Sunday, 21 March 2010
Bolehkah laku zikrullah secara menari-nari?
Jawapan Dato' Dr Harun Din dalam Harakah 19-22 SYAABAN 1430/10-13 OGOS 2009 (Kolumnis / Sisipan FIKRAH)
Dato' Dr Harun Din
SOALAN : Bolehkah laku zikrullah secara menari-nari?
SELESAI satu ceramah di masjid kami, dalam isu zikrullah ada seorang bertanya penceramah, bolehkah majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam bekhayal-khayalan seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarikat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab: “ Rasa saya itu adalah haram, mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian, tarian itu haram.” Kami menjadi keliru, minta pandangan Dato’, terima kasih.
JEMAAH RAGU,
Sepang
JAWAPAN :
SETIAP soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.
Kadang-kadang ada yang mengikut 'rasa', seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.
Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan 'rasa'. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): "Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): 'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.'" (Surah 'Ali-'Imran ayat 191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, "Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku."
Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita'birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau 'body language' beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.
Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, "Tidak mengapa dan boleh dilakukan."
Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah 'Ali-'Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.
Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.
Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka.
Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.
Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah ar-Ra’d, ayat 28 )
Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita'birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.
Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, "Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram."
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
Wallahu 'alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment