASULULLAH

http://drasmadinet.blogspot.com/

JANGAN SAKITI RASULULLAH

 Alhamdulillah, jawapan yang lebih menyeluruh oleh Sheikh Fuad. Terguris hati bila ada usaha yang mahu 'menjuarai mengkufurkan ibubapa Nabi SAW atas alasan dan atas nama 'pejuang sunnah'. Pejuang sunnah sebenarnya amat rapat 'periwayatan' dan hubungan kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Namun apakan daya, ramai yang mendakwa dirinya sebagai 'perawi-perawi hadis dan pejuangnya' namun gersang di sudut kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Selamat membaca artikel di bawah, atau klik tajuk di atas untuk membaca terus dari Utusan Malaysia, 7 Mei 2010.


Jangan Sakiti Nabi


Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, 12 May 2010

Definisi sufi dan tasauf


Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.


SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.
Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.
Di antaranya:
1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.
Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).
Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan suf iaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.
Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.
Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.
Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.
Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepada Sufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:
"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)

Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24) Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.
Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)
Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-Qudsiyyah Jilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah
Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.
Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah
Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq
Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.
Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:

  • Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.

  • Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.

  • Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.


  • Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)

    Kesimpulan

    Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.
    Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

    Thursday, 6 May 2010

    Huraian ibu bapa nabi dalam syurga

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

    SOALAN
    Saya membaca dengan teliti jawapan tentang status ibu bapa Nabi dalam jawapan minggu lalu. Cuma, ada pendapat yang mengatakan ibu bapa Nabi berada dalam syurga. Boleh ustaz huraikan?

    JAWAPAN:

    PENDAPAT ulama yang mengatakan ibu bapa nabi SAW di dalam syurga. Kebanyakan ulama tidak suka berbincang topik ini termasuklah saya atas dua alasan. Yang pertama apa kepentingan tajuk ini, dan keduanya apa manfaat yang diperolehi sesudah kita bincangkan suatu yang menjadi hak Allah SWT.
    Namun, minggu lepas soalan ini dijawab. Sebenarnya, soalan sebegini dikhuatiri akan menyinggung Rasulullah SAW.

    Oleh itu harus dielak membincangkan perkara yang menjadi hak mutlak Allah SWT. Kita wajib beriman bahawa, syurga itu adalah hak Allah neraka juga adalah hak Allah SWT.
    Keputusan muktamad siapa ke syurga dan neraka juga menjadi hak Allah SWT. Allah akan memasukkan ke dalam syurga-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan akan dihantar ke neraka sesiapa yang dikehendaki-Nya.

    Kita yakin dengan sepenuh hati bahawa sifat Rahmat mengatasi sifat kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: …Ia telah mewajibkan atas diri-Nya memberi rahmat… (al-An'am: 12)

    Di dalam mentafsirkan ayat ini Sayyid Qutub telah memberi huraian yang sangat menarik. Jelas beliau: "Allah SWT telah menetapkan rahmat dengan kehendak dan kemahuan-Nya, ini merupakan keadaan ketetapan-Nya ke atas ciptaan-Nya, dan itu jugalah kaedah yang dilimpahkan ke atas ciptaan-Nya di dunia mahupun di akhirat…" (Sayyid Qutub, Fii Zilal al-Quran, jld: 2, hlm: 1048, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)

    Al-Tabrisiy berpendapat: "Allah SWT telah mewajibkan atas diri-Nya memberi nikmat rahmat kepada ciptaan-Nya". (al-Fadl Hasan al-Fadl al-Tabrisiy, jld: 4, hlm:11)
    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

    Allah berfirman yang bermaksud: …Tuhan kamu telah mewajibkan atas diri-Nya sendiri akan memberi rahmat…(al-An'am: 54).

    Sebahagian ulama berpendapat ibu bapa Nabi SAW berada dalam syurga dengan beberapa alasan yang berikut:

    1- Sesungguhnya keturunan bapa Nabi SAW, Abdullah bin Abdul Mutalib dan bonda Nabi SAW, Aminah daripada Nabi Adam a.s hingga Abdullah bin Abdul Mutalib tidak ada yang kafir, ini kerana keturunan asal Nabi SAW adalah suci dan baik.

    Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya golongan musyrikin adalah najis…(al-Taubah: 28). Najis dalam ayat ini bermaksud kotornya akidah mereka kerana menyembah selain Allah. (Fakhruddin al-Razi, tafsir al-Kabir, jld: 16, hlm: 21, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)

    Sehingga kini tiada nas secara jelas sama ada daripada ayat al-Quran mahupun hadis atau mana-mana buku tarikh (sejarah) yang membuktikan bahawa ibu bapa Nabi SAW terlibat dalam penyembahan berhala.

    Ini bermaksud mereka suci daripada melakukan amalan jahiliah. Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih bani kinanah daripada keturunan Nabi Ismail lalu memilih kaum Quraisy daripada kalangan bani kinanah, daripada Quraisy memilih bani Hashim lalu Allah memilihku daripada keturunan bani Hashim. (riwayat Muslim, Sahih Muslim, no: 5897, Kitab: al-Fadail, Bab: Fadl Nasab al-Nabiy, jld: 15, hlm: 38)

    Asal usul keturunan Rasulullah SAW bersusur galur dan ada rantaian yang sah daripada Nabi Ismail a.s daripada Nabi Ibrahim a.s.

    Doa Nabi Ibrahim a.s melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).

    2- Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliah". (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld:3, hlm: 294)

    Dalam riwayat yang lain daripada Abu Nuaim al-Asbahaniy, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ibu bapaku tidak pernah (beramal) dengan amalan jahiliah (menyembah berhala) sedang Allah SWT mengeluarkan daku daripada asal-usul yang baik ke rahim yang yang suci bersih (solid) sedang tidak bercambah kepada dua melainkan aku adalah yang terbaik daripada keduanya. (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld: 3, hlm: 294)

    3- Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam karya beliau Masalik al-hunafa' fi Islam waaliday al-Mustafa membuat ketetapan seperti berikut: "Sesungguhnya jalan hidup kedua-dua mereka (ibu bapa Nabi SAW) adalah meninggal sebelum baginda di utus menjadi Rasul dan tiada penyiksaan sebelum itu kerana risalah Islam belum sampai kepada mereka berdua.

    Keadaan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: …Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah. (al-Israk: 15)

    Pak Hamka di dalam tafsirnya menyebut: "ertinya tidaklah Allah sewenang-wenang saja memasukkan hamba-Nya ke neraka lantaran satu kesalahan sedang mereka belum diutus seorang Rasul pun". (Prof. Dr. Hamka, jld: 6, hlm: 4,024)

    Berdasar ayat ini sepakat al-'Asyairah daripada kalangan ahli Kalam dan Usul, begitu juga dengan ulama al-Syafieyah daripada kalangan fuqaha berpendapat, sesiapa yang meninggal sebelum sampai kepada mereka dakwah maka meninggallah mereka dalam keadaan selamat (bebas daripada api neraka).

    4- Tidak tersabit secara jelas yang mereka berdua (ibu dan ayah Nabi SAW) pernah menyembah berhala.

    Maka dan mereka adalah terdiri daripada kalangan ahli fatrah (tempoh belum sampai utusan Allah).
    Datuk mereka adalah Ibrahim a.s seperti mana terdapat kumpulan daripada keturunan ini menyembah Allah SWT yang masih beriman kepada Allah SWT seperti Zaid bin Amru bin Nufail dan Warqah bin Naufal.

    Lalu pandangan inilah yang didokong dan disokong oleh sekumpulan ulama seperti Imam Fakhruddin al-Raziy.

    Kesimpulannya, mengikut sebahagian ulama, ibu bapa Nabi saw di dalam syurga. Ini kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti jahiliah, dan mereka tergolong dalam ahli fatrah.

    Benarkah IbuBapa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam Musyrik Dan Berada Di Neraka ?


    Ada orang yang mengatakan bahawa kedua-dua ibubapa Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam termasuk orang-orang musyrik dan mereka berada di neraka. Apakah perkataan ini benar?


    http://jomfaham.blogspot.com/

    Jawapan :

    Sudah kami jelaskan sebelumnya bahawa cinta kepada Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam termasuk ibadah pendekatan diri (kepada Allah subahanahu wa ta'ala) yang paling utama, dan kita sudah berbicara panjang tentang kecintaan ini. Cukup bagi kita untuk mengetahui kedudukannya dari hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam yang menyatakan :

    والذي نفس بيده لا يوءمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده و ولده والناس أجمعين

    رواه البخاري و أحمد


    "Demi zat yang diriku berada di dalam genggamanNya, tidak beriman (sempurna) seseorang dari kalian sampai aku lebih ia cintai daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya
    (Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 3 hlm 177 dan Bukhari, Sohih BUkhari, vol 1, hlm 14)

    Tidak diragukan lagi bahawa cinta berlawanan dengan hasrat menyakiti terhadap orang yang dicintai,. Demikian juga tidak diragukan bahawa membicarakan yang tidak baik tetang kedua ibubapa Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam menyakiti Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Allah subahanahu wa ta'ala berfirman :

    ‌ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ (٦١)

    "Dan orang-orang yang menyakiti RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam itu, bagi mereka adalah azab yang pedih
    (Surah At Taubah ayat 61)

    إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ لَعَنَہُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمۡ عَذَابً۬ا مُّهِينً۬ا (٥٧)

    "Dan orang-0rang yang menyakiti Allah subahanahu wa Ta'ala dan RasulNya, Allah subahanahu wa Ta'ala akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan.
    (surah Al Ahzab ayat 57)


    يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ ءَاذَوۡاْ مُوسَىٰ فَبَرَّأَهُ ٱللَّهُ مِمَّا قَالُواْۚ وَكَانَ عِندَ ٱللَّهِ وَجِيہً۬ا (٦٩)


    "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kami menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Nabi Musa 'alaihissalam ; maka Allah subahanahu wa ta'ala membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan, dan adalah dia itu mempunyai kedudukan yang terhormat (termulia) di sisi Allah subahanahu wa ta'ala"
    (Surah al Ahzab ayat 69)

    Al Qadhi (Qadhi Husain radiyaLlahu 'anhu) berkata,
    "Dengan demikian, kita tidak boleh mengatakan sesuatu kecuali apa yang membuat redha Tuhan kita dan membuat redha Rasul kita Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Kita tidak boleh memberanikan diri terhadap kedudukannya yang mulia dan menyakiti Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam dengan perkataan yang tidak membuat Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam redha".


    Ketahuilah bahawa ibubapa dan nenek moyang Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam jika sebahagian mereka jatuh dalam sesuatu yang secara zahir merupakan kesyirikan, maka mereka bukanlah orang-orang yang musyrik. Mereka bersikap demikian sebab mereka tidak mendapatkan adanya Rasul yang diutus kepada mereka. Golongan Ahlu Sunnah Waljamaah seluruhnya meyakini siapa yang terjatuh ke dalam kemusyrikan, sedangkan dia berada di dalam masa penggantian syariat-syariat Tauhid dalam rentang masa kosong (fatrah) di antara satu Nabi dengan Nabi selanjutnya, maka dia tidak diseksa.

    Dalil-dalil yang menunjukkan hal itu cukup banyak, antara lain berdasarkan Firman Allah subahanahu wa ta'ala :


    وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولاً۬ (١٥)

    Ertinya : Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul
    (Surah al Isra' ayat 15)

    ذَٲلِكَ أَن لَّمۡ يَكُن رَّبُّكَ مُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ بِظُلۡمٍ۬ وَأَهۡلُهَا غَـٰفِلُونَ (١٣١)

    Ertinya : Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya, sedang penduduknya dalam keadaan yang lengah (maksudnya : penduduk suatu kota tidak akan diazab sebelum diutuskan seorang Rasul yang akan memberikan peringatan kepada mereka.)
    (Surah al An'am ayat 131)

    وَمَآ أَهۡلَكۡنَا مِن قَرۡيَةٍ إِلَّا لَهَا مُنذِرُونَ (٢٠٨)

    Ertinya : Dan Kami tidak membinasakan suatu negeripun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberikan peringatan.
    (Surah Asy Syu'ara ayat 208)

    رُّسُلاً۬ مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةُۢ بَعۡدَ ٱلرُّسُلِ‌ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمً۬ا (١٦٥)

    Ertinya : Mereka, (Kami utuskan) selaku Rasul-rasul, pembawa berita gembira, dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah subahanahu wa Ta'ala, sesudah diutuskan Rasul-rasul itu.
    (Surah an Nisa' ayat 165)

    Maka tidak berdiri tegak hujah (bagi Allah subahanahu wa ta'ala) terhadap makhluk kecuali dengan mengutus Rasul-rasul, maka manusia tidak berada dalam hujah dengan rahmat Allah subahanahu wa Ta'ala dan kurniaNya.

    Ayat-ayat ini menunjukkan apa yang diyakini oleh para pengikut yang benar (golongan Ahlu Sunnah Wal Jama'ah), bahawa Allah subahanahu wa Ta'ala dengan rahmat dan kurniaNya tidak menyeksa seorang pun sampai Dia mengutus seorang Rasul yang memberi peringatan kepadanya.

    Mungkin sahaja ada orang yang mengatakan. "Barangkali kedua ibu bapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam telah diutus Rasul pemberi peringatan kepada mereka dan mereka berdua syirik setelah sampainya hujah." Ini merupakan sesuatu yang telah menyeleweng daripada ajaran. Sebaliknya ada nas-nas yang menafikannya dan menegaskan sebaliknya. Allah subahanahu wa Ta'ala berfirman :

    وَمَآ ءَاتَيۡنَـٰهُم مِّن كُتُبٍ۬ يَدۡرُسُونَہَاۖ وَمَآ أَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ قَبۡلَكَ مِن نَّذِيرٍ۬ (٤٤)

    Ertinya : Dan, Kami tidak pernah memberikan kepada mereka, kitab-kitab yang mereka baca dan sekali-kali tidak pernah (pula) mengutuskan mereka sebelum kamu seorang pemberi peringatan.
    (Surah Saba' ayat 44)

    Pada ayat lain, Allah subahanahu wa Ta'ala berfirman :

    لِتُنذِرَ قَوۡمً۬ا مَّآ أَتَٮٰهُم مِّن نَّذِيرٍ۬ مِّن قَبۡلِكَ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَڪَّرُونَ (٤٦)

    Ertinya : ...Supaya kamu memberikan peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka, pemberi peringatan sebelum kamu agar mereka ingat
    (Surah al Qasash ayat 46)

    Pada ayat lain, Allah subahanahu wa Ta'ala berfirman :

    وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبۡعَثَ فِىٓ أُمِّهَا رَسُولاً۬ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَـٰتِنَا‌ۚ وَمَا ڪُنَّا مُهۡلِكِى ٱلۡقُرَىٰٓ إِلَّا وَأَهۡلُهَا ظَـٰلِمُونَ (٥٩)

    Ertinya : Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutuskan kepada ibukota itu seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.
    (Surah al Qasas ayat 59)

    Nas (dalil-dalil) yang telah dikemukakan itu menunjukkan serta membuktikan mengenai kedua ibubapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak diseksa bukan sebab mereka berdua IbuBapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, tetapi sebab mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang hidup pada masa fatrah (kosong di antara para Rasul-rasul). Oleh itu, hukum mengenai mereka sudah jelas di kalangan kaum Muslimin.

    Imam Syatibi berkata,
    "Telah berlaku ketetangan Allah subahanahu wa Ta'ala (sunnatuLlah) pada makhlukNya bahawa Dia tidak menyeksakan hambaNya disebabkan pelanggaran hukum, kecuali setelah (Dia) mengutuskan kepada mereka seorang Rasul. Lalu apabila hujah sudah berdiri teguh atas mereka; siapa yang memilih beriman, maka ia beriman; dan siapa yang memilih kafir, maka dia kafir. Bagi setiap pilihan ada balasan setimpal.
    (Imam Syatibi, Al Muwafaqat, vol 3, hlm 377)

    Dalam menafsirkan firman Allah subahanahu wa Ta'ala,
    "Dan Kami, tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang Rasul (Surah al Isra' ayat 15)
    , Al Qasimi berkata,
    "Tidak benar dan bukan keputusan yang betul daripada Kami. malah mustahil di dalam sunnah Kami yang berdasarkan hukum yang tegas bahawa Kami menyeksa suatu kaum, kecuali setelah Kami utuskan seorang Rasul bagi menunjukkan kepada mereka kebenaran dan memperingatkan mereka daripada kesesatan, menegakkan hujah yang benar dan mematahkan hujah bagi alasan yang membantah.
    (Al Qasimi, Mahasin At Ta'wil, vol 10, hlm 312)

    Imam Ibnu Taimiyyah berkata, :
    Sesungguhnya Al Quran dan Sunnah telah menunjukkan bahawa Allah subahanahu Wa Ta'ala tidak menyeksa seseorang, kecuali setelah menyampaikan risalah kepadanya. Oleh itu, siapa yang tidak menyampaikan risalah kepadanya secara global (menyeluruh) tanpa sebahagian perincian (penjelasan), Allah subahanahu Wa Ta'ala tidak akan menyeksanya kecuali atas pengingkaran yang dilakukan.
    (Ibnu Taimiyyah, Majmu' al Fatawa, vol 13, hlm 493)

    Adapun dalil yang menunjukkan keselamatan kedua ibubapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam secara khusus pada mereka berdua, bukan dalil umum yang khusus berkenaan dengan ahlu fatrah (orang-orang tua yang hidup pada masa fatrah), adalah firman Allah subahanahu wa Ta'ala :

    وَتَقَلُّبَكَ فِى ٱلسَّـٰجِدِينَ (٢١٩)

    Ertinya : Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.
    (Asy Syu'ara ayat 219)

    Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radiyaLlahu 'anhu berkenaan dengan firman Allah subahanahu wa Ta'ala,
    "Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud
    (As Syu'ara ayat 219). Beliau berkata,
    iaitu di antara tulang-tulang sulbi nenek moyang Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi Nuh 'alaihissalam dan Nabi Ibrahim 'alaihissalam sampai Allah subahanahu wa Ta'ala mengutuskan Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Nabi
    (Al Qurthubi, Tafsir al Qurthubi, vol 13, hlm 144, dan Ath Thobari, Tafsir ath Thobari, vol 7, hlm 287)

    Diriwayatkan dari Watsilah bin Asqa' bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :

    "Sesungguhnya Allah subahanahu wa Ta'ala memilih Nabi Ismail 'alaihissalam dan anak-anak Nabi Ibrahim 'alaihissalam, memilih Bani Kinanah; dan anak cucu Nabi Ismail 'alahissalam, memilih Quiraisy dari Bani Kinanah; memilih Bani Hasyim dari Quraisy; dan memilih diriku dari Bani Hasyim"
    (Hadith Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlm 107; dan Muslim, Sohih Muslim, vol 4, hlm 1782, dan teks hadith adalah riwayat Ahmad).

    Daripada Bapa saudara Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam, saidina Abbas radiyaLlahu 'anhu diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

    "Sesungguhnya Allah subahanhu wa Ta'ala menciptakan makhluk, lalu Dia menjadikanku yang terbaik di antara mereka dan dari generasi terbaik mereka. Kemudian Allah subahanahu wa Ta'ala memilih kabilah-kabilah, lalu menjadikan diriku dari kabilah terbaik. Kemudian Dia memilih keluarga-keluarga, lalu menjadikan diriku dari keluarga terbaik. Maka, aku adalah (makhluk) terbaik peribadinya dan terbaik keluarganya.
    (Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlm 165; dan Turmudzi, sunan Turmudzi, vol 5, hlm 584)

    Maka, jelas bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam menyebut, asal-usul keturunannya dengan sifat baik dan suci. Itu adalah dua sifat yang berlawanan dengan sifat kekafiran dan kesyirikan. Allah subahanahu wa Ta'ala telah berfirman dengan menyebutkan sifat kaum Musyrikin :


    إِنَّمَا ٱلۡمُشۡرِكُونَ نَجَسٌ۬

    Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (jiwa musyrikin itu dianggap kotor, sebab menyekutukan Allah subahanahu wa Ta'ala)
    (At Taubah ayat 28)

    Sedangkan pendapat yang digembar gemburkan oleh orang yang tidak sependapat adalah disebabkan ada dua hadith ahad yang berlawanan dengan kandungan ayat-ayat qat'ie sebagaimana disebutkan. Dua hadith itu adalah riwayat Muslim iaitu :

    Pertama :

    RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :

    أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : (استاذنت ربي أن أستغفر لأمي فلم يأذن لي, وأستأذنته أن أزور قبرها فأذن لي ) رواه مسلم

    "Aku meminta iin kepada Tuhanku untuk memohonkan ampun bagi ibuku, maka Dia tidak mengizinkanku. Dan, aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya, maka Dia mengizinkanku.
    (Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, vol 2, hlm 671)

    Kedua :

    أن رجلا قال : يا رسول الله, أين أبي ؟ قال : في النار. فلما قضى دعاه. فقال : إن أبي و أباك في النار.

    رواه مسلم


    "Seorang lelaki berkata : "Wahai RasuluLlah , dimanakah ayahku ? Baginda menjawab. "Di dalam neraka." Lalu setelah selesai (melakukan sesuatu), Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka
    (Hadith Riwayat Muslim, Sohih Muslim, vol 1, hlm 191)

    Jawapan terhadap mereka sebagai berikut :

    Jelaslah bahawa pada hadith pertama tidak terdapat pengungkapan yang tegas bahawa ibu Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam di dalam neraka. Tidak mendapat izin untuk memohonkan ampun tidak bererti menunjukkan bahawa dia musyrik. Jika tidak, tentu tidak mungkin Tuhannya mengizinkan untuk menziarahi kuburnya. Sebab tidak boleh menziarahi kubur orang-orang musyrik dan berbakti kepada mereka. Sedangkan hadith kedua masih ditafsirkan, tetang apa yang Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam maksudkan mengenai bapa saudaranya (Abu Thalib) yang meninggal dunia setelah bi'tsah (waktu pertama kali Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam rasmi diutus dengan turunnya wahyu) dan tidak menyatakan keIslamannya. Orang Arab selalu menggunakan kata "ayah" untuk "bapa saudara" sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah subahanahu wa Ta'ala tentang Nabi Ibrahim 'alaihissalam :

    ۞ وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصۡنَامًا ءَالِهَةً‌ۖ إِنِّىٓ أَرَٮٰكَ وَقَوۡمَكَ فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٧٤)

    Ertinya : "Dan (ingatlah) di waktu Nabi Ibrahim 'alaihissalam berkata kepada bapanya, Aazar (Di antara muassirin ada yang berpendapat bahawa yang dimaksud dengan Abiihi (bapanya) ialah bapa saudaranya), "Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?"

    (Surah al An'am ayat 74)

    Sedangkan ayah Nabi Ibrahim 'alaihissalam bernama Tarikh atau Tarih, sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibnu Kathir dan para ahli tafsir yang lain.

    Apabila orang yang tidak sependapat tersebut, menolak penakwilan ini dan tetap ingin berpegang dengan zahir nas pada hadith yang kedua disebabkan tidak mendapat dukungan yang memuaskan daripada zahir hadith nas yang pertama. Maka kami menyatakan kepadanya bahawa berdasarkan pendapat dan hujah kalian; apabila kita memandang kedua-dua hadith tersebut sebagai dalil yang menunjukkan bahawa kedua-dua ibubapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak selamat (daripada neraka) maka hal itu membuat kita menolak kedua-dua hadith tersebut sebab percanggahan kedua-duanya dengan ayat-ayat yang qot'ie dan tegas yang menetapkan pendapat para Imam dan para 'ulama sejak berabad-abad. Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi telah menyatakan dengan tegas mengenai kaedah ini dengan mengatakan :
    "Apabila orang yang thiqah dan terpercaya meriwayatkan sebuah khabar yang bersambung sanadnya, (khabar) itu ditolak atas beberapa perkara : bahawa ia menyalahi nas (ungkapan tegas) al Quran dan Sunnah yang mutawattir , sehingga diketahui tidak ada dasar baginya atau 'mansukh' (dipinda dan dibatalkan).
    (Al Baghdadi, Al Faqih wa al Mutafaqqih, hlm 132)

    Para ahli hadith seperti Imam Bukhari dan Al Madin menolak hadith,
    "ALlah subahanahu wa ta'ala menciptakan tanah (bumi) pada hari Sabtu, menciptakan gunung-gunung di atasnya pada hari Ahad, menciptakan pohon pada hari isnin, menciptakan sesuatu yang dibenci (bencana dll) pada hari Selasa, menciptakan cahaya pada hari Rabu, menyebarkan binatang di muka bumi pada hari Khamis, dan menciptakan Nabi Adam 'alahissalam setelah asar pada hari Jumaat, pada akhir penciptaan, pada waktu terakhir dari waktu-waktu hari Jumaat di antara waktu Asar hingga malam hari
    (Hadith Riwayat Muslim, Sohih Muslim, vol 4, hlm 2149)

    Mereka menolaknya atas sebab ia bertentangan dengan al Quran sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Kathir di dalam tafsirnya terhadap firman Allah subahanahu wa Ta'ala :

    إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ۬

    "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah subahanahu wa Ta'ala yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa
    (Surah al A'raf ayat 54) (Ibnu Kathir, Tafsir Ibnu Kathir, vol 2, hlm 230)

    Sekarang, silakan orang yang tidak sependapat untuk memilih mana yang ingin diambil; menggunakan takwil, dan ini lebih utama sebab tidak ada penolakan terhadap dalil-dalil atau menolak khabar-khabar ahad tersebut yang bertentangan dengan nas yang qat'ie dan tegas dari Al Quran al Karim dan ini adalah kaedah yang dihadapi oleh para imam terkemuka.

    Walaubagaimanapun, dapat disimpulkan di sini bahawa pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang menyatakan bahawa kedua-dua ibubapa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam itu selamat (tidak masuk neraka), begitu juga dengan seluruh nenek moyangnya. Semoga Allah subahanahu wa ta'ala menganugerahkan kepada kita cinta yag mendalam terhadap Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam dengan mengenal darjatnya (keturunan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam) dengan baik. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah subahanahu wa Ta'ala. "AlhamduliLlahi Robbil 'alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam)" Dan, Allah subahanahu wa Ta'ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.


     Sumber : Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

    Monday, 26 April 2010

    Wali Abdal

    Ini ada ulasan ttg Wali Abdal...

    boleh layari http://sawanih.blogspot.com/2010/04/kewujudan-wali-abdal.html


    Siapa Abdal?

    Abdal ialah jamak bagi kalimah badal atau bidl (بدل), juga disebut badil (بديل) yang dijamakkan dengan kata budala’ (بدلاء). Iaitu suatu kumpulan/golongan dari kalangan para wali Allah SWT, apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seorang wali yang lain. Mereka ini wujud pada setiap zaman, dan realiti menunjukkan bahawa darjat kewalian ini adalah satu peringkat tertinggi dalam bidang/alam kerohanian. Dikatakan, mereka adalah daripada kumpulan para wali Allah yang dengan merekalah diminta daripada-Nya untuk diturunkan hujan, mengalahkan musuh serta dijauhkan daripada bala dan azab. Juga diriwayatkan, mereka ini berada di Syam (kini Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan).

    Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa mereka adalah salah satu kumpulan ulama hadith. Sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila dikatakan kepadanya: Adakah bagi Allah s.w.t. memiliki Abdal di dunia ini? Beliau menjawab: Ya. Dikatakan kepadanya: Siapakah mereka? Beliau menjawab: Jika bukan ulama hadith itu Abdal , maka aku tidak mengetahui adakah Allah itu mempunyai Abdal.

    Hadith Abdal Mutawatir

    al-Imam al-Sayyid Muhammad bin Ja’far al-Kattani (w. 1345H) dalam Nazm al-Mutanathir Min al-Hadith al-Mutawatir dan al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1418H) dalam Ithaf Zawi al-Fada`il al-Musytahirah. Bima Waqa’a Min al-Ziyadat Fi Nazm al-Mutanathir ‘Ala al-Azhar al-Mutanathirah menukilkan daripada Imam al-Suyuti RAH mengenai kemutawatiran hadith kewujudan Abdal katanya : Ianya mencapai had mutawatir ma’nawi, tidak mustahil.

    Bagaimanapun, baik al-Kattani mahupun al-Ghumari hanya merekodkan sembilan orang sahabat Nabi S.A.W. sahaja yang meriwayatkannya. Menurut kajian Imam al-Suyuti dalam al-Khabar al-Dal yang lebih terperinci, hadith-hadith ini didapati diriwayatkan daripada 14 orang sahabat, 3 mursal tabi’in dan juga banyak athar-athar tabi’in dengan sanad antara sahih, hasan, daif dan juga sangat daif.

    Antaranya, diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dengan sanad yang sahih daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. bersabda: “Al-Abdal bagi umat ini seramai 30 orang, yang seumpama Nabi Ibrahim Khalil al-Rahman, setiap kali meninggal seorang lelaki daripada mereka, Allah akan menggantikan tempatnya lelaki yang lain.” (Musnad Ahmad: 5/322)

    Bilangan Abdal

    Bilangan mereka juga berbeza-beza menurut riwayat-riwayat yang direkodkan, ada yang menyebut 7, 30, 40 dan 60. Perbezaan ini menurut Imam Ibn ‘Abidin ialah; riwayat yang menyebut bilangan yang banyak adalah nisbah kepada jumlah semua, manakala yang menyebut bilangan yang sedikit adalah nisbah kepada bilangan pemimpin/ketua bagi kumpulan wali Allah tersebut.

    Istilah-istilah Kewalian

    Istilah Abdal adalah yang banyak digunakan dalam riwayat-riwayat berkenaan. Namun, ada juga dalam setengah jalan-jalan riwayat yang diriwayatkan menyebut istilah-istilah lain seperti al-Budala’, al-Awtad, al-Nujaba’, al-Akhyar, al-‘Asab, al-‘Asa’ib, al-....’, dan al-Sabiqun. [Definisi masing-masing dapat dirujuk dalam kitab-kitab tasawuf, atau ensiklopedia/kamus istilah yang ada membincangkannya]

    Manakala istilah al-Qutb atau al-Ghawth tidak termasuk dalam hadith-hadith mengenai Abdal yang sedang dibincangkan, kerana ianya menurut pengamatan saya bersandarkan kepada hadith Tajdid, di mana Allah Ta’ala akan membangkitkan pada awal setiap kurun orang yang memperbaharui agama-Nya.

    Bukan Perkara Akidah

    Perlu dicatatkan, meskipun sebahagian ulama menolak kewujudan wali abdal ini, namun perlu diingatkan bahawa sama ada kita menolak atau mengakui wujudnya mereka, ia tidaklah menjejaskan akidah kita sama sekali. Manakala hadith-hadith ini adalah hujah dan sandaran bagi mereka yang mempercayai kewujudannya. Bagaimanapun, perkara ini adalah termasuk soal kerohanian yang mesti dirujuk kepada mereka yang berkeahlian, dan mengaitkan hal ini di kalangan mereka yang jahil dengan perkara-perkara bidaah serta khurafat sewajarnya dielak dan dijauhkan sama sekali.

    Karya-karya Mengenai Abdal

    Antara kitab-kitab yang disusun oleh para ulama mengenai kewujudan Abdal ialah:

    1. al-Khabar al-Dal ‘ala Wujud al-Qutb wa al-Awtad wa al-Nujaba’ wa al-Abdal oleh al-Hafiz al-Suyuti. [Lihat juga dalam al-Hawi lil Fatawi]
    2. Nazm al-La’al fi al-Kalam ‘ala al-‘Abdal oleh al-Hafiz al-Sakhawi.
    3. Hilyah al-Abdal oleh al-Syaikh al-Akbar Ibn al-‘Arabi al-Hatimi.
    4. Ijabah al-Ghawth bi Bayan Hal al-Nuqaba wa al-Nujaba wa al-Abdal wa al-Awtad wa al-Ghawth oleh Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi al-Syami.
    5. al-Qawl al-Dal ‘ala Hayah al-Khidr wa Wujud al-Abdal oleh al-‘Allamah Nuh bin Mustafa al-Rumi.
    6. al-Ihtifal bi Thubut Hadith al-Abdal oleh Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh.

    Ini tidak termasuk para ulama yang merekodkannya dalam kitab-kitab mereka seperti Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani, al-‘Allamah al-Munawi dalam Faydh al-Qadir, al-‘Allamah Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah, al-‘Allamah Isma’il al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fatawanya, al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah, al-‘Allamah Sibghatullah al-Madrasi dalam Zayl al-Qawl al-Musaddad, Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim dalam Usul al-Wusul, Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dan lain-lain.

    Tokoh-tokoh Yang Disebut Sebagai Wali Abdal

    Tidak semestinya mereka ini adalah orang-orang yang dikenali namanya, kerana ramai di antara mereka yang tidak diketahui melainkan oleh Allah SWT sahaja. Bagaimanapun berdasarkan kajian, saya mendapati amat banyak tokoh-tokoh yang disebut sebagai wali Abdal dalam kitab-kitab manaqib, rijal, tabaqat dan juga sejarah. Antaranya ialah;

    1. Farwah bin Mujalid.
    2. al-Hasan al-Basri.
    3. Hammad bin Salamah
    4. ‘Uthman bin ‘Umar bin Khafif al-Muqri.
    5. ‘Abdul Wahhab bin ‘Ali ibn Sakinah.
    6. Ibrahim bin Hani’.
    7. Yahya bin Sulaim.
    8. Musa bin A’yun.
    9. al-Mustamir al-Ayadi.
    10. ‘Ali bin Abi Bakr al-Kindi.
    11. al-Rabi’ bin Nafi’.
    12. ‘Abdul ‘Aziz al-Qasmali.
    13. Muhammad bin Yazid al-Kala’i.
    14. Bisyr bin al-Harith al-Hafi.

    Wallahu a‘lam.

    TAJDID ATAU MERUNTUH ?



    MINGGU lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman tentang tajdid atau pembaharuan dalam Islam. Ia supaya kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat yang besar.  Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama akidah-syariah-akhlak.
    Salah faham terhadap tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW. Di peringkat masyarakat dan umat pula, faham tajdid yang salah boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jati diri umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam.

    Asas kerangka faham tajdid
    Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman. Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi di bawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya.

    Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya. Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat-ayat al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai khaira ummah - umat terunggul.

    Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firman-Nya: Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmat-kurniaan Ku, dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu. (al-Maaidah: 3)

    Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan. Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.

    Tajdid sekularis dan tajdid Modenis

    Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ia menjadi sempurna.

    Kelompok ‘mujaddid sekularis dan liberalis’ ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama.

    Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan. Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syarak mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jati diri dalaman umat.
    Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok ‘mujaddid modenis Islamis’ yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri.  Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti umat.

    Berbeza dengan kelompok ‘mujaddid sekularis liberalis’, kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka ‘tajdid‘ agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya.

    Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dalam pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para salafus soleh.  Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran salaf atau salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya: tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.

    Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taimiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani.

    Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahan aliran ini pun ada banyak percanggahan pandangan.  Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran ‘mujaddid modenis Islamis’ ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan akidah-syariah-akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.

    Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran ‘tajdid‘ yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam.

    Tajdid‘ sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan. Sesetengahnya sampai ke tahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya.

    Maka rata-ratanya aliran ‘tajdid‘ ini kurang mendapat tempat di kalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awam pun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.

    Lain halnya dengan ‘tajdid modenis Islamis’ yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan di mana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana.

    Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong ‘pembaharuan’ yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya.

    Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya. Mereka yang meneliti tentang hakikat ‘tajdid‘ dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan pakej yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam akidah, syariah dan akhlaknya.

    Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.  Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran ‘tajdid‘ dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya.

    Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan di tengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh.

    Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia.  Pepatah Arab mengatakan Likulli Saaqitin Laqiit, "tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya". Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng.

    Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain.

    Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Dubay yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara terbuka di tengah masyarakat. 

    Dubay ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara. (al-Fatawa al-hadithiyyah).

    Polemik Tajdid dan Pembaharuan

    Arkib Utusan 13/04/2010



    DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.

    Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.

    Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.

    Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

    Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.

    Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.

    Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.

    Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

    Falsafah Tajdid
    Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.

    Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, "Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini." (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

    Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.

    Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.

    Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

    Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.

    Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.
    Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.

    Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.

    Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.

    Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.

    Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.

    Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

    Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

    Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.
    Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

    Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

    Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha’rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.

    Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash’ariy, al-Shafi’ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

    Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.

    Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.

    Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.

    Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.

    Mengenal Mujaddid Sebenar
    Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.

    Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

    Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

    Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.

    Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.
    Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.

    Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Sheikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. 

    Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

    Monday, 19 April 2010

    Al-Imam Al-Sowi Menyatakan Bahawa Wahhabiah Adalah Khawarij

    http://al-ashairah.blogspot.com/

    Al-Imam Al-Sowi Menyatakan Bahawa Wahhabiah Adalah Khawarij, Golongan Yang Dilalaikan Syaitan Dari Zikrullah Dan Kelompok Syaitan Yang Rugi

    Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
    1. Pendekatan menolak golongan Wahhabi dengan bukti daripada kitab-kitab karangan ulama’ didapati amat berkesan untuk membuktikan bahawa fahaman ini ditolak oleh majoriti ulama’. Maka, pendekatan seperti ini akan dikekalkan di blog ini bagi memudahkan pembaca mendapat bukti secara langsung. Penulis amat berharap agar penyelidik-penyelidik di Jabatan-jabatan agama Islam dapat mengumpulkan bukti-bukti ini dan dengan mudah dapat menjelaskan kedudukan Wahhabi dari perspektif ulama’ apabila diperlukan nanti.
    2. al-Imam al-Sowi al-Maliki adalah salah seorang ulama’ ASWJ dan al-Azhar yang hidup di zaman fitnah Wahhabi ini mula muncul. Beliau dilahirkan pada tahun 1175 H (+- 1761) dan wafat pada 7 Muharram 1241 H (+- 22 Ogos 1825). Beliau merupakan seorang ulama’ yang diberikan dengan gelaran Al-‘Arif billah, al-Imam al-Faqih, Shaikh al-Shuyukh, Umdah Ahl al-Tahqiqi wa al-Rusukh, Qudwah al-Salikin, Murabbi al-Muridin, al-‘Allamah, al-Fahhamah, al-Hibr, al-Fahhamah, al-Mudaqqiq – menunjukkan keilmuan dan “kesarjanaan” beliau diiktiraf oleh para ulama’.
    3. Beliau mempunyai guru-guru yang mayshur, anak-anak murid dari kalangan ulama’ besar dan karangan-karangan beliau yang menjadi rujukan. Kitab al-Tafsir beliau yang menghuraikan Tafsir al-Jalalayn (tafsir ringkas yang ditulis oleh Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti) yang lebih dikenali dengan “Hashiyah al-Sowi” adalah begitu masyhur dalam disiplin ilmu Tafsir.
    4. Di dalam kitab tersebut, ketika menghuraikan Tafsir al-Jalalayn (Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti) berkenaan ayat 6 dan 7 daripada Surah Fatir:
    إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ (6) الَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ (7)
    “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (6)
    Orang-orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar (7)”
    Beliau menghuraikan Tafsir al-Jalalayn yang menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal dan orang-orang seumpamanya daripada musyrikin Mekah seperti al-‘As Ibn Wa’il, Al-Aswad Ibn al-Mutallib, ‘Uqbah Ibn Abi Mu’it, dan lain-lain dengan dikuatkan dengan dalil-dalil yang lain. Kemudian beliau menghuraikan dengan lebih lanjut lagi bahawa (Terjemahan bagi bahagian berwarna merah dari gambar di atas):
    “Dan dikatakan bahawa: ayat ini diturunkan kepada golongan al-Khawarij yang mengubah tafsiran al-Quran dan al-Sunnah dan menghalalkan dengan (tafsiran) tersebut darah dan harta umat Islam, sepertimana yang disaksikan pada waktu ini di kalangan golongan yang serupa dengan mereka (Khawarij); dan mereka adalah satu golongan di bumi Hijaz yang dipanggil “WAHHABIYYAH”; mereka menganggap diri mereka berada di atas sesuatu (kebenaran); maka ketahuilah bahawa mereka adalah golongan pendusta/penipu; Syaitan telah menguasai mereka dan melupakan mereka daripada mengingati Allah; mereka adalah kelompok Syaitan; dan ketahuilah bahawa kelompok Syaitan adalah mereka yang rugi; kita berdoa kepada Allah Yang Maha Mulia agar memutuskan keturunan mereka (orang-orang yang mengikut mereka) sehingga akhir.” [Selesai terjemahan]
    5. Berdasarkan penjelasan Imam al-Sowi, maka tidak hairanlah golongan Wahhabiah ini sememangnya jauh bahkan membenci majlis-majlis zikir (seperti majlis tahlil, dll) dan ahli-ahli zikir (ahli sufi dan tarikat muktabar), dek kerana dipermainkan oleh Syaitan.
    6. Ada umat Islam melihat zikir sebagai ubat, apabila terlanjur berbuat dosa, mereka kembali bertaubat dan memperbanyakkan zikrullah. Alhamdulillah.
    7. Ada umat Islam yang melihat zikir sebagai makanan dan mengambilnya sebagai wirid harian, tak selesa dan tidak bermaya kalau tidak berzikir atau terlepas wirid hariannya. Alhamdulillah walhamdulillah.
    8. Namun sangat sedikit daripada kalangan kita umat Islam yang dapat merasakan zikir seumpama nafas, tiada erti hidup tanpanya, waktu-waktu yang dilalui tanpa zikrullah dirasakan sia-sia seumpama mayat hidup, tidak bermakna, waktu itu akan disesali di akhirat nanti, walaupun seseorang itu masuk ke syurga. Bahkan zikir itu dirasakan lebih lazat daripada air sejuk di kala cuaca yang amat panas. Allahu akbar. Allahummaj’alna minhum.
    9. NAMUN BEGITU, golongan Wahhabi sering melihat amalan zikrullah sebagai RACUN!!! BETAPA ROSAKNYA FAHAMAN DAN PEMIKIRAN MEREKA. Wal-‘iyazubillah.
    10. Pernah satu ketika seorang pelajar datang berjumpa penulis dan bertanya tentang hukum berzikir dengan bilangan tertentu seperti 1000 atau 3000. Ini adalah kerana ia menjadi amalan abangnya. Penulis dengan segera menjawab soalan tersebut dengan beberapa soalan:
    · “Apakah hukum lalai daripada mengingati Allah (zikrullah)? Sebelum membincangkan hukum zikrullah, kita kene bincang hukum ghaflah atau lalai daripada mengingati Allah terlebih dahulu”
    · “Apakah hukum lalai dari zikrullah atau tidak berzikir sebanyak 1000 nafas atau 3000 nafas? Sekurang-kurangnya abang kamu tidak lalai dalam 1000 atau 3000 nafasnya, kamu, kita bagaimana? Nikmat Allah meliputi kita dalam setiap nafas kita”
    · “Dalam sehari kamu kamu banyak mengingati Allah atau banyak lalai daripada mengingati Allah? Dia menjawab: Banyak lalai. Penulis membalas: Jika begitu, marilah kita sama-sama bincang berkenaan hukum perkara yang lebih banyak kita lakukan dalam sehari, iaitu lalai.”
    Selepas itu, penulis berbincang berkenaan hukum lalai dengan pelajar tersebut tanpa perlu membincangkan hukum zikrullah lagi. Ini adalah kerana perintah untuk berzikir lebih banyak terdapat di dalam al-Quran berbanding perintah solat. Maka, jelaslah kepentingannya. Adapun, hukum lalai hanya akan diperolehi apabila kita belajar dengan ulama’ yang menitikberatkan zikrullah, iaitu ulama’ sufi dan tarikat muktabar.
    11. Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para pembaca,
    · Jauhilah golongan yang mengajar anda untuk membenci amalan zikrullah dan ahlinya (ahli sufi dan tarikat muktabar) walaupun dia mempunyai gelaran Professor atau Dr. atau Ustaz sekalipun;
    · Janganlah cepat-cepat atau gopoh memusuhi amalan-amalan tarikat sufi muktabar kerana takut-takut anda memusuhi para awliya’-Nya.
    12. Akhir kata, sekiranya seorang ulama’ besar Islam seperti Imam al-Sowi telah menerangkan keburukan Wahhabiyyah dengan begitu berat sekali: Apakah pendirian yang patut kita buat? Apakah tindakan yang patut kita ambil? Apakah kita hanya perlu bersikap sambil lewa dalam isu ini? Sama-samalah kita fikir-fikirkan. Jangan biarkan hidup anda terus dihantui misteri Wahhabi…