Sunday 14 March 2010

Mereka Yang Dikategorikan Termasuk Dalam 72 Firqah Sesat

Mereka Yang Dikategorikan Termasuk Dalam 72 Firqah Sesat




Perhatian : Artikel ini mesti dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Tersebut dalam sebuah risalah yang berjudul "Minal Itsnain Wa Sab'iina Firqotan" tulisan dari Syeikh Bin Baz, Nashiruddin Albani, Syeikh al Fauzan dan Syeikh Bakar Abu Zaid cetakan Maktabah al Furqon 'Ajman tahun 2001 M pada halaman 9-10, satu pertanyaan seperti berikut :

Apakah Jemaah Tabligh yang memiliki sekiab banyak kesyirikan dan bid'ah serta Jemaah Hasan al Banna yang memiliki aktiviti pergerakan dan pembangkangan terhadap pemerintah yang sah termasuk di antara 72 golongan yang akan masuk neraka.. ?

Para penulis risalah itu menjawab. (Mereka) termasuk di antara 72 golongan itu dan kelompok Khawarij juga termasuk di antaranya.


Saya bertanya kepada para penulis risalah itu :
Apakah mereka termasuk di antara 72 golongan yang akan kekal dalam neraka atau mereka akan masuk neraka terlebih dahulu lalu dikeluarkan darinya.. ?

Jika dijawab bahawa mereka kekal dalam neraka, saya bertanya lagi.
Bagaimana ini dapat diterima kerana mereka itu telah mengucapkan dua kalimah syahadah?

Dan jika dijawab bahawa mereka itu akan disiksa dahulu dalam neraka, lalu dikeluarkan darinya maka saya bertanya :
Bagaimana mereka dapat memastikan bahawa mereka (Jemaah Tabligh dan Jemaah Hasan Al Banna) itu akan diazab dahulu dalam neraka lantaran dosa-dosa mereka, lalu mereka akan dikeluarkan darinya sedangkan RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda :

ومن أصاب من ذالك أى من الذنوب شيأ فعقوب في الدنيا فهو كفارة له ومن أصاب من ذالك شيأ ثم ستره الله فهو إلى الله إن شاء عفا عنه وإن شاء عاقبه

Ertinya : Barangsiapa yang melakukan sesuatu dosa lalu dia disiksa di dunia ini maka itu menjadi kaffarat baginya dan barangispa melakukan yang demikian itu lalu Allah menutupinya maka urusannya diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkehendak maka Dia akan memaafkannya dan jika berkehendak lain maka Allah akan menyiksanya.
(Lihat sahih Bukhari hadith no 17)

Sekiranya memang mereka berpegang kepada Al Quran dan Sunnah maka tentunya mereka tidak akan berani berpendapat seperti itu.

Berkata Syeikh al Fauzan dalam risalah tersebut pada halaman 11 :
Semua jemaah yang muncul di era sekarang ini yang menyalahi jemaah Ahlussunnah adalah berkaitan dari golongan-golongan (yang dimaksudkan di dalam hadith iftiroqul ummat) dan merupakan cabang-cabangnya. Beliau pernah ditanya : Apakah jemaah-jemaah tersebut masuk ke dalam 72 golongan yang sesat ?


Beliau menjawab :
Ya, semua yang mengaku diri sebahagian Islam namun dia menyalahi Ahlussunnah dalam hal dakwah tentang aqidah atau sebahagian dari dasar-dasar (prinsip-prinsip) iman maka dia masuk ke dalam 72 golongan dan dia pun terkena ancaman serta akan mendapat kehinaan dan siksa sesuai dengan kadar penyimpangannya.


Seterusnya pada halaman 14 dari risalah itu disebutkan: Dan antara firqah-firqah sesat yang muncul kebelakangan ini adalah :

1. Firqah Hasan al Banna (al Ikhwaniyyah).

2. Firqah Hasan at Turabi (at Turabiyyah).

3. Firqah Sayyid Qutub (al Qutubiyyah).

4. Firqah Muhammad Surur (as Sururiyyah).

5. Firqah Abdurrahman Abdul Khaliq (at Turatsiyyah).

6. Firqah Muhammad Ilyas (at Tablighiyyah).

7. Firqah Mahmud al Haddad (al Haddadiyyah).

8. Firqah al Habasyi (al Habasyiyyah).

9. Firqah Ahmad Yasin (al Hamasiyyah).

10. Firqah-firqah lainnya baik yang telah mahupun yang akan ada.

Komen saya (Dr Muhammad Adil Azizah al Kayali) :
Seandainya Syeikh al Fauzan itu berkata bahawa jemaah-jemaah tersebut telah melakukan banyak kekeliruan dan dia menjelaskan dimana letak kekeliruan-kekeliruan itu agar mereka menjauhinya nescaya itu lebih baik kerana termasuk bahagian dari nasihat.

Adapun menjatuhkan hukum mereka sebagai bahagian dari 72 golongan yang sesat dan otomatik akan menjadi penghuni neraka maka itu adalah tindakan yang bertentangan yang menghairankan padahal mereka tahu bahawa ulamak-ulamak di situ adalah mujtahid yang boleh salah dan boleh pula benar. Siapa di antara para mujtahid yang benar maka bagi mereka dua pahala dan siapa yang salah akan mendapat satu pahala, dan tidak ada dalam agama Islam seorang mujtahid yang berdosa.

Ibnu Taimiyyah berkada dalam Minhajus Sunnah III/20 :
Ucapan orang-orang salaf dan para imam ahli fatwa seperti Abu Hanifah, as Syafi'e, ats Tsauri, Daud bin Ali dan selain mereka adalah : "Tidak menganggap berdosa seorang mujtahid yang keliru dalam ijtihadnya, baik dalam masalah-masalah usul mahupun masalah-masalah furu'.


Kita tentu telah mengetahui as Syahid as Syeikh Ahmad Yasin, semoga beliau diterima di sisi Allah sebagai seorang syahid yang mulia dan ditinggikan darjat serta kedudukannya. Beliau adalah seorang mujahid di jalan Allah sampai kematian datang menjemput beliau. Tetapi para pengaku Firqah Najiah telah memasukkan beliau ke dalam golongan yang sesat. Dan ini tidaklah menghairankan kerana sebelumnya telah membatalkan jihad panglima perang Salahuddin al Ayyubi (semoga beliau dirahmati dan diredhai Allah serta meninggikan darjatnya - hanya kerana beliau seorang Asya'iroh) - dan Asya'iroh adalah penjelmaan dari as Sawadul A'zom dari kaum Muslimin. Tetapi tetap juga di kalangan para pengaku Firqah Najiah mereka semua adalah kafir atau paling rendah dihukum fasiq. Sebagaimana tertera dalam tulisan-tulisan yang sengaja disebarluaskan melalui internet.

Maka perhatikanlah wahai para pembaca yang budiman bagaimana mereka melakukan sesuatu yang sia-sia dan bertentangan. Mereka telah merobek-robek barisan ummat ini dan melebar keretakan yang sudah ada. Mereka juga telah mencerai-beraikan persatuan yang seharusnya kita jaga bersama. Kemudian sesiapapun yang membongkar kesalahan dan perbuatan mereka yang keterlaluan itu dengan maksud agar mereka memperbaiki dan mengendalikan diri lantas mereka lemparkan pula dengan tuduhan "penyebar fitnah dan cakap kosong". SubhanaLlah ini adalah pendustaan yang besar!.

No comments:

Post a Comment