Monday, 8 March 2010

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(4)

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan(4)

http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/109

            Kata penulis lagi:

            Kita timbulkan beberapa persoalan terlebih dahulu.

            ““kenapa agaknya hanya syeikh tarekat tertentu yang ‘berjaya’ menemui Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’?

            Sedangkan sahabat Rasulullah SAW bermula daripada Abu Bakr al-Siddiq sehinggalah kepada sahabat-sahabat yang lain tidak pernah mendakwa mereka pernah bertemu Baginda.

            Adakah ini satu perkara yang boleh diterima dengan mudah oleh anda? Syeikh-syeikh itu lebih hebat dan tinggi kedudukannya berbanding para sahabat?”

            Persoalan pertama beliau:kenapa agaknya hanya syeikh tarekat tertentu yang ‘berjaya’ menemui Rasulullah SAW secara ‘yaqazah’?
           
            Sudah pun dijawab, bukan sheikh tarekat tertentu sahaja yang boleh menemui Rasulullah s.a.w. secara yaqazah kerana ia bukan khusus kepada ahli tarekat atau sheikh tarekat, tetapi khusus kepada sesiapa yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. untuk mendapatkannya samada sheikh tarekat ataupun tidak.

            Ada juga yang pernah mengalaminya tetapi bukan sheikh tareka dan tidak mustahil juga, ada sheikh tarekat tidak pernah mengalaminya. Janganlah melakukan tuduhan terhadap golongan ahli tarekat sedemikian, kerana mereka tidak pernah mendakwa, melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah hanya hak milik golongan tarekat. Fitnah itu hukumnya dosa besar, begitu juga dengan buruk sangka sesama Islam.

            Soalan kedua: Sedangkan sahabat Rasulullah SAW bermula daripada Abu Bakr al-Siddiq sehinggalah kepada sahabat-sahabat yang lain tidak pernah mendakwa mereka pernah bertemu Baginda?

            Pelik soalan ini. Menurut beliau, para sahabat tidak pernah menjumpai Nabi s.a.w. secara yaqazah? Jadi, sebelum kewafatan Nabi s.a.w., bukankah merekalah yang menjumpai Nabi s.a.w. secara yaqazah?

            Kalaulah yang dimaksudkan, para sahabat tidak pernah mendakwa menjumpai Rasulullah s.a.w. secara yaqazah setelah kewafatan Baginda s.a.w, kita persoalkan kembali: “Adakah anda sudah membaca seluruh buku-buku sirah dan sejarah Islam, sehingga anda dapat membuat kesimpulan bahawa mereka tidak pernah mendakwa menjumpai Rasulullah s.a.w. secara yaqazah?”

            Kalaupun para sahabat tidak pernah menceritakannya, adakah itu bererti mereka tidak mengalaminya?

            Kalaupun mereka tidak pernah mengalaminya, bukankah mereka sudah mendapat nikmat yang lebih tinggi dari itu, iaitu melihat Baginda s.a.w. semasa kehidupan Baginda s.a.w. bahkan sentiasa hidup dan berdamping dengan Baginda s.a.w.?

            Kalaupun sahabat tidak mengalaminya, adakah itu menjadi hujah untuk membangkang hadis sahih Al-Bukhari yang dinukilkan sebelum ini dari Saidina Abu Hurairah r.a.?

            Boleh jadi juga, para sahabat tidak menceritakannya, atau ada yang menceritakannya dalam buku-buku sirah tetapi anda belum menemuinya. Apa yang penting, jika ada kemungkinan, maka gugurlah sesuatu istidlal.

            Beliau seterusnya bertanya lagi dalam bentuk kekeliruan:

            Adakah ini satu perkara yang boleh diterima dengan mudah oleh anda? Syeikh-syeikh itu lebih hebat dan tinggi kedudukannya berbanding para sahabat?”

            Belum pernah ada seorang sheikh tarekat yang muktabar yang mendakwa, kerana berjumpa Nabi s.a.w. secara yaqazah menjadikan seseorang itu lebih tinggi kedudukannya berbanding para sahabat (yang turut pernah menjumpai Nabi s.a.w. secara yaqazah bahkan telahpun hidup bersama Baginda s.a.w.).

            Semua para ulama’ sepakat, para sahabat adalah sebaik-baik generasi, berbanding selain dari mereka, apatah lagi nikmat hidup bersama Nabi s.a.w. sewaktu hayat Baginda s.a.w. lebih mulia dari sekadar melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah setelah kewafatan Baginda s.a.w.. Berbeza sekali melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah  dalam bentuk gambaran dengan hidup bersama Nabi s.a.w. secara hakiki, takkanlah inipun gagal difahami oleh saudara penulis?

            Persoalan beliau lagi:

            “Apa perlunya Rasulullah SAW datang kembali untuk bertemu dengan orang-orang tertentu daripada kalangan tarekat kesufian dan tidak bertemu dengan orang lain?"

            Ini lagi satu bentuk prejudisnya terhadap terlalu membangkang dan menggambarkan sikap ingin menghentam golongan tarekat kesufian “memanjang”. Kita dah jelaskan sebelum ini , melihat Nabi s.a.w. tidak terbatas kepada ahli tarekat semata-mata, dan dakwaan ini merupakan salah faham, buruk sangka atau suatu fitnah terhadap ahli tarekat kesufian.

            Kata beliau lagi:

            “Malah para imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, al-Syafie dan Ahmad Ibn Hanbal pun tidak pernah mengalami peristiwa ini.”

            Dalam banyak riyawat, menceritakan Imam As-Syafi’e pernah bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. secara mimpi. Jadi, berdasarkan hadis Al-Bukhari tersebut, boleh jadi Imam As-Syafi’e pernah berjumpa dengan Nabi s.a.w. secara yaqazah, cuma tidak menceritakannya kepada orang lain, atau pernah menceritakannya tetapi belum ditemui cerita tersebut (kerana belum khatam baca kitab-kitab dalam bidang agama).

            Apa yang penting, masalah ini ada sandarannya dari hadis yang sahih, atau kita mahu mempertikaikan Nabi s.a.w. yang bersabda sedemikian? (Na’uzubillahi min zalik).

            Seterusnya, penulis cuba mengulas mengenai satu persoalan tambahan mengenai zikir ahli tarekat dengan berkata:

            Kenapa pula Rasulullah SAW perlu datang untuk mengajarkan beberapa zikir atau beberapa selawat dan doa sedangkan Baginda tidak pernah mengajarnya semasa hayat Baginda?

            Hampir kesemua tarekat mempunyai zikir tertentu dan selawat tertentu sebagai ‘trademark’ untuk mereka promosikan tarekat masing-masing. Apakah Rasulullah SAW datang berkali-kali untuk mengajar zikir dan selawat yang berlainan untuk tarekat yang berlainan?”

            Apa yang perlu diketahui, Nabi s.a.w. tidak perlu untuk datang mengajar zikir-zikir dan selawat tersebut yang tidak pernah diajarkan olehnya semasa hayat Baginda s.a.w.. Tetapi, kalau Baginda s.a.w. mahu mengajarkannya kepada orang-orang tertentu setelah kewafatan Baginda s.a.w., maka layakkah kita mempersoalkannya?

            Terpulanglah kepada Nabi s.a.w. untuk mengajarkan kepada sesorang tentang lafaz-lafaz zikir tertentu, kerana itu bukanlah suatu syariat baru, tetapi sekadar suatu bentuk lafaz doa semata-mata.

            Para ulama’ sufi bukanlah jenis “mempromosikan” tarekat masing-masing, cuma anak-anak murid yang ingin mengambil tarbiahlah yang pergi mencari mereka. Para mursyid tarekat hakiki tidak pernah buka madrasah, kutip yuran dan mengajar di masjid-masjid dengan mengambil upah dari anak-anak murid seperti yang dilakukan oleh kebanyakkan orang hari ini. Jadi, tidak timbullah soal “promosi” tarekat.

            Ini satu lagi sikap penilaian ilmiah yang tidak tepat.

            Kalau Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada beberapa orang muslim dengan zikir-zikir yang berbeza, maka ianya bukanlah mustahil dari sudut akal, mahupun bercanggah dengan Islam.

            Beliau seterusnya berkata lagi:

           
Mereka berkata: ‘tidak mustahil ia boleh berlaku’. Memang tidak mustahil! Tetapi adakah ia benar-benar berlaku?

            Persoalan kami, adakah ia benar-benar tidak berlaku? Atau, adakah ia bercanggah dengan ajaran Islam? Bahkan, kalau ia berlaku sekalipun, adakah ia memudaratkan seseorang atau umat Islam yang lain?

            Beliau berkata lagi:

            Wahai para ahli tarekat yang bijaksana. Saudaraku dan saudariku daripada pelbagai jenis tarekat kesufian, fikirkanlah persoalan-persoalan yang telah saya lontarkan di atas untuk anda memberikan jawapannya.

            Alhamdulillah, wahai sauadara penulis yang juga bijaksana, alhamdulillah, telah dijawab persoalan-persoalan tersebut, dengan izin dan bantuan Allah s.w.t..

            Penulis menulis lagi:

            Wahai para pembaca yang belum pernah menyertai tarekat kesufian, adakah anda ingin mempercayai cerita-cerita seperti ‘yaqazah’ atau kisah-kisah ajaib yang lain?

            Pertanyaan kami: “Kalau mahu percaya pun, adakah salah? Adakah bertentangan dengan syariat Islam?” Bukankah perkara mengenai yaqazah ada dibincangkan dan disebutkan di dalam hadis sahih?

            Penulis seterusnya menulis lagi: 

‘Yaqazah’ tidak pernah ditimbulkan oleh alim ulama terkenal, ahli fiqh terkenal, ulama hadith atau ulama tafsir terkenal sejak zaman berzaman. ‘yaqazah’ tidak pernah dipopularkan oleh mana-mana sahabat Nabi SAW atau mana-mana tabiin (murid para sahabat).

            Yakah? Atau saudara belum pernah membaca mengenainya? Bukankah telah kita nukilkan sebelum ini, perbahasan-perbahasan para ulama’ mengenainya? Siapakah Imam As-Suyuti kalau bukan Al-Hafiz dalam bidang hadis. Begitu juga dengan Ibn Hajar Al-Asqolani dan Ibn Hajar Al-Haithami yang merupakan pakar dalam fiqh dan hadis. Bukankah mereka bukan setakat menimbulkan mengenainya, bahkan mengulas dengan panjang lebar mengenainya, sehinggakan Imam As-Suyuti sendiri mengarang satu risalah atau satu buku mengenainya.

            Atau saudara penulis itu sendiri tidak mengenali mereka, atau tidak pernah membaca karangan mereka mengenai yaqazah tersebut.

            Penulis akhirnya membuat ulasan yang agak keterlaluan seperti berikut:

            Ia hanya ditimbulkan oleh sebahagian tarekat kesufian dan dipopularkan oleh mereka walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan bukti dan hujah yang menyokong mereka. Persoalannya, apakah faedah yang akan mereka dapat sekiranya masyarakat mempercayai cerita ‘yaqazah’ ini?

            Bukankah ianya dipopularkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri dalam hadis sahih Al-Bukhari? Bukankah ianya dipopularkan oleh Saidina Abu Hurairah ketika meriwayatkan hadis mengenainya. Bukankah Imam Al-Bukhari dan Imam Abu Daud yang mengeluarkan hadis tersebut dalam buku hadis mereka?

            Adakah Imam Al-Bukhari dan Imam Abdu Daud termasuk daripada sebahagian tarekat kesufian yang dimaksudkan oleh beliau, atau beliau tidak mengetahui hadis mengenainya, sehingga menuduh mereka yang mempercayainya tidak ada bukti dan hujah untuk menyokong mereka.

            Adakah Imam An-Nafrawi Al-Maliki seorang ahli tarekat juga, sehingga menyatakan bahawa: “harus seseorang melihat Nabi s.a.w. secara jaga menurut kesepakatan para Al-Huffaz. Adakah para al-Huffaz yang dimaksudkan juga merupakan sebahagian dari tarekat kesufian?

            Subhanallah…Ini merupakan suatu tuduhan yang tidak berasas terhadap golongan tarekat, seolah-olah merekalah yang mengada-adakan konsep “melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah” tersebut, sedangkan sejak dahulu lagi, para ulama’ membahaskan mengenainya, dalam rangka mengulas hadis sahih Al-Bukhari yang disebutkan sebelum ini.

            Lihatlah bagaimana beliau yang tidak segan silu menuduh konsep yaqazah itu dari rekaan ahli sufi dan tarekat, sedangkan Nabi s.a.w. sendiri yang memperkatakan tentangnya dalam hadis yang sahih (atau dia tidak tahu mengenainya, wallahu a’lam).

No comments:

Post a Comment