Sunday, 14 March 2010

Imam Al-Ghazali

Ilmuwan Islam: Al-Ghazali tolak falsafah sebagai sumber utama ilmu

2010/03/14

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IlmuwanIslam_Al-Ghazalitolakfalsafahsebagaisumberutamailmu/Article

IMAM Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali adalah seorang ahli sufi yang bergelar ‘hujjatui Islam’.
Nama sebenarnya Abu Hamid Ibnu Muhammad Al-Tusi Al-Ghazali dan dilahirkan di Tus, Parsi pada 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau sudah menunjukkan keupayaan luar biasa dengan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan saja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya mengembara dan merantau dari satu tempat ke tempat lain untuk berguru dengan ulama yang hidup pada zamannya. Ketika berada di Baghdad, Al-Ghazali dilantik sebagai mahaguru Universiti Baghdad. Walaupun bergelar mahaguru tetapi beliau masih berasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli sufi yang terkenal di sana.
Selain belajar dan mengkaji, Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau sudah menulis 300 buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran dan falsafah. Bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya hangus dibakar oleh tentera Barbar yang menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia) dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Daripada Orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buku tulisan beliau berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mim al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap anti-falsafah. Pandangan itu berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku berkenaan, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang anti-falsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.
Kalau menelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali, kita akan mendapati beliau adalah ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah, beliau mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Bagi Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik dan etika. Bidang ini kadangkala selari dengan agama dan kadangkala sangat berlawanan dengan agama.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya, beliau berpendapat ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan api keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan saja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata.

No comments:

Post a Comment