HADITH MAUDHU’ الحديث الموضوع
http://khairuummah77.wordpress.com/2009/09/29/hadith-maudhuDisediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kadir
بسم الله الرحمن الرحيم …
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …
Risalah kecil ini adalah untuk membetulkan beberapa fahaman yang membingungkan masyarakat islam pada kurun ke-14 Hijriah ini, iaitu berkenaan hadith maudhu’. Pihak yang tidak bertanggungjawab suka melarang amalan-amalan islam yang mempunyai asal itu dengan menggunakan taktik memaudhu’kan hadith terhadap hadith hasan dan dhaif.Taktik-taktik sedemekian itu mendorong kearah memecahbelahkan umat islam. Disini saya ingin memberi penjelasan mengenai fahaman patut berpegang teguh berdasarkan sikap tidak melampau. DEFINISI HADITH MAUDHU’:
Hadith yang diada-adakan terhadap nabi baik berupa perkataan, perbuatan, pengiktirafan mahupun lain-lainnya dengan sengaja.
CARA-CARA PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:
1) Perawi membuat sesuatu perkataan daripada dirinya sendiri.
2) Perawi mengambil perkataan orang lain.
SEBAB-SEBAB YANG MENDORONG PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:
1) Menimbulkan kekacauan dalam agama islam.
2) Tidak tahu tentang hal-ehwal hadith.
3) Untuk membela kebenaran kefahamannya.
4) Untuk memperoleh kekayaan.
5) Mengikuti kehendak pembesar-pembesar supaya dapat mendampingi mereka.
6) Untuk menarik perhatian orang.
HUKUM MERIWAYATKAN HADITH MAUDHU’:
Meriwayatkan hadith maudhu’ secara mutlaknya adalah haram bagi orang yang mengetahui bahawa hadith tersebut maudhu’, kecuali jika disertai penjelasan tentang kepalsuannya. Oleh kerana itu
1) Jika tidak mengetahui bahawa hadith itu maudhu’ dan secara tidak sengaja meriwayatkannya maka tidaklah berdosa.
2) Meriwayatkannya dengan tujuan mengingatkan orang bahawa ini adalah hadith palsu, maka tidaklah berdosa.
ISTILAH-ISTILAH DIGUNAKAN UNTUK HADITH MAUDHU’
1) لا أصل له : tidak ada asalnya
2) لا يوجد له أصل : tidak terdapat asal hadith ini
3) لم أقف عليه : saya tidak dapati hadith ini
4) لم يعلم من أخرجه : tidak diketahui siapa yang mengeluarkan hadith ini
MENGENALI TANDA-TANDA PEMALSUAN HADITH
Terdapat beberapa tanda-tanda pemalsuan hadith dan pembohongan perawi-perawi diterangkan dalam kitab العجالة النافعة oleh muhaddith hindi Syah Abdul Aziz Bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi:
1) Dengan pengakuan perawinya itu sendiri, seperti pengakuan dibuat oleh Abu ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengaku memalsukan hadith-hadith berkenaan dengan kelebihan membaca Al-Quran.
2) Dengan tanda-tanda yang didapati daripada diri keadaan perawi itu sendiri, seperti hanya:
a) Ingin memuaskan hati sebahagian para pembesarnya dalam berdusta.
b) Ingin menarik perhatian terhadap mereka (perawi).
c) Ingin mencari dunia melalui menjual agama.
3) Dengan tanda-tanda yang didapati daripada yang diriwayatnya seperti buruk susunan dan pengertiannya.
4) Menyalahi dengan sebahagian keterangan Al-Quran, Hadith Mutawatir, Ijma’ Qat’ie{muktamad} atau dengan akal yang sejahtera.
5) Perawi menyalahi dalam riwayatnya dengan sejarah yang masyhur.
Contoh:
a) Berkata seseorang mengenai peperangan Siffin pada tahun 33H bahawa Abdullah bin Mas’ud berkata …….., “sedangkan Abdullah bin Mas’ud wafat sebelum peperangan Siffin pada zaman pemerintahan Uthman (R.A).
b) Mua’wiyah (R.A) menumpahkan darah orang ramai semasa beliau melarikan diri daripada peperangan Jamal, sedangkan peperangan itu berakhir dengan secara damai. Jenis maudhu’ seperti ini dapat dikesan dengan mudah.
6) Perawi adalah seorang rafedhi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci sahabat.
7) Perawi adalah seorang nasebi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci keluarga nabi. Teruskanlah kiasan demikian itu.
8) Perawi meriwayatkan hadith mengenai satu perkara yang wajib mengetahuinya dan beramal dengannya padahal dia menjadi tunggal meriwayatkan hadith itu, hanya ini adalah satu pendekatan yang amat ketara mengenai rawi itu pembohong atau pemalsu hadith.
9) Perkara yang diriwayatkan oleh perawi bersalah-salahan dengan tuntutan agama dan akal. Dan juga dasar-dasar agama menyalahkannya seperti riwayat:
“لا تأكلوا البطيخ حتى تذبحوه”
“Janganlah kamu makan buah tembikai sehinggakan kamu menyembelihinya”10) Dinyatakan dalam riwayat mengenai ancaman yang bersangatan terhadap dosa kecil atau janji pahala amat besar terhadap sedikit amalan yang baik, seperti:
a) Menyebut pahala haji dan umrah bagi amalan yang terlalu sedikit.
b) Barangsiapa sembahyang sunat dua raka’at, maka ia akan diberi 70, 000 buah rumah, pada setiap rumah ada 70, 000 katil. Di atas tiap-tiap satu katil berada 70, 000 anak dara. Maka hadith-hadith yang datang seperti cara-cara tersebut samada mengenai pahala dan dosa kesemuanya dianggap hadith maudhu’.
HADITH MAUDHU’ DITOLAK BULAT-BULAT WALAUPUN NIAT PEMALSU HADITH ITU AMAT BAIK.
Apabila ulama’ muhaddithin menyuarakan ketiadaan sahihnya hadith-hadith itu dan ulama’ meminta syarat yang sahih di sisi Nuh, maka beliau mengakui bahawa niatnya adalah elok dan keadaan sekitar yang memaksanya mengada-adakan hadith-hadith itu. Selanjutnya beliau menceritakan bahawa beliau mendapati orang ramai membiarkan membaca Al-Quran dan mula menyibuk bermutala’ah kitab-kitab tafsir, sejarah maghazi Abi Ishaq dan feqah Abu Hanifah, maka beliau mengambil keputusan untuk mengada-adakan hadith-hadith berbentuk menarik minat dan menakutkan supaya orang ramai mengambil berat membaca Al-Quran dan beramal kerana mengharapkan pahala-pahala itu dan merasa ketakutan seksaan-seksaan itu.
Alasan yang diberi oleh Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam dan kenyataan tentang niat baiknya itu lebih teruk dan dahsyat daripada dosa kerana didapati banyak hadith sahih mengenai kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran. Itupun sudah memadai bagi kami untuk menarik minat orang ramai.
PERSELISIHAN PENDAPAT ULAMA’ DALAM MENENTUKAN HADITH MAUDHU’
1)
حديث: من عير اخاه بذنب، لم يمت حتى يعمله“Sesiapa yang mencela (memburuk-burukkan) saudara dengan sebab sesuatu dosa yang dilakukannya nescaya ia tidak meninggal dunia sehinggalah dia akan melakukan dosa itu.”
Ulasan:
Hadith ini dimaudhu’kan oleh setengah ulama’ sedangkan Imam Tirmizi menyatakan hadith ini sebagai hadith hasan.(الفوائد المجموعة)2) حديث
: الموت كفارة لكل مسلم“Kematian itu penghapus dosa bagi setiap orang muslim.”
Ulasan:
Ibnu Jauzi dan Saghani mengadakan hadith ini dalam senarai hadith maudhu’ sedangkan Ibnu Al-Arabi menegaskan hadith ini sebagai hadith sahih. Hafiz Al-Iraki pula berkata bahawa hadith ini datang dengan beberapa jalan periwayatan sehingga sampai darjat hasan.Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa:
Hadith ini tidak memberi pengertian bahawa kematian itu adalah penghapus segala dosa-dosa muslim, bahkan ia membawa maksud penghapusan dosa-dosa hanya sekadar dikehendaki Allah Ta’ala sahaja. Maka hadith ini tidak bercanggah dengan nas.(الفوائد المجموعة: ص 268)
3)
حديث: القبر روضة من رياض الجنة أو حفرة من حفر النار“Kubur itu merupakan sebuah taman di antara taman-taman syurga atau suatu lubang di antara lubang-lubang neraka.”
Ulasan:
Tidak tepat menyebutkan hadith ini dalam hadith maudhu’ kerana hadith ini diriwayatkan oleh imam Tirmizi dan Tabrani sebagai hadis dhaif. (الفوائد المجموعة: ص 269)4)
حديث: اللهم أحيني مسكينا وأمتني مسكينا واحشرني في زمرة المساكين“Ya Allah hidupkan daku sebagai orang miskin dan matikanlah daku sebagai orang miskin serta himpunlah daku di dalam golongan orang miskin.”
Ulasan:
Hadith yang mengandungi doa ini ditentukan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan Ibnu Taimiyah kerana hadith ini bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan di sisi Allah s.w.t. Hadith yang dikandung doa di atas itu diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Sa’id Al-Khudri dan Tabrani meriwayatkan daripada A’ta dengan sanad dhaif. Lafaz hadith ialah:
5)
حديث: اللهم توفني اليك فقيرا ولا توفني غنيا واحشرني في زمرة المساكين يوم القيامة“Ya Allah wafatkan daku berjumpa dengan dikau sebagai orang yang fakir dan janganlah wafatkan daku sebagai orang yang kaya serta hidupkanlah daku dalam golongan orang-orang miskin di hari akhirat.”
Hakim mengeluarkan dalam mustadraknya dengan tambahan sedikit lafaz hadith dan ia berkata sanad hadith ini sahih. Tabrani juga meriwayatkannya daripada Ubadah bin Samit dengan sanad di mana perawi-perawinya thiqah (yang dipercayai) dengan adanya beberapa jalan periwayatan bagi hadith tersebut, sewenang-wenangnya menghukum maudhu’ terhadap hadith itu dianggap melampau. Maka ditolak bulat-bulat dakwaan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan IbnuTaimiyah mengenai hadith tersebut.
Dijawab oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya ‘tuhfah’ berkenaan dengan maksud kemiskinan dalam hadith tersebut sambil menyatakan darjat hadith. Beliau berkata bahawa sesungguhnya hadith itu dhaif dan bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan, kemudian beliau menta’wilkan makna meminta kemiskinan itu kepada makna meminta ketenangan hati. Syaikhul Islam Zakaria Al-Ansari pula berkata bahawa maksud sebenar bagi meminta kemiskinan dalam hadith tersebut ialah meminta merendah diri supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang kaya yang mempunyai sikap bongkak diri.
(كشف الخفاء ومزيل الإلباس عما اشتهر من الأحاديث على ألسنة الناس: ج 1، ص 207)
Berdasarkan perselisihan pendapat mengenai sesetengah hadith maudhu’ seperti yang disebut sebelum ini, maka janganlah tergesa-gesa memaudhu’kan hadith. Bahkan perlu meneliti secara halusi supaya dapat memastikan dengan tepat yang mana maudhu’ dan tidak maudhu’.
JANGANLAH MUDAH MENGHUKUM (كذب موضوع) لا أصل له
Imam Jalaluddin Sayuti berkata كذب موضوع بالاتفاق(hadith ini merupakan satu pembohongan lagi yang direka-reka dan perkara ini disepakati ulama’) di dalam kitabnya الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة terhadap hadith:
Imam Zarkasyi juga menuruti pendapat Imam Ibnu Taimiyah di mana beliau berkata ‘لا أصل له’ (tidak menerima punca datangnya hadith itu) terhadap hadith tersebut.” لما خلق الله العقل قال له: أقبل فأقبل، ثم قال له: أدبر فأدبر، فقال ما خلقت خلقا أشرف منك فبك آخذ وبك أعطى”Maksudnya: tatkala Allah s.w.t menciptakan akal, Allah s.w.t berfirman (perintah) kepadanya ‘maju ke hadapan atau hadaplah engkau’maka ia (akal) terus maju, kemudian Allah s.w.t berfirman lagi ‘pusing belakang atau undurlah engkau’ maka ia (akal) pun terus undur. Kemudian Allah s.w.t berfirman ‘aku tidak menciptakan suatu ciptaan yang lebih mulia daripadamu. Maka melaluimulah aku akan mengambil (tindakan) dan memberi (pemberian).
Imam Muhaqqiq (pengkaji halus) Abdul Haiyi Lakhnawi Al-Hindi berkata dalam kitabnya (الأجوبة الفاضلة) وقد وجدت له اصلا صالحا أخرجه عبد الله بن أحمد في زوائد الزهد maksudnya: aku dah pun menemui punca yang begitu elok datangnya hadith tersebut yang dikeluarkannya oleh Abdullah bin Ahmad (bin Hambal) di dalam kitabnya Zawaid Al-Zuhd.Hafiz ibnu hajar Al-Haitami juga menemui asal yang diriwayatkan oleh tabrani dan Al-haitami menyatakan bahawa;-
رواه الطبراني في الكبير والأوسط، وفيه عمر بن أبي صالح، قال الذهبي: لا يعرف (مجمع الزوائد 8: 28)
PERINGATAN!
Semestinya diketahui apabila didapati di dalam sesetengah kitab ulama’ mutaqaddimin (yang dahulu) yang ada menyatakan: “لم يصح في هذا الباب حديث” yang bererti: “tidak sah satu hadith pun di dalam bab ini (masalah ini)”, apa yang dimaksudkan ialah adanya Hadith Hasan dan Dhaif di dalamnya bukan mereka maksudkan setiap hadith di dalam bab tersebut adalah maudhu’ atau dusta.(وظيفة الحديث الضعيف، ص 39)
PERHATIAN!
Di kalangan muhaddithin terdapat sekumpulan yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.1) (ابن الجوزي):- Beliau menuduh Imam Tirmizi memuatkan tujuh belas buah hadith maudhu’ didalam kitabnya sunan tirmizi. Ibnu Hajar mempertahankan hadith-hadith itu sebagai. Hadith hasan dan dhaif.
2) (ابن تيمية):- Beliau menjadikan sesetengah hadith hasan dan kebanyakan hadith dhaif sebagai hadith maudhu’. Beliau menuruti Ibnu Jauzi.
3) (صغاني):- Beliau juga terkenal sebagai yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith-hadith Hasan dan dhaif.
4) (السيوطي):- Beliau dikenali sebagai yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith.
5) (جوزقاني):- Beliau menghukum maudhu’ terhadap hadith-hadith yang begitu banyak dengan hanya menyalahi sedikit dengan sunnah. Hafiz Ibnu Hajar berkata itu adalah satu kesalahan yang di lakukan oleh beliau.
6) (ابن حبان):- Beliau dianggap yang melampau mengenai mengkritik rawi-rawi hadith sehingga beliau sanggup mencacatkan rawi-rawi yang di percayai, seolah-olah beliau tidak sedar apa yang keluar dari fikirannya.
(الأجوبة الفاضلة، ص 170 – 179)
KESIMPULAN:
1)Jangan terlalu ghairah menghukum maudhu’ terhadap mana-mana hadith.
2)Perlu mengambil kira perselisihan pendapat muhaddithin mengenai menentukan maudhu.’
3)Berhati-hatilah dengan muhaddithin yang mempunyai sikap terlalu keras menentukan
maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.
Semoga Allah jadikan penjelasan ini bermanafaat bagi saya dan anda semua.
SEKIAN WASSALAM
Sumber : Http://Khairuummah77.wordpress.com
No comments:
Post a Comment