Sunday, 21 March 2010

PENJELASAN YANG TEPAT BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT Fasal 3

http://al-masabihul-munawwirah.blogspot.com/

PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 4

PENJELASAN YANG TEPAT
BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT
Fasal 3
Pendapat Ulama Nusantara
Bahawa Allah Ada Tanpa Bertempat



Ini adalah sebahagian nukilan pendapat sebahagian ulama Nusantara.
1. Al-Shaykh ^Abdus-Samad ibn al-Falimbani (w. 1206 H) berkata dalam kitabnya Hidayatus-Salikin [1]:
“Maha suci Allah taala daripada pindah dan bergerak dan mengambil tempat dan bertempat yang tertentu pada suatu benua dan berpihak dengan pihak yang tertentu... tiada meliputi akan Allah taala itu oleh tempat… dan tiada menentukan Allah taala itu oleh zaman… adalah Allah itu dahulu daripada bahawa Ia menjadikan akan zaman dan tempat dan adalah Allah taala sekarang atasnya iaitu ada Ia sedia tiada berubah-ubah daripada sedia-Nya”. Intaha.
2. Al-Shaykh Zaynul-^Abidin al-Fatani yang masyhur dengan panggilan Tuan Minal Fatani berkata dalam kitabnya Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad[2] berkata lagi:
“…Dan bahawasanya Allah taala Maha Suci daripada zaman dan makan yakni tiada lalu atas-Nya oleh masa dan tiada ditentukan dengan suatu tempat seperti barang yang diiktikadkan oleh orang yang jahil dan yang sesat bahawasa Allah taala di dalam fu’ad kita Maha Suci Allah taala daripada demikian itu dan Maha Suci daripada menyerupai bagi akwan tiada meliputi dengan Dia oleh segala pihak dan tiada mendatangkan Dia segala yang baharu. Bersamaan Ia atas Arasy atas wajah yang difirman-Nya dan atas makna yang dikehendaki-Nya akan dia akan sebagai bersamaan yang berpatutan dengan kebesaran-Nya dan ketinggian kepujian-Nya dan kebesaran-Nya…”. Intaha.

3. Sayyid ^Ulama’il-Hijaz al-Mutakallim al-Mufassir al-Shaykh Muhammad Nawawi ibn ^Umar al-Bantani (w. 1316 H ) berkata dalam kitabnya al-Thimarul-Yani^ah fi al-Riyadil-Badi^ah [3]ketika membicarakan sifat persamaan dengan makhluk yang mustahil bagi Allah taala:

أو يكون تعالى في جهة للجرم بأن يكون عن يمينه أو شماله أو فوقه أو تحته أو أمامه أو خلفه أو يكون له تعالى جهة بأن يكون له يمين أو شمال أو فوق أو تحت أو خلف أو أمام أو يتقيد بمكان بأن يحل فيه بأن يكون فوق العرش"
Maksudnya:
“…atau [Allah] taala [itu] [mustahil] di suatu arah bagi jirim dengan keadaan Dia berada di kanan jirim, atau kirinya, atau atasnya, atau bawahnya, atau depannya, atau belakangnya, atau [Allah] taala [itu] [mustahil] bagi-Nya ada suatu arah dengan keadaan ada bagi-Nya kanan, atau kiri, atau atas, atau bawah, atau belakang, atau depan, atau [Allah taala itu mustahil] bergantung dengan suatu tempat dengan keadaan Dia bertempat padanya dengan keadaan Dia berada di atas Arasy”. Intaha.


Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berkata dalam kitabnya Nuruz-Zalam Sharh Manzumah ^Aqidatil-^Awam[4]:

وكل ما خطر ببالك من صفات الحوادث لا تصدق أن في الله شيئًا من ذلك وليس له مكان أصلاً فليس داخلاً في الدنيا ولا خارجًا عنها
Maksudnya:
“…dan setiap sifat perkara baharu yang melintasi benak anda maka jangan anda mempercayai bahawa pada Allah itu ada sesuatu daripada perkara tersebut, dan tiada bagi-Nya suatu tempat dengan asal. Maka Dia bukan di dalam dunia dan bukan juga di luarnya”. Intaha.
4. Al-Shaykh Husayn Nasir ibn Tayyib al-Mas^udi al-Banjari berkata dalam kitabnya Hidayatul-Mutafakkirin[5]:
“Ertinya zat Allah taala itu bukan Ia jirim dan jisim dan jawhar fard dan tiada Ia berpihak dan tiada Ia pada satu pihak bagi jirim dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa dan tiada Ia bersifat dengan kecil dan tiada Ia bersifat dengan besar dan tiada Ia bersifat dengan segala sifat yang baharu ini…”. Intaha.

5. Al-Shaykh Wan Isma^il ibn ^Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatani yang masyhur dengan panggilan Pak Da Eil berkata dalam kitabnya Sharh Bakuratil-Amani li-Isharah ^Awam Ahlil-Fatani[6]:
(Keempat: Mukhalafatuhu ta^ala lil-hawadith;) ertinya menyalahi-Nya taala akan yang baharu-baharu. Dan dikehendaki dengan dia akan (bersalahan Allah taala) sedia kala lagi berkekalan (akan yang baharu-baharu ertinya ketiadaan menyamai-Nya) dan ketiadaan menyerupai-Nya taala (akan sesuatu daripada makhluk) ini (pada zat-Nya) kerana bahawasa zat makhluk ini jirim yang bertempat dan zat-Nya taala itu bukannya jirim (tiada pula) menyamaikan dia (pada sifat-sifat-Nya) kerana bahawasa sifat-sifat makhluk ini ^arad yang bertangkup pada jirim dan menu[m]pan[g]kan dia pada bertempat dan sifat-sifat-Nya taala itu bukannya ^arad...”. Intaha.

6. Al-Shaykh ^Abdul-^Aziz ibn Isma^il al-Fatani berkata dalam khutbah kitabnya al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir[7]:
“Dan aku memohon kepada Allah pula bahawa menjadikan risalah ini perisai yang dapat mempertahankan dan dapat menolakkan akan segala ajaran-ajaran yang sesat yang menyesatkan orang awam, yang dibawa akan dia oleh orang-orang yang tidak sangkakan dengan jahilnya seperti ajaran-ajaran yang mengatakan tidak wajib belajar sifat-sifat dua puluh yang termasyhur itu dan ajaran-ajaran melihat Tuhan di dalam dunia, dan ajaran-ajaran yang memegang dengan zahir ayat mutashabihah dan mengatakan Tuhan bertempat dan sebagainya daripada ajaran-ajaran sesat”. Intaha.
Al-Shaykh ^Abdul-^Aziz al-Fatani berkata lagi di tempat yang lain dalam kitabnya yang sama[8]:
“Dan makna bersalahan itu tiga perkara; bersalahan pada zat dengan makna zat Allah taala bukannya jirim yang bertempat walaupun di mana tempat dan makhluk ini semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah taala itu bertempat di mana-mana tempat, maka jika didapati di dalam Quran dan hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat mutashabihah dan hadith mutashabihah, maka wajib ditakwil akan dia supaya lepas daripada shubhah itu sama asa takwil itu dengan jalan ijmal seperti takwil ulama salaf atau takwil akan dia dengan jalan tafsil seperti takwil ulama khalaf”. Intaha.
Oleh kerana keterbatasan kitab ulama Nusantara dalam khazanah peribadi saya dan keterbatasan masa, maka masih ramai lagi ulama Nusantara yang pendapat mereka tidak dapat dimuatkan dalam ruangan ini. Mudah-mudahan blogger Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah yang lain dapat membuat penambahbaikan ke atas tulisan ini.
__________________________________

[1] Al-Shaykh ^Abdus-Samad al-Falimbani, Hidayatus-Salikin, Maktabah wa-Matba^ah Dar al-Mu^arif, Pulau Pinang, t. th., hlm. 8.
[2] Al-Shaykh Zaynul-^Abidin ibn Muhammad al-Fatani, Irshadul-^Ibad ila Sabilir-Rashad, al-Matba^ah al-Ahmadiyyah, Singapura, 1343 H, hlm. 4 - 5.
[3] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani, al-Thimarul-Yani^ah fi al-Riyadil-Badi^ah, Muhammad al-Kutbi, Kaherah, t. th., hlm. 5.
[4] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani, Nuruz-Zalam Sharh Manzumah ^Aqidatil-^Awam, Dar al-Hawi, Jeddah, t. th., hlm. 37.
[5] Al-Shaykh Husayn Nasir ibn Tayyib al-Banjari, Hidayatul-Mutafakkirin, Percetakan Almuarif Sdn. Bhd., Pulau Pinang, t. th., hlm. 6.
[6] Al-Shaykh Wan Isma^il ibn ^Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatani, Sharh Bakuratil-Amani li-Isharah ^Awam Ahlil-Fatani, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1421 H/ 2000 R, hlm 24 - 25.
[7] Al-Shaykh ^Abdul-^Aziz ib Isma^il al-Fatani, al-Misbahul-Munir fi Ma^rifatiLlahil-Qadir, t.pt., cet. 3, 1414 H/ 1994 R, hlm. 3.
[8] Ibid. hlm 16 – 17.

No comments:

Post a Comment