Tuesday 9 March 2010

QUNUT SUBUH

http://al-amindaud.blogspot.com/2009/12/imam-syafie-dan-qunut.html

Ustaz saya kata qunut Nabi tak buat dulu.

Ustaz saya kata lagi, Imam Syafie dulu tersalah faham tentang apa yang sorang tukang hadis tu kata.

Berdesing telinga saya apabila mendapat YM daripada seorang sahabat yang ingin meminta penjelasan.

Saya tidak boleh dengar kalau ada orang yang celupar menghina ulama’ kita seperti Imamuna As-Syafie Radhiallhu Ta’ala ‘Anhu Wa Ardhah yang telah diakui oleh ribuan ulama’ dulu dan kini. Senarai imam-imam agung yang menjadi obor umat Islam sepanjang zaman dan menisbahkan diri mereka kepada mazhab Imam Syafie Radhiallahu Ta’ala ‘Anhum, boleh kita lihat di dalam kitab tobaqat as-syafiiyyah karangan Imam Subki Rahimahullahu Ta’ala.

Kita akui ulama’ tidak maksum tetapi perkataan sebegini merupakan kalam yang keluar daripada mereka yang buta mata hati dalam mengenali siapa Imamuna As-Syafie yang digelar sebagai أنصار السنة (Penolong kepada Sunnah Nabi SAW) dan ditanggung namanya di dalam hadis yang masyhur. Sabda Nabi SAW ;

لا تسببوا قريشا فإن عالمها يملأ الأرض علما
Jangan kamu mencela orang quraisy sesungguhnya seorang alim quraisy akan memenuhi muka bumi dengan ilmunya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Nua’im di dalam Al-Hiliyyah dan Al-Khotib di dalam At-Taarikh dan diriwayatkan oleh Al-Baihaqi di dalam kitab manaqib as-Syafie.

Berkata Al-Baihaqi : Begitulah sepertimana pandangan Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullahu Ta’ala dalam mengtakwil hadis di atas (Kitab Manaqib As-Syafie lil imam Al-Baihaqi). Semoga Allah merahmati dikau wahai Imam kami wanafa’ana bi ‘ulumihi fiddaraini ameen.

Di dalam kitab manaqib ini banyak lagi riwayat-riwayat yang lain yang menyatakan kelebihan quraisy dan alim daripada quraisy dengan riwayat yang berbeza-beza.

Tidak ada satupun ulama’ yang terkemudian seperti Imam Nawawi, Imam Baihaqi, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, Imam Ramli, Imam Baijuri, Imam Haramaini Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan sekalian Imam-Imam Rahimahumullahu Ta’ala yang menyambung silsilah mazhab Imam Syafie yang mengatakan qunut yang difatwakan sunat oleh Imam Syafie merupakan fatwa yang tersilap bahkan mereka mengukuhkan lagi dengan dalil-dalil daripada sunnah Nabi SAW.

Jadi daripada siapakah perkataan Imam Syafie tersilap? Jika dari pemikiran seorang ustaz yang berkelulusan ijazah atau sekalipun PHD belum mampu menandingi ketinggian ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada Imamuna As-Syafie bahkan ilmu yang ada di zaman kita ini hasil ijtihad mereka. Bagaimana kita merasa lebih alim daripada ulama’ salafussoleh terdahulu sedangkan ilmu dan kitab yang ada di sisi kita pada hari ini datangnya daripada mereka?

Jika kita mempelajari ilmu hadis kita akan menemui suatu istilah yang disebut silsilah az-zahab atau al-silsilah az-zhabiyyah yang dianggap sebagai sanad yang paling sahih sepertimana pandangan Imam Bukhari iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik daripada naafi’ daripada Ibnu Umar Radhiallahu Ta’ala daripada Rasulillahi SAW.

Kita sedia maklum, Imam Syafie mempelajari hadis daripada Imam Malik dan mengahafal kitab muwatto’ Imam Malik seawal usia 10 tahun. Maka ulama’ yang terkemudian di antaranya Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menambah pada silsilah az-zahab ini iaitu daripada Imam Ahmad Bin Hanbal daripada Imam As-Syafie daripada Imam Malik daripada Naafi’ daripada Ibnu Umar Radhiallahu Ta’ala ‘Anhum daripada Nabi SAW.

Imam Syafie yang dimasukkan di dalam silsilah az-zahab iaitu sekiranya sesuatu hadis diriwayatkan oleh beliau melalui sanad ini dikira sebagai sanad yang paling sahih bagaimana kita katakan Imam Syafie tersalah atau Imam Syafie bukan ahlul hadis? Sungguh busuk hati mereka yang ingin bermusuh dengan ulama’.

Apakah benar tidak ada satupun dalil yang menunjukkan Nabi SAW membaca doa qunut di dalam solat subuh yang menjadi sandaran kepada qaul Imamuna Syafie Rahimahullah?

Jika jawapannya adalah ya, maka sebenarnya orang yang bercakap itu jahil dengan ilmu hadis walaupun mereka mengaku merekalah pejuang sunnah. Padahal mereka jahil murakkab yang tidak menyedari kejahilan diri bahkan merasa sudah cukup alim berbanding ulama’-ulama’ salafussoleh terdahulu yang lebih hampir dengan zaman Rasulullah SAW.

Mereka selalu melaungkan slogan kembali kepada generasi salaf tetapi menolak Imamuna As-Syafie yang lahir pada tahun 150 h iaitu pada zaman salaf bertepatan dengan kewafatan Imam Abu Hanifah Radhiallahu Ta’ala ‘Anhu Wa Ardhah seperti riwayat daripada Ar-Rabii’ Bin Sulaiman.

Jadi salaf manakah yang mereka ikut sebenarnya? Salaf yang lahir pada tahun lingkungan 1000 masihi? Begitukah? Untuk memahami makna perkataan salaf mereka sudah tidak faham bagaimana mereka tidak segan silu mengaku mengikut jejak salaf?

Apakah Imam As-Syafie yang lebih hampir dengan zaman sahabat tidak memahami sepertimana kefahaman para sahabat tetapi kita yang lebih jauh ribuan tahun daripada generasi para sahabat mengaku lebih mengetahui kefahaman para sahabat?

Daripada mana ilmu yang kita ambil jika tidak melalui zaman mereka? Tiba-tiba kita bercakap seolah-olah Imam Syafie sejahil kita. Ya Allah aku berlepas tangan daripada golongan yang menghina auliya’Mu.

Saya akan nyatakan hadis-hadis Nabi SAW yang akan membongkar pengkhianatan kepada Imam Syafie Radhiallahu Ta’ala ‘Anhu Wa Ardhah.

1) Abu Hurairah Radhiallahu Ta’ala ‘Anhu meriwayatkan daripada Hassan Bin Ali Radhiallahu ‘Anhuma ;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع رأسه من الركوع من صلاة الصبح في الركعة
الثانية رفع يديه فيدعو بهذا الدعاء : اللهم اهدني فيمن هديت … إلى آخر الدعاء
Adalah Nabi SAW apabila mengangkat kepala baginda (yang mulia) daripada rukuk pada solat subuh pada rakaat kedua, Baginda mengangkat kedua tangan baginda (yang mulia) dan berdoa dengan doa ini : Ya Allah berikanlah aku petunjuk seperti orang yang Engkau telah beri petunjuk …. sehingga akhir doa qunut.

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Haakim (3/172) tanpa sebahagian lafaz yang biasa diamalkan di Malaysia.

2) Sayyiduna Anas Radhiallahu Ta’ala Anhu meriwayatkan ;
أنه سئل : قل قنت رسول الله صلى الله عليه وسلم في صلاة الصبح؟ قال : نعم. قيل :
قبل الركوع أو بعد الركوع؟ قال : بعد الركوع
Sesungguhnya beliau (Anas) ditanya : Adakah Rasulullah membaca qunut pada solat subuh? Beliau menjawab : Ya. Ditanya lagi : Sebelum rukuk atau selepas rukuk? Beliau menjawab : Selepas rukuk.

Hadis ini riwayat Imam Bukhari (1/340) bilangan (956), Imam Muslim (5/178) bilangan (677) dan Imam Abu Daud (1/333).

Banyak lagi riwayat-riwayat yang lain dengan lafaz-lafaz yang berbeza. Saya rasa ini cukup untuk menyatakan pandangan Imam Syafie ada sandaran daripada perbuatan Nabi SAW.

Kita fahami, perkara ini ada ikhtilaf di kalangan Al-Aimmah Al-‘Arba’ah dan para ulama’ yang lain apakah Nabi SAW meninggalkannya atau tidak sepertimana dijelaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitab fathul baari tetapi perbezaan ini tidak sepatutnya menjadikan kita biadab dengan Imam Syafie.

Ikhtilaf itu tidak salah tetapi nun jau di sana kita wajib menjaga adabul ikhtilaf sepertimana yang di ajarkan oleh Imam Syafie ketikamana beliau solat subuh dan tidak membaca qunut ketika solat subuh di masjid yang terdapat kubur Imam Abu Hanifah. Maka ditanya kenapa engkau tidak membacanya sedangkan engkau memfatwakannya sunat wahai Imam? Jawab Imamuna Syafie yang penuh adab kerana aku menghormati pandangan tuan punya kubur iaitu Imam Abu Hanifah.

Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
B.A (Hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah)
Universiti Al-Azhar Mesir

No comments:

Post a Comment