Thursday, 11 February 2010

PELAYAR ISLAM DAHULUI COLUMBUS TEMUI DUNIA BARU

PELAYAR ISLAM DAHULUI COLUMBUS TEMUI DUNIA BARU

http://khairuummah77.wordpress.com/

Pelbagai bukti menunjukkan bahawa orang Islam dari Sepanyol dan Afrika Barat tiba di Amerika sekurang-kurangnya 500 tahun sebelum kedatangan Cristopher Columbus ke benua itu.
Sejarah mencatatkan bahawa, sebagai contoh, pada pertengahan abad kesepuluh Masehi, semasa pemerintahan Khalifah Ummayah, Abd Rahman III (929-961M), orang Islam berketurunan Afrika berlayar ke arah barat dari pelabuhan Delba (Palos) di Sepanyol untuk merentasi ‘lautan gelap dan kabus’.
Mereka kembali ke Sepanyol setelah mengembara untuk tempoh yang lama bersama-sama pelbagai khazanah dari ‘dunia yang pelik dan luar biasa’.
Juga terbukti, orang dari keturunan Islam telah menyertai Columbus dan pelbagai pelayar Sepanyol selepas beliau ke Dunia Baru.
Kubu terakhir umat Islam di Sepanyol, Granada, jatuh ke tangan tentera Kristian pada 1492 tidak lama sebelum Pasitan Sepanyol (Spanish Inquisition) bermula. Bagi menyelamatkan diri dari kekejaman yang berlaku, ramai orang bukan Kristian bertindak melarikan diri atau berpura-pura memeluk agama Kristian Katolik.
Terdapat sekurang-kurangnya dua dokumen yang mengisyaratkan kehadiran orang Islam Sepanyol di Amerika sebelum tahun 1550, walaupun sebuah dikri telah dikeluarkan pada 1539 oleh raja Sepanyol ketika itu, Charles V, yang melarang keturunan orang Islam yang dibakar ketika Pasitan sebelum itu daripada berhirah ke Hindia Barat.
Dikri ini telah disahkan pada 1543 dan arahan dikeluarkan bagi menghalau orang Islam dari semua wilayah milik Sepanyol di luar Negara.
Dokumen sejarah
            Sejarawan dan ahli geografi Muslim, Abul Hassan Al-Hussain Al-Masudi (871-957) menulis dalam bukunya Muruj adh-dhahab wa maadin aljawhar (Padang Emas dan Kuari Permata) bahawa ketika pemerintahan khalifah Abdullah ibn Mohammad (888-912) di Sepanyol, pelayar Muslim, Khaskhash Ibn Saeed ibd Aswad dari Kurtubah (Cordova) telah berlayar dari Delba (Palos) pada 889, menyeberangi Lautan Atlantik ke wilayah yang tidak diketahui (ard majhula) dan kembali bersama pelbagai harta yang menakjubkan.
            Pada sebuah peta dunia yang dihasilkan oleh Al-Masudi, terdapat sebuah kawasan yang luas di lautan ‘gelap dan kabus’ yang dinamakan olehnya sebagai ‘wilayah yang tidak diketahui’ (Amerika).
            Dalam pada itu, sejarawan Abu Bakar ibn Umar Al-Gutiyya menulis bahawa semasa pemerintahan Khalifah Hisham II (976-1009) di Sepanyol, seorang pelayar Muslim, Ibn Farrukh, dari Granada, telah belayar dari Kadesh (Februari 999) merentasi lautan Atlantik dan tiba di Gando (Pulau Canary Besar) untuk menziarahi Raja Guanariga.
            Selepas itu, beliau meneruskan pelayarannya ke arah barat dan menamakan dua buah pulau yang ditemuinya dengan nama Capraria dan Pluitana. Ibn Farrukh kembali ke Sepanyol pada bulan Mei 999.
            Sejarah juga menunjukkan bahawa Columbus memulakan pelayarannya dari Palos (Delba) menuju Gomero (Pulau Canary) – ‘gomera’ adalah perkataan Arab yang bermakna ‘api kecil’.
            Di sana, beliau jatuh cinta dengan Beatriz Bobadilla, anak perempuan ketua pulau tersebut (nama keluarga Bobadilla berasal daripada nama Islam, Abou Abdilla).
            Nama keluarga atau puak Bobadilla ini sebenarnya tidak mudah diketepikan dalam catatan sejarah Columbus.
            Seorang lagi Bobadilla (Francisco), sebagai pesuruhjaya diraja, telah menahan dan membelenggu Columbus dengan rantai dan memindahkannya dari Santo Diminigo untuk dihantar balik ke Sepanyol pada November 1500. Keluarga Bobadilla mempunyai hubungan darah dengan dinasti Abbadid di Serville (1031-1091).
            Pada 12 Oktober 1492, Columbus mendarat di sebuah pulau kecil di Bahama yang dikenali sebagai Guanahani oleh penduduk tempatan. Ia dinamakan San Salvador oleh Columbus.
            Perkataan ‘guanahani’ berasal daripada bahasa Mandika dan Arab. ‘Guana’ (ikhwana) bermakna ‘adik-beradik’ atau ‘saudara’, sementara ‘hani’ adalah nama Arab. Justeru nama asal pulau terebut bermakna ‘adik-beradik Hani’.
            Anak Cristopher Columbus, Ferdinand, menulis mengenai orang berkulit hitam yang ditemui bapanya di Honduras, “…manusia yang tinggal di sebelah timur Pointe Cavinas sehingga ke Cape Gracios a Dios, hitam legam kulitnya…”
            Pada waktu yang sama, di kawasan yang dimaksudkan Ferdinand itu, terdapat satu puak tempatan orang Islam yang dikenali sebagai puak Almamy.
            Dalam bahasa Mandika dan Arab, perkataan ‘almami’ membawa maksud ‘al-imam’ atau ‘al-imamu’ – imam solat atau, dalam kes tertentu, bermaksud ketua masyarakat atau anggota kelompok orang Islam Imami.
            Seorang sejarawan dan ahli bahasa Amerika yang terkenal, Leo Weiner dari Universiti Harvard, dalam bukunya Africa and The Discovery of America (1920) menulis bahawa Columbus amat menyedari akan kehadiran orang Mandika di Dunia Baru.
            Beliau juga menyedari bahawa orang Islam dari Afrika Barat telah lama berkembang di pulau-pulau Carribean, wilayah-wilayah Tengah, Selatan dan Utara Amerika, termasuk di Kanada.
            Mereka berdagang dan berkahwin dengan penduduk tempatan daripada puak Iroquois dan Algonquin.
Penjelajahan geografi
            Ahli geografi dan kartografi Muslim yang terkenal, Al-Sharif Al-Idrisi (1099-1166) menulis dalam bukunya Nuzhat al-mushtaq fi ikhtiraq al-afaq (Perjalanan seorang perindu merentasi ufuk) bahawa sekumpulan pelayar dari Afrika Utara belayar merentasi ‘lautan gelap dan berkabus’ (Lautan Atlantik) dari Lisbon (Portugal) untuk mengetahui apakah yang berada di dalamnya dan sejauh manakah hadnya.
            “…Mereka akhirnya tiba di sebuah pulau yang berpenghuni dan tanam-tanaman… pada hari keempat. Seorang penterjemah bercakap dengan mereka dalam bahasa Arab,” tulis beliau.
            Selain itu, buku-buku rujukan Islam menyebut tentang sebuah catatan yang lengkap tentang pelayaran merentasi lautan gelap dan berkabus oleh Shaikh Zayn Eddine Ali Ben Fadhel Al-Mazandarani.
            Pelayaran beliau bermula dari Tarfaya (Selatan Magribi) semasa pemerintahan sultan keenam Dinasti Mariniyyah, Sultan Abu Yacoub Sidi Youssef (1286-1307), ke Pulau Hijau di Laut Caribbean pada 1291.
            Sejarah juga mencatatkan bahawa Sultan Mansu Kankan Musa (1312-1337), raja Mandika empayar Islam Mali di Afrika Barat yang paling terkenal, dalam perjalannya mengerakan haji pada 1324, memaklumkan kepada para ulama di istana Mamluk Bahri (Sultan An-Nasir Nasir Edin Muhammad III (1309-1340) di Kaherah, bahawa abang beliau, Sultan Abu Bakar I (1285-1312) telah membuat dua pelayaran merentasi Lautan Atlantik. Apabila beliau tidak kembali dari pelayaran keduanya pada 1311, Mansa Musa menjadi sultan empayar tersebut.
            Columbus dan pelayar awal Sepanyol serta Portugal berupaya mengembara merentasi Atlantik (jarak:2400 km) ekoran kewujudan maklumat geografi dan navigasi orang Islam, terutamanya peta yang dihasilkan oleh pedagang-pendakwah Islam, terasuk Al-Masudi (871-957) yang terkandung dalam bukunya Akhbar az-zaman (Sejarah Dunia). Buku ini mencatatkan pengalaman beliau di Afrika dan Asia.
            Malah, sejarah mencatatkan bahawa dua orang kapten Columbus dalam pelayaran pertama beliau merentasi Atlantik berketurunan Islam -  Martin Alonso Pinzon mengemudi kapal Pinta, sementara adiknya, Vicente Yenez Pinzon, mengemudi kapal Nina.
            Mereka merupakan pakar kapal dan pelayar kaya yang membantu mempersiap ekspedisi Columbus serta kapal Santa Maria atas sebab-sebab perdagangan serta politik. Keluarga Pinzon mempunyai hubungan darah dengan Abuzayan Muhammad III (1362-1366), sultan bagi dinasti Mariniyyah, Magribi.
Inskripsi berbahasa Arab
            Ahli-ahli antropologi telah membuktikan bahawa puak Mandika di bawah arahan Mansa Musa, telah menjelajahi banyak bahagian di Utara Amerika melalui sungai Missisippi dan sungai-sungai yang lain. Di Four Cornes, Arizona misalnya, terdapat tulisan yang menunjukkan bahawa mereka telah membawa gajah dari Afrika ke kawasan ini. Selain itu, Columbus sendiri dalam catatannya mengakui bahawa pada hari Isnin, 21 Oktober 1942, sewaktu kapal beliau belayar berhampiran Gibara di pantai timur laut Cuba, beliau ternampak sebuah masjid di puncak sebuah gunung yang cantik. Puing-puing masjid dan menara dengan pelbagai inskripsi berbahasa Arab telah di temui di Cuba, Mexico, Texas dan Nevada.
            Dari sudut bahasa pula terdapat 564 nama kampung, Bandar, gunung, tasik, sungai dan sebagainya di Amerika (484) dan Kanada (81) yang berasal daripada akar Islam dan bahasa Arab. Tempat-tempat ini pada asalnya merupakan nama yang diberikan oleh penduduk tempatan lama sebelum ketibaan Columbus.
            Sebahagian daripada nama-nama ini membawa makna yang suci dalam tradisi Islam, misalnya Mecca (Indiana), Puak Indian Makkah (Washington), Medina (Idaho), Medina (New York), Medina, Hanzen (Dakota Utara), Medina (Ohio), Medina (Tennessee), Medina (Texas), Medina (Ontario), Mahomet (Illinois), Mona (Utah) dan Arva (Ontario).
            Sehubungan itu, kajian teliti terhadap nama puak-puak Indian mendedahkan bahawa banyak daripada nama tersebut berasal daripada akar budaya Islam dan bahasa Arab, antaranya Anasazi, Apache, Arawak, Arikana, Chavin, Cherokee, Cree, Hohokam, Hupa, Hupi, Makkah, Mahigan, Mohawk, Nazca, Zulu dan Zuni. (www.jannah.org).
Oleh Dr Youssef Mroueh. (Sedutan daripada Fikrah Harakah, Rencana m/s 10, 5-20 Safar 1426H/16-31 Mac 2005. Ditaip oleh Zul Azrai.

No comments:

Post a Comment