Monday, 8 March 2010

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(2)

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(2)
http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/111
Saudara penulis seterusnya menulis lagi:

            “Apa itu ‘yaqazah’? Ia adalah satu kejadian ajaib yang menemukan antara syeikh tarekat tertentu dan juga Rasulullah SAW setelah bertahun-tahun malah beratus tahun selepas kewafatan Baginda.

            Barangkali, seseorang yang jahil dalam ilmu mantiq akan terpukau dengan takrif “yaqazah” yang diberikan oleh saudara penulis tersebut. Tetapi, kalau kita nilai balik takrif tersebut, ianya tidak bersifat jami’ dan mani’ menurut ilmu pentakrifan sesuatu.

            Ini kerana, tidak ada satupun dari kalangan para ulama’ dan ahli sufi yang mengatakan bahawa, yaqazah (atau bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah) tersebut hanya dikhususkan kepada para sheikh tarekat semata-mata. Silalah kiranya, saudara penulis ataupun para penggemar si penulis tersebut mengkaji buku-buku yang menulis mengenainya, hatta dari kalangan ulama’ sufi sendiri, nescaya saudara tidak akan mendapati satupun tulisan mereka yang mengkhususkan perkara tersebut berlaku kepada para sheikh tarekat semata-mata.

            Bahkan, seluruh ulama’ menerangkan bahawa, ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dimuliakan oleh Allah s.w.t., dari kalangan umat Islam, bukan sekadar kepada para sheikh tarekat sahaja.

            Hal ini jelas merupakan suatu tuduhan tidak berasas dari saudara pengarang, ataupun suatu fitnah terhadap golongan tarekat dan sufi itu sendiri.

            Sesiapa sahaja yang diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t. untuk bertemu dengan Nabi s.a.w. secara jaga, maka perkara tersebut akan berlaku kepadanya, samada dia seorang ahli tarekat mahupun tidak, kerana tidak ada sesiapa yang berhak mengkhususkan nikmat pemberian Allah s.w.t., apatah lagi berhak menuduh sesuatu golongan mengkhususkannya kepada mereka sahaja, tanpa sesuatu pihak yang lain.

            Penulis seterusnya menulis:

            Bertemu maksudnya bertemu secara sedar dan jaga dan bukannya bertemu di dalam mimpi. Contohnya saya boleh bertemu dengan anda di mana-mana kedai makan di sekitar Kuala Lumpur. Begitulah yang didakwa oleh beberapa tarekat tertentu. Mereka mendakwa syeikh mereka pernah bertemu Rasulullah SAW secara sedar walaupun baginda telah wafat beratus tahun dahulu. Inilah ‘yaqazah’.

            Apa yang dilihat dari segi kefahaman beliau tentang “bertemu Rasulullah s.a.w. secara yaqazah juga agak mengelirukan.

            Beliau memberi contoh bahawa, bertemu dengan Rasulullah s.a.w. seperti seseorang bertemu dengannya di sekitar Kuala Lumpur…Subhanallah…

            Setakat ini, belum pernah seseorang berkata, “saya bertemu Rasulullah s.a.w. di sekitar Kuala Lumpur”. Boleh jadi, kekeliruan beliau tentang “konsep bertemu Rasulullah s.a.w. secara yaqazah ini menyebabkan beliau akhirnya mempersoalkan mengenainya dengan pelbagai kekeliruan-kekeliruan yang bakal dibentangkan selepas ini insya Allah.

            Marilah kita nukilkan ulasan-ulasan para ulama’ mengenai perihal “bertemu atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut, kerana kita sememangnya kekurangan ilmu mengenainya. Jadi, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu sebelum sewenang-wenangnya mempertikaikan sesuatu.

            Imam Al-Nafrawi Al-Maliki dalam bukunya (yang disebutkan sebelum ini) menyebut:

            “Diharuskan (dibolehkan) seseorang berjumpa atau melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi s.a.w. itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja? Sebahagian ulama’ berpegang dengan pendapat pertama (di mana seseorang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah melihat tubuh Baginda s.a.w. secara hakiki). Sebahagian ulama’ pula berpegang dengan pendapat yang kedua (iaitu: melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dalam bentuk imej, gambaran seperti pantulan di cermin dan sebagainya, Wallahu a’lam), di antara mereka (yang berpegang dengan pendapat kedua adalah): Imam Al-Ghazali, Imam Al-Qarafi, Imam Al-Yafi’e dan sebagainya.

            “Golongan yang berpegang dengan pendapat yang petama berhujah bahawa: Nabi Muhammad s.a.w. umpama cahaya hidayah dan mentari keilmuan, boleh dilihat dari jauh seperti orang boleh melihat matahari dan cahaya dari jauh… Tubuh Baginda s.a.w. tidak meninggalkan kubur, tetapi seseorang yang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dibuka oleh Allah s.w.t. hijab (jarak) antaranya dengan Rasulullah s.a.w. lantaran itu, dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. samada dia berada di timur mahupun barat…

            Ada juga yang berpendapat, seseorang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan mata hati, bukan dengan mata kepala, kerana boleh jadi juga, orang yang buta juga diberi anugerah melihat Baginda s.a.w. secara jaga, dengan mata hatinya…

            “Ibn Abi Hamzah dan sebahagian daripada mereka (para ulama’) menceritakan bahawa mereka pernah melihat Nabi s.a.w. secara jaga…”

            Demikianlah perkataan Imam An-Nafrawi mengenai keadaan melihat Nabi s.a.w. secara jaga (yaqazah) tersebut, di mana hijab jarak dibuka oleh Allah s.w.t. kepada seseorang, lantaran itu dia melihat tubuh Nabi s.a.w. dari jauh, yang mana jasad Nabi s.a.w. tidakpun meninggalkan maqam Baginda s.a.w., bukan seperti sangkaan penulis dan mereka yang berfikiran seperti beliau, di mana seseorang berjumpa Nabi s.a.w. di Kuala Lumpur dan sebagainya.

            Hal ini jelas beliau masih belum faham mengenai keadaan bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah, boleh jadi keran belum berpengalaman. Tetapi, rujuklah ulasan-ulasan para ulama’ mengenainya terlebih dahulu, sebelum membuat andaian yang pelbagai, yang hanya berdasarkan prasangka dan khayalan semata-mata.

            Tidak sama melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dengan bertemu penulis di sekitar Kuala Lumpur…Maka fahamilah.

            Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah menerangkan juga dengan maksud yang lebih kurang sama:

            “Boleh jadi, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah dan hakiki itu, ialah melihat Nabi s.a.w. di tempat Baginda s.a.w. di Raudhah Baginda s.a.w. yang mulia, di mana yang melihatnya, melihat Baginda s.a.w. dalam bentuk imej, gambaran dalam alam gambaran, yang merupakan natijah dari limpahan cinta terhadap Baginda s.a.w. dan sentiasa memikirkan tentang Nabi s.a.w…”

            Keadaan ini tidak ditolak oleh syariat, jadi tidak layak seseorang mempertikaikannya, kerana Allah s.w.t. Maha Berkuasa dalam mebuka hijab jarak antara seseorang dengan seseorang yang lain di alam yaqazah jika Dia menginginkannya.

            Contoh tersebut (pembukaan hijab jarak) juga dinukilkan dalam suatu peristiwa yang berlaku terhadap Saidina Umar r.a., di mana beliau melihat keadaan kumpulan tentera yang dihantar olehnya sedangkan beliau berada jauh di tempat lain (di Parsi) dari kumpulan tersebut, lantaran itu melaungkan perkataan “Ya Sariyah” dan suara itu didengari oleh kumpulan tentera yang berada jauh dari Saidina Umar tersebut. (riwayat At-Tabrani dalam tarikh beliau ( jilid 2 m/s 553), Ibn Hajar dalam buku Al-Ishobah jilid 3 m/s 6 dan Ibn Abdil Bar dalam buku Al-Isti’ab jilid 4 m/s 1605)

            Jadi, dari sudut akal mahupun syariat, hal tersebut tidak bertentangan. Jadi, orang-orang yang mengingkarinya samada jahil mahupun sengaja tidak mahu menerimanya, boleh jadi hasad kerana tidak pernah mengalaminya dan sebagainya.

            Lihatlah ulasan Sheikh Ibn Al-Haj (dalam buku Al-Madkhal, jilid3 m/s 194):

            “Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit untuk diperbahaskan (sukar untuk diperbahaskan).  Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walaubagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

            Oleh yang demikian, pertemuan dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah menurut para ulama’ besar adalah bertemuan yang tidak dibatasi oleh jarak, kerana ianya menjangkaui sempadan tersebut, dengan kuasa dan izin Allah s.w.t., dan tidak ada penafian mengenainya kepada Saidina Umar r.a. pun pernah mengalami perihal demikian.

2 comments:

  1. ini semua AUTA ORANG TAREKAT saja. Kununnya syariat teknik zikir diajarkan kepada mereka secara jaga (Yaqazah). Atau melalui salasilah sahabat tertentu, dan tidak diumumkan amalan ini pada umat Islam lain pd waktu itu. ianya hanya dikemut pd individu tertentu shj.
    Kesimpulannya :-
    seolah2 nabi sembunyikan amalan ini pd individu tertentu. sedangkan ilmu ini boleh diwarisi dgn guru tarekat shj.
    sedangkan ianya bersalahan dengan sifat tabligh nabi.
    Sungguh keji perilaku orang yang menuduh nabi sembunyikan ilmu agama.

    ReplyDelete
  2. Kalau nabi boleh mengajar lagi teknik zikir ampuh yg di dakwa tarekat secara yaqazah, ini bermakna syariat yang ada belum sempurna.
    Atau dengan kata lain ayat quran dibawah tak betul. Ini bahaya.
    “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian dan telahkusempurnakan nikmat-Ku bagi kalian dan Aku ridha Islam sebagai agama kalian.”(Al Maidah : 3)
    Lepas turun ayat ini, rupanya ada lagi kaedah zikir yg tarekat yg lebih ampuh.
    Banyak kesimpulan yg keji boleh dibuat disini.
    Pengakuan tarekat menerima kaedah zikir secara yaqazah akan merendahkan peranan nabi dan menyangkal surah Al-Maidah:3 tersebut.

    ReplyDelete