Showing posts with label Kisah Mualaf. Show all posts
Showing posts with label Kisah Mualaf. Show all posts

Thursday, 4 March 2010

Emel saluran dakwah Sarah

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1224&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm&arc=hive

ARKIB : 24/12/2009

Emel saluran dakwah Sarah


SARAH Joseph (kiri) menghadiahkan naskhah emel isu Eco-Jihad kepada Putera Charles (kanan).


PADA usia 13 tahun, abang kandungnya telah memeluk Islam. Alasannya mudah, kerana perkahwinan. Pada masa itu, Sarah Joseph, antara penganut kuat fahaman Roman Katolik sangat membenci keputusan abangnya itu, sekali gus menuduhnya sanggup menjual keyakinan hanya kerana seorang wanita.
Tambahan pula, Islam adalah sesuatu yang asing dan sangat menakutkan. Ini kerana pada masa itu beliau sekadar mengetahui sisi negatif Islam menerusi pembacaannya di media massa.
"Hakikatnya, prasangka buruk tentang Islam sukar untuk hilang. Saya tahu perasaan takut itu wujud kerana saya belum tahu Islam yang sebenarnya. Lantas, saya putuskan untuk mencari informasi tentang Islam kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak ketika itu.
"Tak berapa lama selepas itu, saya mengambil keputusan meninggalkan ajaran Katolik. Ia bukan kerana saya tertarik dengan Islam tetapi kecewa dengan aturan paderi besar yang berpusat di Rom.
"Keputusan itu juga tidak bermakna saya memilih Islam. Waktu itu saya "kosong". Saya masih berusaha mencari Tuhan. Dalam pencarian itulah, Islam hadir dalam hati ini. Islam menjawab semua pertanyaan saya, terutama tentang konsep Triniti. Seperkara lagi, al-Quran tidak mengalami perubahan sama sekali, berbeza dengan Injil," akui Sarah yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah pada usia 16 tahun.
Kata Sarah lagi, ibadah solat turut menjadi faktor kepada pengislaman beliau. Acap kali melihat perbuatan duduk antara dua sujud serta menundukkan kepala ke sejadah, saat itulah terserlah dan terbuktinya kepatuhan seorang hamba kepada Penciptanya.
Sarah mengakui pada peringkat awal, agak sukar baginya untuk merealisasikan Islam di dalam diri dan kehidupan. Terutama dalam usaha menjelmakan ajaran Islam ke dalam keluarga dan lingkungan sosial.
"Ibu bapa saya tidak bersetuju dengan rancangan saya untuk masuk Islam. Malah penolakan keras mereka semakin terserlah bila saya membuat pilihan mengenakan jilbab (bertudung kepala).
"Saya faham keluarga menentang keras kerana takut saya menjadi seorang yang lain. Saya tidak salahkan mereka, kerana fahaman mereka yang liberal. Boleh dikatakan proses penerimaan itu mengambil masa bertahun lamanya. Alhamdulillah, kini mereka sangat bahagia dan mereka senang dengan jalan hidup yang saya pilih dan ternyata ia pilihan yang betul dan benar," jelas Sarah sentiasa berdoa agar ibu bapanya juga menerima cahaya Islam.
Wanita kelahiran kota London itu menempuh pintu lain dalam menterjemahkan Islam untuk dunia Barat. Lantas, Sarah, 37 tahun, telah menerbitkan majalah emel, sebuah majalah khas yang mengupas gaya hidup Muslim dengan sasaran bukan Islam.
Majalah ini pertama kali diterbitkan pada 2003 dan hanya dijual di kedai-kedai buku Islam. Namun lama-kelamaan, ia telah berjaya menarik pembaca bukan Islam sehinggalah bermula September 2005, edarannya mula diperluaskan. Kini emel beroperasi di Whitechapel, timur London, memiliki edaran di 30 buah negara. Ia juga boleh diakses di Internet (www.emelmagazine.com)
Dalam sebuah wawancara dengan akhbar harian The Guardian terbitan di London, wartawan produktif ini ada menjangkakan bahawa Islam mempunyai peranan besar dalam menyelesaikan permasalahan dunia pada masa hadapan. Malah, beliau juga banyak menekankan bagaimana seharusnya seorang Muslim yang bermukim di negara Barat berperilaku dan ia tidak mustahil direalisasikan sungguhpun imej Islam sering dicalar dengan pelbagai kecaman dan tohmahan yang negatif.
menjelaskan Islam
"Saya rasa Muslim di Barat memiliki tanggungjawab untuk menjelaskan Islam pada kalangan Barat. Saya melihat Islam mempunyai keupayaan memberikan yang terbaik. Syaratnya, mereka harus terlebih dahulu melihat Islam sebagai sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada masalah yang harus dijauhi.
"Islamophobia dan anggapan Islam agama keganasan adalah satu fenomena yang sedang menular di dalam masyarakat Barat, tetapi kita sedang mencari jalan untuk membetulkannya. Menerusi emel yang menampilkan gaya hidup Islam merangkumi fesyen, hiasan dalaman, kewangan, keusahawanan, kesihatan, makanan hingga kisah kemasyarakatan, hobi dan penemuan ilmuwan Islam di masa lampau, diharap Islam lebih difahami.
"Kami ingin tampilkan sesuatu yang lain. Hal-hal normal yang berlaku dalam Islam, yang tak banyak diketengahkan, cuba ditonjolkan. Ia supaya bukan Islam jelas bagaimana agama Islam itu sebagai satu cara hidup. Kami menawarkan jendela masuk ke komuniti Islam, jauh daripada sekadar ungkapan-ungkapan berbau klise," kata Sarah yang pernah mendapat undangan mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Pun begitu, Sarah menyimpan sedikit kerisauan apabila melihat kerakusan beberapa media yang sewenang-wenangnya menokok-tambah berita-berita tentang Islam.
"Jika orang ramai dimomokkan dengan kisah-kisah tidak benar tentang Islam, lambat laun ia akan memburukkan lagi imej Islam yang sudah sedia dilabel negatif, sekali gus menimbulkan ketakutan bukan Islam untuk mengenali Islam. Maka ini tidak sihat bagi masyarakat kami," kata beliau.
Akui Sarah lagi, perilaku segelintir Muslim yang tidak Islamik, juga tidak membantu merubah imej Islam di Barat. Satu keji selidik yang dibuat pada 2002, mendapati 70 peratus masyarakat Britain tidak mengetahui apa-apa, bahkan tidak peduli sama sekali apa itu Islam. Mereka fahami Islam hanya berdasarkan informasi daripada media sahaja. Sayangnya, media pula tidak menunjukkan Islam atau memberi gambaran Islam yang sebenar.
Oleh itu, saran Sarah, adalah terletak di bahu setiap Muslim di Britain untuk bersikap proaktif dalam mempamerkan perkara-perkara positif dalam Islam. Malah beliau berkeyakinan padu bahawa Allah SWT telah menciptakan dunia ini, jadi, di Barat juga adalah sesuai untuk seorang Muslim mempraktikkan kepercayaannya.

Peninju Afrika peluk Islam di Pakistan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0107&pub=utusan_malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm&arc=hive

Peninju Afrika peluk Islam di Pakistan


PARA peninju dari Afrika bersama mengaminkan doa selepas majlis pengislaman mereka di Karachi, Pakistan, semalam. – AP


KARACHI 6 Jan. - Sembilan peninju Afrika memeluk Islam ketika satu kejohanan tinju antarabangsa diadakan di Pakistan semalam dengan berkata, mereka tertarik dengan ajaran kemanusiaan dan kesucian agama itu.

Peninju-peninju tersebut terbang ke Karachi bagi menyertai kejohanan itu yang dinamakan sempena bekas Perdana Menteri Pakistan yang mati dibunuh, Benazir Bhutto dan pertandingan itu berjaya menarik peserta dari 20 negara di seluruh dunia.
Ia merupakan satu kejohanan yang penting bagi Pakistan, yang dianjurkan 10 bulan selepas satu serangan terhadap pasukan kriket Sri Lanka di timur bandar Lahore, yang mengorbankan lapan orang, sekali gus menamatkan harapan negara itu untuk menganjurkan sukan antarabangsa.

Enam peninju daripada Republik Tengah Afrika (CAR) - Yagor Gbodo, Selebange Welcome, Niamogui Songnekani, NGoko Bongui, Ndarash dan Bongola - semuanya memilih untuk memeluk Islam sempena kejohanan itu berlangsung sehingga Jumaat ini.
Mereka disertai Mendoua Blase, Ketchemi Joseph Justin dan Tchwem Justin yang turut sama menganut Islam daripada agama Kristian.
Jurulatih CAR, Mohammad Kalambaye berkata, peninju-peninjunya tertarik dengan ajaran Islam dan layanan baik yang diberi Pakistan.

"Semua peninju kami memeluk Islam dengan hati yang ikhlas tanpa sebarang paksaan. Saya adalah seorang Islam sejak lahir dan saya tahu tiada masalah untuk peninju-peninju apabila pulang ke rumah nanti,'' katanya.
Kesemua peninju itu memeluk Islam dalam satu majlis yang disaksikan Mufti Naeem dari Institut Jamia Binnoria di sebuah hotel tempatan.

Naeem menyifatkan majlis itu sebagai satu 'peristiwa bersejarah'.
"Ini adalah peristiwa bersejarah. Saya telah pergi ke merata dunia namun tidak pernah melihat begitu ramai orang memeluk Islam pada satu-satu masa. Ini membuktikan Islam adalah satu agama contoh dan menekankan ajaran kemanusiaan,'' katanya. - AFP

Peguam Jacko peluk Islam

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0225&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

Peguam Jacko peluk Islam


Mark Shaffer berjubah dan berkopiah serba putih bangga menunjukkan sijil pengesahan Islamnya.


PADA 17 Oktober tahun lalu, peguam terkenal Amerika Syarikat (AS) yang bertaraf jutawan, Mark Shaffer secara rasmi memeluk Islam di Arab Saudi.
Beliau yang mengendalikan pelbagai kes perundangan sivil, memeluk Islam ketika bercuti 10 hari di negara itu untuk melawat bandar terkenal seperti Riyadh, Abha dan Jeddah.
Di AS, beliau seorang yang sangat dikenali lebih-lebih lagi Shaffer ialah peguam yang mengendalikan kes raja pop Michael Jackson, iaitu seminggu sebelum superstar itu meninggal dunia pada 25 Jun 2009.
Sebagaimana yang diceritakan oleh pemandu pelancong, Dhawi Ben Nashir yang mengiringi Shaffer sepanjang percutian di Arab Saudi itu, peguam itu memeluk Islam dengan penuh kerelaan.
"Sejak hari pertama Shaffer menjejakkan kakinya di Tanah Arab, beliau bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam terutamanya mengenai solat.
"Selepas bercuti selama dua hari di Riyadh, sebuah bandar yang agak moden, kami kemudiannya bertolak ke Bandar Najran untuk melawat dua kawasan iaitu Abha dan Al-Ula.
"Di situ, minat beliau terhadap Islam semakin bercambah lebih-lebih lagi apabila berada di padang pasir yang gersang dan tandus. Namun semua ini memberikan pelbagai kesan tersendiri kepada jiwa Shaffer," katanya.
Shaffer dikatakan begitu tertarik melihat gelagat tiga pemuda yang turut mengikuti rombongan itu mendirikan sembahyang di tengah-tengah padang pasir yang luas.
Suasana itu memberikan satu pemandangan yang cukup indah kepada peguam tersebut.
Selepas itu mereka ke Al Juf dan sejurus tiba di sana, Shaffer meminta Dhawi mendapatkan beberapa buah buku mengenai Islam.
Sehari suntuk Shaffer menghabiskan masa dengan hanya membaca buku-buku tersebut.
"Keesokan pagi, Shaffer terus meminta saya supaya mengajarnya bagaimana melakukan solat. Tanpa banyak masalah saya pun menerangkan cara-cara untuk mendirikan solat termasuk mengambil air sembahyang," kata Dhawi.
Tanpa disangka, Shaffer kemudiannya berdiri di sebelah Dhawi dan mereka bersama-sama mendirikan solat.
Selepas bersolat dan berdoa, Shaffer berterus terang kepada Dhawi mengenai jiwanya yang kini dirasakan cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak beliau pernah rasakan sebelum ini.
Ketika itu peguam berkenaan hanya ingin merasa sendiri kesan solat terhadap dirinya walaupun masih belum memeluk Islam secara rasmi.
Pada petang Khamis itu mereka meneruskan perjalanan ke bandar Jeddah. Sepanjang perjalanan itu Shaffer tidak putus-putus membaca buku mengenai Islam.
Apabila tiba dan menginap di sebuah hotel di Jeddah, Dhawi meminta kebenaran Shaffer untuk keluar mengerjakan solat Jumaat.
"Bolehkah saya pergi bersama-sama awak? Nanti, bolehlah saya melihat sendiri bagaimana yang dikatakan solat Jumaat itu," kata Shaffer.
"Silakan, tidak ada masalah, marilah," ajak Dhawi.
Setibanya mereka di sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan, Shaffer dan Dhawi terpaksa solat di luar masjid. Mungkin kerana mereka tiba agak lewat, para jemaah telah melimpah ke luar masjid.
Menurut Dhawi, beliau melihat sendiri bagaimana Shaffer begitu asyik menyaksikan gelagat umat Islam mengerjakan solat terutama sebaik sahaja masing-masing selesai mengerjakan solat itu.
Para jemaah tanpa mengira latar belakang, miskin kaya dan sebagainya mereka semuanya saling bersalaman dan berpeluk dengan wajah yang ceria dan gembira.
Unik dan indah
Shaffer mengakui beliau begitu mengagumi pemandangan yang disifatkan begitu unik dan indah itu.
Sebaik sahaja tiba di hotel, tanpa ragu-ragu lagi Shaffer memberitahu Dhawi keinginannya memeluk Islam secara rasmi.
Dhawi tidak terkejut malah meminta supaya Shaffer membersihkan diri, iaitu mandi sunat dan kemudiannya beliau membimbing peguam itu melafazkan dua kalimah syahadah.
Maka rasmilah jutawan AS itu memeluk Islam setelah mengamati dan tertarik dengan suasana serta bagaimana agama itu begitu kuat diamalkan di Arab Saudi.
Seusai memeluk Islam itu, Shaffer menyatakan hasratnya untuk mengunjungi dan beribadat di Masjidil Haram di Mekah, sebelum mengakhiri percutiannya di Arab Saudi.
Bagi memenuhi hasrat Shaffer itu, Dhawi membawanya ke pejabat Dakwah dan Irshad di Al Hamro Jeddah bagi mendapatkan pengesahan mengenai pengislaman peguam itu.
Shaffer kemudiannya mendapat sijil sebagai dokumen rasmi yang membenarkan Shaffer untuk memasuki kota Mekah dan beribadat di Masjidil Haram.
Beliau kemudiannya diiringi Muhammad Turkistani yang bermurah hati membawa Shaffer masuk ke Tanah Suci Mekah dan bersama-sama beribadat di situ.
Sebaik sahaja Shaffer dapat memasuki Masjidil Haram di mana tersergam di hadapannya kini kaabah yang menjadi kiblat dan tumpuan ibadah umat Islam wajah Shaffer begitu gembira dan berseri-seri.
"Tidak dapat dibayangkan betapa gembira malah begitu terharu kerana sukar mempercayai bahawa Kaabah kini berada di hadapan mata," kata Shaffer kepada Dhawi.
Syukur atas nikmat Allah
Mulutnya tidak henti-henti mengucapkan syukur atas nikmat Allah kerana dapat berada di hadapan kaabah lebih-lebih lagi dalam tempoh 24 jam baru memeluk Islam.
Beliau kemudiannya mengerjakan tawaf mengelilingi kaabah yang diakhiri dengan solat sunat dan doa yang panjang.
Apabila tiba masanya untuk mereka meninggalkan Masjidil Haram, dapat dilihat betapa Shaffer seperti enggan berpisah malah suasana bertukar menjadi sangat sayu.
Baru sampai sudah hendak berpisah, hati mana yang tidak sedih!
Dalam satu temuramah dengan akhbar Al Riyadh, Shaffer tidak dapat menghuraikan perasaannya kini setelah rasmi memeluk Islam tanpa paksaan mana-mana pihak.
"Tetapi apa yang jelas, dapat dirasakan saya seperti dilahirkan semula dan kehidupan seolah-olah baru sahaja bermula.
"Di samping begitu gembira iaitu kegembiraan yang sukar saya terjemahkan melalui kata-kata apabila diizinkan Allah tidak sahaja dapat mengecap nikmat iman tetapi yang lebih bertuah lagi saya dapat beribadat di hadapan kaabah.
"Ini menjadikan diri saya sangat mendekati Islam dan tidak mahu berjauhan dari kaabah yang suci itu," katanya.
Namun beliau menyedari bahawa dia masih begitu dangkal mengenai Islam.
"Maka menjadi satu tanggungjawab selepas ini untuk saya terus mengkaji dan mendalami agama Allah ini dan yang pasti kembali ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dan haji," ujarnya dengan penuh azam.
Sebelum ini menurut Shaffer, beliau telah menerima pelbagai maklumat mengenai Islam namun semua itu agak terhad.
"Sehinggalah saya melawat Arab Saudi dan secara peribadi menyaksikan mengenai Islam di sana, melihat sendiri bagaimana mereka mendirikan solat semua itu menyebabkan keinginan saya untuk mengenali Islam semakin kuat.
"Ditambah apabila saya banyak membaca mengenai Islam semua itu membuatkan saya semakin yakin bahawa Islam adalah agama yang benar," katanya.

Masjid bawa Lucy peluk Islam

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Masjid bawa Lucy peluk Islam



Lucy Bushill Matthews kini tenang meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim.



HATINYA begitu tertarik kepada Islam apabila penganutnya kelihatan begitu santun dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Tetapi apabila dirinya memeluk Islam atau lebih tepat menjadi mualaf di sebuah negara majoritinya bukan Islam tentunya menjadi satu kehidupan yang sangat sukar untuk dilalui. Segala-galanya memerlukan kesabaran yang lebih.
Kerana itu jika tidak kuat menghadapinya maka Islam itu akhirnya menerima cemuhan pelbagai pihak. Sebaliknya, jika segalanya berjaya dilalui dengan ketabahan dan kesabaran dengan sendirinya cahaya Islam akan senantiasa menyinari disetiap sanubari.
Inilah situasinya yang dilalui oleh seorang wanita Inggeris, Lucy Bushill Matthews sejak memeluk Islam 16 tahun lalu.
Dalam buku Welcome To Islam, ibu kepada tiga anak itu mengisahkan liku-liku perjalanan hidupnya untuk menemui Islam.
Segala-galanya bermula pada usia 16 tahun, apabila orang tua Lucy mula menghantarnya ke sebuah sekolah berasrama, yang para pelajarnya terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Saat itu juga Lucy berkenalan dengan seorang pemuda, Julian, seorang Muslim berdarah campuran Inggeris dan Iran.
Jika dilihat dari aspek fizikalnya, Julian mungkin tidak ada bezanya dengan pemuda-pemuda Inggeris yang lainnya.
Namun Lucy mendapati Julian ternyata berbeza, yang membuatkan hati perempuannya benar-benar tertarik.
Lebih-lebih lagi Julian tidak pernah mengambil minuman beralkohol bahkan segelas air anggur pun tidak diteguknya.
Kebiasaan Julian itu tentu sahaja sangat berbeza dengan begitu aneh sebenarnya berbanding remaja-remaja lain yang kebiasaannya akan menghabiskan masa terluang dengan minum arak sehingga mabuk.
Lucy menganggap Julian seorang yang tidak wajar apabila tidak pernah minum arak namun Lucy ingin mengetahui dari mulut Julian mengapa, sikapnya itu cukup berbeza.
Lantas Lucy segera menemui Julian bagi mendapatkan jawapan.
Lalu Julian menerangkan kepada Lucy akan pegangan agama Islamnya yang tidak memungkinkan seluruh penganut agama itu menyentuh arak atas segala macam sebab dan musabab.
Ini termasuk kesan buruknya yang menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarasan akal dan tindak tanduknya.
"Apabila sudah tidak waras, Lucy pasti tahu apakah perlakuan-perlakuan buruk yang timbul menyebabkan hidup tidak lagi aman dan harmoni," kata Julian.
Islam? Inilah kata kunci kepada Lucy yang membawanya untuk terus mengenali Islam yang selama ini beliau menganggap Islam adalah agama yang biasa, sama seperti agama-agama yang lain yang wujud di dunia ini.
Lalu Lucy menghabiskan banyak masa lapangnya membaca apa sahaja mengenai Islam. Sehinggalah pada suatu Lucy tertarik dan berani untuk menjejakkan kakinya ke sebuah masjid berdekatan Regent's Park London.
Lucy dibawa melawat ke seluruh masjid tersebut dan di akhir kunjungan, beliau diberikan sebuah buku What Everyone Should Know About Islam and Muslim.
Menurut Lucy, buku itu mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam yang selama ini begitu berkecamuk dalam hati dan fikirannya.
"Yang membuatkan saya benar-benar tertarik sebelum saya meninggalkan masjid itu apabila saya melihatkan ruang atau tempat berdoa (dewan sembahyang) dalam masjid itu.
"Tidak ada sebarang perabot. Kecuali yang ada hanyalah hamparan permaidani dari tembok ke tembok dan beberapa orang sedang membaca doa sambil menadahkan tangan dalam keadaan yang begitu tenang dan sunyi.
"Saya melihat mereka memberi tumpuan dan begitu mengharap memanjatkan doa," kata Lucy.
Ini membawakan Lucy menyertai kumpulan mahasiswa-mahasiswa Muslim ketika beliau mula melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge walaupun beliau belum lagi memeluk Islam ketika itu.
Ini semata-mata untuk memantapkan lagi minatnya terhadap Islam.
Apabila bercakap mengenai ibadat dalam Islam, Lucy mengakui bahawa kesemua jenis ibadat agama itu dapat diterima dek akal.
"Ikrar keimanan (lafaz kalimah syahadah) harus diucapkan berulang kali, solat lima waktu, berpuasa sebulan sekali dalam setahun, menyumbangkan harta (zakat) dan beribadat di Mekah sekali seumur hidup.
"Namun yang menariknya, umat Islam boleh beribadat lebih dari semua itu, terutamanya adanya amalan-amalan ibadat yang sunat tanpa mengurangi yang wajib atau ibadat yang pokok itu," katanya.
Akhirnya pada November 1991, secara rasmi Lucy meninggalkan Kristian untuk menganut Islam yang telah dipercayai, dipelajari dan tentu sekali dengan seribu satu hidayah dari Allah yang membuka hati sepenuhnya kepada Islam.
Berita pengislaman Lucy itu diterima dengan pelbagai reaksi oleh warga kampus namun yang penting, keluarganya menerima perubahan yang dialami oleh Lucy itu.
Kecuali si ibu yang begitu terkejut tetapi perlahan-lahan mampu menerima apabila si anak tidak mengurangkan sedikitpun kasih sayang dan perhatian terhadap dirinya.
Sementara bapa Lucy menganggap puterinya itu sedang mengalami fasa-fasa baru dalam kehidupan dan kakaknya sendiri, iaitu Julie memberikan sokongan dan bersikap positif terhadap keputusan Lucy untuk menjadi Muslim.
Apa pun cabaran selepas memeluk Islam, Lucy mampu hadapi dengan tabah kerana beliau telah melewati cabaran yang lebih getir yang lazimnya sering dialami oleh saudara-saudara baru yang lain, iaitu tentangan pihak keluarga.
Malah mungkin lebih sukar sekarang bagi Lucy untuk mendapatkan makanan yang halal, ruang untuk beribadat dan sehinggalah membalas pandangan bukan Islam yang cukup hairan melihat seorang wanita Inggeris yang menutup aurat dan memakai tudung.
Begitu pun kerana kuatnya kepercayaan Lucy bahawa Tuhan itu ada, lalu sering menyandarkan bahawa Allah sentiasa berada di sisinya dan pasti akan membantu mana-mana hamba-Nya yang memerlukan bantuan.
"Semakin kuat saya mempercayai kewujudan tuhan, semakin kuat saya merasakan bahawa Allah ada di sisi saya lebih-lebih lagi Allah pasti tahu bahawa saya kini merupakan golongan yang minoriti dalam masyarakat saya sendiri sedangkan dahulunya saya adalah majoriti," ujarnya.