Monday, 8 March 2010

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(6)

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(6)

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/107
Kemudian, beliau membuat kesimpulan:

            Apakah bahaya ‘yaqazah’ kepada umat Islam? Apakah hasilnya jika kita menerima wujudnya ‘yaqazah’ di kalangan umat Islam?

            “Ia memberikan gambaran bahawa syariat sebenarnya belum sempurna.

            Oleh sebab itu Rasulullah SAW (menurut dakwaan mereka) terpaksa datang memberitahu sebahagian umatnya tentang beberapa ajaran atau zikir dan doa.”

            Ada dua fokus utama dalam menggambarkan kekeliruan beliau.

            Pertama, seperti yang kita katakan, penambahan dalam lafaz zikir atau lafaz doa bukanlah bererti penambahan kepada syariat Islam itu, kerana ianya masih merupakan suatu cabang dalam syariat Islam yang luas dalam ruang lingkup: “penambahan yang hasanah” seperti dalam hadis sahih Muslim, bukan suatu pertambahan bagi syariat itu sendiri.

            Fahamilah dahulu apa itu syariat, dan apa itu yang termasuk dalam syariat itu sendiri. Ruang lingkup syariat ini luas. Selagimana ada sesuatu amalan yang masih lagi berlegar dalam institusi fiqh menurut prinsip-prinsip fiqh, maka tidak dinamakan suatu penambahan kepada syariat.

            Imam Abu Hanifah sendiri mengutarakan pendapatnya bahawa boleh bayar zakat dengan menggunakan mata wang sebagai ganti beras dan gandum, sedangkan ianya tidak terdapat dalam hadis, berdasarkan konsep qiyas dan sebagainya, namun tiada seorang pun ulama’ mengatakan Imam Abu Hanifah melakukan penambahan dalam syariat.

            Begitu juga Imam As-Syafi’e yang membawa konsep “air musta’mal” dalam masalah toharah, maka tidak ada sesiapapun dari kalangan ulama’ yang mengatakan bahawa beliau menambah dalam syariat Islam.

            Hal ini menunjukkan syariat itu sendiri suatu yang luas. Jika ada seseorang mendatangkan sesuatu lafaz zikir dan selawat yang tidak ada dalam Sunnah, maka selagimana ianya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, ianya bukanlah suatu penambahan dalam syariat, ataupun bid’ah, ataupun menggambarkan Islam masih tidak sempurna.

            Kalau sedemikianlah pemikiran beliau, maka jelaslah bahawa beliau masih tidak memahami institusi syariat Islam itu sendiri.

            Kedua, tiada sesiapapun yang mengatakan bahawa: “Rasulullah s.a.w. terpaksa mengajar sesuatu zikir kepada seseorang secara yaqazah”, kerana ia terpulang kepada Rasulullah s.a.w. itu sendiri, dan mengajar lafaz-lafaz zikir tertentu bukan bererti mengajar suatu syariat baru, dan ianya merupakan suatu yang wajib disampaikan kepada semua.

            Penulis menulis lagi:

            “Ia memberikan gambaran bahawa Rasulullah SAW bersikap suka berahsia dan mengkhususkan ajaran tertentu kepada orang tertentu. Bukankah Baginda adalah rahmat untuk sekelian alam? Bukankah antara sifat Baginda ialah amanah dan jujur dalam menyampaikan semua ajaran kepada seluruh umat Islam?

            Ini suatu lagi simbol buruk sangka dan terburu-buru dalam membuat andaian, yang sering diamalkan oleh beliau.

            Beliau telahpun menyampaikan seluruh ajaran Islam yang wajib disampaikan kepada seluruh umat Islam, dan kami menjadi saksi di atas penyampaian Baginda s.a.w..

            Apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada sesetengah orang melalui mimpi ataupun yaqazah bukanlah suatu ajaran syariat Islam yang baru, yang sebenarnya wajid disampaikan kepada semua, tetapi sekadar bentuk-bentuk nasihat dan saranan kepada sesetengah orang, sesuai dengan kadar kasih dan kedudukan Rasulullah s.a.w. di hatinya.

            Ingatlah kisah di mana takkala Saidina Bilal r.a. duduk di luar Madinah setelah kewafatan Baginda s.a.w., Baginda s.a.w. menemui Bilal dan memberi saranan kepada beliau untuk menziarahi maqam Baginda s.a.w. di Madinah. Hal ini diriwayatkan dalam pelbagai buku sirah dan sejarah Islam.

            Kenapa Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan Bilal r.a. di dalam mimpi tersebut, dan tidak datang kepada semua sahabat, seperti Mu’az bin Jabal r.a. yang juga duduk di Yaman (luar Madinah)?

            Adakah kita mahu mengingkari Rasulullah s.a.w. terutamanya dalam bab-bab zikir ini, di mana, selalunya Baginda s.a.w. bukan mengajar kepada semua orang dalam satu majlis yang umum, tetapi selalunya mengajarkan kepada sebahagian para sahabat secara perorangan dalam masa-masa tertentu. Contohnya, Baginda s.a.w. mengajarkan zikir setelah solat kepada Mu’az r.a. setelah berkata: “Aku mencintaimu…” (hadis ini juga dikenali sebagai hadis musalsal bil Mahabbah). Begitu juga Baginda s.a.w. mengajarkan sesuatu doa sebelum tidur untuk mendapat kekuatan, kepada puteri Baginda s.a.w., Saidatina Fatimah r.a., bukan mengajar seluruh zikir di dalam satu majlis umum. Begitu juga dengan talqin zikir kepada Saidina Ali k.r.w.j. yang disampaikan secara khusus oleh Rasulullah s.a.w. kepada beliau.

            Ini menunjukkan, dalam bab-bab zikir, bukanlah sesuatu yang wajib disampaikan secara umum, dan pengkhususan tersebut bukanlah sesuatu yang menunjukkan sikap tidak amanah Rasulullah s.a.w., kerana Rasulullah mengajarkan sesuatu zikir bersesuaian dengan keadaan seseorang sahabat tersebut.

            Zikir-zikir yang diajarkan secara individu kepada para sahabat tertentu tersebut kemudiannya dihimpun oleh para ulama’ hadis dan akhirnya dibukukan untuk manfaat umum. Namun, tradisi menyampaikan zikir sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, Rasulullah s.a.w. sering menyampaikannya mengikut kondisi tertentu, berdasarkan keadaan sahabat tertentu pada masa yang tertentu.

            Jadi, sesiapa yang tidak faham perkara ini, sudah tentu cepat melatah mengenai perihal seseorang yang diajarkan sesuatu zikir oleh Nabi s.a.w. secara yaqazah. Ini bukan bermakna dia mendapat sesuatu syariat baru, atau kefardhuan baru, tetapi sekadar mendapat lafaz-lafaz doa yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. kepadanya. Itu sahaja.

            Jadi, seseorang yang mendakwa penyampaian zikir-zikir oleh Rasulullah s.a.w. secara mimpi mahupun yaqazah itu menggambarkan syariat tidak sempurna, jelaslah pendapatnya salah dan berbentuk sesuatu kekeliruan samada tidak memahami apa itu syariat dalam konteks yang sebenar, atau tidak mengetahui hakikat bertemu Nabi s.a.w. secaa yaqazah.

            Apa yang penting, perkara tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam, bahkan ada sandarannya melalui hadis sahih Al-Bukhari tersebut.

            Kalaulah melihat Nabi s.a.w. dalam mimpi atau secara berjaga itu jelas ada dalam hadis, mengapa pula dipertikaikan kalau Nabi s.a.w. menyampaikan sesuatu lafaz zikir dan doa, kerana ianya juga tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, kerana mengajar seseorang lafaz doa atau zikir termasuk dalam memberi nasihat sesama Islam.

            Kalaulah seseorang bertemu dengan Nabi s.a.w. di dalam mimpi atau secara yaqazah, maka tidak mustahil kalau Nabi s.a.w. bersabda kepadanya. Maka, tidak mustahil juga Nabi s.a.w. memberi nasihat kepadanya mahupun mengajar kepadanya doa-doa.

            Sebenarnya, doa-doa tersebut juga bukan khusus, tetapi boleh diamalkan oleh semua umat Islam jika dia mengambilnya dari pewaris-pewaris orang yang mendapatinya dari silsilah sesuatu tarekat tersebut, sebagai memastikan sanad itu bersambung untuk tabarruk dengan keberkatan sanad tersebut.

            Kalau tidak mahu percaya mengenai zikir-zikir tersebut pun, tidak mengapa, kerana tidak waji mempercayainya pun. Yang penting, janganlah mengingkari perihal “bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah” ini kerana ianya termaktub di dalam hadis sahih.

            Seterusnya, penulis menulis lagi:

            “‘Yaqazah’ akan meruntuhkan ilmu kajian hadith kerana ilmu kajian hadith mementingkan setiap periwayat bertemu dengan periwayat sebelumnya semasa hidup. Ilmu kajian hadith juga mementingkan setiap periwayat yang menyebut ‘aku mendengar Rasulullah bersabda’ atau ‘aku melihat Rasulullah melakukan sesuatu’ adalah seorang sahabat yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW semasa hayat Baginda.

            “Tetapi dengan ‘yaqazah’, setiap hadith yang terputus (maksudnya periwayat tidak bertemu dengan periwayat sebelumnya atau dengan Rasulullah SAW) ‘berkemungkinan besar adalah hadith sahih kerana walaupun dia tidak pernah bertemu Rasulullah SAW semasa Baginda hidup, mungkin dia pernah bertemu Baginda secara ‘yaqazah’.

Maka runtuhlah ilmu kajian hadith dan inilah yang dikehendaki oleh mereka! Ya, mereka ingin kajian hadith lenyap agar mereka (sebahagian tarekat yang mempercayai ‘yaqazah’) dapat menyebarkan dan menggunakan hadith-hadith palsu dan dhaif untuk menyokong kesesatan mereka!
            Saudara penulis yang membuat komen sedemikian amat memeranjatkan dan seolah-olah semakin menzahirkan diri sebagai tidak mempunyai asas dalam ilmu agama.

            Saudara penulis khuatir, jika orang percaya dengan konsep “berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah” ini akan merosakkan insititusi hadis dalam bidang hadis. Subhanallah.

            Terlebih dahulu, tidakkah beliau mengetahui takrif hadis itu sendiri dan dhowabit-nya dalam ilmu mustolah hadis?

            Hadis ialah sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. samada berbentuk perbuatan, perkataan, persetujuan, sifat Baginda s.a.w. samada dari sudut luaran mahupun akhlak.

            Ciri-ciri hadis yang sahih ialah:

            Ianya dipindahkan dari seseorang rawi yang adil dan teliti (dalam menjaga hadis tersebut) kepada seseorang perawi yang lain yang juga adil dan teliti, tanpa syaz, kecacatan dan sebagainya.

            Perawi dalam peringkat yang pertama untuk meriwayatkan matan hadis mestilah terdiri dari kalangan para sahabat Nabi s.a.w. yang pernah hidup dan bertemu dengan Nabi s.a.w. sewaktu Baginda s.a.w. masih hidup dan merupakan seorang muslim.

            Maka, setiap sahabat dinilai sebagai adil.

            Adapun hadis yang tidak melalui jalan para sahabat dianggap sebagai maqtu’ (yang terputus sanadnya), dan tidak lagi menjamin kesahihannya.

            Oleh yang demikian, tidak timbullah kekhuatiran di mana, akan ada mereka yang berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah akan meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w..

            Ini kerana, perkataan “aku mendengar dari Rasulullah s.a.w…” hanya dinilai sebagai hadis jika ianya disampaikan oleh para sahabat, sedangkan orang yang bukan dari kalangan para sahabat, walaupun berjumpa dengan Nabi s.a.w. di dalam mimpi dan yaqazah, tidak boleh mendatangkan suatu hadis dan mendakwa apa yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. itu sebagai suatu hadis.

            Ini kerana, ianya telahpun terkeluar dari takrif hadis itu sendiri, di mana ianya merupakan suatu sandaran dari Baginda s.a.w. sewaktu Baginda s.a.w. masih hidup.

            Adapun sesuatu yang datang dari Nabi s.a.w., setelah kewafatan Baginda s.a.w., samada melalui mimpi atau yaqazah, bukanlah suatu hadis, dan ianya juga perlu dinilai, adakah ianya bertepatan dengan syarak atau tidak. Kalau bertepatan sekalipun, kita mengamalkannya pun bukan atas dasar mengamalkan hadis, tetapi sekadar mengamalkan sesuatu yang dinilai sebagai baik dalam Islam yang bersifat umum dan luas.

            Jadi, kekhuatiran saudara penulis tidak sepatutnya wujud, dari konsep: “bertemu dan melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah” kerana para huffaz sebelum beliau juga mempercayainya, bahkan dikatakan ianya merupakan suatu kesepakatan huffaz dalam perkara tersebut (menurut Al-Allamah An-Nafrawi). Begitu juga dengan Al-Hafiz Imam As-Suyuti yang sanggup mengarang sebuah buku mengenainya untuk menghimpun segala hujah dalam menyokong konsep “bertemu dan melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah tersebut.

            Jadi, saudara penulis (adakah seorang Al-Hafiz dalam bidang hadis juga?) sebenarnya mengkhuatiri sesuatu yang tidak pernah dikhuatiri terjadi oleh para Al-Huffaz yang lain, bahkan merekalah yang banyak memperkatakan dan membela konsep tersebut.

            Seterusnya, penulis mengakhiri penulisannya dengan menulis:

            ‘Yaqazah’ memberikan ruang untuk musuh-musuh Islam mengubah hukum-hakam yang telah sedia ada. Mereka boleh pada bila-bila masa mendakwa mereka telah ‘yaqazah’ dan Rasulullah SAW pernah memberitahu mereka bahawa hukum itu telah berubah dan hukum ini telah berubah. Lebih-lebih lagi jika mereka menyamar sebagai syeikh tarekat!

            Ini sekadar suatu prasangka buruk dari saudara penulis. Ini kerana, konsep yaqazah, kalau difahami secara tepat dengan mafhumnya yang kita jelaskan sebelum ini, tidak akan menjadi pintu untuk musuh-musuh Islam mengubah hukum-hukum Islam yang telah sedia ada. Ini kerana, sudah disepakati bahawa, konsep yaqazah ini tidak boleh dijadikan pintu untuk menambah atau mengurangkan sesuatu syariat dalam Islam.

            Ini kerana, ilham, mimpi bertemu Nabi s.a.w. atau melihat Nabi s.a.w. tidak boleh dijadikan sebagai salah satu di antara sumber-sumber hukum apatah lagi dijadikan sebagai sumber syariat.

            Ianya sekadar berbentuk khabar gembira dan peringatan, demikianlah menurut Dr. Al-Qaradhawi (dalam buku yang diterjemah: Ilham, Kasyaf dan Mimpi) dan menurut Dr. Ali Jum’ah (dalam buku Al-Bayan). Adapun lafaz-lafaz zikir atau doa, bukan suatu syariat baru, sekadar termasuk dalam konsep khabar gembira tersebut.

            Jadi, sesiapa yang mengetahui kaedah-kaedah usul fiqh, qawa’id fiqhiyah, mustolah hadis, ilmu fiqh, memahami mafhum syariat dan bid’ah yang sebenar, maka sudah tentu tidak terjerumus dalam prasangka sedemikian (yang disangkakan oleh saudara penulis, dan semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepadanya dan kepada kita semua, amin…).

            Seterusnya, beliau menulis dalam kata-kata akhir beliau sebagai penutup:

            “Marilah kita sama-sama berfikir menggunakan akal berpandukan Al-Quran dan hadith sahih yang dihuraikan oleh ulama.

            Wahai tuan saudara penulis yang budiman, telahpun kami rujuk berpandukan hadis sahih, dan ulasan-ulasan para ulama’ mengenainya, dan ternyata konsep “bertemu dan melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah” sebenarnya merupakan sesuatu yang ada asasnya dalam Islam, dan ramai dari kalangan ulama’ yang mempercayainya.

            Cuma, yang jadi kemusykilan, pihak saudara penulislah sebenarnya yang mengkritik dan menolak konsep ini, tanpa berpandukan atau merujuk kepada mana-mana hadis sahih mahupun perkataan-perkataan ulama’.

            Saudara penulis sebenarnya menyuruh kami melakukan apa yang beliau sendiri tidak melakukannya (iaitu berfikir berpandukan Al-Qur’an dan hadis sahih yang dihuraikan oleh ulama’).

            Pihak kami tidakpun nampak dari sepanjang penulisan beliau sehingga ke akhirnya, menggunakan samada ayat-ayat Al-Qur’an, hadis-hadis sahih mahupun ulasan para ulama’ muktabar mengenai masalah ini.

            Beliau hanya menggunakan konsep “bertanya”, membuat andaian-andaian dan mengajak para pembaca membayangkan itu…membayangkan ini, tanpa mengulasnya secara ilmiah, sedangkan alhamdulillah, kami telahpun menyambut baik nasihat beliau untuk menilainya dengan adil, dengan merujuk hadis sahih dan ulasan ulama’ mengenainya dengan kuasa dan izin Allah s.w.t.., Alhamdulillah.

            Akhirnya, penulis menulis sebuah ungkapa yang juga berbentuk suatu andaian:

            “Tidak pernah walaupun seorang ulama yang menulis tentang Usul Fiqh memasukkan ‘yaqazah’ sebagai sumber dalam menentukan hukum.”

 Fikirkanlah wahai saudaraku.”

            Kita katakan:

            Ya, benar, yaqazah bukan sebahagian dari sumber-sumber menentukan hukum. Tetapi, siapa pula yang mendakwa yaqazah ialah sumber untuk menentukan hukum? Itulah persoalan yang lebih mustahak.

            Sebahagian ahli tarekat dan para ulama’ huffaz hanya menyatakan bahawa: “berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah hukumnya harus (dan menurut Al-Imam An-Nafrawi, sesiapa yang mengingkarinya maka hukumnya haram).

            Adapun zikir-zikir yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada seseorang dalam mimpi atausecara yaqazah setelah kewafatan Nabi s.a.w., bukanlah salah satu bentuk penambahan syariat, atau salah satu bentuk menentukan hukum, ia sekadar salah satu bentuk khabar gembira (mubasyirat) di mana Nabi s.a.w. sudi bertemu dengannya samada dalam mimpi atau secara yaqazah dan menyampaikan doa kepadanya.

            Ia tidak termasuk dalam bab syariat, ia sekadar termasuk dalam bab memberi galakan dalam melakukan kebaikan, di mana ia termasuk dalam persoalan “sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru yang baik (bertepatan dengan syarak), maka baginya satu pahala…” (sahih Muslim), yang disebut oleh sebahagian ulama’ sebagai bid’ah hasanah dari segi bahasa.

            Lafaz-lafaz zikir dan doa bukanlah satu syariat baru seperti yang difahami oleh sebahagian golongan yang tidak memahami keluasan mafhum syariat Islam. Ia sekadar termasuk dalam suatu kemuliaan dari Rasulullah s.a.w. kepada seseorang, sepertimana datangnya Rasulullah s.a.w. ke dalam mimpi Bilal r.a. dan menyarankan kepada beliau supaya pergi menziarahi maqam Baginda s.a.w. tersebut, setelah lama tidak mengunjungi Al-Madinah Al-Munawwarah.

            Al-Allamah Dr. Ali Jum’ah menegaskan bahawa (Al-Bayan m/s 162):

            “Sesungguhnya, melihat Nabi s.a.w. secara jaga bukanlah sesuatu yang berkaitan dengan masalah syariat, yang mana boleh diambil darinya sesuatu penambahan syariat agama yang baru, atau mengurangkannya. Tetapi, ianya merupakan sesuatu perkara yang berkaitan dengan realiti yang berlaku, di mana, orang yang mendakwa mengenainya bertanggungjawab dalam apa yang didakwanya (kalau benar, maka tidak mengapa, tetapi kalau ia suatu pendustaan, bererti dia telah mendustai Rasulullah s.a.w.). Ianya termasuk dalam perkara-perkara khabar gembira, dan kemuliaan dari Allah s.w.t.. Sebenarnya, penglihatan secara yaqazah tersebut tidak pula menafikan bahawa Nabi s.a.w. telahpun wafat, dan tidak pula membawa kepada orang yang melihat Baginda s.a.w. (secara yaqazah) tersebut sebagai sahabat, dan tidak membawa sebarang hukum dalam agama sekalipun.

            “Perkara ini juga tidak mustahil dari sudut akal, dan juga tidak tertolak dari sudut agama… In kerana ianya berdasarkan nas Nabawi (seperti dalam sahih Al-Bukhari yang disebutkan pada perbahasan sebelum ini).”

            Imam Ibn Hajar Al-Haitami menyebutkan (dalam Al-Fatawa Al-Hadithiyah): “Sebahagian golongan mengingkarinya (melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah) dan sebahagian ulama’ pula mempercayai dan mengakuinya dan golongan inilah (yang mengakuinya) yang benar. Ini kerana, perkara tersebut telahpun disampaikan oleh mereka yang soleh dan tidak diragui kesolehan mereka dan tidak pernah ditohmah (mengenai pengalaman-pengalaman mereka), dan dalilnya juga dari hadis riwayat Al-Bukhari (yang disebutkan sebelum ini”

            Wallahu a’lam…

Yang Menjalankan Amanah dengan izin Allah s.w.t.:

No comments:

Post a Comment