Sunday, 17 January 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah Kepada Selain Islam, Pro dan Kontra - Mohd Nazrul Abd Nasir

dipetik dari http://nazrulnasir.blogspot.com/2010/01/isu-penggunaan-kalimah-allah-kepada.html

Isu Penggunaan Kalimah Allah Kepada Selain Islam, Pro dan Kontra

Beberapa orang sahabat yang benar-benar prihatin dengan permasalahan umat Islam di Bumi Malaysia khususnya telah meminta saya membahaskan tentang isu penggunaan kalimah ALLAH oleh agama selain Islam. Saya amat berterima kasih kepada mereka semua yang sangat-sangat prihatin ini dengan baik sangka mereka kepada saya. Saya tidaklah ingin membicarakan secara panjang lebar permasalahan ini. Cuma sekadar berkongsi sedikit pandangan berkenaan isu ini. Sebelum berbicara lebih panjang elok kiranya kita mengetahui peratusan agama di Bumi Malaysia yang tercinta.

PERATUSAN AGAMA DI MALAYSIA

Menurut bancian tahun 2000, anutan agama Rakyat Malaysia adalah seperti berikut :

1. Islam : 60.4 %

2. Buddha, Taoisme dan Konfusius : 12 %

3. Kristian : 9 %

4. Hindu : 6 %

5. Lain-lain : 3 %

Mengapa saya berbicara tentang peratusan ini? Tujuan utama saya adalah untuk memberikan gambaran kepada pembaca sekalian bahawa kita perlu menyedari perkara ini dengan baik dan tidak terburu-buru melayari “ Bahtera Perubahan” yang dicanangkan. Jika kita melihat kepada peratusan tersebut, jelas Islam adalah agama yang terbesar peratusannya di Bumi Malaysia yang tercinta. Manakala agama lain pula hanyalah 40 % berbaki daripada jumlah asalnya.

TUHAN BAGI FAHAMAN AGAMA MASING-MASING

ISLAM

Bagi umat Islam sudah jelas lagi bersuluh bahawa kita mengatakan bahawa Tuhan yang layak dan berhak disembah hanyalah satu dan tiada sukutu padaNya iaitu Allah taala. Ini tidak dapat disangkal kebenarannya oleh mana-mana pihak sekalipun. Ini kerana iqrar pertama umat Islam ialah dengan menyebutkan kalimah :

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن سيدنا محمدا رسول الله

Maksudnya : Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah taala, dan aku juga bersaksi bahawa Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah pesuruhNya.

HINDU

Agama Hindu pula mempunyai fahaman berbilang-bilang Tuhan. Mereka menyembah matahari, lembu, ular besar, bumi , langit , dan pelbagai lagi tuhan sehingga menjangkau ribuan jenis tuhan yang disembah. Guru kami yang mulia al-Syeikh Dr. Taha Dusuqi, Dr Jamaluddin Afifi dan Dr Abdullah Muhyiddin Azb hafizahumullah menyebutkan di dalam kitab mereka yang bertajuk :

“ نظرات في الديانات الشرقية”

Bahawa agama Hindu berlakunya pelbagai peringkat perubahan pada kefahaman tentang Tuhan. Sehinggalah tiba pada kurun ke-9 @ ke-8 kesemua tuhan-tuhan tersebut digabungkan menjadi satu Tuhan yang mempunyai 3 zat yang berbeza. Tuhan-tuhan mereka ialah :

1. Brahma : Tuhan yang menciptakan alam

2. Vishnu : Tuhan yang menjaga alam daripada hancur

3. Siva : Tuhan yang menciptakan kehancuran .

BUDDHA

Manakala agama Buddha pula hampir sama pegangan agamanya dengan agama Hindu.

KRISTIAN

Manakala tuhan bagi golongan Kristian pula ialah terbahagi kepada 3 tuhan yang bergabung menjadi satu tuhan yang sama. Ini berbeza berdasarkan kepada fahaman aliran di dalam Kristian :

1. Orthodox : mereka menganggap bahawa Jesus adalah Allah, dan Allah itu adalah Ruh al-Qudus.

2. Katolik : mereka menganggap bahawa Jesus mengumpulkan kedua-dua jenis sifat iaitu bersifat manusia dan bersifat ketuhanan.

3. Protestan : mereka menganggap seperti fahaman golongan Orthodox iaitu dengan mengatakan bahawa Jesus itu adalah Allah dan Allah itu adalah Ruh al-Quds cuma mereka sedikit berbeza dengan golongan Orthodox pada sebahagian permasalahan. Saya tidak bercadang untuk membahaskannya kerana ini bukanlah tajuk perbahasan utama.

Jika kita memerhatikan dengan jelas perbahasan di atas maka jelas kita fahami bahawa agama-agama lain umumnya tidak langsung menggunakan kalimah ALLAH. Malah hanya kita dapati digunakan di dalam kelompok Kristian. Itupun bagi mereka Tuhan Allah yang difahami oleh mereka adalah berbeza sama sekali dengan Allah taala yang kita sembah. Ini jelas pengakuan daripada mereka sendiri malah ada di antara mereka sendiri yang menolak cadangan penggunaan kalimah Allah di dalam bahasa pertuturan mereka!!!.

Persoalan yang berlegar di ruang pemikiran saya, mengapa ada sebahagian orang membenarkan untuk kalimah ini digunakan oleh orang bukan Islam khususnya golongan Kristian? Ya, saya tidak menafikan bahawa memang terdapat ayat Allah taala yang mana menyebutkan dengan jelas bahawa bilamana ditanyakan kepada golongan bukan Islam siapakah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi? Maka tentu mereka akan menjawab Allah taala seperti yang disebutkan di dalam surah Luqman ayat 25 :



Maksudnya : dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Ayat lain yang digunakan oleh mereka untuk menjadi dalil utama ialah seperti yang disebutkan di dalam surah al-Mukminun ayat 86-87:



Maksudnya : Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Namun sejauh mana benar penghujahan mereka dengan menggunakan ayat ini sebagai dalil bahawa golongan bukan Islam juga berhak menggunakan kalimah ini sebagai kalimah suci bagi Tuhan mereka?

Mengapa mereka boleh untuk mengambil ayat-ayat ini sebagai dalil utama mengatakan bahawa golongan bukan Islam khususnya Kristian juga berhak menggunakan kalimah Allah ?

Bila saya memikirkan dengan semasak-masaknya, maka jawapannya saya temukan bilamana membaca risalah ringkas karangan Syaikhuna al-Allamah Dr Umar Abdullah Kamil hafizahullah yang berjudul :

بيان خطأ التقسيم الثلاثى للتوحيد

Risalah ini membincangkan berkenaan kesalahan penggunaan Tiga Tauhid iaitu Rububiyah, Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa al-Sifat yang diasaskan oleh al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Saya tidak bercadang membahaskannya satu persatu ini kerana ianya memerlukan perbahasan khusus berkenaan perkara tersebut.

Apa yang ingin saya bicarakan disini adalah kesalah fahaman daripada permasalahan Tiga Tauhid inilah yang menyebabkan ramai terkeliru mengatakan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani @ Kristian ini mempercayai bahawa Allah taala itu adalah tuhan.

Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Tadmuriyah mukasurat 106 :


Maksudnya : Tauhid Rububiyyah – Bagi pandangan Ibn Taimiyyah- adalah merupakan fahaman yang mengatakan bahawa Allah taala yang menjadikan alam ini , dan mentadbirnya secara keseluruhan . Pegangan ini ada pada golongan musyrikin apatah lagi golongan Mukminin.

Malah al-Imam Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa tauhid Rububiyyah sahaja tidaklah cukup untuk mengatakan bahawa seseorang itu beriman. Menurutnya lagi, para Nabi sebenarnya bukanlah diutuskan untuk membawa Tauhid Rububiyah , namun untuk membawa Tauhid Uluhiyyah. Inilah perbezaan ringkas di antara Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah seperti fahaman Ibn Taimiyyah dan penyokong-penyokongnya.

Tauhid Rububiyyah : Semua orang mempunyai tauhid ini. Sama ada Muslim atau bukan Muslim Tauhid Uluhiyyah : Mukmin sahaja yang mempunyainya.

Fahaman ini jelas bertentangan dengan pendapat para ulama Islam yang lain.

Saya merasakan bahawa dengan fahaman “golongan bukan Islam juga mempunyai Tauhid Rububiyyah” inilah yang menyebabkan sebahagian masyarakat Islam yang mengatakan bahawa tiada masalahnya penggunaan kalimah Allah kepada agama selain Islam.

Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa semua orang termasuk bukan Islam juga mempunyai Tauhid Rububiyyah. Namun bagaimana pula dengan Firaun yang mengaku bahawa dirinya sendiri adalah tuhan? Ini seperti yang disebutkan di dalam al-Quran ayat 24 surah an-Naazi’at :

Maksudnya : Dengan berkata: "Akulah Tuhan kamu, Yang tertinggi".

Namrud juga mengaku bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan orang ketika berdebat dengan Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam.

Jadi , di manakah Tauhid Rububiyyah pada Firaun dan Namrud seperti yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah?? Adakah Nabi Ibrahim mengatakan kepada Namrud bahawa “ Sebenarnya kamu wahai Namrud telah ada Tauhid Rububiyyah, Kami para Nabi diutuskan oleh Allah taala untuk membawa Tauhid Uluhiyyah kepada kamu semua”???

Ini jelas menunjukkan bahawa pemahaman seperti itu adalah bertentangan dengan fahaman ulama Islam yang lain, malah bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

Malah perkataan Rabb itu bukanlah khusus untuk fahaman mengatakan bahawa ianya Tuhan yang mencipta bukan yang berhak disembah seperti fahaman Ibn Taimiyyah dan penyokongnya. Malah Rabb juga adalah kalimah yang digunakan oleh para Nabi bagi menyeru manusia kepada Allah taala dan menafikan tuhan selain Allah taala. Ini seperti yang disebutkan oleh Nabi Allah Harun di dalam surah Thahaa ayat 90 :

Maksudnya : dan Demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan Dengan patung itu, dan Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, Ikutlah daku dan Taatlah akan perintahku".

Terdapat banyak lagi dalil yang ingin saya sebutkan di sini namun dalil-dalil yang lain bolehlah merujuk di laman ini.

Bagaimana pula dengan pengakuan mereka sendiri di dalam al-Quran bahawa Allah adalah Tuhan? Bukankah itu juga sebagai dalil bahawa mereka mengakui bahawa Allah adalah tuhan mereka juga?

Hakikatnya mereka menyebutkan seperti di dalam ayat 25 surah Luqman :


Adalah semata-mata ingin melepaskan diri kerana tiada lagi jawapan lain yang dapat mereka berikan. Penerangan mudahnya ialah , jika seseorang itu kehabisan hujah maka dia akan mengakui apa sahaja yang dikatakan kepadanya. Namun selepas daripada itu mereka akan tetap mengingkarinya. Ini jelas seperti tempelakan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam ayat al-Mukminun 86-87:

Maksudnya : Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Mereka memang pernah berjanji dengan Allah taala sejak daripada azali namun mereka sendiri yang mengingkarinya seperti yang disebutkan di dalam ayat 27 surah al-Baqarah :


Maksudnya : (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka itu ialah orang-orang Yang rugi.

KESIMPULANNYA

Kesimpulannya, penggunaan kalimah Allah kepada agama selain Islam adalah tidak tepat sama sekali. Ketidak tepatan ini bukanlah khusus kepada permasalahan sensitiviti agama Islam sahaja, namun juga turut salah daripada penggunaan bahasa dan keadaan masyarakat di Malaysia itu sendiri.

Mereka tidak layak untuk menggunakannya. Malah jika membaca hasil tulisan Saudara RausyanFikir.com dan laman Ust Ibnu Nafis , sahabat saya dari jauh, maka saya rasakan bahawa sidang pembaca semua akan lebih jelas mengapa kita benar-benar tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah ini kepada agama selain Islam.

Sebelum ini tidak pula mereka gunakan di dalam tanah Melayu kita, mengapa pula sekarang mereka beria-ia sangat ingin menggunakannya? Tentu sekali ada agenda lebih penting yang ingin mereka laksanakan. Kami para penuntut ilmu agama , hanya menyediakan hujah ketidak setujuan kami terhadap perkara ini, maka selebihnya, saya menyerahkan kepada pihak yang lebih berpengalaman untuk mengkaji sebab musababnya mengapa golongan Kristian ini beria-ia benar akhir-akhir ini.

Mukmin yang baik adalah yang sentiasa bersedia dengan segala jenis serangan. Bukan hanya serangan senjata malah lebih-lebih lagi ialah serang pemikiran.

Fikir-fikirkanlah…

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir

Rujukan :
1. نظرات في الديانات الشرقية karangan tiga orang Doktor al-Azhar al-Syarif

2. بيان خطأ التقسيم الثلاثي للتوحيد karangan Dr. Umar Abdullah Kamil hafizahullah.

3. الله جل جلاله واحد أم ثلاثة karangan Dr. Munqiz bin Mahmud al-Saqar

4. الملل و النحل karangan al-Imam Shahrastani rahimahullah

5. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27/12/2009

No comments:

Post a Comment