Monday, 8 March 2010

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (4): Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Takfir?

Siri Penolakan Terhadap Wahabi (4): Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Takfir?

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/75

Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Takfir (Pengkafiran Sesama Islam)

            Namun, menurut Sheikh Hasan bin Farhan Al-Maliki dalam buku beliau “da’iyah wa laisa nabiyan” (Seorang Pendakwah, bukan Seorang Nabi), Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab sememangnya terlibat dalam gejala mengkafirkan kebanyakkan orang-orang Islam khususnya di zamannya, termasuklah para ulama’ sezaman dengannya.

            Antara buku beliau (Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab) yang memuatkan pengkafiran beliau terhadap kebanyakkan muslim pada zamannya ialah buku Kasyfu As-Syubhat (Menyingkap Syubhat-syubhat). Dalam buku tersebut memuatkan perkataan-perkataan berbentuk pengkafiran terhadap sesama muslim secara sewenang-wenangnya, samada secara jelas mahupun secara kiasan.

            Oleh yang demikian, sikap takfir (sewenang-wenangnya mengkafirkan) sesama muslim yang dibawa oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab turut diwarisi oleh para pengikut dan pembelanya, sehingga membawa kepada taasub, perpecahan sesama Islam dan sehinggalah ada yang sanggup membunuh sesama muslim kerana takfir tersebut.

            Oleh yang demikian, kebanyakkan daripada mereka yang mengaku pengikut pemikiran Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab (iaitu Wahabi), sewenang-wenangnya menghukum golongan yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai fasiq, pembuat bid’ah dan ada yang sampai mengkafirkan mereka.

            Sikap ta’asub, jumud dan tasyaddud (bersikap keras dalam menolak pihak yang tidak bersetuju dengannya), merupakan hasil semaian dari sikap induknya iaitu, takfir. Pada situasi yang terdesak, golongan tersebut menyembunyikan agenda takfir sesama Islam dalam pelbagai praktik, seperti membid’ahkan mereka yang tidak sama dengan pendapat golongan tersebut, dan mengingkari perkara-perkara khilafiyah atas nama “kebenaran mutlak”, seolah-olah, merekalah yang mengetahui kebenaran dalam masalah khilafiyah, takkala  para ulama’ saling berselisih pendapat mengenainya, dan membatalkan hak ijtihad mereka yang tidak selari dengan pendapat golongan tersebut.

            Adapun golongan yang sibuk membela Wahabi kerana terpengaruh dengan mereka, dan kalau tidak membela Wahabi sekalipun, namun tetap bersikap dengan sikap Wahabi (ta’asub, jumud dan tasyaddud yang melampaui batas), dan berfahaman seperti fahaman Wahabi (dengan sewenang-wenangnya membid’ahkan perkara-perkara khilafiyah dan bermati-matian menyalahkan mereka yang tidak sehaluan dengannya), namun tidak mengaku Wahabi, sesungguhnya ketahuilah, mereka mengaku atau tidak, kalau anda berfikir seperti fikiran Wahabi, mereka termasuk dalam sasaran penentangan golongan yang menenolak Wahabi, kerana mereka menolak Wahabi bukan kerana nama, tetapi kerana bahaya pemikiran yang dibawa oleh mereka (golongan Wahabi).

            Persoalannya, bagaimana tentang segolongan manusia yang mengaku Salafi, tetapi tidak mengaku Wahabi, kerana mereka menganggap diri mereka mengikut salaf, sedangkan selain dari mereka (yang bukan salafi), tidak mengikut manhaj salafus soleh?

            Mereka mengaku sebagai pembawa atau pembela manhaj salafus soleh, dan turut bersetuju dengan golongan Wahabi dalam pendirian mereka untuk memperjuangkan manhaj salaf di zaman ini, namun tidak bersetuju dengan sikap sesetengah Wahabi yang terjebak dengan sikap ta’asub, jumud dan melampaui batas sehingga sampai tahap mengkafirkan sesama Islam sewenang-wenangnya.

            Kalau mereka merasakan diri mereka sedemikian, ketahuilah bahawa, mereka terkeliru.

            Selain dari Salafi Wahabi, yang tidak terjebak dalam kencah takfir, tidak perlu melaungkan slogan “kami Salafi bukan Wahabi”, sebagai tanda bahawa dia membawa suatu gelombang baru dalam dunia Islam, yang bukan Wahabi dan bukan pula penentang Wahabi. Mereka adalah Salafi.

            Kekeliruan utama mereka adalah, pada istilah salafi itu sendiri. Salaf, seperti kata-kata Dr. Al-Buti dalam bukunya As-Salafiyah, bukanlah merujuk kepada suatu corak pemikiran atau mazhab, tetapi ia merujuk kepada suatu tempoh atau peringkat masa yang pernah dilalui oleh umat Islam, iaitu tiga kurun pertama hijrah.

            Jadi, seseorang yang mengaku salafi pada hari ini, bererti, tidak memahami penggunaan kata Salafi itu sendiri, dalam perbendaharaan kata ilmuan Islam, kerana kata tersebut merujuk kepada tempoh masa sesuatu zaman, bukan merujuk kepada metodologi pemikiran.

            Kalaulah mereka yang mengaku Salafi pada hari ini, dengan makna, sebagai pembela manhaj salafus soleh, maka apa bezanya dengan golongan yang tidak mengaku salafi pada zaman ini, sedangkan mereka juga berpegang dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sama seperti Al-Qur’an dan As-Sunnah yang dipegangi oleh para salafus soleh?

            Dr. Al-Buti pernah menjawab persoalan ini dengan suatu persoalan yang lain iaitu: “Bagaimana saya ingin menjadi salafi pada hari ini?”

            Beliau seterusnya menjawab, ada dua jawapan untuk persoalan tersebut, tetapi kedua-duanya adalah tidak masuk akal.

            Pertama: Mengikuti gaya hidup, adab resam, cara pemakaian dan cara hidup yang sama dengan cara hidup golongan salafus soleh, dari sudut tempat tinggalnya, pemakaiannya dan sebagainya, dan ini suatu yang tidak diterima akal.

            Ini kerana, mereka dahalu hidup tanpa teknologi yang dinikmati oleh kita hari ini. Takkan kita perlu menghindari kemajuan teknologi yang sedia ada, untuk kembali hidup dengan gaya dan cara hidup golongan salafus soleh dahulu kala, yang menjadikan unta dan kuda sebagai tunggangan dan sebagainya? Jadi, ini bercanggah dengan prinsip-prinsip kemasyaratan dalam Islam sendiri, yang menggalakkan kemajuan sesuatu masyarakat dalam bidang keduniaan juga.

            Kedua: Mengikuti metodologi ilmiah yang disusun oleh golongan salafus soleh, dan menghadkan kaedah berijtihad dengan lakaran ilmiah yang telah digunakan oleh mereka tanpa boleh mengembangkannya.

            Hal ini juga tertolak dengan beberapa aspek iaitu, golongan salafus soleh tidak pernah melakarkan kepada kita suatu metodologi penggalian hukum yang tetap, jelas dan statik untuk kita pada hari ini. Bahkan di zaman mereka juga, metodologi penggalian hukum dan kaedah berijtihad berkembang dan terus berkembang tanpa sebarang larangan oleh mereka sendiri, selagi ia didasarkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah.

            Aspek yang kedua ialah, keutuhan syariat Islam itu sendiri, yang bersifat fleksibel dan sesuai untuk sepanjang zaman, dengan metodologi penggalian hukum (usul fiqh, qowa’id fiqhiyah dan sebagainya) yang fleksibel, yang membolehkan manhaj ilmiah dalam berijtihad terus berkembang sejajar dengan prinsip-prinsip asas agama Islam.

            Kalau ijtihad kita hanya perlu terhad kepada ijtihad salafus soleh, dan manhaj ilmiah kita terus terhad dengan manhaj ilmiah mereka yang terdahulu, tanpa dibenarkan untuk dikembangkan, maka bagaimana hukum Islam dapat berperanan terhadap perkara-perkara baru yang timbul dari peredaran cara hidup dan kemajuan hidup manusia pada hari ini. Kalau ijtihad kita hanya terhad kepada ijtihad golongan salaf, bagaimana kita mampu menggali hukum mengenai bayi tabung uji, pengklonan, dan sebagainya yang belum lagi pernah dibincangkan oleh salafus soleh pada zaman mereka? Oleh itu, perkembangan manhaj berfikir ilmiah umat Islam, dan metodologi penggalian hukum akan terus berkembang sejejar dengan perkembangan zaman, dan inilah antara ciri-ciri kefleksibilitan Islam yang sesuai sepanjang zaman.

            Berdasarkan keterangan tadi, jelaslah bahawa, salaf hanya merujuk kepada suatu zaman dalam umat Islam, iaitu tiga kurun pertama hijriyah, bukan merujuk kepada suatu pola pemikiran, kerana pada zaman salafus soleh juga, tiada suatu pola pemikiran yang tersusun, yang boleh dikatakan sebagai suatu simbol corak pemikiran. Sila rujuk buku “As-Salafiyah” karangan Dr. Muhammad Ramdhan Al-Buti untuk penerangan yang lebih jelas.

Adapun mereka yang mengaku salafi, semata-mata kerana mereka mengaku memperjuangkan manhaj salafus soleh, samada dari sudut aqidah mereka dan sebagainya, maka merek sebenarnya terkeliru.

            Ini kerana, aqidah orang-orang Islam zaman salafus soleh, sama juga dengan aqidah orang-orang Islam di zaman ini, dan kedua-dua golongan menyembah Allah s.w.t. yang Maha Esa. Kalau mereka mengatakan bahawa, golongan khalaf (golongan selepas salaf sehingga hari ini) mentakwil[1] dalam masalah ayat-ayat mutasyabihat, maka golongan salaf juga, ada yang mentakwil ayat-ayat mutasyabihat seperti Imam Ahmad, Imam Al-Bukhari dan sebagainya (rujuk buku Fusulun fil Aqidah, karangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi).

            Syariat Islam yang kita amalkan juga merupakan syariat Islam yang diamalkan oleh para salafus soleh, kerana golongan khalaf juga menggali ilmu syariat mereka dari sumber-sumber ilmiah para salaf, yang lebih dikenali dengan istilah taqlid. Kalaulah golongan khalaf dikatakan berbeza dengan salaf kerana mereka bermazhab dan bertaqlid, sejak dari zaman sahabat lagi, ada golongan yang berijtihad dan ada golongan yang bertaqlid, kerana bukan semua orang hatta di zaman salaf, mampu berijtihad dan menggali hukum dengan sendiri (rujuk buku Al-LaMazhabiyah karangan Dr. Al-Buti).

            Jadi, golongan yang cuba “kononnya” untuk kelihatan berbeza dengan majoriti umat Islam yang dikenali dengan khalaf (hanya merujuk kepada isitilah zaman semata-mata), dengan mengaku sebagai salafi, tidak pernah membezakan mereka (golongan yang mengaku salafi) dan golongan yang tidak mengaku salafi. Sekurang-kurangnya, majoriti umat Islam yang tidak mengaku salafi, bermazhab dengan mazhab salah seorang Imam dari kalangan salafus soleh seperti As-Syafi’e, Al-Maliki dan sebagainya.

            Jadi, golongan yang mengaku salaf sebenarnya adalah golongan Wahabi yang mengkafirkan selain daripada mereka, kerana ingin membezakan mereka dengan selain dari mereka. Jadi, setelah membid’ahkan, menyesatkan, dan ada yang sampai mengkafirkan majoriti umat Islam yang tidak sehaluan dengan kefahaman mereka, maka mereka memerlukan suatu nama untuk berteduh dari kepinggiran mereka dari selain mereka, maka mereka menggunakan nama salaf untuk tujuan tersebut. Ini dalam masa yang sama, merupakan pengkhianatan yang besar dari sudut ilmiah kerana menisbahkan takfir, taasub dan jumud yang mereka bawa kepada golongan salafus soleh yang tidak sekalipun bersikap dengan sikap mereka.

            Jadi, golongan yang mengaku salafi tetapi tidak mengaku Wahabi (pengikut Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab), samada mereka keliru dengan istilah salafi itu sendiri, atau mereka sememangnya Wahabi yang bersembunyi di sebalik istilah Salafi.


[1] Memberi makna lain terhadap sesuatu lafaz, bersesuaian dengan kaedah “kiasan” dalam Bahasa Arab dan sebagainya

No comments:

Post a Comment