Monday, 8 March 2010

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(1)

   Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(1)


http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/112
Berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara Yaqazah: Satu Jawapan Terhadap Artikel Saudara Alitantawi dari Al-Ahkam.Net (dinukilkan dari weblog saudara MABEN)



Bismillah., dimulai karangan ini dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah s.w.t., Tuhan sekelian alam, segala puji dan syukur buatNya yang saban detik dan waktu, memberi nikmat-nikmat kepada para hambaNya, dan seterusnya memberi hidayah kepada mereka dalam berjalan di atas jalan kebenaranNya.

            Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala manusia, yang mana siang dan malamnya antara kehambaan kepada Allah s.w.t. dan khidmat kepada umat Baginda s.a.w.. Selawat dan salam buat Baginda s.a.w. yang mulia serta para ahlul-bait dan para sahabat Baginda s.a.w., seterusnya kepada seluruh mereka yang berjalan di atas jalan Baginda s.a.w..

Amma ba’du…

            Risalah ini ditulis sebagai menjawab beberapa persoalan sesetengah golongan manusia yang terkeliru lagi mengelirukan tentang suatu isu yang sebenarnya sudah lama diperbincangkan oleh para ulama’ (boleh jadi ada yang tidak mengetahui tentang perbincangan-perbincangan tersebut), iaitu berkenaan dengan “bertemu Nabi Muhammad s.a.w. secara yaqazah (atau dalam keadaan jaga, bukan dalam keadaan tidur)”.

            Risalah ini bersifat umum dari sudut manfaatnya, sesuai untuk mereka yang ingin mengambil manfaat darinya, dan dari sudut yang lain, bersifat khusus untuk menjawab semula suatu artikel yang memperkatakan tentangnya tanpa sandaran ilmu yang kuat, iaitu merujuk kepada artikel:  Yaqazah dan Tarekat, Tidak Dapat Dipisahkan” yang dinukilkan dari nukilan saudara Maben (http://maben.multiply.com/journal/item/38 ) bersanadkan kepada al-akham.net (yang merupakan karangan saudara alitantawi, dan semoga Allah s.w.t. memberi kefahaman dan ilmu kepada mereka dan kita semua, amin…).

            Bentuk risalah ini, akan disusun mengikut persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam artikel tersebut, bagi menyelami contoh kaedah perbahasan sesetengah orang yang “suka” mengingkari atau mempersoalkan tentang tarikat dan kesufian, samada secara adil dan ilmiah ataupun secara sambil lewa.

            Saudara alitantawi menulis:

            Amat menghairankan apabila kita masih lagi mendengar timbulnya ajaran yang masih menyeru ke arah ‘Yaqazah’.

            Apakah yang dimaksudkan oleh saudara pengarang mengenai istilah: “menyeru ke arah Yaqazah?. Adakah maksud yang disampaikan ialah, beliau cuba mengatakan bahawa, golongan tarekat sering menyeru ke arah Yaqazah.

            Perkataan menyeru bermaksud: “seseorang mengajak orang lain kepadanya”, sedangkan isu bertemu dengan Nabi s.a.w. di sisi ahli tarekat yang muktabar adalah, suatu kemuliaan kepada seseorang, bukan sesuatu yang perlu dicapai oleh setiap orang.

            Adakah saudara penulis tersebut tidak memahami apa itu Yaqazah di sisi golongan tarekat atau tidak memahami pendirian dan ajaran golongan pengamal tarekat itu sendiri. Para ulama’ sufi dan mursyid tarekat tidak pernah mengajar anak-anak murid beramal untuk mencapai sesuatu  maqam atau keramat, apataha lagi “menyeru ke arah Yaqazah seperti yang dimaksudkan oleh saudara pengarang.

            Wallahu a’lam…

            Saudara penulis menulis lagi:     

            Amat menghairankan apabila ada syeikh-syeikh tarekat tertentu (tidak semuanya) yang masih menanamkan kepercayaan karut dalam hati anak-anak murid mereka bahawa kononnya syeikh tarekat atau pengasas tarekat mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’.

            Bagi beliau (semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada beliau dan kita semua), konsep bertemu dengan Rasulullah s.a.w. secara yaqazah ialah suatu kepercayaan yang karut! Insya Allah, kita akan ukur konsep ini dengan neraca Sunnah dan perbahasan-perbahasan para ulama’ mengenainya.

            Sedikit ta’liq (ulasan) yang ingin dibentangkan di sini buat permulaan, perkataan seorang ulama’ mengenai sikap mereka yang mengingkari masalah berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah ini.

            Imam Al-Allamah An-Nafrawi r.h.l. berkata (di dalam bukunya (Al-Fawakih Ad-Diwani, jilid 3, m/s 360):

            “Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja?... Adapun mereka yang mengingkarinya, maka hukumnya Haram, kerana kalaulah dia mengingkarinya kerana dia seorang yang mengingkari tentang keramat (perkara-perkara yang luar biasa dari adat) para wali (kekasih Allah s.w.t.), maka untuk berbahas dengan mereka sememangnya sia-sia, kerana dia sendiri telahpun mendustai apa yang dithabitkan di dalam sunnah (samada mengenai karamat para wali atau mengenai bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah)…”

            Insya Allah, setelah ini kita akan kupaskan mengenai dalil-dalil golongan yang mempercayai tentang “bertemu Nabi s.a.w. secara jaga” ini. Apa yang pasti, di sisi Imam An-Nafrawi Al-Maliki, hukum mengingkari perkara tersebut adalah Haram.

            Seterusnya, saudara penulis menulis lagi:

            Amat menyedihkan dan membingungkan apabila pengikut mereka menerima bulat-bulat kepercayaan ini tanpa persoalan dan yang lebih mengejutkan dan mendukacitakan apabila ada golongan yang digelar ustaz dan ustazah yang mempercayai ‘yaqazah’!

            Sememangnya ada golongan ustaz dan ustazah yang mempercayai konsep bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, kerana mereka ada ilmu mengenainya, sedangkan kita yang sibuk membangkang dan mempertikaikannya inilah sebenarnya yang belum cukup ilmu mengenainya. Benarlah kata seorang yang bijaksana: “manusia itu musuh kepada apa yang tidak diketahui olehnya”.

            Istilah menerima bulat-bulat tidak timbul, kerana ramai yang menerimanya mengetahui dalilnya dari sumber Sunnah dan sandaran-sandaran agama Islam yang murni. Imam Al-Asqolani, Imam As-Suyuti, Imam An-Nawawi, Imam Al-Ghazali dan ramai lagi para ulama’ menerima konsep: “bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah” tersebut, bahkan menurut Imam An-Nafrawi: “seluruh al-huffaz bersepakat mengenainya”.

            Dikhuatiri, orang-orang yang mengingkarinyalah yang mengingkarinya “bulat-bulat” tanpa mengkaji mengenainya terlebih dahulu, lantaran itu berasa dukacita apabila orang yang digelar ustaz dan ustazah mempercayainya. Sepatutunya, dia perlu berdukacita terhadap dirinya sendiri, kerana sudahlah tidak mengetahui sandaran mereka yang mempercayainya, lantaran itu tergesa-gesa dalam mempertikaikan mengenainya “bulat-bulat”.

No comments:

Post a Comment