Sunday 31 January 2010

Dialog Ibn Athaillah dan Ibn Taymiyah

http://jalansufi.com/laman-utama/178-dialog-ibn-athaillah-dan-ibn-taymiyah-malay

Dialog Ibn Athaillah dan Ibn Taymiyah (Malay) PDF

 

Asy-Syeikh Ibn Athaillah merupakan seorang ahli sufi, ahli hadith, ahli fiqh Mazhab Maliki dan seorang khalifah Tariqat Syazilliyah. Antara karyanya yang termasyhur ialah kitab Hikam.

Satu ketika Syeikh Ibn Taymiah telah diampunkan sultan lalu dibebaskan. Sebaik sahaja dibebaskan, beliau dari Iskandariah terus kembali ke Kaherah lalu solat Maghrib di Masjid Al Azhar.



Kebetulan yang mengimamkan solat ialah Syeikh Ibn Athaillah. Nampaknya Ibn Taimiah tidak ada masalah untuk berimamkan seorang ahli sufi. Kalau benarlah Ibn Taimiyah membid’ahkan pegangan dan fahaman tariqat, mengapa mudah saja beliau menjadi makmum kepada Ibn Athaillah?

Selesai solat Ibn Athaillah terpandang Ibn Taymiyah di belakangnya lalu menegurnya. Merekapun bersembang bertukar-tukar fikiran. Berikut adalah antara dialog mereka:



IBN ATHAILLAH:

Biasanya aku solat di masjid Imam Hussein dan solat Isya’ di sini, tapi lihatlah bagaimana ketentuan Allah berlaku. Allah mentakdirkan akulah orang pertama yang menyambut engkau (selepas dibebaskan dari penjara dan datang ke mari). Ceritakanlah kepadaku wahai faqih, apakah engkau menyalahkan aku atas apa yang telah terjadi?



IBN TAYMIYAH:

Aku tahu, engkau tidak berniat buruk terhadapku, tapi perbezaan pandangan antara kita tetap ada. Mulai hari ini, dalam masalah apapun aku tidak mempersalahkan dan membebaskan daripada kesalahan, sesiapapun yang melakukan keburukan terhadapku.

(Ini menunjukkan betapa tingginya budi Ibn Taymiyah)



IBN ATHAILLAH:

Apa yang engkau tahu tentang aku wahai Syeikh Ibn Taymiyah?



IBN TAYMIYAH:

Aku tahu engkau adalah seorang yang soleh, berpengetahuan luas, dan sentiasa berkata yang benar dan tulus. Aku bersumpah tidak ada orang selain engkau, baik di Mesir mahupun di Syria yang lebih mencintai Allah ataupun mampu meniadakan diri di (hadapan) Allah atau lebih patuh atas perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Namun kita tetap mempunyai pandangan yang berbeza.

(Walaupun mereka berbeza pandangan dalam aspek-aspek tertentu, namun Ibn Taymiyah sangat menghormati Ibn Athaillah bahkan mengakui kredibilitinya. Keadaan ini jauh berbeza dengan fahaman dan perilaku sebahagian orang hari ini yang mendakwa peminat Ibn Taymiyah. Semua tulisan dalam kurungan adalah penjelasan Alexanderwathern)

Apa yang engkau tahu tentang aku?

Apakah engkau atau aku sesat- dalam menolak kebenaran meminta bantuan seseorang untuk memohon pertolongan Allah (dalam kes istighatsah)?



IBN ATHAILLAH:

Tentu saja sahabatku engkau tahu bahawa istighatsah atau memohon pertolongan sama dengan tawasul atau mengambil wasilah (pengantara) dan meminta syafaat, dan sesungguhnya Rasulullah saw adalah seorang yang kita harapkan bantuannya kerana bagindalah pengantara kita dan syafaatnyalah yang kita harapkan.



IBN TAYMIYAH:

Dalam hal ini aku berpegang kepada sunnah Rasul yang ditetapkan dalam syariat.

Dalam hadith yang berbunyi: “Aku telah dianugerahkan kekuatan syafaat.” Dalam ayat al Quran juga dinyatakan: "Mudah-mudahan Allah akan menaikkan kamu (wahai Nabi) ke tempat yang terpuji.” (Q.S Al Isra : 79).

Yang dimaksud dengan tempat terpuji adalah syafaat. Lebih jauh lagi, saat ibu kepada Khalifah Ali ra meninggal dunia, Rasulullah berdoa kepada Allah di kuburnya:

"Ya Allah Yang Maha Hidup dan Tak Pernah Mati, Yang Menghidupkan dan Mematikan, ampuni dosa-dosa ibuku (ibu saudaraku) Fatimah binti Asad, lapangkanlah kubur yang akan dimasukinya dengan syafaatku, utusanMu, dan para nabi sebelumku. Karena Engkaulah Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun".



Inilah syafaat yang dimiliki Rasulullah saw.

Sementara mencari pertolongan daripada selain Allah, merupakan suatu bentuk kemusyrikan. Rasulullah saw sendiri melarang sepupunya, Abdullah bin Abbas, memohon pertolongan daripada selain Allah.



IBN ATHAILLAH:

Semoga Allah mengurniakan engkau kejayaan, wahai faqih! Maksud daripada teguran Rasulullah saw kepada sepupunya Ibn Abbas, adalah agar dia (Ibn Abbas) mendekatkan diri kepada Allah bukan (dengan jalan) melalui kekerabatannya dengan rasul melainkan dengan ilmu pengetahuan.

(Sangat jelas maksud teguran Rasulullah kepada Ibn Abbas tersebut. Nyatalah selama ini Ibn Taimiyah tersalah faham)





Sedangkan mengenai pemahaman engkau tentang istighasah sebagai mencari bantuan kepada selain Allah- yang termasuk perbuatan musyrik, aku ingin bertanya kepada engkau:





Adakah muslim yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya yang berpendapat -ada selain Allah yang memiliki kekuasaaan atas segala kejadian dan mampu menjalankan apa yang telah ditetapkan-Nya berkenaan dengan dirinya sendiri?

(Jawapannya… tentulah tidak ada. Apa yang berlaku semuanya dengan kekuasaan Allah. Allah berkuasa, makhluk langsung tak ada apa-apa).





Adakah mukmin sejati yang meyakini, ada yang dapat memberikan pahala atas kebaikan dan menghukum atas perbuatan buruk, selain daripada Allah?

(Jawapannya, tidak ada juga)





Di samping itu, seharusnya kita sedar bahawa ada berbagai ekspresi yang tak dapat dimaknai sebatas harfiah belaka. Ini bukan saja dikhuatirkan akan membawa kepada kemusyrikan, tapi juga untuk mencegah kemusyrikan.

Sebab, siapapun yang meminta pertolongan Rasul bererti mengharapkan anugerah syafaat yang dimiliknya daripada Allah, sebagaimana jika engkau mengatakan: "Makanan ini memuaskan seleraku".

Apakah itu bermaksud makanan itu sendiri yang memuaskan selera engkau? Ataupun Allahlah yang memberikan kepuasan melalui makanan?





(Meminta bantuan kepada seseorang itu tidak semestinya bermaksud kita menduakan Allah, tidak semestinya menjadikan kita syirik. Samalah seperti seorang suami berkata kepada isterinya, “Sayang, tolong gorengkan ayam untuk abang.” Adakah ini bermaksud isterinya yang berkuasa mutlak menjadikan ayam itu digoreng? Tentu tidak. Yang berkuasa mutlak hanyalah Allah, si isteri sebagai pengantara sahaja, sebagai tukang proses sahaja)



Sedangkan kenyataan engkau bahawa Allah melarang orang Islam untuk mendatangi seseorang selain daripada Diri-Nya untuk mendapat pertolongan, pernahkah anda melihat seorang muslim memohon pertolongan kepada selain Allah?





Ayat Al Quran yang engkau rujuk (sebenarnya) berkenaan dengan kaum musyrikin, dan mereka yang memohon kepada dewa, dan berpaling daripada Allah (tidak ada kena –mengena pun dengan kes tersebut). Sedangkan satu-satunya jalan bagi kaum muslim yang meminta pertolongan rasul adalah dalam rangka bertawasul atau mengambil pengantara, atas keutamaan (hak) rasul yang diterimanya daripada Allah (bihaqqihi inda Allah) dan tashaffu atau memohon bantuan dengan syafaat yang telah Allah anugerahkan kepada rasul-Nya.



Sementara itu, jika engkau berpendapat bahawa istighasah atau memohon pertolongan itu dilarang syariat kerana mengarah kepada kemusyrikan, maka kita seharusnya mengharamkan anggur kerana dapat dijadikan (mengarah kepada terhasilnya) minuman keras, dan mengembiri lelaki yang tidak menikah untuk mencegah zina (kerana ia mengarah kepada terhasilnya zina).



*Kedua-dua syeikh tertawa atas ulasan terakhir ini.



Aku kenal betul dengan segala inklusifitas dan gambaran mengenai sekolah fiqh yang didirikan oleh syeikh engkau, Imam Ahmad (pengasas Mazhab Hanbali), dan aku tahu betapa luasnya teori fiqih serta mendalamnya "prinsip-prinsip agar terhindar daripada godaan syaitan" yang engkau miliki, sebagaimana juga tanggung jawab moral yang engkau pikul selaku seorang ahli fiqh.



Namun aku juga menyedari bahawa engkau dituntut menyelidik di sebalik kata-kata untuk menemukan makna yang seringkali terselubung di sebalik kondisi harfiahnya.





Bagi sufi, makna laksana ruh, sementara kata-kata adalah jasadnya. Engkau kena menembus ke dalam jasad fizik ini untuk meraih hakikat yang mendalam. Kini engkau telah memperoleh dasar bagi pernyataan engkau terhadap karya Ibn Arabi (seorang tokoh sufi besar yang sering dikaitkan oleh musuh-musuhnya, dan orang-orang jahil di kemudian hari dengan Wahdatul Wujud, padahal beliau sendiri tidak pernah menyebut istilah tersebut), Fususul Hikam. Naskhah tersebut telah disabotaj oleh musuhnya, bukan saja dengan kata-kata yang tak pernah diucapkannya, juga kenyatan-kenyataan yang tidak (pernah) dimaksudkannya. (Lebih malang lagi, banyak pula orang-orang jahil hari ini yang mempercayai segala sabotaj musuh-musuh Ibn Arabi tersebut secara taqlid buta)



Ketika Syeikhul Islam Al Izz ibn Abdul Salam memahami apa yang sebenarnya yang diucapkan dan dianalisis oleh Ibn Arabi, menangkap dan mengerti makna sebenarnya di sebalik ungkapan simboliknya, dia segera memohon ampun kepada Allah swt atas pendapatnya sebelum itu dan meletakkan Muhyiddin Ibn Arabi sebagai Imam Islam.

(Sebelum itu Izz Abdul juga bersikap seperti Ibn Taymiyah, menentang Ibn Arabi dan karyanya. Biasalah, kebanyakan manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu, apa yang dia belum tahu kerana tidak cukup maklumat, atau tersalah faham, atau memang jahil, atau berlagak pandai, atau taqlid buta dengan buku atau tokoh yang diminatinya, atau ingin menjadi hero segera, atau disalahfahamkan oleh orang lain dan sebagainya. Jelas dalam hal ini Ibn Taymiyah tidak membuat kajian mendalam terlebih dahulu sebelum mengeluarkan fatwa/ pendapatnya tentang Ibn Arabi serta karya-karyanya)



Sedangkan mengenai kenyataan al Syazili yang menjatuhkan (kredibiliti) Ibn Arabi, engkau kena tahu, ucapan tersebut tidak keluar daripada mulutnya melainkan daripada salah seorang murid Syadziliyah.

Lebih jauh lagi, kenyataan itu dikeluarkan ketika para murid membicarakan (perilaku) sebahagian (daripada) pengikut Syadziliyah.

Dengan itu, kenyataan itu diambil dalam konteks yang tak pernah dimaksudkan oleh sang pembicaranya sendiri.

(Sebelum itu Ibn Taimiyah mengukuhkan penolakannya terhadap Ibn Arabi melalui kenyataan yang kononnya dibuat oleh Imam asy Syazili. Rupa-rupanya Ibn Taymiyah menerima maklumat yang salah. Beberapa kali Ibn Taimiyah membuat keputusan tanpa kajian yang mendalam dalam banyak hal. Kelemahannya inilah antara penyebab dia dipenjarakan)





"Apa pendapat engkau mengenai khalifah Saidina Ali bin Abi Talib?"



IBN TAYMIYAH:

Dalam salah satu hadithnya, Rasulullah saw bersabda:

"Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya".

Sayyidina Ali adalah merupakan seorang mujahid yang tak pernah keluar dari pertempuran kecuali dengan membawa kemenangan. Siapa lagi ulama atau fuqaha sesudahnya yang mampu berjuang demi Allah menggunakan lidah, pena dan pedang sekaligus? (Tapi Ibn Taymiyah sendiri seorang tokoh yang berjuang melalui lidah, pena dan pedang sekaligus). Dialah sahabat rasul yang paling sempurna-semoga Allah membalas kebaikannya. Ucapannya bagaikan cahaya lampu yang menerangi sepanjang hidupku selepas al Quran dan sunnah. Duhai! Seseorang yang meski sedikit perbekalannya namun panjang perjuangannya.



IBN ATHAILLAH:

Sekarang, apakah Imam Ali ra meminta agar orang-orang berpihak padanya dalam suatu paksi?

Sementara paksi ini mendakwa bahawa malaikat Jibril melakukan kesalahan dengan menyampaikan wahyu kepada Muhammad saw, bukannya kepada Ali!

Atau pernahkah dia ( Ali) meminta mereka untuk menyatakan bahawa Allah menitis ke dalam tubuhnya dan sang imam menjadi Tuhan?

Ataupun dia tidak menentang dan membanteras mereka dengan memberikan fatwa (ketentuan hukum) bahawa mereka harus dibunuh di manapun mereka ditemui?

(Ini bicara tentang kelompok Syiah yang ekstrem)



IBN TAYMIYAH:

Berdasarkan fatwa inilah saya memerangi mereka di pegunungan Syria selama lebih daripada 10 tahun. (Melalui jawapan ini jelas Ibn Taymiyah bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Ibn Athaillah).



IBN ATHAILLAH:

Dan Imam Ahmad- semoga Allah meredhainya-mempersoalkan perbuatan sebahagian pengikutnya yang berpatroli, memecahkan tong-tong anggur (di kedai-kedai menjual arak), menumpahkan isinya ke lantai, memukul gadis para penyanyi, dan menyerang masyarakat di jalan.

Meskipun sang Imam tidak memberikan fatwa bahawa mereka harus mengecam dan mengherdik orang-orang tersebut. Konsekuensinya para pengikutnya ini dicambuk, dilempar ke penjara dan diarak di punggung keldai dengan menghadap ekornya (duduk secara terbalik).

Apakah Imam Ahmad bertanggung jawab atas perbuatan buruk yang kini kembali dilakukan pengikut Hanbali, dengan alasan melarang benda atau hal-hal yang diharamkan?





(Kesalahan pengikut tidak semestinya dipertanggungjawabkan kepada pemimpin. Ini kerana ada pengikut yang berfahaman dan bertindak di luar daripada fahaman dan tindakan pemimpin.

Apabila kita menegur kesalahan para Syiah yang ekstrem ini, mereka membalas dengan mendakwa kita menentang Saidina Ali dan ahlul bait.

Apabila kita menegur kesalahan tariqat-tariqat sufi yang sesat, mereka membalas dengan mendakwa kita menentang Al Ghazali dan Ibn Arabi.

Apabila kita menegur kesalahan para Salafi yang ekstrem hari ini iaitu kaum Wahabi, mereka membalas dengan mendakwa kita menentang Ibn Taymiyah dan menolak kitab Tauhid Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Begitulah antara kaedah psikologi puak-puak yang rosak ini untuk menegakkan benang basah dan meneruskan hidupnya fahaman mereka)



Dengan itu, Syeikh Muhyidin Ibn Arabi tidak bersalah atas pelanggaran yang dilakukan oleh para pengikutnya yang melepaskan diri daripada ketentuan hukum dan moral yang telah ditetapkan agama serta melakukan pebuatan yang dilarang agama.

Apakah anda tidak memahami hal ini?



IBN TAYMIYAH:

(Ibn Taimiyah tidak menjawab soalan tersebut kerana apa yang diperkatakan oleh Ibn Athaillah memang benar, dan Ibn Taymiyah memahaminya)

Tapi bagaimana pendirian mereka di hadapan Allah? Di antara kalian para sufi, ada yang menegaskan bahawa ketika Rasulullah saw memberitakan khabar gembira pada kaum miskin bahwa mereka akan masuk syurga sebelum kaum kaya, selanjutnya kaum miskin tersebut tenggelam dalam ledakan kegembiraan dan mulai merobek-robek jubah mereka; saat itu malaikat Jibril turun dari syurga dan mewahyukan kepada rasul bahawa Allah akan memilih di antara jubah-jubah yang robek itu; selanjutnya malaikat Jibril mengangkat satu daripada jubah dan menggantungkannya di singgahsana Allah. Berdasarkan ini, kaum sufi mengenakan jubah kasar dan menyebut dirinya fuqara atau kaum "faqir".



IBN ATHAILLAH:

Tidak semua sufi memakai jubah dan pakaian kasar. Lihatlah apa yang aku pakai (sekarang), apakah engkau tidak bersetuju dengan penampilanku? (Ketika itu Ibn Athaillah memakai pakaian yang cantik. Ini menolak dakwaan bahawa semua ahli sufi berpakaian buruk dan selekeh pada setiap masa)



IBN TAYMIYAH:

Tapi engkau adalah ulama syariat dan mengajar di Al Ahzar.



IBN ATHAILLAH:

Al Ghazali adalah seorang imam syariat mahupun tasawuf. Dia mengamalkan fiqh, sunnah, dan syariat dengan semangat seorang sufi. Dan dengan cara ini, dia mampu menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama. Kita tahu bahawa dalam tasawuf, noda tidak memiliki tempat dalam agama dan bahawa kesucian merupakan ciri daripada kebenaran. Sufi yang tulus dan sejati kena menyuburkan hatinya dengan kebenaran yang ditanamkan ahli sunnah.



Dua abad yang lalu muncul fenomena sufi palsu yang engkau sendiri telah mengecam dan menolaknya, di mana sebahagian orang mengurangi kewajiban beribadah dan peraturan keagamaan, melonggarkan berpuasa dan melecehkan pengamalan solat wajib lima kali sehari. Ditunggangi kemalasan dan ketidakpedulian, mereka mendakwa telah bebas daripada belenggu kewajiban beribadah. Begitu dahsyatnya tindakan mereka hinggakan Imam Qusyairi sendiri mengeluarkan kecaman dalam bukunya ar Risalah ( Risalah al- Qusyairiyah ).





(Para sufi palsu inilah yang sepatutnya ditentang oleh Ibn Taymiyah, dan memang beliau ada usaha ke arah itu. Tapi yang menjadi masalahnya ialah Ibn Taymiyah sendiri tidak ada “basic” yang kukuh dalam tasauf kesufian menyebabkan beliau kadang-kadang termenentang dunia sufi yang benar. Niatnya baik, tetapi ilmunya tidak memadai.

Contohnya seorang pemilik kebun mengupah seorang budak memetik buah rambutan di kebunnya dengan pesanan, “Jangan kait buah yang masih hijau.” Tapi budak ini memetik semua buah yang tidak berwarna hijau termasuklah yang baru ada kekuningan sikit-sikit. Rugilah tuan kebun kerana buah yang kuning sikit-sikit itu sepatutnya ditunggu kemarah-merahan barulah sesuai dipetik untuk dipasarkan. Tindakan budak itu sedemikian kerana “basic”nya tentang fahaman warna buah masak tidak mencukupi. Niatnya baik tapi hasilnya…)



Di sini, ia juga menerangkan secara rinci jalan yang benar menuju Allah, yakni berpegang teguh pada Al Quran dan Sunnah. Imam tasawuf juga berkeinginan mengantarkan manusia pada kebenaran sejati, yang tidak hanya diperoleh melalui bukti rasional yang dapat diterima akal manusia yang dapat membezakan yang benar dan salah, melainkan juga melalui penyucian hati dan pelenyapan ego yang dapat dicapai dengan mengamalkan amalan spiritual.



Kelompok di atas selanjutnya tersingkir lantaran sebagai hamba Allah sejati, seseorang tidak akan menyibukkan diriya kecuali demi kecintaannya kepada Allah dan rasul-Nya. Inilah posisi mulia yang menyebabkan seorang menjadi hamba yang soleh, sihat dan sentosa. Inilah jalan untuk membersihkan manusia daripada hal-hal yang dapat menodai manusia, seperti cinta akan harta, matlamat akan kedudukan tertentu. Meskipun demikian, kita harus berusaha di jalan Allah agar memperolehi ketenteraman beribadah.





Sahabatku yang bijaksana, menterjemahkan naskhah secara harfiah kadang-kadang menyebabkan kekeliruan. Pentafsiran harfiahlah yang mendasari penilaian engkau terhadap Ibn Arabi, salah seorang imam kami yang terkenal akan kesolehannya. Engkau tentunya faham bahwa Ibn Arabi menulis dengan gaya simbolik; sedangkan para sufi adalah pakar-pakar dalam menggunakan bahasa simbolik yang mengandung makna lebih dalam dan gaya hiperbola yang menunjukkan tingginya kepekaan spiritual serta kata-kata yang menghantarkan rahsia mengenai fenomena yang tak nampak.





(Biasanya manusia yang tidak dilatih dengan jalan tasauf tidak dapat memahami kata-kata dan istilah para sufi. Bahasa sufi sangat tinggi, penuh simbolik dan membawa maksud yang berlainan sama sekali dengan bahasa harian manusia.

Ibn Taymiyah tidak menerima tarbiyyah melalui jalan kesufian, maka banyak perkara yang tidak difahaminya tentang dunia sufi. Inilah yang menyebabkan beliau kadang-kadang termenentang perkara-perkara yang benar.

Samalah keadaannya seperti seorang ahli sains yang ingin menyampuk perbicaraan antara dua orang Sasterawan Negara. Ahli sains tadi biasanya pasti akan tersalah faham dengan apa yang diperkatakan.

Samalah seperti seperti seorang rakyat Negara China yang belajar Bahasa Melayu di sana, kemudian datang ke Malaysia. Di Malaysia dia menyaksikan latihan silat sebuah perguruan. Kemudian apabila pulang, dia menulis sebuah artikel menunjukkan bahawa bangsa Melayu sendiri sudah banyak yang tidak menguasai bahasa ibunda mereka. Sebenarnya dia yang salah faham.

Apabila ahli-ahli silat buat gerakan ke atas lawan, mereka namakan “buah”. Orang China tadi mengkritik penggunaan perkatan “buah’ kerana mengikut ilmu Bahasa Melayunya, “buah” ialah untuk buah-buahan, bukannya untuk gerakan memukul, menjatuhkan dan mengunci.

Begitu juga apabila ahli silat diminta menyerang maka disebut “masuk”. Dalam artikelnya, orang China itu menulis- sepatutnya perkataan “masuk” hendaklah digantikan dengan “serang”.

Kesimpulannya, dia menghukum orang-orang Melayu tadi melakukan kesalahan bahasa.

Begitulah yang terjadi kepada Ibn Taymiyah. Tapi yang peliknya, kesilapan Ibn Taymiyah ini masih diteruskan pula oleh puak-puak yang mengaku mencontohinya pada hari ini)





IBN TAYMIYAH:

Argumentasi tersebut sepatutnya ditujukan kepada engkau. Kerana saat Imam al-Qusyairi melihat (ada antara) pengikutnya melencong daripada jalan Allah, dia dengan segera mengambil langkah untuk membendong mereka.

Sementara, apa yang dilakukan oleh para syeikh sufi sekarang? Aku meminta para sufi untuk mengikuti jalur sunnah dari para leluhur kami (salafi) yang soleh dan terkemuka: para sahabat yang zuhud, generasi sebelum mereka dan generasi sesudahnya yang mengikuti langkah mereka.



Siapapun yang menempuh jalan ini, saya berikan penghargaan setinggi-tingginya dan menempatkan sebagai imam agama. Namun bagi mereka yang melakukan pembaharuan yang tidak berdasar dan menyisipkan gagasan kemusyrikan seperti falsafah Yunani dan pengikut Buddha, atau yang beranggapan bahwa manusia menempati Allah (hulul) atau bersatu dengan-Nya (ittihad), atau teori yang menyatakan bahwa seluruh penampakan adalah satu adanya/kesatuan wujud (wahdatul wujud) ataupun hal-hal lain yang diperintahkan syeikh anda: semuanya jelas perilaku atheis dan kafir.



IBN ATHAILLAH:

Ibn Arabi adalah salah seorang ulama terhebat yang mengenyam pendidikan di Dawud al Zahiri seperti Ibn Hazm al Andalusi, seorang yang fahamannya selaras dengan metodologi anda tentang hukum Islam, wahai penganut Hanbali! Tetapi meskipun Ibn Arabi seorang Zahiri (menterjemahkan hukum Islam secara lahiriah), metod yang diterapkannya untuk memahami hakikat adalah dengan menyelidik apa yang tersembunyi, mencari makna spiritual (thariq al bathin), untuk mensucikan bathin (thathhir al bathin).



Meskipun demikian tidak seluruh pengikut mengertikan sama apa-apa yang tersembunyi. Agar engkau tidak keliru atau lupa, ulangilah bacaan engkau mengenai Ibn Arabi dengan pemahaman baru akan simbol-simbol dan gagasannya (maksudnya, Ibn Taymiyah kenalah ulang semula penyelidikannya tentang karya-karya Ibn Arabi menggunakan perkara-perkara baru yang baru difahaminya ketika ini, kerana hasilnya nanti pasti berbeza dengan keputusan yang lalu). Engkau akan menemukannya sangat mirip dengan al-Qusyairi. Dia telah menempuh jalan tasawuf di bawah payung al-Quran dan sunnah, sama seperti Hujjatul Islam Al Ghazali, yang mengusung perdebatan mengenai perbezaan mendasar mengenai iman dan isu-isu ibadah namun menilai usaha ini kurang menguntungkan dan berfaedah.



Ia mengajak orang untuk memahami bahawa mencintai Allah adalah cara yang patut ditempuh seorang hamba Allah berdasarkan keyakinan. Adakah engkau setuju wahai faqih? Atau engkau lebih suka melihat perselisihan di antara para ulama? Imam Malik ra. telah mengingatkan mengenai perselisihan semacam ini dan memberikan nasihat: “Setiap kali seseorang berdebat mengenai iman, maka kepercayaannya akan berkurang.”



Sejalan dengan ucapan itu, Al Ghazali berpendapat, cara terpantas untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah melalui hati, bukan jasad. Bukan bermaksud hati dalam bentuk fizik yang dapat melihat, mendengar atau merasakan secara gamblang. Melainkan, dengan menyimpan dalam benak, rahsia terdalam dari Allah Yang Maha Agung dan Besar, yang tidak dapat dilihat atau diraba.



Sesungguhnya ahli sunnahlah yang menobatkan syeikh sufi, Imam Al-Ghazali, sebagai Hujjatul Islam, dan tak seorangpun yang menyangkal pandangannya bahkan seorang ilmuan secara berlebihan berpendapat bahwa Ihya Ulumuddin nyaris setara dengan Al Quran (ilmuan tersebut fanatik dengan Imam Ghazali).





Dalam pandangan Ibn Arabi dan Ibn Al Farid, taklif atau kepatuhan beragama laksana ibadah yang mihrab atau sejadahnya menandai aspek batin, bukan semata-mata ritual lahiriah saja. Kerana apalah ertinya duduk berdiri anda dalam solat sementara hati anda dikuasai selain Allah.

Allah memuji hambaNya dalam Al Quran:

"(Yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sholatnya";

dan Ia mengutuk dalam firmanNya:

"(Yaitu) orang-orang yang lalai dalam sholatnya".

Inilah yang dimaksudkan oleh Ibn Arabi saat mengatakan: "Ibadah bagaikan mihrab bagi hati, yakni aspek batin, bukan lahirnya".



Seorang muslim takkan mampu mencapai keyakinan mengenai isi Al Quran, baik dengan ilmu atau pembuktian itu sendiri, hinggalah ia membersihkan hatinya dari segala yang dapat mengalihkan dan berusaha untuk khusyuk. Dengan demikian Allah akan mencurahkan ilmu ke dalam hatinya, dan dari sana akan muncul semangatnya. Sufi sejati tak mencukupi dirinya dengan meminta sedekah.



Seseorang yang tulus adalah ia yang menyuburkan diri di (hadapan) Allah dengan mematuhi-Nya. Barangkali yang menyebabkan (sebahagian) ahli fiqh mengecam Ibn Arabi adalah karena kritik beliau terhdap keasyikan mereka dalam berargumentasi dan berdebat seputar masalah iman, hukum masalah-masalah yang terjadi (aktual) dan masalah-masalah yang baru dihipotesakan (dibayangkan padahal ia belum terjadi).

(Ini memang berlaku. Ada ahli fiqh yang bersungguh-sungguh fakir dan cari penyesaian masalah-masalah yang tak perlu difikir.

Contohnya, seorang lelaki solat berjemaah. Ketika solat dia mengikat tali kudanya di ibu jarinya. Sedang solat tiba-tiba kudanya buang air besar. Apakah batal solatnya kerana najis kuda itu tertanggung melalui tali yang diikat di kakinya?

Inikan namanya “tak ada masalah cari masalah”? Padahal masa memikirkan hal ini lebih baik dibuat mempelajari bidang-bidang lain yang belum kita kuasai terutamanya tasauf.

Ada pula orang yang habiskan masa berfikir dan mencari penyelesaian dalam hal ini- Air mani dikumpul-kumpul dan cukup dua kolah. Bolehkah dibuat mengambil wudhuk?

Kalau suami isteri berjimak tiba-tiba melekat selama 48 jam, tak boleh dipisahkan. Macam mana cara hendak mandi wajib, ambil wudhuk dan solat sepanjang tempoh itu?

Ada pula yang berfikir- macam manalah agaknya kalau satu hari nanti orang Melayu akan anggap bid’ah hasanah kepada perempuan yang menjadi imam solat Jumaat kepada lelaki di dalam gereja? Ini lagi menghairankan!

Bukan tidak boleh sama-sekali memikirkan hal-hal ini, tapi ikutlah keutamaan. Banyak lagi bidang yang kiat belum kuasai.

Inilah sebenarnya yang ditentang oleh ahli-ahli tasauf ke atas sebahagian ahli-ahli fiqh)



(Ibnu Arabi dan para sufi tidak menolak ilmu fiqh dan ahli-ahlinya sebagaimana dakwaan musuh-musuh mereka yang masih ada hinggalah ke hari ini, tetapi menentang keekstreman sesetengah ahli fiqh yang hanyut dalam dunia fiqh mereka hinggakan usaha mereka dalam agama menjadi sempit lagi amat terbatas. Seorang Muslim sepatutnya menjalani kehidupan dengan seimbang walaupun mereka ada pengkhususan dalam bidang tertentu. Apatah lagi banyak juga ahli fiqh yang langsung tidak ambil pusing soal-soal tasauf yang melibatkan penggunaaan hati, sampaikan mereka beranggapan bahawa amal-amal lahiriah tunduk bangkit itu sajalah yang membawa kejayaan dalam agama. Padahal Tuhan lebih memandang soal hati. Inilah yang dimaksudkan)



Ibn Arabi mengkritik begitu kerana dia melihat betapa sering hal tersebut dapat mengalihkan mereka dari kejernihan hati. Ia menjuluki mereka sebagai "ahli fiqih basa-basi wanita". Semoga Allah mengeluarkan engkau kerana telah menjadi salah satu dari mereka!

Pernahkan engkau membaca pernyataan Ibn Arabi bahawa:

"Siapa saja yang membangun keyakinannya semata-mata berdasarkan bukti-bukti yang tampak dan argumen deduktif, maka ia membangun keyakinan dengan dasar yang tak bisa diandalkan. Karena ia akan selalu dipengaruhi oleh sangahan-sangahan balik yang konstan. Keyakinan bukan berasal daripada alasan logik melainkan tercurah dari lubuk hati."

Adakah pernyataan yang seindah ini?



IBN TAYMIYAH:

Engkau telah berbicara dengan baik, andaikanlah guru engkau sama seperti yang engkau katakan, maka dia sangat jauh dari kafir. Tapi menurutku apa yang telah ia ucapkan tidak mendukung pandangan yang telah anda kemukakan.

Thursday 28 January 2010

SOAL-JAWAB KALIMAH ALLAH

 dipetik dari http://darmawihamdani.blogspot.com/
Soalan:
Kenapa mahu marah-marah Kristian pakai kalimah Allah? Kenapa perlu berebut? Yang penting kita tahu Allah itu siapa sudahlah.

Jawapan:
Isu ‘Allah’ ini bukan isu perebutan nama. Ia adalah isu akidah, isu falsafah, isu maqasid di sebalik nama itu.
Kita tidak marah kalau Kristian mahu menisbahkan Allah kepada Tuhan yg sebenar. Tiada masalah. Tapi kita tidak setuju kalau dikatakan Allah itu adalah Roh Kudus dan Jesus atau sebaliknya atas sebab Trinity yang mereka pegang. Bukankah di dalam Bible menyebut “Aku dan ‘Bapa’ adalah satu”?

Soalan:
Tetapi musyrikin Makkah dan Arab pada zaman Nabi pun pakai nama Allah. Bapa Nabi pun bernama Abdullah. Apa masalahnya?

Jawapan:
Memang musyrikin Arab memakai kalimah ‘Allah’ bila mereka merujuk kepada Tuhan. Betul. Tapi menjadikan alasan itu bagi menghalalkan penggunaan ‘Allah oleh Kristian Trinity adalah tidak kena. Kerana musyrikin zaman itu memahami ‘Allah’ itu sebagai Tuhan yang sebenar. Mereka tidak menisbahkan ‘Allah’ itu sebagai Latta dan Uzza dan berhala-berhala yang mereka sembah. Sebab itu mereka digelar ‘musyrikin’.

Soalan:
Tapi Allah ada sebut “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (al-Ankabut:63).
Kan kita disuruh mengucap Alhamdulillah bila non-muslim mengaku Allah itu Tuhan. Jadi, kenapa anda hendak halang?
Jawapan:
Sebab itulah pentingnya sebelum mengambil apa-apa dalil mesti kita faham asbabun nuzul dan tujuan ayat itu turun. Sama seperti ayat ‘La ikraha fiddin’. Ia ditujukan kepada mereka yang memaksa bukan Islam masuk Islam bukan sebaliknya. Sebab itu adanya golongan Islam Liberal yang menggunakan ayat ini secara umum bagi menghalalkan murtad.
Hakikatnya ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Arab yang berada di sekitar Nabi saat itu. Bukan kepada seluruh ‘bukan Islam’. Sebab itulah Islam tidak membantah. Sebab itu jugalah Nabi disuruh mengucapkan syukur. Sebab musyrikin itu masih kenal dan tahu siapa Allah yang sebenar walaupun disyirikkan dengan menyembah berhala.
Maka bersyukurnya Nabi pada hal itu adalah benar.
Bukannya untuk Kristian yang mengatakan Allah dan Jesus itu adalah satu. Yang mengatakan Allah itu Jesus dan Jesus itu Allah. Yang mengatakan Jesus itu diri Allah yang boleh disentuh, didengar, diam bersama, dirasa etc.
Munasabahkah kita bersyukur apabila Kristian mengatakan Allah Jesus yg menurunkan hujan dari langit? Maka kesyukuran kita itu adalah pada hal yg batil.

Soalan:
Tapi bukankah Allah ada sebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).
Jadi yang penting konsep. Bukan nama. Setuju?
Jawapan:
Ayat ini secara jelas membantah penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk dinisbahkan kepada Jesus dan Roh Kudus. Inilah yang mereka mahu buat pada hari ini. Ini yang kita bangun membantah. Inilah isu yang mendasarinya. Ini bukan soal istilah saja.
Kalau mereka menisbahkan Allah itu kepada Tuhan yang sebenar dan bukan kepada yang lain seperti yg dibuat musyrikin pada zaman nabi, kita pun tak mahu nak halang. Qulilhamdulillah!

Soalan:
Bukankah Quran mengakui bahawa adanya tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam Surah al-Hajj ayat 40. Jadi apa masalahnya kalau gereja Katolik mahu menggunakan nama Allah? Mereka berhak.

Jawapan:
Memanggil ‘nama Allah’ dan ‘Allah’ adalah 2 hal yg berbeza. Tolong bezakan.
Sudah berzaman penganut agama Tauhid memanggil Tuhan yang sebenar dengan bahasa mereka atau bahasa kitab mereka. Bani Israel mungkin memanggilnya Eloh, orang Nusantara mungkin memanggil-Nya Dewata Mulia Raya, orang Parsi mungkin memanggil-Nya Ahura Mazda. Dan bila mereka sebut nama-nama itu, memang mereka merujuk kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah
Sama apabila kita menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, maka kita merujuk kepada Allah, Tuhan yang sebenar. Bukan kepada yang lain.
Jadi andaikata mereka mahu meminta hak sekalipun, yang mereka boleh minta adalah kalimah yang ada dalam kitab mereka. Eloh, Elohim, Yahweh. Bukan ‘Allah’.

Soalan:
Tetapi bukankah Kristian Arab juga memakai kalimah ‘Allah’ di dalam Bible mereka? Tidak pula kerajaan Arab menghalang.

Jawapan:
Kebanyakan Kristian Arab yang memakai kalimah ‘Allah’ dalam terjemahan Bible (dipanggil Kitabul Muqaddas) adalah Kristian Unitarian. Yang percaya Allah itu Esa. Katolik Malaysia Unitarian kah? Tentulah tidak. Mereka adalah Kristian Trinitirian. Kristian Trinitirian mengkafirkan Kristian Unitarian
Soalan:
Tetapi Kristian Indonesia juga memakai kalimah ‘Allah’ di dalam Bible. Bukankah mereka Trinitirian juga? Dan Indonesia masih lagi kekal sebagai negara Islam terbesar di dunia. Tidak ada masalahpun. Kita ni mahu ditertawakan Indonesiakah?

Jawapan:
Tahukah anda disebabkan liberalnya agama di Indonesia maka ada premis pada hari Jumaat menjadi masjid, pada hari Sabtu menjadi kuil dan pada hari Ahad pula bertukar menjadi gereja?
Mahu Masjid Putrajaya menjadi Gereja St Thomas pada hari Ahad? Mungkin tidak hari ini. Tapi 50 tahun lagi?
Soalan:
Kita mesti menjaga akidah dengan ilmu. Maka didiklah generasi muda kita. Mesti mereka tak akan salah faham kalau Kristian gunakan ‘Allah’ sekalipun. Tak perlu larang pun.
Jawapan:
Ini bukan masalah keliru sahaja. Ia juga masalah falsafah dan maqasid yang ada disebalik kalimah Allah. Syariat Islam turun dan memurnikan kalimah ‘Allah’ itu selama 1400 tahun. Hari ni awak sanggup membiarkan kalimah itu tercemar?
Dakwah dan mendidik satu hal. Preventif satu hal. Dua-dua kena ada. Tuhan tak suruh Iqra’ sahaja. Tuhan suruh laksana Hudud Qisas juga. Tuhan suruh “Az-zaniyatu waz-zaani fadzlidu kulla wahidim-minhuma miata jaldah”. Ini apa? Preventiflah.
Jika tak perlu preventif, rombaklah Kanun jenayah negara. Berikan pendidikan saja, nescaya rasuah, mencuri, rompak, rogol tidak akan berlaku.Berani jamin?

Soalan:
Bukankah dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ akan menyebabkan mereka akan lebih memahami Islam dan kita boleh mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada mereka? Malah mungkin mereka juga akan terkeliru dengan konsep Triniti sebab ‘anak Allah adalah Allah”. Ini kelebihan kepada umat Islam!
Jawapan:
Bagaimana untuk mereka lebih memahami Islam dengan cara begitu? Mereka bukannya baca kalimah ‘Allah’. Sebab kalimah itu cuma ada dalam Bible bahasa Melayu atau akhbar Herald bahasa Melayu. Mereka baca dalam Bible berbahasa Inggeris. Yang ada cuma ‘God’. Jadi, untuk siapa Bible Melayu ini ditujukan?
Kalau mahu ditujukan kepada Kristian Malaysia Timur, kaum Iban dan Kadazan contohnya, maka gunalah bahasa mereka. Kalau mahu standard di dalam bahasa Melayu, maka gunalah ‘Tuhan’. Itukan bahasa Melayu? Kalimah ‘Allah’ bukan berasal dari bahasa Melayu, apatah lagi Iban atau Kadazan atau Murut.
Jika anda boleh mengatakan Kristian akan terkeliru maka kenapa anda tidak mengatakan orang Islam juga boleh terkeliru? Maka tak perlulah pakai. Dua-dua tidak akan terkeliru. Akidah orang Kristian terjaga, akidah orang Islam pun terjaga. Cari penyakit buat apa?

Kalimah Allah; Persoalan dan penyelesaiannya

Kalimah Allah; Persoalan dan penyelesaiannya

Dicatat oleh tukang taip | 1/29/2010

Orang-orang Kristian hendak menggunakan istilah “Allah” hanya dalam bahasa Melayu sahaja, dan tidak mahu menggunakan istilah yang sama dalam bahasa yang lain, seperti Inggeris, Cina atau Tamil. Dengan itu, mereka mengaku tidak memerlukan istilah “Allah” untuk menjelaskan ajaran-ajaran Kristian dalam bahasa-bahasa yang lain, cukup dengan perkataan-perkataan lain sahaja.

Malangnya, apabila ajaran-ajaran Kristian hendak dijelaskan dalam bahasa Melayu, maka istilah “Allah” telah digunakan secara paksa. Dikatakan “secara paksa” kerana, istilah “Allah” telah disumbat dengan pengertian yang berlainan. Iaitu, pengertian yang benar-benar asing, yang sama sekali tidak pernah dikenal oleh bahasa Melayu dan kamus hidupnya.

Di samping bangsa Melayu, orang-orang Islam dari pelbagai kaum dan keturunan yang lain di Malaysia juga menggunakan istilah “Allah” dalam kehidupan mereka. Mereka turut mendapati istilah “Allah” yang digunakan oleh orang-orang Kristian telah memaksakan makna yang teramat asing.

Makna asal istilah “Allah” ialah nama yang khas untuk Tuhan yang secara mutlak Maha Esa. Tetapi makna yang dipaksakan Kristian ialah, apa-apa sahaja yang disembah secara yang sangat-sangat umum, lantas menodai makna asalnya yang murni.

Oleh kerana dalam agama Kristian tiada mekanisme dalaman (in-built mechanism) untuk mengawal penganutnya menggunakan istilah “Allah” khusus hanya kepada Tuhan, akibat ciri akidahnya yang Tiga-bersatu atau Triniti, istilah “Allah” akan digunakan oleh masyarakat Kristian sama seperti istilah God, iaitu sebagai gelaran umum.


Penggunaan Kristian yang Umum

Akibatnya sangatlah parah. Tidak semena-mena, istilah Allah akan mempunyai jamak yang digunakan kepada ramai, dan digunakan kepada banyak perkara atau benda. Istilah Allah juga akan digunakan sebagai sifat atau ciri, sehingga taraf istilah tersebut akan menjadi lebih rendah daripada istilah “Tuhan”.

Pertama, ‘allah’ digunakan dalam bentuk ramai, iaitu para allah, yang digunakan kepada makhluk-makhluk syurga, seperti dalam ayat berikut, “Allah berdiri dalam sidang ilahi, di antara para allah Ia menghakimi” (Mazmur, 82.1).

Kedua, ‘allah’ akan digunakan kepada ramai manusia sekaliannya, seperti dalam ayat berikut, “Aku sendiri telah berfirman: Kamu adalah allah, dan anak-anak Yang Mahatinggi kamu sekalian” (Mazmur 82.6).

Ketiga, ‘allah’ digunakan dalam bentuk banyak, untuk berhala-berhala: “Sebab segala allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi TUHANlah yang menjadikan langit” (1 Tawarikh 16.26).

Keempat, istilah yang sama digunakan kepada Tuhan dan bukan Tuhan, seperti dalam ayat-ayat berikut. “TUHAN adalah Allah yang besar...mengatasi segala allah” (Mazmur 95.3); “Akulah TUHAN, Allahmu....jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku” (Keluaran 20.2-3); “mereka beribadah kepada allah lain” (Yosua 24.2); “Dan rumah yang hendak kudirikan itu harus besar, sebab Allah kami lebih besar dari segala allah” (2 Tawarikh 2.5); “Bersyukurlah kepada Allah segala allah!” (Mazmur 136.2).

Kelima, istilah Allah disamakan dengan Yesus, yang juga seorang manusia, seperti dalam ayat-ayat berikut “...Yesus Kristus, yaitu Allah Mahabesar” (Titus 2:13); “Tomas berkata kepada Yesus: ‘Tuhanku dan Allahku!’” (John 20:28); “Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar...” (1 John 5:20); “Yesus Kristus: pada dasarnya Ia sama dengan Allah” (Filipi 2:5-6).

Keenam, “Allah” digunakan tidak lebih daripada cuma sekadar sebagai sifat yang mencirikan seseorang, seperti dalam ayat “sebab dalam Dialah [iaitu dalam Kristus] berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan” (Collosians 2:9).

Jadi nama teragung ini telah digunakan dengan tunggang-langgang, sebagai istilah yang tarafnya lebih rendah daripada istilah Tuhan. Padahal peraturan bahasa Melayu menetapkan tertib yang sebaliknya: “tuhan” itu sekadar nama gelaran kepada yang disembah (ilah) atau maha pencipta (rabb); “Allah” itu nama khas bagi Tuhan Yang Esa sekaligus Pencipta alam semesta.

Ketujuh, ‘allah’ digunakan kepada semua benda yang dipuja. Sehubungan ini, seorang Kristian Indonesia boleh menulis seperti berikut, “Allah cemburu kepada allah-allah yang bukan Allah. Tuhan tidak mau anak-anakNya mengikuti allah-allah yang bukan Allah. Zaman ini ada beragam allah yang menguasai manusia, seperti: populariti, harta dunia, jawatan, ideologi, dan sebagainya. (Cari di sabdaspace.org)

Petikan yang terdapat dalam perkara pertama hingga keenam ada terkandung dalam Alkitab Terjemahan Baru 1974 (cetakan ke-65, 2006), iaitu versi yang masih berterusan digunakan di Malaysia, di samping versi semakan bahasa Melayu. Jadi, ini fakta yang benar-benar telah berlaku di alam Melayu.

Bolehlah dibayangkan dalam beberapa contoh mudah, masyarakat Kristian mendakwa kerana ia terdapat dalam Alkitab, maka mereka ada hak kebebasan beragama untuk bertindak seperti berikut.

Pertama, orang Kristian melukis gambar syurga dan menamakan para penghuninya “para allah”. Kedua, seorang paderi Kristian berucap, dan memetik Alkitab, melaungkan kepada para hadirin, “Kamu manusia sekaliannya adalah allah”. Ketiga, orang Kristian menamakan berhala-berhala itu “allah-allah” dalam percakapan, penulisan, lukisan dan sebagainya. Keempat, di ikon (patung) Yesus, orang Kristian menyatakan secara lisan atau meletakkan label yang dipetik dari Alkitab, Titus 2:13, “Yesus, yaitu Allah Mahabesar”, atau dari Collosians 2:9, “Yesus, yang dalam jasmaniahNya berdiam ke-Allahan”.

Kesan, akibat dan pengaruh dari keadaan ini wajib diambil kira dengan cermat, sebelum kerajaan dan masyarakat Malaysia memperhitungkan langkah-langkah berikutnya.

Pemerkosaan Jiwa Bangsa

Membuka ruang kepada penggunaan istilah ‘Allah’ pada berhala, manusia, makhluk syurga, Yesus, dan lain-lain perkara dan benda, adalah satu pemerkosaan terhadap bahasa Melayu dan istilah utama Islam. Ini adalah keganasan melampau terhadap batas makna yang sepatutnya, satu kebiadapan yang amat sangat terhadap bahasa, yang merupakan roh atau jiwa bangsa.

Alasan bahawa ada dua ejaan yang berbeza, iaitu ‘allah’ dan ‘Allah’, adalah alasan yang tidak memadai. Ini kerana, dari segi sebutan kedua-duanya sama sahaja tidak mungkin dapat dibezakan yang mana satu mana; begitu juga dalam tulisan Jawi. Istilah yang sangat penting yang sepatutnya berperanan memudahkan penjelasan agama, tidak patut sebaliknya menjadi begitu kabur, menyukarkan kefahaman, dan menyusahkan kita pula.

Apabila masyarakat Kristian Malaysia mendakwa orang-orang Kristian Arab pun menggunakan istilah “Allah”, umat Islam amat curiga dengan ketulusan alasan tersebut. Ini kerana, Kristian Arab pun tidak pernah menggunakan jamak bagi “Allah”, kerana sememangnya istilah itu dari dulu, kini dan selama-lamanya tiada dua dan jamak.

Musyrikin Arab primitif yang sangat menentang Islam pun tidak pernah menggelarkan segala berhala allah, tidak pernah berkata kepada manusia “kamu sekalian adalah allah”, dan tidak pernah berkata “Allah berdiri di antara para allah”. Semua orang Arab tahu yang boleh ada istilah jamak hanyalah “Ilah” dan tidak “Allah”.

Justeru, kegusaran umat Islam Malaysia apabila isu ini tersebar, seharusnya sudah dijangka oleh masyarakat Kristian.

Untuk menggambarkan keberangan masyarakat Islam, bayangkan peribaratan berikut. Kalaulah istilah “Allah” itu umpama ibu yang paling dihormati dalam keluarga orang-orang Islam, maka ia bukan sahaja telah diperkosa pengertiannya, tetapi juga telah diliwat, bukan hanya sekali, tetapi secara bersiri, bukan hanya oleh seorang, tetapi oleh pakatan ramai perogol.

Dan apabila orang-orang Kristian memohon semakan mahkamah supaya hakim membenarkan perlakuan mereka sebagai selaras dengan Perlembagaan, maka tindakan ini adalah umpama mengisytiharkan kepada semua ahli keluarga mangsa, akan niat untuk membelenggu ibu tersebut dengan rantai besar dalam kurungan penjara, dengan maksud menjadikannya sebagai hamba seks selama mana yang para pemangsa tersebut mahu.

Mujurlah Islam dengan tegas mengharamkan para penganutnya daripada melakukan jenayah keganasan kepada penganut faham agama yang lain. Dalam keadaan ini, masyarakat Islam amnya, dan Melayu khususnya, hanya bangun bertindak menuntut yang munasabah.


Tuntutan Kaum Muslimin

Tuntutan masyarakat Islam adalah, jika istilah Allah hendak digunakan atas alasan bahasa Melayu, maka pengertian istilah “Allah” yang hendak digunakan mestilah tidak bercanggah dengan makna yang ada dalam bahasa Melayu.

Yakni, makna yang tidak pernah berubah dalam kamus hidup dan debar denyut nadi Melayu semenjak seribu tahun yang lampau, mulai fasa pertama kedatangan Islam ke Alam Melayu pada abad yang ke-12.

Makna istilah “Allah” dalam bahasa kebangsaan adalah khusus untuk Tuhan Yang secara mutlak Maha Tunggal, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan; satu pengertian yang menutup segala kemungkinan untuk nama tersebut digunakan secara umum hingga kepada berhala, manusia, makhluk syurga, Yesus, dan lain-lain perkara serta benda.

Malangnya pengertian tersebut tidak mungkin dapat dicapai oleh masyarakat Kristian, yang Tuhannya tidak mutlak Esa.

Dalam konteks doktrin Triniti Kristian, yang disembah itu umum kepada oknum yang Tiga-bersatu (Thaluth). Ia tidak mengatakan secara langsung God memiliki sekutu; tetapi Kristian percaya kepada persekutuan Godhead yang terdiri daripada tiga perkara co-eternal atau abadi, iaitu Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.

Penggunaan istilah yang memberi erti Tunggal atau Esa kepada God adalah pantang-larang besar dalam agama Kristian. St Hilary (m. 367) mengatakan bahawa orang Kristian perlu mengelakkan istilah God the “singular” (Yang Tunggal), kerana ia berlawanan dengan “konsep” God Kristian Yang essence-Nya, walaupun satu, namun God adalah umum bagi tiga hypostasis yang berbeza.

Pada pandangan St Thomas Aquinas pula, orang Kristian perlu mengelakkan istilah the only God (Yang Esa) kerana kata-sifat “only” (Latin unici) berlawanan dengan konsep berbilangnya hypostasis Tuhan. Menurut St Thomas Aquinas “We do not say ‘the only God,’ for Deity is common to many”, iaitu God umum kepada tiga perkara co-eternal tadi: Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.

Tanggungjawab Umat Islam dan Pemimpinnya

Sebaliknya, Islam dan al-Qur’an mengajarkan bahawa, bukan manusia atau mana-mana makhluk yang mencipta nama “Allah” itu. Tetapi, Allah sendiri menyatakan nama yang khas bagi-Nya ialah “Allah”, dan mewahyukan mengenainya kepada Nabi dan para hamba-Nya, semenjak dari Adam (al-Baqarah, 2: 109).

Justeru, memelihara “Allah” sebagai nama khas dengan sehabis upaya mereka adalah satu daripada ajaran Islam yang tidak diragui oleh seluruh kaum Muslimin yang faham.

Firman-Nya, “Dan Tuhanmu menjadikan apa yang dikehendaki-Nya dan memilih (apa yang dikehendaki-Nya). Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci “Allah” dan Maha Tinggi Ia daripada apa yang mereka persekutukan” (al-Qasas, 28: 68).

Apa makna Tuhan memilih apa yang dikehendaki-Nya dan tidak ada pilihan bagi manusia dalam ayat tadi? Contoh pertama, dalam kategori manusia, Tuhan menjadikan Rasullullah sebagai lelaki pilihan, maka mengeji Baginda adalah satu jenayah.

Contoh kedua, dalam kategori generasi manusia, Tuhan menjadikan generasi para Sahabat sebagai generasi pilihan, maka mencaci para Sahabat adalah satu jenayah. Contoh ketiga, dalam kategori undang-undang, Tuhan memilih shari‘ah yang ditanzilkan, maka menghina shari‘ah yang ditanzilkan adalah satu jenayah.

Begitulah juga, di antara nama-nama yang indah, Dia memilih kalimah “Allah” sebagai nama khas-Nya. Memaksakan makna lain yang bercanggah adalah satu kesalahan besar, kerana itu bermaksud mempersenda dan mempermainkan maknanya yang khusus untuk Tuhan yang Maha Esa.

“Mereka yang mempersenda dan mempermainkan ajaran Islam” (al-Ma’idah, 5: 57) wajib ditundukkan hinggalah mereka “merendahkan diri dan patuh, terikat kepada ketetapan Islam yang adil” (lihat al-Tawbah, 9: 29). Melaksanakan keadilan itu bermaksud meletakkan tiap sesuatu pada tempatnya yang sebenar, termasuklah mengenai pengertian “Allah”.

Jadi jangan terkejut kalau orang-orang Islam pun akan menggunakan saluran perundangan supaya kemaslahatan dijaga oleh kepimpinan Negara. Ini termasuklah Majlis Raja-Raja, Yang Di-Pertuan Agong, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dan para penggerak institusi-institusi, dari kalangan yang beragama Islam, dan bukan Islam yang memahami. Amanah kuasa yang tersisa tentulah wajib digembling agar penggunaan istilah “Allah” yang mengeliru dan memperkosa maknanya boleh dihindari.

Setelah ribuan tahun istilah Allah secara konsisten digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia sebagai nama khas Tuhan, orang-orang Kristian tidak boleh kemudiannya memaksakan makna yang bercanggah, iaitu untuk menterjemahkan nama umum tuhan mereka (dan hanya dalam bahasa Melayu!).


Beberapa Kesilapan Fakta

Sebegitu dijaga istilah “Allah” itu sebagai nama khas, hingga ia tiada gantinya bagi umat Islam sedunia, dari awal sampai bila-bila. Sama ada dalam dialek-dialek Arab, bahasa Farsi, Turki, Cina, Urdu, Eropah, Melayu atau sebagainya, tiada ditemui perkataan yang setara; mencerminkan tiada Hakikat yang setara. “Allah” boleh diperikan sebagai “God” contohnya, tetapi “God” tidak boleh diterjemah sebagai “Allah”. Ini selaras dengan peraturan, nama khas boleh diperikan dengan nama gelaran dan sifat, tetapi nama am tidak boleh sewenang-wenangnya diterjemah kepada nama khas sebagai kata-ganti setara.

Sebagai nama khas Tuhan Yang Esa, “Allah” adalah istilah universal melampaui bangsa, dan bukan bahasa kebangsaan mana-mana bangsa. Sebab itu kamus-kamus yang muktabar mengenai bahasa Qur’ani merakamkan pandangan yang sahih, bahawa istilah “Allah” bukan perkataan terbitan daripada bahasa Arab. (Lihat sebagai contoh Kashshaf Istilahat al-Funun, 1: 139.)

Fakta di atas berlawanan dengan anggapan yang silap, bahawa istilah “Allah” adalah bahasa Arab, termasuk di kalangan sebahagian orang-orang Islam yang tidak memahami fakta tersebut. Sebaliknya, “Allah” ialah nama khas.

Sebagai contohnya Mr. Bush ialah nama khas; kita tidak mengatakan ia bahasa Inggeris maka perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai Encik Belukar atau Encik Semak.

Terdapat juga anggapan yang silap oleh orang-orang Kristian bahawa perkataan “Allah” itu terbit dari bahasa Ibrani El, Elohim, Eloah. Ini anggapan yang berasaskan kepada andaian mereka bahawa, nama Allah itu hanyalah rekaan manusia sendiri, nama yang boleh digubah selaras dengan kemahuan diri, kelompok dan masyarakat setempat.

Kesangsian umat Islam semakin bertambah melihat masyarakat Kristian yang mendesak untuk menggunakan istilah “Allah” kononnya dalam bahasa Melayu, mengemukakan hujah yang berubah-ubah, sekejap melayang ke bahasa Arab, sekejap yang lain pula terbang ke bahasa Ibrani. Andai dengan hujah tersebut masyarakat Kristian berniat menggolongkan bahasa Melayu itu dalam kategori yang sama dengan bahasa Jahiliyyah Arab dan Ibrani yang bercanggah dengan perutusan Nabi Muhammad, maka itu adalah satu penghinaan yang amat besar kepada kedudukan bahasa dan roh Melayu.

Sebaliknya, umat Islam dari pelbagai kaum mengemukakan hujah yang sama konsisten: “Allah” adalah secara ekslusif nama khas yang dipilih oleh Allah sendiri. Sesiapa yang berhasrat menggunakan istilah tersebut dengan sewenang-wenangnya sebagai perkataan umum tidak dapat tidak adalah sengaja menjolok sensitiviti orang-orang Islam.


Biang-Bibit Kolonialis

Hakikatnya, kemelut yang membadai ini dimulakan oleh Penjajah yang menyebarkan Kristian dari zaman kolonial. Penjajah yang melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap umat Melayu, dan memeras kekayaan alamnya hampir setengah abad, dalam masa yang sama menyebarkan ajaran Kristian dengan menyalah-gunakan istilah “Allah”. Istilah yang jernih ertinya telah mereka keruhkan dengan tuba maknawi, dengan maksud untuk menangguk kesempatan.

Bermula dengan terjemahan Matius yang dicetak di Belanda dalam tahun 1629 oleh seorang Protestan, Albert Ruyl, diikuti dengan banyak lagi misionaris penjajah yang lain, kolonialis Kristian telah menyeludupkan makna “Allah”.

Iaitu, penyeludupan makna yang bertentangan dengan penggunaan mantap 500 tahun sebelumnya di Alam Melayu sebagai nama yang khas milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Niat para penterjemah ternyata jelas “bagi tujuan penginjilan [penyebaran Kristian] dalam bahasa bukan Eropah”.

Di Malaysia, keputusan mengekalkan nama Allah khabarnya diputuskan oleh Ketua-Ketua Gereja 25 tahun yang lalu dalam mesyuarat pada tahun 1985 (tajaan Pertubuhan Alkitab Malaysia), iaitu sebelum Alkitab versi pertama Melayu Malaysia dikeluarkan dalam tahun 1987. Malang sekali mereka gagal untuk membuka lembaran baru, dan mengembalikan hak istilah “Allah” kepada maknanya yang murni, sebelum ia dirompak dan dirosakkan oleh tangan berdarah para Penjajah.

Benih yang ditanam oleh para kolonialis, sekarang telah tumbuh sebagai pokok yang bobrok (shajarah khabithah), yang mengancam keharmonian Negara. Seperti peribaratan dalam surah Ibrahim (14), ayat 27, “akarnya terbongkar tanpa sebarang tapak yang teguh”. Iaitu, asal-usul istilah “Allah” yang sebegitu penting kononnya didakwa dari bahasa Ibrani melompat ke bahasa Arab, lantas meloncat sebegitu jauh ke bahasa Melayu, tetapi tidak pula dari bahasa Ibrani ke bahasa-bahasa yang lain seperti Belanda atau yang turut Kristian gunakan di Malaysia seperti Inggeris, Cina dan Tamil!

Kenapa warisan kolonial yang tidak betul perlu diteruskan? Mentaliti terjajah perlu ditinggalkan, kerana sebagai rakyat Malaysia kita sudah merdeka. Sepertimana tanah-air kita telah diserahkan kembali, begitulah juga pengertian “Allah” yang merupakan ibu segala istilah itu seharusnya dibebaskan dari belenggu makna yang dipaksakan oleh orang asing.

Masyarakat Islam dan Kristian Malaysia boleh sama-sama berikhtiyar untuk membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Bagai menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak; persaudaraan seMalaysia jangan putus, keserasian kaum jangan retak.

Sinar di Hujung Terowong?

Sebenarnya, masyarakat Kristian tidakpun benar-benar perlu untuk menggunakan istilah “Allah”. Terjemahan Bible versi Melayu Malaysia (the Bible Society of Malaysia: 2001) telahpun melangkah setapak ke hadapan, dengan mengubah beberapa terjemahan god tanpa perlu menggunakan istilah “allah”.

Sekadar beberapa contoh, mereka telah merobah “berdiri dalam sidang ilahi” kepada “mengetuai sidang di syurga”, “di antara para allah” kepada “di hadapan makhluk-makhluk syurga”, dan “ segala allah bangsa-bangsa adalah berhala” kepada “dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala.” Pokoknya di sini, istilah “Allah” boleh diubah oleh masyarakat Kristian kepada istilah yang lain yang lebih wajar dengan pandangan alam mereka.

Oleh kerana masyarakat Kristian sememangnya mengandaikan bahawa nama dan istilah itu hanyalah ciptaan manusia yang boleh dirobah selaras dengan keperluan semasa, tentulah sekarangpun mereka berkemampuan untuk mengubah penggunaan istilah “Allah” yang telah menyalakan kontroversi itu.

Sementelahan pula, dalam bahasa Melayu memang terdapat perkataan-perkataan umum lain yang lebih wajar untuk menterjemah faham Triniti atau Tiga-bersatu. Contohnya, istilah Ilah/ilah dan Ilahi/ilahi serta Ke-Ilahian, atau sebagainya yang lain, yang tentunya boleh difikirkan dengan kreatif.

Jadi, punca kepada masalah ini adalah sekaligus merupakan kunci untuk menyelesaikannya: iaitu pegangan asasi oleh masyarakat Kristian, bahawa sesuatu istilah boleh diguna atau ditolak bergantung kepada kemahuan sendiri.

Andai masyarakat Kristian, atas semangat muhibbah, bersetuju dengan cadangan tersebut, maka dijangkakan keresahan masyarakat Islam pelbagai kaum pun akan reda juga. Mengambil-kira masalah ini turut melibatkan warisan penjajah, tentulah puak Kristian Malaysia boleh diberi tempoh yang munasabah, untuk secara secepat yang boleh tetapi beransur-ansur tidak lagi menyalah-gunakan istilah “Allah” dalam sebarang sebaran dan penerbitan.

Pada hakikatnya, tiada siapa pun yang berhak menyalah-gunakan istilah bahasa, apatah lagi kalimah Allah. Sebarang alihbahasa yang merosakkan aturan perkataan (sintaksis) dan melanggar nahu akan membawa pengertian yang salah dan mengelirukan kerukunan antara agama.

Sekiranya “Belief in God”, iaitu salah satu Rukun Negara diterjemah sebagai “Kepercayaan kepada Allah” tentulah kacau masyarakat majmuk kita yang mempunyai pelbagai ragam kepercayaan.

Kalau “church” atau “temple” boleh dipanggil sebagai “baytAllah” atau “masjid” tentulah kalut masyarakat Malaysia yang berbilang rumah peribadatan ini. Kalau “priest” pula boleh digelar sewenang-wenangnya sebagai “imam”, maka kita risau dan rakyat akan kacau yang mana satu topekong yang mana satu mufti.


Kristian Berpecah-Belah

Sebenarnya orang Kristian sendiri pun tidak bersatu dan berpecah-belah dalam penggunaan istilah “Allah” ini, sama ada di Eropah, di negara-negara Arab, ataupun di Indonesia.

Walaupun kolonialis dan misionaris Belanda yang memulakan salah-guna istilah Allah di alam Melayu, satu kaji-selidik masyarakat Kristian Belanda di pertengahan 2007 mendapati 92% daripada lebih 4,000 responden tidak bersetuju menggunakan “Allah” sebagai nama Tuhan (God) Kristian.

Ada responden yang menjawab, kalau God orang Kristian boleh dipanggil Allah, maka Gereja pun boleh dipanggil Masjid; sedangkan tiap-tiap satunya—Allah, God, Masjid, Gereja—ada identiti dan makna tersendiri. Justeru seorang paderi Katolik di Rom, Father Jonathan Morris, menegaskan bahawa ia perlu ditolak kerana ini adalah isu teologi dan bukan isu toleransi. Pertubuhan terbesar Katolik Belanda membantah cadangan tersebut dan menyatakan bahawa hanya orang-orang Katolik yang bengong sahaja (“addlepated Catholics”) yang akan melakukan perbuatan yang dianggap cuba mengampu agama lain ini. Apakah Pope Benedict XVI setuju Kristian Katolik memanggil Tuhan menggunakan nama “Allah”?

Apabila Dr Labib Mikhail, seorang ahli polemik Kristian Arab sendiri ditanya, “is Allah of the Muslims the God of Christians?” Beliau menjawab : I would say it can’t be that way…If we compare between the God of the Christians, and Allah of the Muslims and of the Qur’an, we will see a lot of differences…in the attributes…in the commandment…in the plan of salvation…the godhead.”

Di Indonesia, ramai orang Kristian sendiri mengakui bahawa meminjam istilah Allah untuk terjemahan God, dan memaksakan memberinya makna baru yang berbeda dari nama khas, adalah kekacauan bahasa yang sangat-sangat membingungkan mereka.

Rujuk, contohnya, tulisan-tulisan seorang Kristian Indonesia, Petrus Wijayanto “Allah hanya milik Islam”; “Nama Allah yang diperdebatkan”; “Siapa yang Anda Sembah” dan sebagainya.

Dalam sepuluh tahun terakhir ini juga Indonesia rancak dengan gerakan kelompok Kristian yang ingin menggunakan nama Yahweh dan bukan Allah, hingga menerbitkan empat versi lain terjemahan Bible.

Khabarnya terdapat sekitar 200 Gereja dan sangat ramai tokoh Kristian di Indonesia yang tidak mau lagi menggunakan istilah Allah kerana mereka sendiri berasa keliru.

Kesimpulan

Kesilapan yang ada di pihak Kristian sememangnya boleh diperbetulkan secara yang sangat muhibbah meskipun bukan dalam tempoh sehari-dua. Lebih cepat ini diakui, lebih pantas kita boleh menyusun langkah wajar yang seterusnya.

Sementara itu, hala-tuju umat Islam cuma ada satu. Iaitu, ke arah penggunaan nama “Allah” yang khas hanya milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Istilah “Allah” tidak boleh digunakan untuk ramai atau banyak perkara; ia menafikan Triniti. Ini mandat yang diamanahkan daripada Kalam-Nya

*Artikel ini adalah dari Dr Mohd Sani Badron (Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, IKIM)*

Sumber Rausyanfikir

Wednesday 27 January 2010

Bicara Merdeka Seorang Guru Tua

Ditulis Oleh Dato' Dr Siddiq Fadzil

Thursday, 04 October 2007




Lima dasawarsa yang lalu

aku, anak desa yang dungu serba tak tahu

hanya ikut-ikutan melulu

memekik “Merdeka! Hidup Tunku!” bertalu-talu.





Hingga tiba ketika aku berani bertanya

ruh dan makna sepatah kata,

meminta bukti nyata sebuah cerita

“Merdeka”.





Kutadah segala madah

Kuperah khazanah hikmah

Kutemukan daulat karamah insaniyah

Mulia perkasa dengan al-‘izzah.



Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah

Merdekaku meraih ‘izzah

Deklarasi syahadah: la ilaha illa ’Llah

menyanggah berhala seribu wajah

mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.





Kubongkar pendaman fakta

Kubuka kitab pusaka

Terserlah deretan nama

Wira merdeka bukan Tunku sahaja

Ramai yang mendahuluinya.





Mendadak aku bertanya

sejarah bikinan siapa?

Merdekakah kita,

julingkah mata sarjana

apabila tidak bersuara

tentang pahlawan tak dikenang

wira tak didendang?





Lima dasawarsa lamanya

banyak kata belum terkota

banyak lagi rupa tak seindah berita.

Bagi generasi yang semakin tak mengerti

kata merdeka bak mantra yang hilang sakti

dan mereka semakin tak peduli.



Jiwa merdeka sirna ditelan pesta

Matilah rasa hilanglah peka

betapapun gegak gempitanya

pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Tetapi semerta terbelalak mata

bila setan korupsi menggoda,

“Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?”



Gejala pesona yang kian menggila

menginjak taqwa menganjak jiwa

merdeka dengan Ketuhanan Yang Maha Esa

menjadi hamba kewangan yang “maha berkuasa”.



Pada Hari Merdeka yang ceria

kusimpan tangis di balik tawa

kupendam cemas di tengah pesta.

Akan terjualkah merdeka kita?




Siddiq Fadzil

KDH: 31 Ogos 2007.

Dikutip dari Buku Siddiq Fadzil, Mensyukuri Nikmat Menginsafi Amanat Sempena 50 Merdeka (Kajang: Wadah&Akademi Kajian Ketamadunan, 2007)

Tuesday 26 January 2010

Antara Nama dan Hakikat (Terkini)

oleh MD. ASHAM AHMAD




Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)



1. Muqaddimah: Bahasa Pembayang Akal-Budi



Agama Islam adalah agama tanzil (revealed religion), dan salah satu dari ciri-ciri asasinya ialah ia disampaikan kepada manusia dengan perantaraan bahasa yang terpelihara keasliannya.[2]



Selaras dengan itu, agama Islam amat menitik-beratkan penggunaan istilah yang tepat bagi menyampaikan maksud, dan istilah-istilah yang menjadi kata kunci pandangan hidup yang dipancarkannya tidak boleh dipinda, ditukarganti, atau diberikan makna sesuka hati.



Sebarang pindaan pada istilah dan makna akan mengkucar-kacirkan kefahaman dan mengkaburkan kebenaran. Jika ia dibiarkan kekeliruan akan bermaharajalela, dan masyarakat tidak lagi dapat membezakan yang benar dari yang palsu. Akhirnya mereka lupa siapa diri mereka, apa untung nasib mereka di kemudian hari, dan apakah tugas dan tanggungjawab mereka dalam kehidupan yang sementara ini.



Justeru, Allah melaknat para pengarang pendusta yang menyelewengkan kebenaran demi sedikit ganjaran dunia. FirmanNya:



???????? ??????????? ??????????? ?????????? ????????????? ????? ?????????? ??????? ???? ?????? ??????? ????????????? ???? ??????? ???????? ???????? ??????? ??????? ???????? ??????????? ???????? ??????? ??????? ???????????



Maka celakalah mereka yang mengarang kitab dengan tangan-tangan mereka kemudian mendakwa: "ini datang dari Allah", demi memperoleh ganjaran (dunia) yang sedikit. Maka celakalah mereka dengan sebab apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka, dan celakalah mereka dengan sebab hasil usaha mereka itu.



(al-Baqarah (2): 79).







Sehubungan dengan itu Allah SWT mengingatkan kita supaya tidak mencontohi perbuatan keji umat terdahulu dari kaum Bani Isra'il yang terkenal dengan tabiat menyelewengkan kebenaran. Firman Allah:



????? ?????????? ??????????? ??????? ??????? ???????????? ??????????? ??????????? ???? ?????????????



Janganlah kamu mengikut tangkahlaku orang-orang yang melupai Allah, sehingga Allah jadikan mereka lupa siapa mereka.



(al-Hashr (59): 19).







Bagaimanakah mereka boleh lupa? Ini dijelaskan dalam ayat berikut:



??????? ????????? ????????????? ??????????? ??????????? ??????????? ????????? ???????????? ????????? ??? ???????????? ????????? ?????? ??????? ????????? ????



Dengan sebab pengkhianatan mereka (kaum Bani Isra'il) terhadap perjanjian (mithaq) yang mereka buat Kami melaknat mereka dan jadikan hati-hati mereka keras--mereka menyelewengkan makna-makna kalimah, akibatnya mereka lupa sebahagian besar dari peringatan yang diberikan untuk mereka. (al-Ma'idah (5): 13)







Tingkahlaku kaum Bani Isra'il dan para pengikut mereka ini menjadikan mereka musuh kebenaran, justeru musuh Allah dan Para Rasulnya. Sudah menjadi sifat mereka suka menyembunyikan kebenaran, mendustakan kebenaran, dan menyelewengkan kebenaran. Ayat-ayat berikut adalah sebahagian daripada kecaman al-Qur'an terhadap mereka:



????? ????????? ??????????? ??? ??????? ??????? ???? ?????????? ????????????? ???? ??????? ???????? ??????????? ??? ??????????? ??? ??????????? ?????? ???????? ????? ????????????? ??????? ?????? ???????????? ????? ???????????? ???????? ??????? ???????



Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan perkara yang ditanzilkan oleh Allah dari KitabNya dan menukargantinya dengan ganjaran yang sedikit--apa yang mereka makan itu tidak lain dari api neraka (yang membakar) dalam perut-perut mereka!



(al-Baqarah (2): 174)







????? ??????? ????????? ????????? ?????????? ??????????? ????????????? ???????? ???????????



Seburuk-buruk contoh bandingan ialah golongan yang mendustakan kebenaran ayat-ayat Kami sedangkan mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri!



(al-A'raf (7): 177)







??????????????? ??? ??????????? ?????? ?????? ????? ??????? ????????? ??????????? ??????? ??????? ????? ?????????????? ??? ?????? ??? ????????? ?????? ???????????



Adakah kamu masih mengharap mereka akan beriman kepadamu sedangkan sebahagian dari mereka pernah mendengar Kalam Allah, kemudian mereka tetap menyelewengkannya dengan sengaja walaupun mereka telah memahaminya!



(al-Baqarah (2): 75)



2. Isu Penggunaan Kalimah Allah: Persoalan Pokok



Persoalan pokok yang menjadi asas penentangan orang-orang Melayu ialah makna kalimah ‘Allah' bagi orang Melayu. Oleh kerana isu ini berkait dengan penggunaan kalimah ‘Allah' secara khusus dalam bahasa Melayu, bagaimana kalimah itu difahami dan digunakan oleh orang Melayu adalah perkara paling utama dan mesti diambilkira. Kalimah ‘Allah' seperti yang difahami dan digunakan dalam Bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan seperti yang difahami, dikenali, dan disembah oleh orang Kristian. Justeru, menterjemahkan ‘God' dengan ‘Allah' adalah merupakan terjemahan yang salah. Kalimah ‘Tuhan' sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah ‘Allah' dilihat sebagi penzahiran permusuhan terhadap agama Islam melalui serangan terhadap keutuhan Bahasa Melayu itu sendiri.



Hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk oleh kalimah itu tidak lain dari hakikat yang dimaksudkan oleh kalimah itu. Menterjemahkan ‘God' sebagai ‘Allah' bukan semata-mata melibatkan pertukaran perkataan dan sebutan tetapi yang lebih penting ialah kesannya kepada akal dan fikiran. Persoalan ini diungkapkan oleh Professor SMN al-Attas dengan kata-kata berikut:



Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata hanya menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupacipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan. [3]







Justeru, apa yang mereka cuba lakukan itu bukanlah berdasarkan hak yang sah tetapi sebaliknya pembohongan terhadap hakikat sebenar.



Bantahan bangsa Melayu tidak sepatutnya ditafsirkan bahawa mereka mahu ‘memonopoli' kalimah itu. Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipinda sesuka hati, dan kalimah yang tepat digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan. Jika ini dibiarkan lambat laun ‘agama kristian' akan diterjemahkan ‘agama Islam' dan ‘gereja' menjadi ‘masjid'.



Kalimah ‘Allah' bukan kalimah Melayu, bahkan bukan milik mana-mana bahasa manusia. Kalimah itu adalah milik Allah dalam ertikata itulah nama yang Dia Tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia mahu diseru oleh hamba-hambaNya.



Pada pandangan seorang Muslim, amatlah pelik bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya.



Kaum Muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan. Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun (yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (Muslim/Muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar.[4]



3. Hujah Dan Jawapan



Golongan pemuka agama Kristian dan yang bersetuju dengan mereka dari kalangan Kaum Muslimin telah berhujah bagi mempertahankan pandangan mereka dengan hujah-hujah berikut:



•1) bahawa tiada larangan atau bantahan dari al-Qur'an, justeru ia dibenarkan. Hujah ini kita namakan Hujah Tiada Larangan (HTL);



•2) bukti sejarah bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga hari ini.[5] Oleh itu, mereka berhujah, Kaum Muslimin, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya. Hujah ini kita namakan Hujah Siapa Dulu (HSD); dan



•3) bahawa kalimah itu sudah digunakan dalam tulisan-tulisan agama Kristian sejak ratusan tahun dahulu. Manakala di kalangan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak kalimah ini sudah lama digunakan. Hujah ini kita namakan Hujah Sudah Lama Guna (HSLG). Dari segi semangatnya HSLG tiada bezanya dengan HSD.



Bagi menjawab hujah-hujah di atas perlu ditegaskan terlebih dahulu bahawa kalimah ‘Allah' adalah nama khas (ism ‘alam), bukan kata terbitan (mushtaqq) dari mana-mana perkataan Arab. Pandangan inilah yang didokong dan dipertahankan oleh al-Imam Fakhr al-Din al-Razi (m. 606H). Menurut beliau, inilah pandangan al-Khalil dan Sibawayh dan ia disokong oleh kebanyakan Ulama' Usul dan para Fuqaha'. Al-Razi berhujah bahawa sekiranya lafaz ‘Allah' itu nama terbitan (mushtaqq) pastilah ianya boleh digunakan bagi merujuk kepada yang lain dari Allah. Jika ini diterima maka kalimah ????? ??? ???? tidak lagi menjadi kalimah tawhid kerana lafaz ‘Allah' tidak lagi merujuk kepada Dhat Allah semata-mata bahkan terbuka kepada yang lain dariNya juga. Oleh kerana telah disepakati oleh setiap yang berakal bahawa ?? ??? ??? ???? adalah kalimah tawhid, maka jelaslah pada kita bahawa kalimah ‘Allah' adalah Nama Khas yang merujuk kepada DhatNya Yang Maha Tinggi.[6]



Kalimah ini tergolong dalam kategori al-‘Alam al-Qasdi iaitu nama yang diberikan dengan sengaja lagi khusus bagi merujuk kepada sesuatu dhat; berbeza dengan al-Alam al-Ittifaqi yang merupakan nama yang umum digunakan melalui persepakatan ramai hasil kebiasaan.[7] Kalimah ini juga digelar Ism Murtajal, yakni suatu lafaz yang diberikan bagi merujuk kepada suatu makna tanpa sebarang kaitan antara keduanya.[8] Yang memberikan nama itu pastilah Allah sendiri melalui TanzilNya kepada para Rasul.[9]



Sebagai nama khas ia sepatutnya dikekalkan dalam sebarang bahasa, dan tidak boleh digantikan dengan perkataan lain sebagai terjemahannya. Sebagai contoh mudah, seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh diterjemahkan menjadi Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang berkenaan (walaupun sifat ‘hitam' mungkin langsung tiada pada orang berkenaan).



Oleh kerana kalimah ‘Allah' adalah nama khas tidak hairanlah jika ia telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab Jahiliyyah, Kristian, dan Yahudi semenjak sebelum kedatangan agama Islam lagi. Walau bagaimanapun adalah jauh dari kebenaran untuk mengatakan bahawa Islam tidak pernah melarang atau membantah sesiapapun menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada mana-mana objek sembahan. Apa yang dilakukan oleh Islam ialah mengisbatkan kalimah itu, menjelaskan hakikatnya, dan menyanggah golongan yang telah sejak sekian lama menyelewengkan maknanya. HTL adalah disanggah dengan hujah-hujah berikut:



•1) Kalimah tawhid, ????? ??? ????, adalah larangan yang paling nyata dan tegas. Ia mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengisbatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah.[10] Bukankah syirik itu kemungkaran terbesar yang diperangi oleh agama Islam? Sesiapapun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkannya. Pada hakikatnya, tawhid itulah yang asal, yang dahulu, yang sebenar, manakala shirik itulah bid'ah, yang datang kemudian, yang batil, yang menyesatkan.



•2) Bertitik-tolak dari itu kita dapati terdapat celaan yang nyata terhadap penyalahgunaan kalimah itu oleh puak Kristian seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat berikut. Firman Allah:



??????? ?????? ????????? ????????? ????? ??????? ???? ?????????? ????? ???????? ?



???????(5): 17







?????? ?????? ????????? ????????? ????? ??????? ???? ?????????? ????? ????????



???????(5):72?







??????? ?????? ????????? ????????? ????? ??????? ??????? ????????? ????? ???? ???????? ?????? ???????? ??????? ????? ????? ?????????? ?????? ??????????



???????????? ????????? ????????? ???????? ??????? ???????



(???????(5): 73)







???????? ?????????? ??? ????????? ??? ????????? ????? ?????????? ????? ??????? ?????? ???????? ???????? ?????????? ?????? ????? ???????? ??????? ??????? ???????????? ?????????? ?????? ???????? ??????? ??????? ?????????? ????????? ?????????? ????? ?????????? ????????? ????????? ??????? ??????? ???????? ??????? ???????? ??????? ??????????? ??? ??????? ???? ?????? ????? ??? ??? ????????????? ????? ??? ???????? ???????? ????????? ????????



?????? (4):171



Ayat-ayat di atas terang-terang mengkafirkan orang-orang Kristian, menuntut mereka menghentikan pendustaan terhadap Allah, dan menjanjikan azab yang pedih bagi yang berdegil.



•3) Manakala dalam ayat-ayat berikut celaan terhadap mushrikin Makkah:



??????? ???????????? ????? ?????? ????????????? ?????????? ????????? ????????? ??????????? ???????????? ??????? ????????? ???????????



????????(29): 61







??????? ???????????? ???? ???????? ???? ?????????? ????? ????????? ???? ???????? ??? ?????? ????????? ???????????? ??????? ???? ????????? ??????? ???? ???????????? ??? ???????????



????????(29): 63







??????? ???????????? ????? ?????? ????????????? ?????????? ???????????? ??????? ???? ????????? ??????? ???? ???????????? ??? ???????????



?????(31): 25







??????? ??????????? ????? ?????????? ???????????? ??????? ????????? ??????????? ????????? ??????? ????? ??????????? ?????? ???? ???????????



????????? ???????? ?????? ??????? ???????? ???????????



?????? (43): 87



Ayat-ayat di atas merupakan kecaman (tawbikh) terhadap kekufuran mushrikin Mekah, bukan pengiktirafan terhadap dakwaan mereka tentang Allah yang boleh disifatkan sebagai ‘cakap tak serupa bikin'.



Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu pada hakikatnya bukanlah Allah Jelas dan nyata bahawa menggunakan kalimah ‘Allah' selain dari yang dimaksudkan oleh akidah Islam adalah suatu kesalahan dari segi teologi.



Persoalannya sekarang adakah perlu dikanunkan suatu undang-undang bagi kesalahan sebegini? Dalam keadaan begini kebijaksaan pemerintah memainkan peranan. Sebagaimana kufur itu suatu kesalahan tiada keperluan untuk memerangi orang-orang kafir selagimana kewujudan mereka tidak mendatangkan kemudaratan terhadap agama dan kepentingan Kaum Muslimin. Akan tetapi, apabila dilihat berlaku ancaman, wajib bagi pemerintah mengambil segala daya usaha yang perlu bagi menjaga maslahah Kaum Muslimin.



HSD mengandungi helah-helah licik yang jelas terdedah apabila persoalan-persoalan berikut dijawab:



•1) adakah ‘Allah' diiktiraf dan diakui (yakni diisbatkan) oleh penganut Kristian sebagai nama yang sebenarnya bagi Tuhan yang mereka sembah?



•2) jika benar sepatutnya seluruh komuniti Kristian seluruh dunia sudah menggunakannya. Dan itu bermakna bahawa selama ini kalimah ‘Allah' disembunyikan dan kalimah lain yang digunakan bagi merujuk kepadaNya. Bukankah itu satu lagi penyelewengan besar gereja yang tidak boleh dimaafkan?;



•3) jika tidak benar kenapa pula mereka mahu menggunakan kalimah yang salah dan bukan kalimah-kalimah yang digunakan dalam Bible-bible versi Hebrew, Greek ataupun Latin bagi merujuk kepada Tuhan yang mereka sembah?[11]



HSD mengandaikan bahawa yang lebih dahulu menggunakan kalimah itu lebih berhak menggunakannya tanpa mengambilkira sama ada penggunaan kalimah itu menepati hakikat yang dimaksudkan ataupun tidak. Kenapa memilih untuk mengisbatkan makna kalimah itu seperti yang difahami oleh masyarakat Arab jahiliyyah sebelum Islam, dan dengan terang-terang menolak ‘kefahaman asal' yang dibawa oleh al-Qur'an dan diterima oleh hampir keseluruhan bangsa Arab? Sikap mereka ini dikutuk oleh al-Qur'an:



??????? ????? ?????? ?????????? ??? ??????? ??????? ???????? ???? ????????? ??? ??????????? ???????? ????????? ???????? ????? ?????????? ??? ??????????? ??????? ????? ???????????



Apabila diseru kepada mereka: "ikutilah apa yang ditanzilkan oleh Allah!" mereka menjawab: "tidak! Kami tetap akan mengikuti ajaran datuk nenek kami." Walaupun ajaran datuk nenek mereka itu langsung menyalahi akal yang sihat? Walaupun mereka tidak mendapat petunjuk?



Al-Baqarah (2): 170



Justeru, amatlah menarik untuk kita sama-sama memikirkan kenapa sebahagian pemuka agama Kristian di negara ini begitu bersungguh-sungguh menuntut ‘hak' menggunakan kalimah Allah dengan berhujah bahawa kalimah itu telah lama digunakan oleh Arab Kristian sebelum kedatangan Islam lagi. Semenjak bila pula orang-orang Arab Kristian dan kebiasaan mereka berbahasa menjadi rujukan penting bagi agama Kristian dan masyarakat Kristian secara amnya? Bahasa Arab langsung tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Hebrew, Greek ataupun Latin dalam soal memahami agama Kristian dari sumber-sumber utamanya.[12]



HSLG hanyalah lanjutan dari HSD dan lebih mudah dipatahkan. Segolongan pemuka agama Kristian berhujah bahawa ‘Allah' juga bermakna tuhan agama Kristian kerana menurut mereka kalimah itu telah digunakan lama dahulu dalam terjemahan Injil Melayu dan buku-buku sembahyang mereka. Mereka juga berhujah kalimah itu sudah lama digunakan oleh penduduk peribumi Sabah dan Sarawak. Berikut adalah jawapan kita:



•1) Andaikan mereka dapat buktikan kewujudan dokumen-dokumen berkenaan di mana kalimah Allah boleh ditemui digunakan, kita boleh membalas bahawa, ia tidak sama sekali membuktikan bahawa ‘Allah' di dalam Bahasa Melayu juga bererti tuhan Kristian. Ia hanya menunjukkan bahawa percubaan pendakyah-pendakyah Kristian untuk memaksakan maksud mereka terhadap kalimah berkenaan sudah lama berlaku. Amatlah tidak munasabah setelah sekian lama merdeka dan memegang kuasa di tanah air sendiri agenda penjajah dan pendakyah Kristian mahu dikekalkan!



•2) HSLG tertolak secara automatik kerana bukti sejarah menunjukkan sebaliknya. Sama ada dokumen itu baru atau lama bukanlah soalnya di sini. Apa yang penting ialah bangsa Melayu tidak pernah menggunakan Kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian sebaliknya sesetengah puak Kristianlah, dahulu dan sekarang, yang telah bertungkus-lumus berusaha membuat mereka menerima makna tersebut. Justeru HSLG tertolak berdasarkan prinsip yang ditegaskan oleh HSD.



•3) Kalaulah kalimah Allah itu sememangnya sudah bererti tuhan sepertimana difahami orang Kristian apakah gunanya lagi usaha mengkristiankan bangsa Melayu kerana mereka telahpun Kristian pada hakikatnya!



•4) Penggunaan kalimah Allah oleh penduduk peribumi adalah kesalahan bahasa yang jelas. Kesilapan yang telah lama berlaku tidak menukarkannya menjadi kebenaran, justeru, apa yang sepatutnya dilakukan ialah mencari jalan bagi memperbetulkannya agar ia tidak berterusan.



4. Kesimpulah dan Pemerhatian



Perbahasan di atas membawa kita kepada kesimpulan-kesimpulan berikut:



•1) Oleh kerana bahasa Melayu adalah tergolong dalam rumpun bahasa Islam, makna yang diisbatkan bagi kalimah ‘Allah' ialah makna yang dikehendaki oleh al-Qur'an dan dijelaskan dalam akidah Islam.



•2) Usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan bahasa Melayu. Apa yang jelas adalah percubaan puak-puak Kristian tertentu menyahislamkan (deislamize) bahasa Melayu bagi memudahkan penyebaran dakyah mereka.



•3) Menyedari dan mengakui hakikat ini, menjadi kewajiban orang-orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya.



Amat malang sekali para pemimpin Kaum Muslimin telah bercanggah pendapat tentang perkara ini sehingga memecahbelahkan masyarakat. Mereka bukan sahaja gagal memahami bahawa persoalan bahasa adalah persoalan dasar apabila berbicara tentang akidah dan pemikiran bahkan menafikan kepentingannya dengan menyifatkannya semata-mata perebutan kalimah yang sia-sia. Mereka lupa bahawa sepotong kalimah boleh menentukan untung-rugi seseorang di hadapan Allah. Mereka tidak sedar bahawa Adam dimuliakan oleh Allah mengatasi para mala'ikat kerana telah diajarkan padanya Nama-nama? Ternyata penglihatan batin mereka telah dikaburi oleh pertimbangan-pertimbangan politik dan kekuasaan sehinggakan persoalan akidah dan kebenaran menjadi persoalan sampingan.



Besar atau kecil persoalan kalimah boleh dilihat apabila kita merenungkan ayat-ayat berikut:



?????? ???? ?????? ?????? ??????? ??????? ???????? ????????? ????????? ????????? ????????? ??????? ??????????? ??? ?????????? ???????? ????????? ????? ????? ???????? ???????? ?????????? ??????? ??????????? ????????? ??????????? ?????????????? ??????? ???????? ????????? ?????????? ????????? ?????????? ??? ?????? ???????? ??? ????? ??? ???????????????? ??????? ????????? ???????? ??????????? ?????????? ??? ?????????? ?????????? ????? ????????? ????????? ??????? ????????????? ?????????? ??????? ??? ???????



Tidakkah engkau lihat bagaimana Allah membuat suatu perbandingan bahawa Kalimah Yang Baik itu seumpama pohon yang baik-akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit; ia memberikan hasilnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan buat manusia mudah-mudahan mereka beroleh peringatan. Dan bandingan kalimah yang keji itu seumpama pohon yang keji yang terbongkar akarnya-tiada ketetapan. Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la'ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim. Dan Allah melakukan apa yang Dia kehendaki.



Ibrahim (14): 24-27









[1] Kertas kerja dibentangkan pada Muzakarah Pakar anjuran IKIM, 21 Januari 2010.



[2] Berbeza dari kebudayaan-kebudayaan lain, kebudayaan Islam itu bersifat kebudayaan sastera atau persuratan. Oleh sebab itu, sekiranya mahu melihat kesan Islam pada sejarah sesuatu bangsa, yang harus dicari dan dikaji bukanlah semata-mata perkara-perkara atau sesuatu yang zahir mudah ternampak oleh mata kepala, akan tetapi yang lebih utama ialah pemikiran bangsa berkenaan yang diungkapkan melalui bahasa. Al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: ABIM, 1999. Cetakan Pertama Penerbit UKM, 1972), 23-24.



[3] SMN al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu Dan Pandangan Alam (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2007), 47.



[4] Justeru, mereka tidak boleh menerima gelaran ‘Mohemmadans', dan agama Islam sebagai ‘Mohemmadanism'. Sebab-sebabnya ialah: pertama, Muhammad bukanlah sebagaimana Jesus Christ pada tanggapan penganut Kristian; Muslim tidak menyembah Muhammad. Kedua, Islam bukan suatu ideologi atau falsafah yang dicipta oleh Muhammad justeru boleh digelar Mohemmadanism. Sebab ketiga ialah Kaum Muslimin sudah kenal siapa diri mereka sejak dari awal lagi. Mereka tidak memanggil diri mereka Muslimin kerana itulah nama yang diberikan oleh orang, tidak seperti penganut Kristian yang memperolehi nama itu dari musuh mereka yakni orang-orang Rom.



[5] Perbahasan tentang bagaimana kalimah ‘Allah' digunakan dan difahami oleh berbagai golongan pada zaman sebelum Islam boleh diikuti dalam karya Profesor Toshihiko Izutsu, God And Man In The Qur'an (Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 2002. Terbitan asal Tokyo: Keio University, 1964), 100-26.



[6] Al-Tafsir al-Kabir, Jilid 1: 143-44. Pandangan al-Razi ini turut dipetik oleh Ibn Kathir dalam tafsir beliau.



[7] Lihat al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani (740-817H), al-Ta'rifat, 178.



[8] Lihat al-Tahanawi (m. 1158H), Kashshaf Istilahat al-Funun Jilid 1: 138 dan Jilid 2: 254-55.



[9] Inilah yang kita fahami dari kenyataan al-Qur'an dalam Surah al-Baqarah (2): 31.



[10] Ia dinamakah ‘kalimah tayyibah', yakni kalimah yang baik. Lawannya ialah ‘kalimah khabithah', yakni kalimah yang buruk, yang disifatkan sebagai kalimah yang tiada asas kebenaran untuk dipertahankan. Lihat Surah Ibrahim (14): 24-27.



[11] Hakikatnya ialah Kalimah ‘Allah' tidak pernah digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek ataupun Latin Kitab Perjanjian Baru dan Lama, dan tiada bukti yang boleh dipercayai tentang kewujudan terjemahan Injil dalam bahasa Arab sebelum Islam. Terjemahan Arab yang pertama dan yang terpenting yang menjadi rujukan utama Kaum Yahudi di negara-negara Islam telah dilakukan oleh Sa'adia ben Joseph (892-942). Beberapa terjemahan Arab moden oleh puak Katolik dan Protestant telah dibuat pada kurun-kurun ke 19 dan 20 Masihi. Ada kemungkinan bahawa kalimah Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian dalam terjemahan-terjemahan ini. Yang nyata ialah tiada kesepakatan di kalangan mereka tentang perkara ini.



[12] Sebaliknya, tiada sesiapapun boleh memahami agama Islam tanpa memahami bahasa Arab. Yang kita maksudkan dengan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab yang telah diislamkan, yakni bahasa yang telah melalui perubahan menyeluruh dengan penurunan al-Qur'an. Kepentingan bahasa Arab Qur'ani dalam soal pembentukan pemikiran dan pandangan hidup Kaum Muslimin tidak boleh dibandingkan langsung dengan kedudukan bahasa Arab ketimbang agama Kristian. Apabila puak-puak Kristian di negara kita berhujah kepada kerajaan bahawa orang Arab Kristian sebelum Islam telah lama menggunakan kalimah Allah mereka mengandaikan bangsa Melayu itu seumpama robot yang akan meniru segala apa yang datang dari Tanah Arab. Mereka silap. Apabila bangsa Melayu menggunakan kalimah Allah dalam bahasa mereka yang mereka maksudkan ialah Allah yang dinyatakan dalam al-Qur'an bukan yang dimaksudkan oleh Kaum Arab Jahiliyyah mahupun kaum Kristian. Bangsa Melayu tiada hubungan kebudayaan atau keagamaan dengan Arab Jahiliyyah mahupun Arab Kristian sebelum ataupun selepas Islam. Hubungan mereka dengan bangsa Arab terbina atas satu asas yang dikongsi bersama yakni Islam dan al-Qur'an. Segala kata kunci berserta dengan makna dan pengertiannya yang membentuk pandangan hidup bangsa Melayu diperolehi dari al-Qur'an. Bahkan semua kata kunci ini dikongsi oleh bahasa-bahasa Islami yang lain, bukan sahaja bahasa Melayu. Lihat perbahasan tentang persoalan ini dalam al-Attas, Tinjauan Ringkas, 47-62.

Nama Khas "Allah": Persoalan dan Penyelesaian

dipetik dari http://iii.com.my/

Nama Khas "Allah": Persoalan dan Penyelesaian



oleh Dr. Mohd. Sani Badron



Fellow Kanan / Pengarah Pusat Ekonomi IKIM



Orang-orang Kristian hendak menggunakan istilah "Allah" hanya dalam bahasa Melayu sahaja, dan tidak mahu menggunakan istilah yang sama dalam bahasa yang lain, seperti Inggeris, Cina atau Tamil. Dengan itu, mereka mengaku tidak memerlukan istilah "Allah" untuk menjelaskan ajaran-ajaran Kristian dalam bahasa-bahasa yang lain, cukup dengan perkataan-perkataan lain sahaja.



Malangnya, apabila ajaran-ajaran Kristian hendak dijelaskan dalam bahasa Melayu, maka istilah "Allah" telah digunakan secara paksa. Dikatakan "secara paksa" kerana, istilah "Allah" telah disumbat dengan pengertian yang berlainan. Iaitu, pengertian yang benar-benar asing, yang sama sekali tidak pernah dikenal oleh bahasa Melayu dan kamus hidupnya.



Di samping bangsa Melayu, orang-orang Islam dari pelbagai kaum dan keturunan yang lain di Malaysia juga menggunakan istilah "Allah" dalam kehidupan mereka. Mereka turut mendapati istilah "Allah" yang digunakan oleh orang-orang Kristian telah memaksakan makna yang teramat asing.



Makna asal istilah "Allah" ialah nama yang khas untuk Tuhan yang secara mutlak Maha Esa. Tetapi makna yang dipaksakan Kristian ialah, apa-apa sahaja yang disembah secara yang sangat-sangat umum, lantas menodai makna asalnya yang murni.



Oleh kerana dalam agama Kristian tiada mekanisme dalaman (in-built mechanism) untuk mengawal penganutnya menggunakan istilah "Allah" khusus hanya kepada Tuhan, akibat ciri akidahnya yang Tiga-bersatu atau Triniti, istilah "Allah" akan digunakan oleh masyarakat Kristian sama seperti istilah God, iaitu sebagai gelaran umum.



Penggunaan Kristian yang Umum



Akibatnya sangatlah parah. Tidak semena-mena, istilah Allah akan mempunyai jamak yang digunakan kepada ramai, dan digunakan kepada banyak perkara atau benda. Istilah Allah juga akan digunakan sebagai sifat atau ciri, sehingga taraf istilah tersebut akan menjadi lebih rendah daripada istilah "Tuhan".



Pertama, ‘allah' digunakan dalam bentuk ramai, iaitu para allah, yang digunakan kepada makhluk-makhluk syurga, seperti dalam ayat berikut, "Allah berdiri dalam sidang ilahi, di antara para allah Ia menghakimi" (Mazmur, 82.1).



Kedua, ‘allah' akan digunakan kepada ramai manusia sekaliannya, seperti dalam ayat berikut, "Aku sendiri telah berfirman: Kamu adalah allah, dan anak-anak Yang Mahatinggi kamu sekalian" (Mazmur 82.6).



Ketiga, ‘allah' digunakan dalam bentuk banyak, untuk berhala-berhala: "Sebab segala allah bangsa-bangsa adalah berhala, tetapi TUHANlah yang menjadikan langit" (1 Tawarikh 16.26).



Keempat, istilah yang sama digunakan kepada Tuhan dan bukan Tuhan, seperti dalam ayat-ayat berikut. "TUHAN adalah Allah yang besar...mengatasi segala allah" (Mazmur 95.3); "Akulah TUHAN, Allahmu....jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku" (Keluaran 20.2-3); "mereka beribadah kepada allah lain" (Yosua 24.2); "Dan rumah yang hendak kudirikan itu harus besar, sebab Allah kami lebih besar dari segala allah" (2 Tawarikh 2.5); "Bersyukurlah kepada Allah segala allah!" (Mazmur 136.2).



Kelima, istilah Allah disamakan dengan Yesus, yang juga seorang manusia, seperti dalam ayat-ayat berikut "...Yesus Kristus, yaitu Allah Mahabesar" (Titus 2:13); "Tomas berkata kepada Yesus: ‘Tuhanku dan Allahku!'" (John 20:28); "Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar..." (1 John 5:20); "Yesus Kristus: pada dasarnya Ia sama dengan Allah" (Filipi 2:5-6).



Keenam, "Allah" digunakan tidak lebih daripada cuma sekadar sebagai sifat yang mencirikan seseorang, seperti dalam ayat "sebab dalam Dialah [iaitu dalam Kristus] berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan" (Collosians 2:9).



Jadi nama teragung ini telah digunakan dengan tunggang-langgang, sebagai istilah yang tarafnya lebih rendah daripada istilah Tuhan. Padahal peraturan bahasa Melayu menetapkan tertib yang sebaliknya: "tuhan" itu sekadar nama gelaran kepada yang disembah (ilah) atau maha pencipta (rabb); "Allah" itu nama khas bagi Tuhan Yang Esa sekaligus Pencipta alam semesta.



Ketujuh, ‘allah' digunakan kepada semua benda yang dipuja. Sehubungan ini, seorang Kristian Indonesia boleh menulis seperti berikut, "Allah cemburu kepada allah-allah yang bukan Allah. Tuhan tidak mau anak-anakNya mengikuti allah-allah yang bukan Allah. Zaman ini ada beragam allah yang menguasai manusia, seperti: populariti, harta dunia, jawatan, ideologi, dan sebagainya. (Cari di sabdaspace.org)



Petikan yang terdapat dalam perkara pertama hingga keenam ada terkandung dalam Alkitab Terjemahan Baru 1974 (cetakan ke-65, 2006), iaitu versi yang masih berterusan digunakan di Malaysia, di samping versi semakan bahasa Melayu. Jadi, ini fakta yang benar-benar telah berlaku di alam Melayu.



Bolehlah dibayangkan dalam beberapa contoh mudah, masyarakat Kristian mendakwa kerana ia terdapat dalam Alkitab, maka mereka ada hak kebebasan beragama untuk bertindak seperti berikut.



Pertama, orang Kristian melukis gambar syurga dan menamakan para penghuninya "para allah". Kedua, seorang paderi Kristian berucap, dan memetik Alkitab, melaungkan kepada para hadirin, "Kamu manusia sekaliannya adalah allah". Ketiga, orang Kristian menamakan berhala-berhala itu "allah-allah" dalam percakapan, penulisan, lukisan dan sebagainya. Keempat, di ikon (patung) Yesus, orang Kristian menyatakan secara lisan atau meletakkan label yang dipetik dari Alkitab, Titus 2:13, "Yesus, yaitu Allah Mahabesar", atau dari Collosians 2:9, "Yesus, yang dalam jasmaniahNya berdiam ke-Allahan".



Kesan, akibat dan pengaruh dari keadaan ini wajib diambil kira dengan cermat, sebelum kerajaan dan masyarakat Malaysia memperhitungkan langkah-langkah berikutnya.



Pemerkosaan Jiwa Bangsa



Membuka ruang kepada penggunaan istilah ‘Allah' pada berhala, manusia, makhluk syurga, Yesus, dan lain-lain perkara dan benda, adalah satu pemerkosaan terhadap bahasa Melayu dan istilah utama Islam. Ini adalah keganasan melampau terhadap batas makna yang sepatutnya, satu kebiadapan yang amat sangat terhadap bahasa, yang merupakan roh atau jiwa bangsa.



Alasan bahawa ada dua ejaan yang berbeza, iaitu ‘allah' dan ‘Allah', adalah alasan yang tidak memadai. Ini kerana, dari segi sebutan kedua-duanya sama sahaja tidak mungkin dapat dibezakan yang mana satu mana; begitu juga dalam tulisan Jawi. Istilah yang sangat penting yang sepatutnya berperanan memudahkan penjelasan agama, tidak patut sebaliknya menjadi begitu kabur, menyukarkan kefahaman, dan menyusahkan kita pula.



Apabila masyarakat Kristian Malaysia mendakwa orang-orang Kristian Arab pun menggunakan istilah "Allah", umat Islam amat curiga dengan ketulusan alasan tersebut. Ini kerana, Kristian Arab pun tidak pernah menggunakan jamak bagi "Allah", kerana sememangnya istilah itu dari dulu, kini dan selama-lamanya tiada dua dan jamak.



Musyrikin Arab primitif yang sangat menentang Islam pun tidak pernah menggelarkan segala berhala allah, tidak pernah berkata kepada manusia "kamu sekalian adalah allah", dan tidak pernah berkata "Allah berdiri di antara para allah". Semua orang Arab tahu yang boleh ada istilah jamak hanyalah "Ilah" dan tidak "Allah".



Justeru, kegusaran umat Islam Malaysia apabila isu ini tersebar, seharusnya sudah dijangka oleh masyarakat Kristian.



Untuk menggambarkan keberangan masyarakat Islam, bayangkan peribaratan berikut. Kalaulah istilah "Allah" itu umpama ibu yang paling dihormati dalam keluarga orang-orang Islam, maka ia bukan sahaja telah diperkosa pengertiannya, tetapi juga telah diliwat, bukan hanya sekali, tetapi secara bersiri, bukan hanya oleh seorang, tetapi oleh pakatan ramai perogol.



Dan apabila orang-orang Kristian memohon semakan mahkamah supaya hakim membenarkan perlakuan mereka sebagai selaras dengan Perlembagaan, maka tindakan ini adalah umpama mengisytiharkan kepada semua ahli keluarga mangsa, akan niat untuk membelenggu ibu tersebut dengan rantai besar dalam kurungan penjara, dengan maksud menjadikannya sebagai hamba seks selama mana yang para pemangsa tersebut mahu.



Mujurlah Islam dengan tegas mengharamkan para penganutnya daripada melakukan jenayah keganasan kepada penganut faham agama yang lain. Dalam keadaan ini, masyarakat Islam amnya, dan Melayu khususnya, hanya bangun bertindak menuntut yang munasabah.



Tuntutan Kaum Muslimin

Tuntutan masyarakat Islam adalah, jika istilah Allah hendak digunakan atas alasan bahasa Melayu, maka pengertian istilah "Allah" yang hendak digunakan mestilah tidak bercanggah dengan makna yang ada dalam bahasa Melayu.



Yakni, makna yang tidak pernah berubah dalam kamus hidup dan debar denyut nadi Melayu semenjak seribu tahun yang lampau, mulai fasa pertama kedatangan Islam ke Alam Melayu pada abad yang ke-12.



Makna istilah "Allah" dalam bahasa kebangsaan adalah khusus untuk Tuhan Yang secara mutlak Maha Tunggal, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan; satu pengertian yang menutup segala kemungkinan untuk nama tersebut digunakan secara umum hingga kepada berhala, manusia, makhluk syurga, Yesus, dan lain-lain perkara serta benda.



Malangnya pengertian tersebut tidak mungkin dapat dicapai oleh masyarakat Kristian, yang Tuhannya tidak mutlak Esa.



Dalam konteks doktrin Triniti Kristian, yang disembah itu umum kepada oknum yang Tiga-bersatu (Thaluth). Ia tidak mengatakan secara langsung God memiliki sekutu; tetapi Kristian percaya kepada persekutuan Godhead yang terdiri daripada tiga perkara co-eternal atau abadi, iaitu Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.



Penggunaan istilah yang memberi erti Tunggal atau Esa kepada God adalah pantang-larang besar dalam agama Kristian. St Hilary (m. 367) mengatakan bahawa orang Kristian perlu mengelakkan istilah God the "singular" (Yang Tunggal), kerana ia berlawanan dengan "konsep" God Kristian Yang essence-Nya, walaupun satu, namun God adalah umum bagi tiga hypostasis yang berbeza.



Pada pandangan St Thomas Aquinas pula, orang Kristian perlu mengelakkan istilah the only God (Yang Esa) kerana kata-sifat "only" (Latin unici) berlawanan dengan konsep berbilangnya hypostasis Tuhan. Menurut St Thomas Aquinas "We do not say ‘the only God,' for Deity is common to many", iaitu God umum kepada tiga perkara co-eternal tadi: Bapa, Putera dan Ruhul Qudus.



Tanggungjawab Umat Islam dan Pemimpinnya



Sebaliknya, Islam dan al-Qur'an mengajarkan bahawa, bukan manusia atau mana-mana makhluk yang mencipta nama "Allah" itu. Tetapi, Allah sendiri menyatakan nama yang khas bagi-Nya ialah "Allah", dan mewahyukan mengenainya kepada Nabi dan para hamba-Nya, semenjak dari Adam (al-Baqarah, 2: 109).



Justeru, memelihara "Allah" sebagai nama khas dengan sehabis upaya mereka adalah satu daripada ajaran Islam yang tidak diragui oleh seluruh kaum Muslimin yang faham.



Firman-Nya, "Dan Tuhanmu menjadikan apa yang dikehendaki-Nya dan memilih (apa yang dikehendaki-Nya). Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci "Allah" dan Maha Tinggi Ia daripada apa yang mereka persekutukan" (al-Qasas, 28: 68).



Apa makna Tuhan memilih apa yang dikehendaki-Nya dan tidak ada pilihan bagi manusia dalam ayat tadi? Contoh pertama, dalam kategori manusia, Tuhan menjadikan Rasullullah sebagai lelaki pilihan, maka mengeji Baginda adalah satu jenayah.



Contoh kedua, dalam kategori generasi manusia, Tuhan menjadikan generasi para Sahabat sebagai generasi pilihan, maka mencaci para Sahabat adalah satu jenayah. Contoh ketiga, dalam kategori undang-undang, Tuhan memilih shari‘ah yang ditanzilkan, maka menghina shari‘ah yang ditanzilkan adalah satu jenayah.



Begitulah juga, di antara nama-nama yang indah, Dia memilih kalimah "Allah" sebagai nama khas-Nya. Memaksakan makna lain yang bercanggah adalah satu kesalahan besar, kerana itu bermaksud mempersenda dan mempermainkan maknanya yang khusus untuk Tuhan yang Maha Esa.



"Mereka yang mempersenda dan mempermainkan ajaran Islam" (al-Ma'idah, 5: 57) wajib ditundukkan hinggalah mereka "merendahkan diri dan patuh, terikat kepada ketetapan Islam yang adil" (lihat al-Tawbah, 9: 29). Melaksanakan keadilan itu bermaksud meletakkan tiap sesuatu pada tempatnya yang sebenar, termasuklah mengenai pengertian "Allah".



Jadi jangan terkejut kalau orang-orang Islam pun akan menggunakan saluran perundangan supaya kemaslahatan dijaga oleh kepimpinan Negara. Ini termasuklah Majlis Raja-Raja, Yang Di-Pertuan Agong, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dan para penggerak institusi-institusi, dari kalangan yang beragama Islam, dan bukan Islam yang memahami. Amanah kuasa yang tersisa tentulah wajib digembling agar penggunaan istilah "Allah" yang mengeliru dan memperkosa maknanya boleh dihindari.



Setelah ribuan tahun istilah Allah secara konsisten digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia sebagai nama khas Tuhan, orang-orang Kristian tidak boleh kemudiannya memaksakan makna yang bercanggah, iaitu untuk menterjemahkan nama umum tuhan mereka (dan hanya dalam bahasa Melayu!).



Beberapa Kesilapan Fakta



Sebegitu dijaga istilah "Allah" itu sebagai nama khas, hingga ia tiada gantinya bagi umat Islam sedunia, dari awal sampai bila-bila. Sama ada dalam dialek-dialek Arab, bahasa Farsi, Turki, Cina, Urdu, Eropah, Melayu atau sebagainya, tiada ditemui perkataan yang setara; mencerminkan tiada Hakikat yang setara. "Allah" boleh diperikan sebagai "God" contohnya, tetapi "God" tidak boleh diterjemah sebagai "Allah". Ini selaras dengan peraturan, nama khas boleh diperikan dengan nama gelaran dan sifat, tetapi nama am tidak boleh sewenang-wenangnya diterjemah kepada nama khas sebagai kata-ganti setara.



Sebagai nama khas Tuhan Yang Esa, "Allah" adalah istilah universal melampaui bangsa, dan bukan bahasa kebangsaan mana-mana bangsa. Sebab itu kamus-kamus yang muktabar mengenai bahasa Qur'ani merakamkan pandangan yang sahih, bahawa istilah "Allah" bukan perkataan terbitan daripada bahasa Arab. (Lihat sebagai contoh Kashshaf Istilahat al-Funun, 1: 139.)



Fakta di atas berlawanan dengan anggapan yang silap, bahawa istilah "Allah" adalah bahasa Arab, termasuk di kalangan sebahagian orang-orang Islam yang tidak memahami fakta tersebut. Sebaliknya, "Allah" ialah nama khas.



Sebagai contohnya Mr. Bush ialah nama khas; kita tidak mengatakan ia bahasa Inggeris maka perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagai Encik Belukar atau Encik Semak.



Terdapat juga anggapan yang silap oleh orang-orang Kristian bahawa perkataan "Allah" itu terbit dari bahasa Ibrani El, Elohim, Eloah. Ini anggapan yang berasaskan kepada andaian mereka bahawa, nama Allah itu hanyalah rekaan manusia sendiri, nama yang boleh digubah selaras dengan kemahuan diri, kelompok dan masyarakat setempat.



Kesangsian umat Islam semakin bertambah melihat masyarakat Kristian yang mendesak untuk menggunakan istilah "Allah" kononnya dalam bahasa Melayu, mengemukakan hujah yang berubah-ubah, sekejap melayang ke bahasa Arab, sekejap yang lain pula terbang ke bahasa Ibrani. Andai dengan hujah tersebut masyarakat Kristian berniat menggolongkan bahasa Melayu itu dalam kategori yang sama dengan bahasa Jahiliyyah Arab dan Ibrani yang bercanggah dengan perutusan Nabi Muhammad, maka itu adalah satu penghinaan yang amat besar kepada kedudukan bahasa dan roh Melayu.



Sebaliknya, umat Islam dari pelbagai kaum mengemukakan hujah yang sama konsisten: "Allah" adalah secara ekslusif nama khas yang dipilih oleh Allah sendiri. Sesiapa yang berhasrat menggunakan istilah tersebut dengan sewenang-wenangnya sebagai perkataan umum tidak dapat tidak adalah sengaja menjolok sensitiviti orang-orang Islam.



Biang-Bibit Kolonialis



Hakikatnya, kemelut yang membadai ini dimulakan oleh Penjajah yang menyebarkan Kristian dari zaman kolonial. Penjajah yang melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap umat Melayu, dan memeras kekayaan alamnya hampir setengah abad, dalam masa yang sama menyebarkan ajaran Kristian dengan menyalah-gunakan istilah "Allah". Istilah yang jernih ertinya telah mereka keruhkan dengan tuba maknawi, dengan maksud untuk menangguk kesempatan.



Bermula dengan terjemahan Matius yang dicetak di Belanda dalam tahun 1629 oleh seorang Protestan, Albert Ruyl, diikuti dengan banyak lagi misionaris penjajah yang lain, kolonialis Kristian telah menyeludupkan makna "Allah".



Iaitu, penyeludupan makna yang bertentangan dengan penggunaan mantap 500 tahun sebelumnya di Alam Melayu sebagai nama yang khas milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Niat para penterjemah ternyata jelas "bagi tujuan penginjilan [penyebaran Kristian] dalam bahasa bukan Eropah".



Di Malaysia, keputusan mengekalkan nama Allah khabarnya diputuskan oleh Ketua-Ketua Gereja 25 tahun yang lalu dalam mesyuarat pada tahun 1985 (tajaan Pertubuhan Alkitab Malaysia), iaitu sebelum Alkitab versi pertama Melayu Malaysia dikeluarkan dalam tahun 1987. Malang sekali mereka gagal untuk membuka lembaran baru, dan mengembalikan hak istilah "Allah" kepada maknanya yang murni, sebelum ia dirompak dan dirosakkan oleh tangan berdarah para Penjajah.



Benih yang ditanam oleh para kolonialis, sekarang telah tumbuh sebagai pokok yang bobrok (shajarah khabithah), yang mengancam keharmonian Negara. Seperti peribaratan dalam surah Ibrahim (14), ayat 27, "akarnya terbongkar tanpa sebarang tapak yang teguh". Iaitu, asal-usul istilah "Allah" yang sebegitu penting kononnya didakwa dari bahasa Ibrani melompat ke bahasa Arab, lantas meloncat sebegitu jauh ke bahasa Melayu, tetapi tidak pula dari bahasa Ibrani ke bahasa-bahasa yang lain seperti Belanda atau yang turut Kristian gunakan di Malaysia seperti Inggeris, Cina dan Tamil!

Kenapa warisan kolonial yang tidak betul perlu diteruskan? Mentaliti terjajah perlu ditinggalkan, kerana sebagai rakyat Malaysia kita sudah merdeka. Sepertimana tanah-air kita telah diserahkan kembali, begitulah juga pengertian "Allah" yang merupakan ibu segala istilah itu seharusnya dibebaskan dari belenggu makna yang dipaksakan oleh orang asing.



Masyarakat Islam dan Kristian Malaysia boleh sama-sama berikhtiyar untuk membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Bagai menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak; persaudaraan seMalaysia jangan putus, keserasian kaum jangan retak.



Sinar di Hujung Terowong?



Sebenarnya, masyarakat Kristian tidakpun benar-benar perlu untuk menggunakan istilah "Allah". Terjemahan Bible versi Melayu Malaysia (the Bible Society of Malaysia: 2001) telahpun melangkah setapak ke hadapan, dengan mengubah beberapa terjemahan god tanpa perlu menggunakan istilah "allah".



Sekadar beberapa contoh, mereka telah merobah "berdiri dalam sidang ilahi" kepada "mengetuai sidang di syurga", "di antara para allah" kepada "di hadapan makhluk-makhluk syurga", dan " segala allah bangsa-bangsa adalah berhala" kepada "dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala." Pokoknya di sini, istilah "Allah" boleh diubah oleh masyarakat Kristian kepada istilah yang lain yang lebih wajar dengan pandangan alam mereka.



Oleh kerana masyarakat Kristian sememangnya mengandaikan bahawa nama dan istilah itu hanyalah ciptaan manusia yang boleh dirobah selaras dengan keperluan semasa, tentulah sekarangpun mereka berkemampuan untuk mengubah penggunaan istilah "Allah" yang telah menyalakan kontroversi itu.



Sementelahan pula, dalam bahasa Melayu memang terdapat perkataan-perkataan umum lain yang lebih wajar untuk menterjemah faham Triniti atau Tiga-bersatu. Contohnya, istilah Ilah/ilah dan Ilahi/ilahi serta Ke-Ilahian, atau sebagainya yang lain, yang tentunya boleh difikirkan dengan kreatif.



Jadi, punca kepada masalah ini adalah sekaligus merupakan kunci untuk menyelesaikannya: iaitu pegangan asasi oleh masyarakat Kristian, bahawa sesuatu istilah boleh diguna atau ditolak bergantung kepada kemahuan sendiri.



Andai masyarakat Kristian, atas semangat muhibbah, bersetuju dengan cadangan tersebut, maka dijangkakan keresahan masyarakat Islam pelbagai kaum pun akan reda juga. Mengambil-kira masalah ini turut melibatkan warisan penjajah, tentulah puak Kristian Malaysia boleh diberi tempoh yang munasabah, untuk secara secepat yang boleh tetapi beransur-ansur tidak lagi menyalah-gunakan istilah "Allah" dalam sebarang sebaran dan penerbitan.



Pada hakikatnya, tiada siapa pun yang berhak menyalah-gunakan istilah bahasa, apatah lagi kalimah Allah. Sebarang alihbahasa yang merosakkan aturan perkataan (sintaksis) dan melanggar nahu akan membawa pengertian yang salah dan mengelirukan kerukunan antara agama.



Sekiranya "Belief in God", iaitu salah satu Rukun Negara diterjemah sebagai "Kepercayaan kepada Allah" tentulah kacau masyarakat majmuk kita yang mempunyai pelbagai ragam kepercayaan.



Kalau "church" atau "temple" boleh dipanggil sebagai "baytAllah" atau "masjid" tentulah kalut masyarakat Malaysia yang berbilang rumah peribadatan ini. Kalau "priest" pula boleh digelar sewenang-wenangnya sebagai "imam", maka kita risau dan rakyat akan kacau yang mana satu topekong yang mana satu mufti.



Kristian Berpecah-Belah



Sebenarnya orang Kristian sendiri pun tidak bersatu dan berpecah-belah dalam penggunaan istilah "Allah" ini, sama ada di Eropah, di negara-negara Arab, ataupun di Indonesia.



Walaupun kolonialis dan misionaris Belanda yang memulakan salah-guna istilah Allah di alam Melayu, satu kaji-selidik masyarakat Kristian Belanda di pertengahan 2007 mendapati 92% daripada lebih 4,000 responden tidak bersetuju menggunakan "Allah" sebagai nama Tuhan (God) Kristian.



Ada responden yang menjawab, kalau God orang Kristian boleh dipanggil Allah, maka Gereja pun boleh dipanggil Masjid; sedangkan tiap-tiap satunya-Allah, God, Masjid, Gereja-ada identiti dan makna tersendiri. Justeru seorang paderi Katolik di Rom, Father Jonathan Morris, menegaskan bahawa ia perlu ditolak kerana ini adalah isu teologi dan bukan isu toleransi. Pertubuhan terbesar Katolik Belanda membantah cadangan tersebut dan menyatakan bahawa hanya orang-orang Katolik yang bengong sahaja ("addlepated Catholics") yang akan melakukan perbuatan yang dianggap cuba mengampu agama lain ini. Apakah Pope Benedict XVI setuju Kristian Katolik memanggil Tuhan menggunakan nama "Allah"?



Apabila Dr Labib Mikhail, seorang ahli polemik Kristian Arab sendiri ditanya, "is Allah of the Muslims the God of Christians?" Beliau menjawab : I would say it can't be that way...If we compare between the God of the Christians, and Allah of the Muslims and of the Qur'an, we will see a lot of differences...in the attributes...in the commandment...in the plan of salvation...the godhead."



Di Indonesia, ramai orang Kristian sendiri mengakui bahawa meminjam istilah Allah untuk terjemahan God, dan memaksakan memberinya makna baru yang berbeda dari nama khas, adalah kekacauan bahasa yang sangat-sangat membingungkan mereka.



Rujuk, contohnya, tulisan-tulisan seorang Kristian Indonesia, Petrus Wijayanto "Allah hanya milik Islam"; "Nama Allah yang diperdebatkan"; "Siapa yang Anda Sembah" dan sebagainya.



Dalam sepuluh tahun terakhir ini juga Indonesia rancak dengan gerakan kelompok Kristian yang ingin menggunakan nama Yahweh dan bukan Allah, hingga menerbitkan empat versi lain terjemahan Bible.



Khabarnya terdapat sekitar 200 Gereja dan sangat ramai tokoh Kristian di Indonesia yang tidak mau lagi menggunakan istilah Allah kerana mereka sendiri berasa keliru.



Kesimpulan



Kesilapan yang ada di pihak Kristian sememangnya boleh diperbetulkan secara yang sangat muhibbah meskipun bukan dalam tempoh sehari-dua. Lebih cepat ini diakui, lebih pantas kita boleh menyusun langkah wajar yang seterusnya.



Sementara itu, hala-tuju umat Islam cuma ada satu. Iaitu, ke arah penggunaan nama "Allah" yang khas hanya milik Tuhan Yang secara mutlak Maha Esa. Istilah "Allah" tidak boleh digunakan untuk ramai atau banyak perkara; ia menafikan Triniti. Ini mandat yang diamanahkan daripada Kalam-Nya.



Daftar Rujukan (terpilih)



1. Al-Qur'an al-Karim.



2. Tafsir al-Baydawi, terj. ‘Abd al-Ra'uf Singkel.



3. Rahmah min al-Rahman fi Tafsir wa Isharat al-Qur'an, peny. Mahmud Mahmud al-Ghurab, 4 jil. (Damsyik: Matba‘ah Nadr, 1410/1989), 1: 19, 109.



4. Ibn al-‘Arabi, Ijaz al-Bayan fi al-Tarjamah ‘an al-Qur'an (Damsyik: Matba‘ah Nadr, 1410/1989), 21.



5. Al-Khalil b. Ahmad al-Farahidi (m. 175 A.H.), Tartib Kitab al-‘Ayn, eds. Mahdi al-Makhzumi and Ibrahim al-Samara'i, semakan As‘ad al-Tayyib (t.t.: Intisharat Aswah, 1414), 1: 98.



6. Murtada al-Zabidi (m. 1205/1790), Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 10 jil., cetak-ulang. Kaherah ed. 1306-07 (Beirut: Dar Sadir, s. 1980), 9: 375. Ed. baru 40 jil. peny. Dahi ‘Abd al-Baqi, semakan ‘Abd al-Latif Muhammad al-Khatib (Kuwait: al-Majlis al-Watani li 'l-Thaqafah wa 'l-Funun wa 'l-Adab, 2001/1422), 36: 321-322.



7. Al-Tahanawi, Kashshaf Istilahat al-Funun, dengan catatan penjelasan Ahmad Hasan Basaj, 4 jil. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1418/1998), 1: 138-139.



8. Al-Fayruzabadi, al-Qamus al-Muhit, 2 jil. (Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-‘Arabi, 1997), 2: 1631.



9. Dr Syed Ali Tawfik al-Attas, "Kemelut Pemikiran Agama," Mingguan Malaysia, 6 Januari 2008.



10. Md. Asham Ahmad, "Kalimah Allah: Antara Nama dan Hakikat." Kertas-Kerja Muzakarah Pakar Terjemahan God sebagai Allah: Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya, 21 Januari 2010.



11. Saint Thomas Aquinas, The Summa Theologica. I Q31 Art. 2.



12. Alkitab Terjemahan Baru, 1974. Cetakan ke-65, 2006.



13. Alkitab Berita Baik, 2001.



14. Daud Soesilo, "Terjemahan Alkitab Melayu dan Indonesia: Dulu dan Sekarang".