Friday, 22 January 2010

dipetik dari

http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2010/01/15/ulasan-jawapan-institut-al-qayyim-terhadap-tulisan-tauhid-3-serangkai-yayasan-sofa/

Ulasan Jawapan Institut Al-Qayyim Terhadap Tulisan Tauhid 3 Serangkai Yayasan Sofa

Artikel ini adalah ulasan Dr Asmadi Mohamed Naim kepada jawapan Institut Al-Qayyim terhadap tulisan Tauhid Tiga Serangkai oleh Yayasan Sofa yang disiarkan dalam Utusan Malaysia
**************************
Saya mendapat kiriman jawapan Institut Al Qayyim terhadap artikel Yayasan Sofa. Saya siarkan di sini untuk penelitian pembaca. Saya masukkan komen saya pada artikel tersebut (berwarna) dalam keadaan saya belum membaca kesahan teks rujukan asalnya berbahasa Arab. Saya memberi komen bukan mewakili Yayasan Sofa, sebaliknya dari pengamatan saya semata-mata. Selamat membaca dengan hati yang terbuka.
Jawapan Institut Al Qayyim Terhadap Artikel Yayasan Sofa
Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 [sebenarnya 30 Nov 2009 Utusan Malaysia hari Isnin, bukan 29 Nov - AKO] oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?
Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.
(Komen Dr Asmadi: Datangkan hujah dulu sebelum membuat tuduhan orang lain dangkal, cetek dan taklid membabi buta. Ini merupakan metode ‘memaki’ yang tidak baik bagi suatu bicara ilmu)
Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.
Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.
Tujuan Pembahagian Ilmu Islam
Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.
(Komen Dr Asmadi: Alhamdulillah Usul Fiqh diiktiraf semula sebagai satu cara pentafsiran teks al-Quran dan sunnah. Justeru, pentafsiran al-Quran dan sunnah tanpa ilmu Usul Fiqh adalah pentafsiran mengikut akal masing-masing. Seseorang itu bukan mujtahid sekiranya tidak belajar dan menguasai Usul Fiqh).

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.
(Komen Dr Asmadi: Pembahagian ilmu-ilmu ini adalah bidaah sebab ia adalah sesuatu yang baru. Setiap yang baru itu bidaah (Kull muhdasatin bid’ah). Satu perkara bidaah dalam mempelajari ilmu Islam. Walaupun begitu ia adalah bidaah yang mahmudah (terpuji), yang sepakat ulama membenarkan untuk memudahkan pengajian Syariah. Saya agak hairan kenapa dinafikan ianya bidaah (sesuatu yang baru)dengan mengklasifikasikannya bukan bidaah? Kenapa pula dikatakan seorang itu amat jahil apabila dikatakan penyusunan ilmu-ilmu ini bidaah? Atas dasar itulah ulama membahagikan bidaah kepada bidaah yang keji dan bidaah yang terpuji. Jahilkah Imam al-Izz bila beliau memasukkan penyusunan ilmu tersebut  kepada ilmu fiqh, tauhid, ilmu hadis sebagai bidaah hasanah (bidaah terpuji).
Bahkan pembahagian Imam al-Izz bin Abdul Salam amat sesuai dengan pemahaman bidaah. Penyusunan ilmu sedemikian beliau kelaskan dalam bidaah yang wajib. Pembinaan binaan atas kubur, beliau katakan sebagai bidaah yang haram (tetapi tidak menyesatkan). Senang untuk masyarakat faham. Manakala, bidaah dalam aqidah, baru beliau sesatkan.
Lihat kitab ulama Imam al-Izz bin Abd al-Salam iaitu Qawaid al-Ahkam).
Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:
Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).
(Komen Dr Asmadi: Jawapan ini nampak canggih tetapi tidak jujur. Terpaksa memasukkan perkataan ‘rububiah’ dalam kurungan untuk buktikan Ibn Battah sokong Ibn Taimiyyah. Cuba pembaca buang perkataan dalam kurungan tersebut dan baca: Pertama: Rabbaniah, kedua: Wahdaniyyah, ketiga: Sifat-sifat Allah SWT.
Pertama Rabaniyyah Allah. Saya kena periksa teks bahasa Arab kitab ini, sebab terjemahan mengelirukan iaitu “agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta”. Golongan Ta’til sebenarnya mengatakan adanya tuhan tetapi menafikan Sifat-sifat Allah SWT! Ini membuktikan mempelajari Rabbaniyah yang dimaksudkan ialah meyakini Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat ketuhanan (rangkuman rububiah dan uluhiah sekaligus).


Pada pandangan Ahlussunnah, rububuyah dan uluhiyah adalah tidak terpisah (saling melazimi) dan ia termasuk pandangan Ibn Battah, bahkan perkataan ‘ilah’ merangkumi rububiyah dan uluhiyyah. Sebagai contoh, ayat 24, Surah al-Nazi’at, bermaksud: “(Firaun berkata) Aku tuhanmu (Rabb) yang maha tinggi”. Istilah Rabb yang didakwa oleh firaun meliputi pengakuannya ketuhanannya (rububiah) dan juga uluhiah (layak disembah). Demikian juga perjanjian ruh dengan Allah SWT dalam Surah al-A’raf, ayat 172 bermaksud: “Bukankan aku Rabbmu (tuhanmu), Ruh berkata: Benar, kami bersaksi”. Ruh bersaksi Allah tuhannya dalam bentuk rububiah dan uluhiyahnya secara serentak. Ruh bukan hanya bersaksi atau bertauhid rububiyyah sahaja!
Kedua Wahdaniyyah Allah SWT (Ke-Esaan Allah). Setelah meyakini Allah SWT mempunyai sifat-sifat kesempurnaan kekuasaan dalam ‘rabbaniyah’ tadi (rububiyyah dan uluhiyyah), maka tidak boleh pula mensyirikkan Allah.
dan Ketiga: Keyakinan pada sifat-sifat yang layak untuk Allah SWT. Jadi, mempelajari sifat-sifat Allah SWT (inilah hujah sifat 20!) termasuk dalam akidah Ahlusunnah Wal jamaah. Masalahnya, bila kami gunakan kata-kata Ibn Battah ini untuk menunjukkan golongan Salaf juga bersetuju mengkaji sifat-sifat Allah SWT, golongan ini menolak pula hujah ini!
Jadi, kata-kata Ibn Battah ini bukannya menyokong pembahagian tauhid Ibn Taimiyyah).
Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:
(Komen Dr. Asmadi: Penjelasan Ibn Battah berbeza dengan Ibn Taymiyyah. Saya belum sempat periksa pandangannya mengenai pengesaan Allah SWT dari tempat dan masa. Bila saya dapat buku tu nanti, saya akan perkemaskan komen saya. Nanti saya buktikan pandangannya tentang Tauhid Sifat bila saya mendapat buku ini).
Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).
Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”
(Komen Dr Asmadi: Sekali lagi, penjawab terpaksa memasukkan dalam kurungan perkataan ‘rububiah’ dan ‘uluhiah’ bagi membawa kefahaman pembaca kepada kefahamannya. Saya syorkan pembaca membaca terjemahan ini sekali lagi tanpa perkataan dalam kurungan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).
Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah, sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah.”
Nilai sendiri, adakah ada tauhid rububiah dan tauhid uluhiah? Sedangkan ayat Surah Yusof itu jelas mengatakan mereka sebenarnya tidak beriman. Adakah Ikrimah RA kemudian mengatakan: ‘Orang-orang Musyrik hanya beriman dengan tauhid rububiah?
Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”
(Komen Dr Asmadi: Baca terjemahan ayat ini tanpa perkataan dalam kurungan:
Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “di antara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah.”
Buat penilaian sendiri. Ada ke Ibn Abbas sebut tauhid uluhiyyah?.

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”
(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:
Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya, sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah.”
Buat penilaian sendiri. Ada ke Qatadah sebut tauhid uluhiyyah?.
Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)
(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:
Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah kepada selain Allah.”
Buat penilaian sendiri. Ada ke Mujahid sebut tauhid uluhiyyah? Jadi bukanlah Imam Ibn Jarir al-Tobari mengatakan demikian, cuma beliau menukilkan pandangan sahabat yang bukan juga mengatakan secara jelas ‘orang-orang musyrik adalah ahli tauhid rububiah, sebaliknya musyrik dalam golongan orang-orang yang tak beriman).

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:
1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )
2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.
3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”
(Komen Dr Asmadi: Kena semak keseluruhan kitab-kitab ini adakah mentafsirkan sebagaimana Tauhid 3 serangkai ibn Taimiyyah. Mengikut maklumat sahabat saya yang biasa membelek kitab Imam Abu Hanifah: Fiqh al-Absat (sahabat ini sedang menyelia tesis PhD pelajarnya yg menggunakan kitab ini), kitab ini menjadi asas kepada aliran Maturidi oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana beliau seorang yang bermazhab Hanafi. Kalau betul maklumat ini nanti (saya minta beliau menyemak), sekali lagi pembaca tertipu dengan nama-nama kitab ulama Salaf yang dikatakan seolah-olah menyokong Ibn Taimiyyah).
Agama melarang taklid buta
Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.
(Komen Dr Asmadi: Betul, tidak boleh taklid buta pada persoalan akidah. Sebab itu saya mengharap, ada hadis-hadis yang jelas berkaitan dengan pembahagian ini dan keyakinan-keyakinan di dalamnya. Contohnya ada dalil jelas yang mengatakan orang-orang musyrik beriman dengan ‘iman rububiah’ tetapi tidak beriman dengan iman ‘uluhiah’. Malangnya, tidak ada pun dalil yang benar-benar menyebut perkara itu secara jelas. Orang-orang awam yang tidak mampu membaca kitab-kitab Arab tersebut akan mudah tertipu dengan hujah-hujah tersebut.
Kalau mengikut metode pandangan ini, persoalan berzikir, berdoa berkumpulan adalah bidaah yang sesat sebab tiada dalil ’sahih’ dan qat’ie mengenainya walaupun al-Quran dan sunnah sarat dengan saranan suruh berdoa dan berzikir. Bagaimana pula boleh diterima penghuraian akidah 3 serangkai itu, tanpa dalil-dalil sahih dari al-sunnah sendiri? Celarukan dan tidak adil cara berfikir sedemikian? Hujah- hujah yang digunakan di atas pun, bukannya menyokong pandangan Ibn Taimiyyah!
Saya semakin yakin yang orang-orang yang bertaklid dengan Sheikh Ibn Taimiyyah tidak mempunyai dalil-dalil dari al-Quran dan hadis. Mereka terpaksa mengulang-ulang hujah Ibn Taimiyyah dan memasukkan perkataan ‘rububiah’ dan ‘uluhiah’ dalam kata-kata ulama silam!
Wallahu a’lam. Semoga kita baca ulasan ini dengan fikiran yang terbuka. Saya tidak mahu menuduh dangkal, cetek dan seumpamanya. Cuma saya masih tertunggu-tunggu hujah ’sahih’ dan nyata dari al-Quran dan al-Sunnah.

No comments:

Post a Comment