Thursday, 4 March 2010

Masjid bawa Lucy peluk Islam

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Masjid bawa Lucy peluk Islam



Lucy Bushill Matthews kini tenang meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim.



HATINYA begitu tertarik kepada Islam apabila penganutnya kelihatan begitu santun dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Tetapi apabila dirinya memeluk Islam atau lebih tepat menjadi mualaf di sebuah negara majoritinya bukan Islam tentunya menjadi satu kehidupan yang sangat sukar untuk dilalui. Segala-galanya memerlukan kesabaran yang lebih.
Kerana itu jika tidak kuat menghadapinya maka Islam itu akhirnya menerima cemuhan pelbagai pihak. Sebaliknya, jika segalanya berjaya dilalui dengan ketabahan dan kesabaran dengan sendirinya cahaya Islam akan senantiasa menyinari disetiap sanubari.
Inilah situasinya yang dilalui oleh seorang wanita Inggeris, Lucy Bushill Matthews sejak memeluk Islam 16 tahun lalu.
Dalam buku Welcome To Islam, ibu kepada tiga anak itu mengisahkan liku-liku perjalanan hidupnya untuk menemui Islam.
Segala-galanya bermula pada usia 16 tahun, apabila orang tua Lucy mula menghantarnya ke sebuah sekolah berasrama, yang para pelajarnya terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Saat itu juga Lucy berkenalan dengan seorang pemuda, Julian, seorang Muslim berdarah campuran Inggeris dan Iran.
Jika dilihat dari aspek fizikalnya, Julian mungkin tidak ada bezanya dengan pemuda-pemuda Inggeris yang lainnya.
Namun Lucy mendapati Julian ternyata berbeza, yang membuatkan hati perempuannya benar-benar tertarik.
Lebih-lebih lagi Julian tidak pernah mengambil minuman beralkohol bahkan segelas air anggur pun tidak diteguknya.
Kebiasaan Julian itu tentu sahaja sangat berbeza dengan begitu aneh sebenarnya berbanding remaja-remaja lain yang kebiasaannya akan menghabiskan masa terluang dengan minum arak sehingga mabuk.
Lucy menganggap Julian seorang yang tidak wajar apabila tidak pernah minum arak namun Lucy ingin mengetahui dari mulut Julian mengapa, sikapnya itu cukup berbeza.
Lantas Lucy segera menemui Julian bagi mendapatkan jawapan.
Lalu Julian menerangkan kepada Lucy akan pegangan agama Islamnya yang tidak memungkinkan seluruh penganut agama itu menyentuh arak atas segala macam sebab dan musabab.
Ini termasuk kesan buruknya yang menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarasan akal dan tindak tanduknya.
"Apabila sudah tidak waras, Lucy pasti tahu apakah perlakuan-perlakuan buruk yang timbul menyebabkan hidup tidak lagi aman dan harmoni," kata Julian.
Islam? Inilah kata kunci kepada Lucy yang membawanya untuk terus mengenali Islam yang selama ini beliau menganggap Islam adalah agama yang biasa, sama seperti agama-agama yang lain yang wujud di dunia ini.
Lalu Lucy menghabiskan banyak masa lapangnya membaca apa sahaja mengenai Islam. Sehinggalah pada suatu Lucy tertarik dan berani untuk menjejakkan kakinya ke sebuah masjid berdekatan Regent's Park London.
Lucy dibawa melawat ke seluruh masjid tersebut dan di akhir kunjungan, beliau diberikan sebuah buku What Everyone Should Know About Islam and Muslim.
Menurut Lucy, buku itu mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam yang selama ini begitu berkecamuk dalam hati dan fikirannya.
"Yang membuatkan saya benar-benar tertarik sebelum saya meninggalkan masjid itu apabila saya melihatkan ruang atau tempat berdoa (dewan sembahyang) dalam masjid itu.
"Tidak ada sebarang perabot. Kecuali yang ada hanyalah hamparan permaidani dari tembok ke tembok dan beberapa orang sedang membaca doa sambil menadahkan tangan dalam keadaan yang begitu tenang dan sunyi.
"Saya melihat mereka memberi tumpuan dan begitu mengharap memanjatkan doa," kata Lucy.
Ini membawakan Lucy menyertai kumpulan mahasiswa-mahasiswa Muslim ketika beliau mula melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge walaupun beliau belum lagi memeluk Islam ketika itu.
Ini semata-mata untuk memantapkan lagi minatnya terhadap Islam.
Apabila bercakap mengenai ibadat dalam Islam, Lucy mengakui bahawa kesemua jenis ibadat agama itu dapat diterima dek akal.
"Ikrar keimanan (lafaz kalimah syahadah) harus diucapkan berulang kali, solat lima waktu, berpuasa sebulan sekali dalam setahun, menyumbangkan harta (zakat) dan beribadat di Mekah sekali seumur hidup.
"Namun yang menariknya, umat Islam boleh beribadat lebih dari semua itu, terutamanya adanya amalan-amalan ibadat yang sunat tanpa mengurangi yang wajib atau ibadat yang pokok itu," katanya.
Akhirnya pada November 1991, secara rasmi Lucy meninggalkan Kristian untuk menganut Islam yang telah dipercayai, dipelajari dan tentu sekali dengan seribu satu hidayah dari Allah yang membuka hati sepenuhnya kepada Islam.
Berita pengislaman Lucy itu diterima dengan pelbagai reaksi oleh warga kampus namun yang penting, keluarganya menerima perubahan yang dialami oleh Lucy itu.
Kecuali si ibu yang begitu terkejut tetapi perlahan-lahan mampu menerima apabila si anak tidak mengurangkan sedikitpun kasih sayang dan perhatian terhadap dirinya.
Sementara bapa Lucy menganggap puterinya itu sedang mengalami fasa-fasa baru dalam kehidupan dan kakaknya sendiri, iaitu Julie memberikan sokongan dan bersikap positif terhadap keputusan Lucy untuk menjadi Muslim.
Apa pun cabaran selepas memeluk Islam, Lucy mampu hadapi dengan tabah kerana beliau telah melewati cabaran yang lebih getir yang lazimnya sering dialami oleh saudara-saudara baru yang lain, iaitu tentangan pihak keluarga.
Malah mungkin lebih sukar sekarang bagi Lucy untuk mendapatkan makanan yang halal, ruang untuk beribadat dan sehinggalah membalas pandangan bukan Islam yang cukup hairan melihat seorang wanita Inggeris yang menutup aurat dan memakai tudung.
Begitu pun kerana kuatnya kepercayaan Lucy bahawa Tuhan itu ada, lalu sering menyandarkan bahawa Allah sentiasa berada di sisinya dan pasti akan membantu mana-mana hamba-Nya yang memerlukan bantuan.
"Semakin kuat saya mempercayai kewujudan tuhan, semakin kuat saya merasakan bahawa Allah ada di sisi saya lebih-lebih lagi Allah pasti tahu bahawa saya kini merupakan golongan yang minoriti dalam masyarakat saya sendiri sedangkan dahulunya saya adalah majoriti," ujarnya.

No comments:

Post a Comment