Sunday, 17 January 2010

Ahli Sunnah, Wahhabiyyah dalam perbandingan kerangka peradaban

Ahli Sunnah, Wahhabiyyah dalam perbandingan kerangka peradaban

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Tafsiran Sunni menyeluruh, terbuka mengikut batasan prinsip rohani serta intelektual

SELEPAS melihat perbandingan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Wahabi mengenai akidah, kerohanian dan ibadatnya, juga aspek hukum dan akhlaknya, minggu ini rencana ini bertumpu kepada pengamatan ringkas kerangka peradaban. Bagi memahami ajaran Ahli Sunnah dan perbandingannya dengan Wahabi dalam aspek ini, kita boleh bermula dengan beberapa kenyataan.

Antaranya, peradaban pada matlamat terakhirnya dalam ajaran agama adalah untuk menjadi alam yang mana kebesaran Tuhan dan kalimah-Nya terserlah; justeru kitab suci al-Quran menyatakan (maksudnya); “Dialah Tuhan yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi demikian juga, turun perintah di kalangan semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah meliputi segala-galanya dengan ilmu-Nya’� (al-Talaq:12).

Begitu juga ayat (bermaksud): “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepada-Ku /menyembah-Ku” (al-Dhariyat: 56); dan bermaksud “Bertasbih kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi Raja yang Maha Suci, Maha Tinggi dalam kekuasaan lagi Maha Bijaksana” (al-Jumuah:1) dan yang sepertinya

Maka alam ini dijadikan untuk merealisasikan kebesaran dan kalam-Nya. Dan manusia dijadikan khalifah-Nya di bumi dengan diajarkan nama benda dengan khasiat dan kelebihan seperti dihuraikan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam Tafsir al-Kabir dan al-Baidhawi dalam tafsirnya. Huraiannya dilanjutkan dalam hasyiahnya oleh Syaikh Zadeh. Dan manusia membina peradaban dengan mengimarahkan hidup di bumi.

Ahli Sunnah dan Wahabi ada beberapa titik pertemuan dalam hal ini. Bagaimanapun tafsiran Sunni adalah luas dan mencakupi sedangkan tafsiran Wahabi terbatas, sempit dan tidak kelihatan membuka ruang yang memadai untuk perkembangan tamadun. Ini terbukti dalam sejarahnya yang bermula di Najd itu.

Satu lagi kenyataan � bahawa agama sekurang-kurangnya boleh difahami pada beberapa peringkat; pertama ia wahyu dan nubuwwah (dengan pemahaman mengenai al-Quran dan hadis); kemudian agama seperti yang dihuraikan dalam teks yang menyatakan secara terperinci ilmu yang berpunca daripada wahyu dan nubuwaah itu, dan pemahaman manusia mengenai itu semua.

Tahap berikutnya adalah apabila agama diamalkan umat manusia dalam kumpulan ramai atau masyarakat dan di sinilah timbul tamadun atau peradaban. Tafsiran Sunni menyeluruh dan terbuka dalam batasan prinsip rohani dan intelektual, tafsiran Wahabi sangat terbatas dan terhad.

Berhubung peradaban, kita boleh ajukan pertanyaan � tidakkah peradaban ‘khaira ummatin’ di Madinah itu Ahli Sunnah sifatnya? (‘ma ‘ana ‘alaihi wa ashabi’, ‘mengikut cara hidupku dan sahabatku’ seperti yang ada dalam hadis)? Kita jawab, ya Ahli Sunnah. Tidakkah peradaban di Damsyik itu Ahli Sunnah? Begitu juga di Baghdad, Andalusia, Istanbul, di Melaka, Samudera Pasai dan Aceh itu Sunni?

Peradaban ini dalam kerangka Ahli Sunnah yang menjadi alam yang di dalamnya ada kebesaran Tuhan dan kalam-Nya. Ya, memang ada kelemahannya kerana dunia ini bukan jannatul-firdaus, tetapi inilah alam manusiawi yang di dalamnya terjelma kebesaran Ilahi dan kalam-Nya dengan cara yang sebaik-baiknya sebelum kemunculan alam yang kekal abadi itu.

Dan alam manusiawi yang kita sebut sebagai peradaban itu muncul dalam kerangka kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan Khawarij, Batiniyyah dan lainnya (sudah tentu bukan Wahabi sebab ia hanya muncul pada abad ke-18). Golongan lain boleh berada dan berfungsi di dalam peradaban Sunni itu sebab kerangka ini sangat toleran dan bertasamuh.

Ini terbukti dalam sejarah hampir 15 abad itu; kerangka lain jelas tidak mempunyai sifat-sifat yang ada padanya. Ia adalah kerangka ‘menengah’ yang menjadi corak bagi umat ini. Maka peradaban dalam kerangka inilah yang kita perlu teruskan dan semarakkan lagi kejayaannya.

Tidakkah kalangan sahabat dan Tabiin serta generasi yang diakui berikutnya, Ahli Sunnah semuanya? Tidakkah al-Juwaini pengikut Ahli Sunnah? Begitu juga Al-Baqillani, Al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Sanusi dan Salah al-Din al-Ayyubi? Dan da’i terkenal al-syahid Hasan al-Banna adalah pengikut Ahli Sunnah? Dan Said Nursi di Turki itu Ahli Sunnah?

Ringkasnya mereka dan ramai yang lain adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk imam mazhab dan pengikut mereka; mereka di dunia Melayu adalah Ahli Sunnah dan pengikut Imam al-Asy’ari. Teks usul al-din di dunia Melayu adalah teks memaparkan aliran Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari.

Apakah kerangka itu? Sekadar menyebut beberapa unsur kerangka yang dicirikan oleh elemen pokok seperti: Tauhid dengan huraiannya yang mencakupi semua perkara, daripada tauhid mengenai Tuhan, kehidupan manusia, diri manusia, masyarakat dan umat. Tauhid semacam ini tidak ada dalam Wahabi.

Bagi tauhid dalam pemahaman ilmu dan tamadun, kenabian dengan kedudukannya sebagai punca ilmu pengetahuan, panduan mengenai ilmu pengetahuan, panduan hidup bertamadun dan masyarakat. Pemahaman luas mengenai sunnah begini tidak ada dalam Wahabi. Bicaranya hal sunnah � bidaah, talqin, kenduri arwah, qunut, maulidurrasul, melawat kubur, tawassul, zikir beramai-ramai, berzanji, menyebut ’sayyidina’ dan yang sepertinya yang diselesaikan lebih 50 tahun lalu di Malaya (nama sebelum Malaysia).

Sukar untuk dimengertikan bagaimana ada pihak menganggap bicara seperti ini bicara pembangunan umat atau bicara mengajak kepada keluasan dan kematangan berfikir. Adakah intelektual sebegini yang hendak dikembangkan? Ini sukar dipertahankan.

Hidup dunia dan akhirat diberikan perspektif yang betul secara integrasi tidak terpisah-pisah antara keduanya, dengan itu tidak ada sekularisme dalam erti falsafah di dalamnya; demikian pula yang lain-lain yang sepertinya.

Kemuliaan ilmu pengetahuan dan kemajuannya serta pengembangannya � yang berfaedah dijayakan dan berbahaya tidak dijayakan. Epistemologi atau huraian falsafah ilmu pengetahuan yang luas sebegini tidak ada dalam Wahabi, ia sebaliknya didominasi oleh haram-halal, sunnah-bidaah, hidayah-dalalah dalam pembahagian simplistik itu.

Huraian falsafah tidak ada tempat di dalamnya. Pernah berlaku pada satu seminar atau mesyuarat, apabila terdengar kata ‘falsafah’ seorang pengikut fahaman itu mengeluarkan pertanyaan � bagaimana ini? Falsafah tidak ada dalam Islam (yang ada hanya al-Quran dan Sunnah); mantik tidak ada tempat di dalamnya; astronomi tidak ada tempat di dalamnya (sebab itu berlaku peristiwa puasa terpaksa diqada sebab berlaku kesilapan melihat anak bulan di sebuah negeri, akibat mereka menolak astronomi dan aplikasinya).

Kedudukan yang wajar antara agama, wahyu dan ilmu pengetahuan ada dalam sejarah Sunni. Ini tidak ada dalam Wahabi yang bermula dengan penolakan beberapa elemen teknologi dan pengetahuannya seperti yang ada dalam sejarah gerakan itu. Kedudukan sepadu antara ilmu akli dan nakli jelas misalnya dalam Kashshaf Istilahat al-Funun oleh al-Tahanawi dan yang sepertinya.

Kedudukan yang harmoni antara seni dan sains serta teknologi jelas dalam sejarah Sunni; antaranya tercatat dalam Introduction to the History of Science oleh G Sarton jilid 3; Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimahnya membuat beberapa rumusan mengenai perkembangan intelektual ini; hanya ada berlaku sedikit gangguan dalam sejarah tentang bidang ini. Dalam kerangka Wahabi, asal perkembangan begini tidak ada; ia hanya timbul kemudian dalam sejarahnya. Islamisasi ilmu dalam kerangka epistemologi Asya’irah dalam Ahli Sunnah sudah berlaku dalam alam Ahli Sunnah; dalam Wahabi ia hanya baru mula untuk berlaku.

Hubungan harmoni individu, keluarga dan masyarakat dengan adab dan peraturannya. Wahabi mempunyai ciri yang sangat malang dari segi adab dan akhlak terutama hubungannya dengan ulil amri yang menyayat hati; penolakan tasauf menjadikan jiwanya keras dan kasar, kecuali dalam kalangan mereka yang terkesan dengan pengaruh kerohanian Ahli Sunnah.

Kedudukan sepadu dan terarah dalam hubungan antara ulil amri dan umat umumnya, jelas dalam Ahli Sunnah; dalam kalangan Wahabi ia banyak menunjukkan konflik sebab ajarannya dari asal sememangnya sedemikian.

Bagi kedudukan epistemologi Asyariah dalam Ahli Sunnah (termasuk Maturidiyyah) membabitkan hubungan dengan pemikiran moden dan pasca moden pula, kerangka Ahli Sunnah paling perkasa dan utuh mengemudi manusia menghadapi pemikiran moden dan pasca moden; nampaknya tidak ada yang lain dalam dunia ini yang sepertinya. Wahabi langsung tidak boleh dibandingkan dengannya; ia seperti kanak-kanak baru mumaiyiz berbanding dengan hakim yang penuh bijaksana.

Budaya ‘al-din al-nasihah’ yang berkesan dan menyeluruh dalam Ahli Sunnah, bukan budaya ‘anti-establishment;’ dalam Wahabi nampaknya yang ada adalah budaya ‘anti-establishment’ daripada awal lagi. Kemajuan duniawi sebagai suasana untuk pembentukan hidup membina peribadi manusia berdasarkan ‘budaya uswatun hasanah’ bukan budaya ’selebriti’ (walaupun selebriti dalam perspektifnya yang betul dibenarkan).

Bagi kesedaran mengenai kedudukan hubungan harmoni di kalangan bangsa dan kaum serta agama, panduan Sunni memadai dalam hal ini; panduan intelektual dan rohaniah Wahabi tidak memadai.

Demikianlah secara ringkasnya perbincangan mengenai ajaran Ahli Sunnah dalam perspektif pembangunan ummah Islamiah dan elemen penting dalam pembinaannya berbanding pandangan Wahabi. Dengan itu maka pemikiran Sunni dalam bidang ini perlu diteruskan di Malaysia dan dunia Melayu dengan membuat perincian dalam bahagian yang memerlukannya, dengan pembetulan dan penambahan di mana yang diperlukan serta langkah praktikal. Ini berserta penyusunan langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menjayakannya. Dan intelektualiti cara Wahhabi mesti dijauhi bagi mengelak malapetaka intelektual, rohani dan tamadun berlaku di sini. Na’udhu billahi min dhalik! Moga-moga Allah menunjukkan kita kepada jalan yang lurus, amin. Wallahu a’lam.

disiarkan Berita Minggu 5 Disember 2009 – http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment