Sunday, 17 January 2010

Isu Kalimah Allah: Seperti Mencari Penyakit

Isu Kalimah Allah: Seperti Mencari Penyakit
Siti Shamsiah Binti Md Supi
Pegawai Penyelidik

08/01/2010 | Artikel Bahasa Malaysia

dipetik dari http://210.48.148.125/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1987&cmd=resetall

Tahun baru 2010 tidak dapat dimulakan dengan ceria oleh seluruh umat Islam di Malaysia kerana digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Disember 2009 yang lalu membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly. Walaupun ia mungkin metafora kepada kebebasan yang dimiliki oleh institusi kehakiman, akan tetapi nampaknya kebebasan tersebut diguna tanpa mengambil kira hati yang perlu dijaga; iaitu hati umat Islam.
Pada hemat penulis, cukuplah setiap orang yang dapat tinggal di tanah bertuah ini untuk melihat perkara ini dalam konteks negara sahaja, tanpa kita melangkau sempadan Selat Melaka, Selat Teberau mahupun Laut Sulu.
Sejak bumi Melaka menjadi tempat persinggahan bagi perjalanan perdagangan yang melibatkan Ormuz, Gujerat, Goa, Bengal, Acheh, Singapura, Borneo, Sulawesi, Maluku, Filipina, Canton dan Taiwan, penduduk tempatan yang rata-ratanya beragama Islam dapat hidup dengan aman dan tenteram, walaupun tetamu asing yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk agama tidak pernah surut, datang dan pergi.
Konsep siapa itu ‘Allah' diterima sejak pemelukan agama Islam oleh Sultan Melayu Melaka dan ia diperluaskan di kalangan rakyat, yang kemudiannya menjadi warisan turun-menurun, zaman-berzaman oleh anak-anak Melayu dan orang-orang Islam yang mendiami Tanah Melayu yang ibu pertiwi ini kemudiannya berkembang sebagai negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat. Dengan pemilikan secara turun-menurun dan zaman-berzaman dalam keadaan pemilikan ini tidak mencampuri agama dan budaya orang lain, malah menjejaskan kepentingan orang lain, apatah lagi tanpa mengambil apa yang orang lain miliki, mengapa secara tiba-tiba, selepas agama Islam dianuti di negara ini sejak lebih 1400 tahun yang dulu, ‘Ia' tiba-tiba sahaja perlu dikongsi dengan orang lain?
Pada umat Islam, kalimah Allah bukan sekadar nama biasa yang boleh dikongsi secara sewenang-wenangnya. Ia tidak seperti nama Mikhail yang mungkin boleh diambil oleh mana-mana individu yang berbeza pegangan, kerana ia melibatkan akidah sebagai unsur paling teras untuk memberi identiti tersendiri kepada setiap individu, dan kekal sekalipun setelah berlaku kematian.
Masyarakat Islam di Malaysia yang rata-ratanya orang Melayu memang terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, menghormati dan merai tetamu, selain terkenal dengan sikap mereka yang amat mudah untuk bertolak ansur. Bukanlah tujuan tulisan ini hendak mengungkit, akan tetapi bentuk masyarakat di Malaysia yang ada pada hari ini adalah hasil tolak ansur orang-orang tua dahulu. Timah telah dibahagi (malah pusara Long Jaafar juga dipercayai berada di Singapura sebelum dipindah dan dikandung semula oleh tanah negeri kelahiran), tanah juga telah diberi, apakah yang menjadi teras kepada iman juga harus dibenarkan untuk dijadikan sebagai barang permainan yang boleh dikongsi?
Dalam lunak bahasa ditutur dan disusun agaknya ada yang terlupa bahawa orang Melayu yang sememangnya beragama Islam, dan majoriti orang Islam di Malaysia merupakan orang Melayu, terkandung dalam diri bangsa ini jiwa dan hati yang amat perasa apabila disebut tentang agama. Di sini penulis membawa dua peribahasa yang popular yang menggambarkan jati diri bangsa ini, iaitu, "biar mati anak, jangan mati adat" dan "adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah", yang merumuskan bahawa darah daging itu jauh lebih kecil nilainya berbanding agama.
Malah terdapat pantun tradisi yang terkenal yang berbunyi, "Walaupun perahu sedang berlayar; Dilanda ombak karam terbalik; Walaupun Melayu terbilang sabar, apabila diinjak, pitamnya naik." Inilah sifat umum masyarakat Islam di negara ini; yang mewah dengan sikap sabar, sanggup bertolak ansur, telah berkongsi harta benda termasuk tanah air bersama-sama kekayaan yang terkandung di dalamnya dengan orang lain, akan tetapi agama adalah soal yang amat sensitif dan boleh menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam.
Masih ada kalangan yang terlupa tentang kesanggupan orang-orang dahulu yang rata-ratanya orang Melayu untuk berkongsi dan berkompromi dengan orang lain dengan pulangan supaya agama Islam itu dijadikan sebagai agama rasmi Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa "Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".
Sebagai perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, ia tidak dihuraikan secara terperinci oleh mana-mana undang-undang. Maka, mahkamah sivil bertanggungjawab untuk membuat huraian dan tafsiran terhadap peruntukan tersebut. Dan perlu disedari bahawa terdapat perkembangan terhadap tafsiran dan huraian berkenaan peruntukan tersebut. Tafsiran terhadap Perkara 3(1) pada tiga atau empat dekad yang lalu tidak sama dengan apa yang ditafsirkan oleh mahkamah yang sama pada hari ini.
Baru-baru ini kes Lina Joy, Kes Sulaiman Takrib dan Kes Abdul Kahar yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan (mahkamah yang tertinggi dalam negara) telah mendaulatkan semula tafsiran Islam dalam Perlembagaan sesuai dengan martabat Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini. Persoalan yang timbul adalah, mengapa penghakiman dalan kes Kalimah Allah seolah-olahnya cuba bertindak di luar lingkungan penghakiman-penghakiman tersebut sedangkan kes-kes tersebut telah diputuskan oleh mahkamah yang tertinggi dalam negara ini?
Seperkara lagi anggapan terhadap peruntukan tersebut oleh masyarakat awam, tidak sama sebagaimana oleh pengamal perundangan. Apabila Islam dijadikan sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia, tentulah ia dianggap sebagai mempunyai kedudukan yang istimewa. Maka, pelbagai keistimewaan harus diberikan kepadanya termasuklah jaminan dari sudut sifat eksklusif dan privasi agama itu sendiri. Lantaran itu, berlakulah konflik pandangan antara pandangan awam dengan pandangan perundangan.
Dalam konteks ini, pandangan awam mesti diambil kira dalam menangani isu agama seperti ini, bukan sahaja ditangani dalam ruang lingkup undang-undang semata-mata, malahan juga dari sudut realiti dan amalan masyarakat.
Apabila perkongsian dalam penggunaannya dibenarkan, sudah pasti ia boleh menjejaskan akidah umat Islam di negara ini. Sekali lagi kemurniaan Perlembagaan Persekutuan cuba dicemari lagi melalui Perkara 11(4), yang menyebut "Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti agama Islam". Sememangnya akan terbit sangkaan bahawa kalimah itu nanti akan dijadikan sebagai jarum yang paling halus dan tajam bilahnya yang akan digunakan untuk menembusi pemikiran umat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan kecelaruan hidup beragama.
Sebelum pitamnya naik, duduklah dengan diam dan beradab!

No comments:

Post a Comment