Saturday, 13 February 2010

Martabat Tujuh

Martabat Tujuh


Nota ini telah dibentangkan dalam Seminar Tasawwuf anjuran Jabatan Agama Negeri Sembilan, pada 14  Ogos 2004 di Allison Kelana Resort Seremban, Negeri Sembilan Darulkhusus [dan telah disiarkan di laman lama - Traditional Islam Homepage]
***************************
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
MARTABAT TUJUH
OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Nota ini, insya’ Allah, akan membicarakan dengan ringkas, setakat memadai, tajuk ‘Martabat Tujuh” sebagaimana yang terkenal dalam teks-teks Melayu-Jawi, dan dalam kalangan ahli persuratan dan ulama di Dunia Melayu, dan mengaitkannya pula dengan unsur-unsur yang ada dalam  setengah penulisan tasauf yang ada dalam kalangan Ahlis-Sunnah  wa’l-Jama’ah, dengen menyebut ciri-ciri dan dasar-dasarnya. Kemudian akan dibicarakan kedudukannya dalam konteks fahaman ilmu atau epistemologi Ahlis-Sunnah, adakah ia mempunyai ‘tempat’ yang memang sesuai baginya, yang perlu dibicarakan oleh mereka yang tertentu yang mempunyai persiapan-persiapan tertentu, ataupun, sebaliknya, ia sesuatu yang perlu dilupakan dan ditiadakan dalam wanaca keagamaan Dunia Melayu yang berpegang kepada Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah semenjak dahulu sehingga sekarang, walaupun ada usaha untuk ‘menyemak’nya oleh setengah kalangan. Dahulunya tajuk ini dibicarakan oleh kalangan mereka yang dikirakan ‘ahli’ sebenarnya; tetapi sekarang isu ini sudah ‘keluar’ daripada ‘tempat’nya, dan dibicarakan  oleh ’semua’ pihak. Oleh itu timbullah keperluan untuk membicarakannya.Penulis ini yang tidak memandang dirinya ahli dalam bidang ini, tetapi yang bergantung kepada para ulama yang muktabar dan hasil-hasil para penyelidik bidangnya, mengharapkan perbincangan ini berlaku dalam keadaan ‘fikiran yang dingin’   dan sejahtera, demi untuk mencapai sesuatu yang jernih dan  menyelamatkan, tanpa melanggar adab-adab yang dikehendaki terhadap ilmu dan para ulama, Allah memberi rahmat kepada mereka.Amin. “Input-input” yang berguna amat dialu-alukan untuk menyempurnakan perbincangan bersama.
Tasauf Di Dunia Melayu
Imam al-Ghazali rd dalam kitab Ihya’ ‘Ulumi’d-Din yang terkenal itu membahagikan tasauf kepada dua bahagian, iaitu tasawwuf mu’amalah dan tasauf mukasyafah.(1), yang mu’amalah ialah berkenaan dengan isu-isu seperti bersuci, beribadat, sifat-sifat yang buruk yang perlu dihilangkan daripada diri dan sifat-sifat yang baik yang perlu dijadikan perhiasan diri. Demikian pula di dalamnya termasuk soal-soal kehidupan seperti nikah-kahwin, usaha mencari rezeki yang halal, kehidupan berjiran, dan persoalan-persoalan yang sedemikian.
Perkara-perkara yang dimasukkan ke dalam bidang ‘mukasyafah’ ialah perkara-perkara yang menyentuh hakikat-hakikat tentang roh dan jiwa, hakikat ketuhanan, hubungan Tuhan dengan alam, hal-ahal alam yang kekal abadi yang selain  daripada fardu ‘ain dalam pembicaraan.Maka boleh dik,atakan bahawa pembicaraan tentang ‘Martabat Tujuh’ ini adalah termasuk ke dalam bahagian atau bidang yang disebut ‘mukasyafah’ itul,
Dalam hubungan dengan perkembangan Islam di Dunia Melayu, nampaknya dalam beberapa abad awal perkembangan itu situasinya berkebetulan  dengan masa perkembangan tasawwudf dan tarikat-tarikat  dalam erti yang biasa dimengerti. Ini adalah selain daripada hakikat bagaimana amalan-amalan rohaniah itu memang sudah ada pada zaman awal lagi, dan berkembang dengan baiknya,  sebagaimana  yang disebutkan oleh ibn Khaldun dalam al-Muqaddimahnya dan juga oleh ulama sufi dalam teks-teks mereka yang terkenal seperti Risalah al-Qushairiyyah dan Kashf al-Mahjub antara yang sekian banyaknya itu. Imam al-Ghazali rd menulis kitab berkenaan dengan tasawwuf yang menyentuh soal-soal akhlak dan pembentukan rohani secara ‘moderat’ mengikut setengah pihak, bagaimanapun ia menulis pula teks-teks seperti Mishkat al-Anwar misalnya, dan Tahafut al-Falasifah serta juga al-Maqsad al-Asna yang menghuraikan makna-makna yang sangtat dalam tentang Nama-Nama tuhan.Beliau meninggal dalam tahun  1111 , dan ibn ‘Arabi rd yang banyak mempengaruhi para sufi kemudian, dengan al-Futuhat al-Makkiyyahnya dan Fusus al-Hikamnya meninggal tahun 1240; manakala Shaikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani rd meninggal dalam 1166, dan Shaikh Abul-Hasan al-Shadhili rd  meninggal dalam tahun  1258. Dan Islam yang berkembang di Dunia Melayu nampaknya banyak menunjukkan pengaruh tasauf dan amalannya. Dengan itu nampaknya tasauf merupakan sesuatu unsur yang sangat penting dalam perkembangan Islam di rantau ini.(2)
Nampaknya sebutan tentang “Martabat Tujuh” ini dikaitkan dengan nama Hamzah Fansuri  dan muridnya Syamsuddin al-Sumatrani atau Syamduddin Pasai, serta juga ‘Abdur-Rauf Singkel yang hidup yang bergiat di Acheh dalam abad ke 16 dan ke 17.(3) Hamzah  Fansuri mengeluarkan fahamannya dan pengelamannya melalui tulisan prosa dan puisi, dan ia muncul sebagai ahli puisi sufi yang teragung di rantau ini. Dalam karangan-karangannya ia mengeluarkan kata-kata  yang menyatakan tentang ‘keesaan yang wujud’ (‘wihdatul-wujud’) yang terkait dengan nama ibn ‘Arabi rd yang terkenal itu. Nampaknya ia mengamalkan tarikat Qadiriyyah dan mungkin juga ia ‘khalifah’ tarikat yang berkenaan.
Pengarang yang terkenal seorang lagi di Acheh ialah Shamsuddin Pasai (men.1630)  yang mengharang dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu; beliau tidak muncul sebagai penggubah puisi tetapi tulisannya lebih sistematis, dan memberi huraian tentang ajaran metafisika yang sama dengan gurunya tentang ‘keesaan yang wujud’. Pada van Bruinessen nampaknya beliau pengarang yang pertama dalam Dunia Melayu memberi huraian berkenaan dengan martabat tujuh ini , yang merupakan adaptasi daripada teori ibn ‘Arabi tentang emanasi  atau ‘faid’ dari Tuhan yang popular di rantau ini.(4)  Dalam hubungan dengan ini mungkin beliau mengikuti contoh pengarang Gujerat Muhammad b.Fadl Allah al-Burhanpuri yang menghuraikan doktrin yang sama dalam Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi , yang siap digubahnya pada 1590, dan kemudian menjadi popular di kalangan Muslimin Dunia melayu.(5)Mungkin beliau mengenali kitab ini di Acheh, atau di Makkah, atau di India. Burhanpuri beramal  dengan tarikat Shattariyyah, dan selepas meninggal Shamsul-Din tarikat itu menjadi popular dari kalangan mereka yang pulang daripada menunaikan haji.
Mungkin boleh ditambah beberapa maklumat berkenaan dengan teks-teks karangan Syams al-Din Pasai ini.Antaranya ialah: Jawhar al-Haqa’iq (30 halaman dalam Bahasa Arab), karyanya yangpaling lengkap, disunting oleh Van Nieuwenhuijze, yang membicarakan martabat tujuh dan jalan mendampingi diri sengan Tuhan;  kitab Risalah Tubayyin Mulahazat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dhikr Allah (berbahasa Arab), lapan halaman, diedit oleh Van Nieuwenhuijze, mengandungi huraian tentang perbezaan antara kaum yang berpegang kepada tauhid yang benar dan kaum yang mulhid;  kitab Mir’at al-Mu’min (70 halaman) dalam Bahasa Melayu, menjelaskan keimanan kepada Allah, RasulNya, kitab-kitabNya, para malaikatNya, akhirat, qada’Nya,  dalam akidah Ahlis-Sunnah wa al-Jama’ah (mengikut Imam Asy’ari dan Maturidi rd). Kitab Sharah Ruba’I Hamzah Fansuri, 24 halaman berbahasa Melayu, menjelaskan pengertian wihdatul-wujud. Kitab Syarah Sya’ir Ikan Tongkol (20 halaman, dalam Bahasa Melayu),ulasan 48 baris syair Hamzah Fansuri yang mengupas nur Muhammad dan cara mencapai fana’ fi’Llah. Kitab Nur al-Daqa’iq (dalam 9 halaman, berbahasa Melayu, ditranskripsi oleh A.H. Johns (1953) huraian tentang rahasia ma’rifat , dalam martabat tujuh. Kitab Tariq al-Salikin (18 halaman, berbahasa Melayu), menjelaskan istilah-istilah seperti wujud, ‘adam, haqq, batil, wajib, mumkin, mumtani’, dan yang sepertinya. Kitab Mir’at al-Iman atau Bahr al-Nur,12 halaman, berbahasa Melayu, membicarakan ma’rifah, roh, dan martabat tujuh.Kitab al-Harakah , 4 halaman, ada yang berbahasa Arab dan ada yang berbahasa Melayu, membicarakan ma’rifah atau martabat tujuh.(6)
Kemudian ulama yang terkenal yang menentang Shamsu’l-Din Pasai dan Hamzah Fansuri ialah Nuru’l-Din al-Raniri rh, dan mungkin akibat penentangannya yang teruk, ia terpaksa meninggalkan bumi Acheh.
Shaikh Nurul-Din menuduh ajaran Hamzah Fansuri sebagai ‘panteisme’ dan membandingkannya  dengan falsafah Vedanta Hindu dan ajaran Buddha Mahayana di Tibet.(7)
Seorang ulama basar Acheh ialah ‘Abdul-Ra’uf Singkel rh  (1615?-93) .Beliau berada di Mekah dan Madinah selama 19 tahun  kemudian kembali ke Dunia Melayu.Nampaknya para penduduk ranrau ini sangat ramai menunaikan haji berbanding  dengan para penduduk rantau lain walaupun jarak mereka dengan Mekah adalah jauh. Dan dengan adanya masyarakat mereka di sana yang kuat perpaduannya, maka pengaruh ulama Mekah besar di rantau ini. Antara ulama di sana yang berpengaruh di rantaum ini ialah Ahmad al-Qushashi rh, Ibrahim al-Kurani rh, dan anak Ibrahim bernama Muhammad Tahir yang berada di Madinah.
Pada pendapat van Bruinessen (8) Qushashi (men.1660) dan Kurani  (men.1691) merupakan sintesis tradisi India dan Mesir yang berupa warisan kesarjanaan fikh dan  tasawwuf Zakaria al-Ansari rh dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani rh di satu pihak dan  perlibatan dengan pengambilan bai’ah dalam tarikat-tarikat  dari  India terutamanya Shattariyyah dan Naqswhabandiah di satu pihak lainnya. Katanya tarikat-tarikat ini diperkenalkan oleh Shaikh Sibghatullah yang menetap  di Madinah  dalam tahun 1605.Kurani pula , yang ia adalah seorang bangsa Kurdi, mempunyai kemahiran dalam sastera berbahasa Parsi dari India, danj selain daripada kepakarannya dalam hadith beliau mempunyai minat yang mendalam tentang metafisika. Dalam menghadapi kontroversi-kontroversi, maka ulama India berpaling kepadanya untuk mendapat bimbingan. Demikian pula orang-orang Dunia Melayu. Kerana permintaan mereka maka ditulisnya syarah terhadap kitab Tuhfah al-Mursalah mengikut cara fahaman Ahlis-Sunnah wa al-jamaah. (9)
Beberapa generasi lamanya orang-orang Dunia Melayu mempelajari ilmu agama di Semenanjung Arab dengan ulama yang datang selepas daripada Kurani,  dan mereka menuntut bai’ah dalam tarikat Shattariyyah, kadang-kadang dengan kombinasi tarikat-tarikat lainnya. Maka melalui tarikat Syattariyyahlah idea-idea  metafisika sufi dan pembahagian-pembahagian atau klasifikasi berdasarkan ajaran martabat tujuh  menjadi sebahagian daripada  kepercayaan Orangt-Orang Jawa yang popular.
Hampir-hampir seabad kemudian Orang-Orang Dunia Melayu di negeri  Arab sangat tertarik kepada Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman rh (men.1775)   di Madinah, yang sangat dipercayai mempunyai keberkatan yang sangat besar, bertugas sebagai penjaga makam Nabi salla’llahu ‘alaihi wa sallam dan mengarang beberapa buah kitab tentang metafisika sufi;  beliau berpengaruh kerana ia pengasas tarikat Sammaniyyah; banyak kisah-kisah ‘manakib’ yang menunjukkan kekeramatannya, yang tersebar di Dunia Melayu.
Murid Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman yang terkenal sekali di Dunia Melayu ialah Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani rh yang menulis beberapa buah kitab, antara yang terkenalnya ialah Siyar al-Salikin ‘ila ‘ibadati Rabbil-’Alamin yang berdasarkan kepada isi kandungan Ihya’ Imam al-Ghazali rd. Selepas meninggalnya Syaikh Samman rh ia digantikan oleh khalifahnya Siddiq bin ‘Umar Khan. Maka tersebarlah tarikat itu dengan meluasnya.
Kitab-kitab yang ada mempunyai huraian-huraian tentang metafisika ini disebutkan oleh Syaikh ‘Abd al-Samad palembang rh dalam teksnya Sayr al-Salikin dalam jilid 3.Antaranya ialah teks-teks karangan ibn ‘Arabi rd seperti Futuhat al-Makkiyyah dan Fusus al-Hikamnya yang disebutkannya sebagai teks untuk orangt-orang muntahi atau yang  berada pada tahap penghabisan dalam perjalanan rohani.
Al-Manhalu’s-Safi[ fi Bayani Rumuzi Ahli's-sufi]:
Antara teks-teks tentang metafisika sufi yang boleh disebutkan secara tepat sebagai beraliran  ‘martabat tujuh’ ialah Kitab al-Manhali’s-Safi yang kuat dikatakan ia karangan Syaikh Daud al-Fatani rh.Antara ulama yang mengajar kitab itu kepada mereka yang dikirakan sesuai untuk mendengarnya ialah alm haji ‘Abd al-Rahman di Wakaf Baru, Kelantan. Saya sendiri pernah beberapa kali bercakap dengannya.Allahumma yarhamuh. Beliau mengajar kitab Hikam [yang dinisbahkan kepada To' Pulau Manis] dan juga al-Manhalus-Safi dan beliau menerangkannya mengikut apa yang diterimanya daripada To’ Syafi’ Kedah rh.Oleh kerana teks ini masih senang didapati sekarang dan ada tersesbar dalam masyarakat maka saya gunakan teks ini untuk perbincangan ini. Yang menarik laginya ialah teks ini ada nota-nota pada tepi beberapa halaman  yang menunjukkan bahawa ia telah dijadikan teks untuk pengajian.
Isi kandungan maklumat tentang martabat tujuh dalam  teks ini ialah seperti berikut (berdasarkan kepada MS yang ada pada saya, kerana yang tercetaknya tidak ada pada aya sekarang).Dalam naskah yang ada pada ayahanda Syaikh Ahmad al-Fatani sebagaimana yang diberitahu oleh rakan kita Wan Mohd Shaghir Abdullah, melalui saudara  Zaidi Mohd Hasan, Allah membalas kebaikan kepada mereka, amin, karangan itu ialah memang karangan Syaikh Daud al-Fatani rh.MS yang ada pada saya ini bertarikh 1302 H. tertulis oleh Syihab al-Din bin Ismail  syin ya (?), di tulis namanya dengan huruf berasing-asingan tidak disambungnya, di Makkah al-Mukarramah.Ia terdiri daripada  15 folio.
Pada folio 1 katakanlah 1B selepas mukadimah dengan basmalah, hamdalah, dan salawat, katanya…”bahawasanya adalah bagi segala kaum penghulu ahli al-saufi itu beberapa istilah mereka itu yang tiada mengetahui akan dia melainkan ahlinya.Maka tiada harus [bagi] yan g bukan ahlinya itu mentelaahkan segala kitab mereka itu kerana yang tiada mengetahui akan kehendaknya diambilnya atas zahir perkataan mereka itu maka membawa’  kepada kufur; sebab itulah diharamkan metala’ah segala kitab mereka itu [mereka] yang bukan ahlinya, seperti kata Syaikh Muhyi’l-Din ibn al-’Arabi  radiya’Llahu ‘anhu,  nahnu  qaumun tahrim  mutala’ati kutubina …ertinya bahawasanya adalah kami sduatu kaum yang haram mentala’ahkan segala kitab kami’ yakni apabila tiada tahu akan segala istilah mereka itu.
Katanya:
Maka sayugianya jangan kita  memudah-mudahkan segala perkataan mereka itu dengan ilham Tuhan mereka itu.Maka kebanyakan segala kitab mereka itu dengan mutasyabihat tiada dapat bagi segala orang yang ahli al-zahir  mengambil dengan zahir katanya [yang pada zahirnya itu] menyalahi syariat dan hakikatnya sekali-kali tiada menyalahi batin syariat ; maka wajib atas  murid apabila yang tiada tahu akan kehendak mereka itu ia menyerahkan segala perkataan mereka itu kepadanya, jangan ia meng(ing)karkandia  dan jangan menyalahkan dia sepertim kata Syaikh Abul-Hasan al-Syadhili (rd);
التصديق فى  علمنا ولاية صغرى
Maka bermula orangn yang membenarkan pada ilmu kami ini wali kecil
Katanya
Maka setengah daripada istilah mereka itu  ‘huruf aliyat’ yang lagi akan datang kenyataannya dua bait syair karangan Syaikh Muhyi al-Din ibn al-’Arabi, dan demikian lagi seperti kata tilmidh (atau murid)nya dan khalifahnya Sadr al-Din [al-Qonyawi] Buni,  ‘wa ra’al-haqq mir’ah’  yura’ yang lagi akan datang kenyataannya beberapa banyak.Maka apabila engkau ketahui akan perkataan segala ahli saufi dengan isyarat jua, maka ta’ dapat tiada daripada kita ketahui akian  isyaratnya.Maka sekaranglah hamba nyatakan:
Ketahui olehmu bahawasanya adalah bagi Hak Subhanahu wa Ta’ala itu beberapa martabat [pada sisi pandangan rohaniah dalam kesedaran para 'arifin, bukan pada falsafah yang ditanggapi dengan lamunan otak atau minda-ujem] pertama Ahadiah, maka (1B)
Ahadiah
Iaitu martabah ‘la ta’ayyun’, iaitu ‘kunhi zat’ [iaitu semata-mata Zat Allah ta'ala tiada lainnya], kedua ‘wahdah’ [di]namakan dia  ‘ta’ayyun awwal’   yaitu ibarat daripada ta’luk IlmuNya akan ZatNya dan akan sifatNya dan akan segala yang maujudat atas jalan ijmal, maka dinama akan dia Hakikah al-Muhammadiyyah [bukan nabi Muhammad s.a.w. yang di Mekah dan Medinah secara zahir itu], ; ketiga wahidiyyah dinama akan dia ‘ta’ayyun thani’, yaitu ibarat daripada ta’aluk ilmuNya akan ZatNya dan segala SifatNya dan segala maujudat atas jalan tafsil [terperinci satu demi satu, tetapi masih dalam Ilmu Allah yang Kadim dan azali], dan dinamakan dia hakikat insaniah [tidak bersangkut dengan manusia itu lagi, sebab ini beluam ada apa-apa].Maka ketiga[-tiga]  martabat ini [martabat Ahadiah, Wahdah dan Wahidiyyah] itu kadim lagi dinamakan martabat keTuhanan.
Katanya:
Dan adalah [ia, yang dikatakan martabat keTuhanan, belum ada apa-apa yang lain itu] diu[m]pamakan ‘ilman martabat Ahadiyah  seperti kertas yang lapang, yang tiada di dalamnya suatu kaid jua [tak ada kaitan dengan apa-apa], demikian rupanya O .Sebab inilah dinamakan ‘martabat itlak’  yakni lepas daripada ada sesuatu dan ‘la ta’ayyun’.[Dikatakan demikian] dengan sebab tiada ada nyata sesuatu juapun .
Wahdah
Katanya:
Dan mithal pula akan martabat wahdah itu u[m]pama noktah di dalam da’irah [atau bulatan]  yakni titik yang satu  demikian rupanya  . , maka noktah itu asal bagi segala huruf, yakni menerima lagi mengandung segala huruf yang hendak disuratkan, tetapi ijmal di dalamnya yakni berhimpun di dalamnya tiada ada kenyataan huruf,
Wahidiyyah
Dan mithal pula akan martabat wahidiyyah itu u[m]pama ‘alif’ asatu huruf yang lain yang nyata dalam dairah [atau bulatan] demikian rupanya O [maka dibuat rajah bulatan ditengah-tengahnya ada alif], maka alif itu kesempurnaan noktah yang ijmal lagi ta’ayyun yang nyata sekira-kira tiada menerima paling lagi, sebab itulah dinamakan ta’;ayyun thani’, kerana noktah itu ta’ayyun awal, dan alif itu ta’ayyun thani , demikianlah mithal bila tashbih, walillahi’l-mathalul-a’la [ayat Qur'an  surah  al-Nahl ayat 60].
Katanya;
Dan  demikian lagi [di]mithalkan pula oleh setengah ulama akan ketiga martabat itu supaya me[ng]hampirkan [kepada] faham kita , maka martabat ahadiyah itu seu[m]pama  zihin [atau fikiran atau minda] kita tatkala sunyi ia daripada musta’kalkan sesuatu yakni merupakan suatu [dalam fikiran itu minda itu], maka dikatakan ‘la ta’ayyun’.Maka apabila memulai engkau pada musta’kal kan sesuatu maka dinamakan ta’yyun awal’ dan apabila [di]lanjutkan (folio 2A)
ta’akul itu, lagi berkekalan pula ia dinamakan ta’ayyun thani ; maka adalah dua martabat ini [dalam syuhud orang yang 'arif dalam pandangannya yang tinggi itu] yaitu wahdah dan wahidiyyah ibarat daripada dairah [atau lingkungan] ilmunya yang kadim; maka dari kerana inilah [maka] dinamakan dia ‘a’yan thabitah’ ['ain-'ain yang tetap dalam ilmu Allah yang kadim dan azali belum tercipta lagi]; maka ertinya ‘a’yan thabitah’ itu barang yang sabit di dalam ta’aluk ma’lum ilmuNya Allah ta’ala pada azalnya, tiada ada di sana itu melainkan ZatNya [semata-mata] dan segala SifatNya yang kadim jua.
A’yan Thabitah
Tentang a’yan thabitah itu katanya:
Maka a’yan thabitah itu [ialah] barang yang tiada mencium bau  wujud, yakni belum lagi keluar daripada kalimah ‘kun’, maka apabila dikehendaki  akan wujudnya, maka dikhitabkan kepada a’yan thabitah dengan [seolah-olahnya-uem] dijadikan kuat pendengaran daripadanya dan dilafaz ‘kun’ maka jadilah seumpama yang a’yan thabitah itu dengan Kodrat Allah subahanahu wa ta’ala , maka dinamakan dia kemudian daripada wujud khitab itu a’yan kharijiyyah; maka adalah ia muhdath [baharu], yang baharu, kerana athar [atau bekas, kesan] Kodrat yang kadim.Maka jangan engkau sangkakan a’yan kharijiyyah  yaitu daripada a’yan thabitah, kerana a’yan thabitah itu tiada mencium bau wujud sekali-kali lagi kadim, betapa ia menerima keluar , maka betapa jadi hadath [atau hadith, baharu], , maka hanyasanya yang a’yan kharijiyyah itu ‘bayan’ bagi a’yan thabitah.
Dan adapun a’yan thabitah itu ka’in,[ada], yakni tetap ada iaitu, sabit, berkekalan seperti adaNya jua, kerana ma’lim ilmuNya itu tiada bercerai daripada ZatNya, seperti tiada bercerai segala sifatNya yang kadim.Demikian difahamkan perkataan ini.
A’yan Kharijiyyah
Tentang a’yan kharijiyyah, katanya:
Dan adalah a’yan kharijiyyah itu martabat ‘ubudiyyah, yakni kehambaan, dan adalah martabat ta’ayyun awwal dan ta’ayyun thani makam anbia’ dan aktab [para wali kutub], yang dapat  mawarinya (?)  daripada mereka itu daripada kadarNya dan pada dapat ia pandangkan wahdah di dalam kathrah [pandang yang satu dalam yang banyak dalam pendangan kerohanian] ialah makam [atau darjah kerohanian] orang yang taraqqi [orang yang mendaki] yakni memandang Allah ta’ala di dalamk tiap-tiap sesuatu [bukannya secara erti hulul, seperti Tuhan 'meresap' ke dalam sesuatu, sebab Tuhan bukan benda], seperti kata ahli’Llah, ‘ma ra’aitu shai’an illla wa ra’aitu’Llaha fihi’: ertinya tiada aku pandangkan sesuatu merlainkan ku pandang Allah padanya’.Maka tiada menegahkan banyaknya itu [iaitu banyaknya dan pelbagainya makhluk itu] akan memandang keesaan Allah t’ala (folio 2B)
Dan dapat pula memandangkan ‘kathrah’ di dalam wahdah, yaitu makam orang yang tanazzul, yaitu memandang yang banyak yang ia segala [yang] baharu ini di dalam wahdah , yakni Tuhan yang esa.Maka tiadalah menegahkan bagi segala yang ‘arif yang kamil mukammil [yang sempurna segi rohani dirinya dan boleh menyempurnakan orang] itu daripada menilik keduanya kerana kathrah itu tidak dapat tiada daripada wahdahnya, kerana tiada dapat istiqlal [yakni menjadi merdeka tersendiri] sendirinya sekali-kali, kerana keadaan wahdah itu mempunmyai sifat dan asma’ dan af’al yang memnyabitkan athar Kodrat dan Iradah yang menyabitkan kathrah yaitu wujud segala alam.
Selepas itu, katanya tentang kata-kata ibn ‘Arabi:
Maka apabila engkau faham daripada perkataan ini, engkauketahui pula akan kata-kata Imam al-’Arifin Saidi Muhyil-Din ibn al-’Arabi di dalam kitab Manazil al-Insaniyyah,demikian bunyinya: [dalam] syair: ‘kunna hurufan ‘aliyat …(tak terang) …ertinya: Telah adalah kita sekelian beberapa huruf yang amat tinggi [sebagai ilmu Tuhan yang kadim dan azali sebelum dicipta olehNya ala mini], belum lagi dijadikan akan kita dengan firmanNya ‘kun’, dan adalah kita muta’allaq [bergantung bersambung-sambung antara satu dengan lain tidak bercerai-cerai] dengan segala kita, yakni adalah segala makhluk itu adalah ia di dalam inkishaf  Ilmu Tuhan kita [yakni kita berada dalam nyata Ilmu Tuhan kita], masing-masing, dan bercerai-cerai mahiyyahnya, dan itu adalah dalam kepala-kepala segala bukit, yakni kemuncak aku-engkau di dalamnya, dan kami dan engkau, dan engkau dan ia, dan sekelian pada ‘huwa’ itu Ia jua.
Lepas itu katanya;
Maka tanyai olehmu orang yang wasil [yang mencapai ma'rifat dan mengenal Tuhan sebenarnya], yakni orang yang sampai, maka dikehendaki oleh syaikh dengan katanya: Telah adalah kita sekelian beberapa huruf yang amat tinggi belum lagi dijadikan akan kita ini, yakni telah adalah kita pada azal beberapa haqa’iq ghaibiyyah [hakikat-hakikat yang ghaib] yang thabit sekelian kita di dalam ilmu hak ta’ala belum lagi kita dijadikan… kerana adalah bagi tiap-tiap yang maujud (folio 3A)…
Itu ada dengan ‘mahiyyah’ kejadiannya, dan adapun halnya dan martabatnya dan hukumnya dan adalah sekelian itu lagi di dalam ma’lum ilmu [Tuhan] yang kadim, dan dikehendaki dengan katanya ‘dan adalah yang demikian itu di dalam kepala-kepala segala bukit’, yakni di dalam ta’ayyun awal, yang dinamakan dia martabat wahdah yang ijmal yang terdahulu sebutnya,
Katanya lagi:
Dan yang dikehendaki dengan katanya ‘aku engkau di dalamnya dan kami engkau dan engkau ia’  itu, yakni daripada pihak ijmalnya belum lagi tafsil, tiada berbeza setengah daripada setenganya.Martabat itu tetapi aku itu aku jua dan engkau itu engkau jua dan ia ia jua, misalkan yang demikian itu dengan tiada tashbih, seperti air digugurkan ke dalam laut, maka tatkala itu adalah kita dapat membezakan dia daripada air laut maka kita kata air itu laut, dan laut itu air, tetapi yang laut itu laut juga dan air itu air jua, tiada dapat bertukar kerana adalah segala hakikat itu tiada dapat bertukar-tukar
Katanya lagi:
Dan taktkala nyatalah kita ingat akan air yang setitik itu sebab hairan kita daripada memandang laut maka tatkala itu dapat kita kata sekelian itu laut [dan janganlah pula terfikir dengan misalan ini bahawa Allah itu bersambung zatNya dengan zat kita, Allah adalah Allah, Tuhan kita, kita adalah makhluk ciptaanNya].
Katanya;
Dan dikehendaki dengan katanya:’ dan sekeliannya pada ‘huwa’ itu ia jua yakni adalah sekelian pada martabat ahadiah daripada pihak tamsi [yakni terhapus dalam penyaksian batin serwaktu dalam pengelaman rohani yang berkenaan]  yakni hapus di dalamnya ia jua, kerana nyata tiada menerima di sana lain daripada nama ‘huwa’ dan ia nama hadrat ‘la shay’ ma’ahu [tiada sesuatu denganNya, merujuk kepada hadith yang bermaksud, telah  adalah Allah walhal tiada ada sesuatu berserta denganNya], dan segala hadrat yang dibawahNya [di bawah dari segi darjat hakikinya, 'ontologinya'] di namakan hadrat ‘wa huwa ma’akum ainama kuntum’ [Ia bersama dengan kamu di mana kamu berada], dan dikehendaki dengan katanya ‘maka tanya olehmu akan orang yang wasil,  yakni apabila [engkau ber]kehendak mengetahui demikian itu, maka tanya olehmu akan orang yang sampai pada pengetahuan itu, maka apabila engkau tanya akan dia nescaya diberinya jawab akan dikau daripada yang demikian itu.(folio.3B).
Seterusnya katanya, kita ini :
…pada ta’ayyun awal  yang ia hadrah ‘alam ijmali, itu ‘haqa’iq ghaibiyyah’  namanya dan ’shu’un dhatiyyah’ pun namanya, tiada membeza setengahnya daripada setengahnya daripada pihak ijmalnya.Dan adalah ’shu’un’ itu pada hadrah ta’ayyun thani yang ia  hadrat ilmu tafsil a’yan thabitah namanya; maka pada hadrat itu berbeza setengahnya daripada setengahnya.Maka manusia itu akan rupa manusia dan jin itu akan rupa jinnya dan malaikat akan rupa malaikatnya dan bumi itu dengan rupa buminya…masing-masing dengan kelakuan yang tertentu  dengan dia pada hal tiadalah  dapat dikatakan di sana yakni pada hadrat ta’ayyun thani itu aku engkau dan kami engkau daripada  pihak ia sudah masing-masing dengan kelakuannya yang tertentu dengan  dia dan adalah sekelian itu kadim  darpada pihak ta’aluk ilmu kepadaNya (folio 4A).
Kemudian katanya berhubungan dengan hadrah ini, dengan membenarkan pengarang Tuhfah al-Mursalah dengan kenyataan:
Bermula jika dikata oleh seseorang aku engkau atau kami engkau ia atau sekelian itu ia serta dikehendakinya dengan katanya itu pada azalnya, yakni pada ta’ayyun awal daripada pihak ijmal di dalamnya dan dikehendakinya  dengan katanya atau sekelian ia itu ahadiyah daripada pihak tamsi di dalamnya, maka itu benar dengan kata ini sayugianya kita ta’wilkan dan kita tanggungkan kata sahib ‘Tuhfah al-Mursalah’ wa amma min haithu al-haqiqah fal-kull wa huwa al-haqq’ ertinya adapun daripada hakikat yakni asal, maka sekelian itu yaitu hak (folio 4A)
Seterusnya:
Maka tiada dapat kita ambilkan kepada zahirnya kerana zahirnya itu tempat tergelincir segalam orang yang awam; dan jika dikehendakinya dengan katanya aku engkau dan kami engkau itu sekarang kemudian daripada nyata sekeliannya ini nescaya tiadalah benar ke atasnya itu istimewa pula jikalau ia mengatakan sekeliannya ia mithal bila tashbih dengan dua mithal pertama seperti segala huruf yangh dua puluh delapan itu tatkala ia belum terb unyi  di dalam da’wat adalah ia ‘ain da’wat dan tatkala ia pada hujung kalam pun ‘ain da’wah jua tatkala ia tersurat dalam lauh maka adalah ia lain daripada da’wat dan lain daripada kalam dan misal yang keduanya seperti ra[n]ting  dan cawan[g] [yaitu dahan]  dan segala daun maka tatkala terkandung sekelian itu di dalam biji daripada pihak lenyap yakni sekelian di dalamnya maka sekelian itu dapat dikatakan dia ‘ain biji daripada pihak yang tersebut itu dan tatkala nyatalah sekelian itu masing-masing dengan ketentuannya maka yaitu lain daripada biji; dan jangan engkau sangkakan perkataan itu bahawa adalah sekelian itu dahulu daripada nyatanya ‘ain biji yang kemudian berpindah ia kepada yang lain daripadanya maka yang demikian itu muhal  (yaitu mustahil) adanya, hanya biji itu biji jua dan ra[n]ting itu ra[n]ting jua dan cawan[g] itu cawan[g]nya  jua dan daun itu daun jua jikalau belum lagi keluar ia daripada biji sekalipun yang haqa’iq itu tiada dapat bercampur  dan tiada dapat bertukar hanya yang dapat bertukar itu mithal yakni rupa jua seperti kata ‘arifin ‘al-’abdu ‘abdun wa in taraqqa  wa l-rabb rabbun wa in tanazzal, ertinya yang hamba itu hamba jua dan jikalau naik kepada itlak sekalipun dan Tuhan itu Tuhan jua dan jikalau ‘turun’ sekalipun pada pihak  tajalli pada barang rupa yang  dikehendakinya.Maka inilah dua mithal yang menghampirkan kepada faham kita mengetahui masalah ‘ainiyah dan ghairiyyah . (Folio. 4B).
Kemudian katanya sebagai kesimpulan:
Dan hasil perkataan ini [ialah] bahawa alam ini atau segala perkara ini bukan ia sekali-kali kerana Hak Ta’ala  dan bukan ia  (fol.4B) lain daripadanya pula dengan lain yang mustakil [terpisah, terasing] sendirinya.Dan kerana inilah kaTa Syaikh Sadr al-Din Bawwani [?] khalifah Muhyi al-Din ibn al-’Arabi qaddasal’Llahu sirrahu  hamba pada men[g]hikayatkan : Pandang orang yang sempurna ma’rifatnya  dengan katanya  wa ra’a nafsahu wa kulla shai’in min wajhi ghairi’l-Haqq wa min wajhi sha’nin  wa min wajhi ‘ainihi  wa ra’al-Haqqa mir’atan yara minha tafasil ahwal ‘ainihi kama yara ‘ainahu mazhara wujudi’l-Haqq kullu dhalika fi anin wahidin: ertinya: Telah dilihat orang yang arif itu akan dirinya dan tiap-tiap sesuatu daripada sesuatu pihak lain daripada hak, dan pada sesuatu pihak pekerjaannya dilihatnya Hak Ta’ala itu cermin yang dilihat di dalamnya itu akan beberapa hal dirinya seperti ia melihat dirinya tempat nyata bagi wujud Hak Ta’ala maka adalah segala pandang yang demikian itu pada suatu masa jua.
Katanya:
Dan dikehendaki dengan katanya ‘dirinya’ itu tiap-tiap sesuatu; yaitu segala akwan [alam yang ada] ini daripada pihak suatu pihak yakni daripada pihak ta’ayyuun thani  lain daripada Hak kerana sudah bermasing-masing kelakuannya yang tertentu dan jikalau ada ada ia kadim sekalipun kerana ia ibarat daripada ma’lum ilmuNya…(fol.5A)Dan demikian seterusnya.
Seterusnya dalam hubungan dengan kenyataan ‘melihjat dirinya tempat nyata bagi wujud Hak Taq’ala maka ‘melihat Tuhannya itu di dalam dirinya’ katanya: dan segala asma’Nya dan segala sifatNya dengan sekira-kira penerimaannya yakni I’tibar tajalliNya kerana adalah sekelian alam ini tajalli bagi keadaan wujudNya ; maka adalah tiap-tiap tajalliNya itu dapat menyatakan seperti u[m]pama cermin yang dilihatkan bagi dirinya dan lagi adalah difaham daripada kalam ini me[ng]isyaratkan pula akan dua makam, yang pertamanya itu katanya ‘dilihat akan Hak ta’ala cermin yang menyatakan tafsil hal dirinya itu pandang kathrah di dalam wahdah yang dimithalkan oleh setengah ‘arifin seperti biji korma maka dipandangkan pada bijinya itu akan pohonnya dan pelepahnya dan bunganya dan buahnya sekelian [itu] lengkap pada bijinya; dan pada katanya ’seperti melihat dirinya itu tempat nyata bagi wujud Hak’ me[ng]isyaratkan pada makam pandang wahdah di dalam kathrah, yakni seperti ia memandang kepada buahnya dan pada bunganya dan pada pelepahnya dan batangnya itu akan bijinya.Maka nyatalah daripada kata Sadr al-Din radiya’Llahu ‘anhu bahawa alam dan segala perkara itu tiada ada ‘ain sekali-kali dan tiada ada ghair [sifat sebagai lain daripada Tuhan] yang mustaqil [terbebas terasing daripada Tuhan] sekali-kali; dan thabit ‘ain pun ada dan thabit ghair pun ada…(fol.5B). Diikuti dengan kenyataan tertkenal ‘man ‘arafa nafsahu faqad ‘arafa Rabbahu’
Kemudian beliau menyebut hadith  ‘kana Allah wa la shay’ ma’ahu’ wa Huwa al-ana kama kana ‘alaihi [ertinya] Adalah Allah taala dan tiada ada suatu sertaNya dan yaitu sekarang seperti barang keadaan atasnya maka diketahuinya daripada hadith ini (fol.5B) [bahawa] segala akwan [alam yang ada] ini tiadalah pada akikatnya yang sebenar-benar dan yang ada itu Tuhan yang maujud yang sebenar-benarnya kerana adalah diri hamba dan segala perkara hapus di dalam hadithnya.(fol.6A).
Kemudian ia menyebut kenyataan Syaikh Ahmad al-Qushashi rh ‘al-wujud wahidun bi al-dhati’  wa muta’addidun bil-nasabi wa al-idafat ertinya : yang maujud itu esa dengan zatnya dan yang berbilang-bilang itu segala bangsanya dan segala sandarannya jua.Wallahu a’lam.(fol.5B).
Katanya lagi:
Adapun kemudian daripada zuhurnya [yaitu zahirnya] dan ta’ayyunnya maka tiada dikatakan sekelian itu Hak, dan dikatakanm Hak itu Hak dan hamba itu hamba; dan kerana inilah dinamakan kemudian pada zuhurnya dan ta’ayyunnya  dengan ‘Al-Awwalu wa al-Akhiru wa al-Zahiru wa al-Batinu” dan adalah ia awal dengan nisbah kepada zuhurnya sebab shu’unnya dan af’alnya dan ahkamnya jua bukan nisbah pada zatNya kerana zatnya itu tiada baginya awal dan Ialah yang akhir  dengan nisbah kembali segala pekerjaan kepadaNya jua tiada ZatNya itu kesudahan  dan adalah ia zahir dengan nisbah kepada segala kalbu yang kamil lagi wasil [yang sempurna dan sampai kepada ma'rifat Tuhan yang sebenarnya]dan adalah ia yang batin dengan nisbah kepada segala kalbu kafir lagi jahil, dan adalah ia zahir pada ‘ain [mata batin]   dan batin pada ‘ain zahirnya dan awal pada ‘ain zahirnya dan awal pada ‘ain akhirnya dan akhir ia pada ‘ain awalnya (fol.6B).
Katanya lagi:
Dan adalah ia muhit  yakni meliputi  pada awal dan akhir pada zahirnya dan batin seperti firman Allah:
والله من  وراءهم محيط
Yakni bahawa Allah yang meliputi daripada segala makhluk ; demikianlah disebut oleh Syaikh Nur al-Din [al-Raniri] di dalam kitabnya Jauhar al-’Ulum . (fol.7A).
Alam Arwah:
Katanya berkenaan dengan martabat ke empat alam arwah ini:
Martabat alam arwah, yaitu alam segala nyawa dan yaitu ibarat daripada beberapa perkara kauniyyah yakni yang masuk di bawah kalimah ‘kun’ yang keluar daripada pekerjaan Tuhan dengan tiada pertengahan dan perantaraan  lagi mujarrad yakni yang sunyi daripada berkening [yakni bersifat]   dengan tabi’at [alam tabi'i] lagi basitiah [yakni zat-zat bukan benda]  yang tiada bersusun padanya yang nyata ia atas segala zatnya .Maka mengenal dirinya dan dikenal setengahnya akan setengahnya, dan atas segala u[m]pamanya .Maka adalah yang pertama-tama yang dijadikan Allah ta’ala Nur Nabi Muhammad salla’llahu ‘alaihi wa sallam daripada NurNya, yakni dijadikan Nur Muhammad itu dengan Nur Tuhannya  bukan ia setengah daripada nur Allah, kerana adalah setengah daripada asma’ Allah itu  Nur sesperti firman Allah Ta’ala:
الله نور السموات والارض
Bermula Allah ta’ala menerangkan tujkuh petala langit dan bumi. [Surah al-Nur.35]Maka dinamakan Nabi kita pun nur pula seperti firmanNya
قد جاءكم من الله نور
“Sesungguhnya telah datangkan kemu daripada Allah nur”, yaitu Muhammad kerana adalah difahamkan oleh setengah orang yang jahil itu bermula Muhammad itu daripada Nur Allah maka zahirlah salahnya jadi Muhammad setengah daripada Allah subhanahu wa ta’ala.Ta’ala Allah ‘an dhalika ‘uluwwan kabira  daripada yang disifat oleh zalimun .
kemudian maka dijadikan daripada Nur Nabi kita akan arwah segala anbia’ dan mursalin dan segala mukminin .Maka adalah  ruh nabi kita asal al-arwah , sebab itulah dinamai akan dia  mazhar al-atamm dengan sebab itulah jadi [ia] khatam al-nabiyyin wa sayyid al-mursalin wa rahmatan lil-’alamin.Maka adalah nabi kita itu kenyataan yang sempurna bagi asma’ Allah dan sifatNya, maka ialah yang memerintahkan pada alam kabir dan alam saghir [alam kabir alam yang kelihatan ini alam saghir adalam manusia].(fol.7A).(Perbincangan tentang ‘Nur Muhammad” ada disediakanh oleh penulis ini, dan ia boleh diakses dalam laman web:  http://www.geocities.com/traditionalislam/-di bawah tajuk: “Konsep Nur Muhammad di Dunia Melayu Dalam Konteks Wacana Sunni“  dengan pemaparan nas-nasnya, untuk pertimbangan mereka yang mahir di dalamnya.-penulis).
Alam Mithal:
Katanya: Martabat yang kelima martabat alam mithal yang dinamakan dia ‘alam khiyal yang terbit [nisbah manusia] di hadapan otak , ialah akal yang ditaruh pada hadapan otak [selain daripada akal yang ada pada kalbu -uem]   dan digelarkan dengan ard al-simsimah dan ard al-haqiqah dan [nisbahpada alam semesta pula-uem] iaitu alam mithal  itu ibarat daripada segala perkara kauniyyah yang masuk di bawah kalimah ‘kun’ lagi bersusun daripada beberapa suku yang khiyali lagi halus yang tiada menerima suku-sukukan yakni tiada menerima bahagi dan tiada menerima cerai-cerai dan tiada menerima setengah yakni tiada menerima bahagi  dan tiada menerima carik dan bertemu kerana halusnya dan tiada kasarnya .(fol.7B)
Alam Ajsam:
Yaitu [alam] …yang kasar yang tersusun daripada beberapa kerjadian yang empat yaitu api dan hawa dan air dan tanah [dalam fisik klasik, yang sekarang terlalu amat banyak 'elements'nya], maka keluar daripadanya  lima perkara pula pertama jamad [benda-benda padat], dan nabat [tanaman], dan haiwan, dan insan dan jin ; maka adalah alam ajsam itu ibarat daripada segala perkara yang kauniyah yakni yang masuk di bawah lafaz ‘kun’ [perintah Allah] yang bersusun daripada perkara  yang kasar lagi menerima suku-sukukan dan dibahagikan dan carik dan bertemu. (fol.7B)
Martabat yang ketujuh:
Katanya: dan martabat yang ketujuh martabat yang jami’ [yang menghimpunkan semua] bagi segala martabat yang jasmani, yaitu alam mithal, dan alam ajsam, dan yang nurani yang kadim yaitu ahadiah, dan nurani yang hadith  ‘alam arwah dan yang menghimpunkan pula martabat wahdah dan wahidiah, maka ialah yang dinamakan tajalli yang akhir, yaitu dinamakan martabat insan yang kamil.
Inilah metafisika sufi tentang martabat tujuh yang terkenal dikalangan ulama rantau ini, berdasarkan wacana ulama yang terdahulu secara implikasi dan dihuraikan secara mendetail oleh ibn ‘Arabi,  dengan sedikit modifikasi kemudiannya.  Ertinya Syaikh Daud al-Fatani rh yang menulis tentang fiqh seperti Furu’ al-masa’il dan Bughyah al-Tullab, dan dalam akidah menulis Al-Durruth-Thamin dan Ward al-Zawahir, demikian pula menulis tentangt tasauf dalam terjemahannya ke atas Minhaj al-’Abidin Imam al-Ghazali dengan memberi judul yang sama, dan memberi huraian tasauf  Abu Madyan al-maghribi rd dalam Kanz al-Minan Syarah Hikam Abi Madyan ;kemudian ia menulis pula kitab metafisika tasauf al-Manhal al-Safi [fi bayan Ruimuz Ahl al-Sufi] ini.
Ia antara mereka yang mewakili dengan baiknya kesepaduan intelektualiti ulama Ahlis-Sunnah wa al-Jama’ah di rantau ini.
Seterusnya lagi beliau berbicara berkenaan dengan perjalanan kerohanian.Katanya:
Ketahui olehmu bahawasanya orang yang salik kepada Allah apabila bersungguh-sungguh ia berjalan kepada Tuhannya dan serta beradab ia pula dengan gurunya yang menjalani nescaya diputuskan beberapa ‘alam hingga sampai kepada Tuhannya ; maka pertama alam yang diputuskan yakni yang dilalukan ‘alam mulk dan dinamakan alam nasut pula yaitu barang yang didapatkan dengan mata kepala seperti segala ajsam dan lainnya, iaitulah dinamakan pula alam nafs; kemudian [ia] lalukan pula [dalam perjalanan rohaninya itu] alam (fol.7B)
Malakut , iaitu barang yang [di]dapatkan dia dengan matahati dan iaitu ‘alam al-qalb dan dinamakan pula ‘alam akhirat [jangan dikelirukan itu dengan apa yang berlaku selepas daripada kiamat sebab ini berlaku atas seseorang sebelum kiamat-uem]; kemudian dilalunya pula alam al-jabarut dan iaitu alam al-arwah kemudian dilalunya pula alam lahut, iaitu alam sirr yakni rahasia Allah ta’ala; dan padanya hilang segala asma’ dan segala rasm yakni segala athar [athar kesan, bekas], dan tiada dipandangnya di sana itu melainkan Wahid al-Ahad dan padanya sehingga [-hingga]  fana hamba dengan Tuhannya yakni selesailah ia daripada memandang kepada aghyar [jamak bagi 'ghair', yang lain daripada Allah], dan sucilah hatinya daripada akdarnya [karat-karat rohaniah], aghyar, dan sucilah hatinya daripada akdar dan aghyar [nampaknya ini ulangan yang dibuat oleh penulis khatnya], dan ketika itulah dipenuhkan  di dalam segala ma’rifat dan asrar [asrar jamak bagi sir, rahasia], patutlah ia tempat tajalli Tuhannya sebab lepas [ia daripada-] diperhambakan segala aghyar maka dinamakan hatinya tatkala itu ka’babatu’Llah [ka'bah bagi Allah, bukannya Allah ada di dalam tetapi disebut demikian sebab ternyata iman adalah perbuatan hati, apa lagi iman yang setinggi yang dimaksudkan ini] dan mahligai Allah dan rumah Allah yakni murad daripadanya [ialah] tempat tajalliNya  dan tempat tiliknya [ingat kepada hadith yang menyebut Allah tidak memandang kepada …melainkan  ia memandang kepada hati kamu], dan rahasiaNya [Tuhan akan curahkan fahaman-fahaman yang mendalam kepadanya] dan patutlah menanggung Amanah Allah dan patut ia mengenal akan Allah seperti firmanNya di dalam hadith kudsi :
بنيت فى جوف ابن ادم قصرا وفى  القصر صدرا وفى الصدر قلبا (وفى القلب) فوءادا وفى الفوءاد شغافا وفى  الشغاف لبا وفى اللب سرا وفى  السر أنا
Ertinya:Telah Ku perbuat di dalam rongga anak Adam itu suatu ma[h]ligai dan adalah di dalam ma[h]ligai itu dada, dan di dalam dada itu hati, dan di dalam hati itu fua’d, dan di dalam fu’ad itu syaghaf dan di dalam syaghaf itu lubb, dan di dalam lubb itu sirr dan di dalam sirr itu Aku.
Yakni di dalam sirr itu tempat tajalli Aku dan tempat ia mengenal akan Daku.
Dan lagi firmanNya kepada Nabi Allah Daud  ‘alaihis-salam :
فرغ لى بيتا أسكن  فيه
Ertinya; Hai Daud selesaikan  olehmu [yakni kosongkan olehmu] bagiKu suatu rumah supaya diam Aku di dalamnya. Maka sembahnya:…maka betapa hai Tuhanku? Maka firmanNya …selesaikan olehmu [yakni kosongkan olehmu] hatimu maka apabila keluarlah seorang itu  daripada dirinya maka dinamakan martabat (folio.8 A)
Haqqul-yaqin seperti kata Syaikh Ruslan di dalam Hikamnya; ‘Al-yaqinu khurujuka ‘anka’ ertinya bermula yakin itu keluar engkau daripada diri engkau, yakni keluar engkau daripada melihat akan wujud dirinya akan dayanya dan upayanya maka melihat sekelian itu daripada Allah dengan Allah bagi Allah, …(folio.8B).
Teks ini seterusnya membicarakan hal-hal lanjutan tentang beberapa aspek lagi yang menyentuh perjalanan rohani hamba kepada Tuhannya.
Antaranya yang disentuh itu ialah  tinggalkan yang lain dari Allah [dari segi rohaninya dan kesedarannya] (fol.8B), sehingga jadilah pendengarannya pendengaran Allah dan seterusnya (ibid), itu dikatakan martabat wahdah ‘yang hapus daripada asma dan rusum’ dan ini diisyaratkan [dari segi Allah pula] ‘kana Allah wa la shay’ ma’ahu’  ertinya adalah Allah taala sebelum lagi dijadikan alam dan tiada suatu  sertaNya(fol.8B).
Antaranya disebutkan bagaimana ‘tajalli’ sifat sama’ dalam hubungan dengan hamba.Katanya: ‘Jika ditajalli Allah ta’ala dengan sifat sama’ maka jadilah orang yang(fol.8B)
Salik itu mendengar daripada af’al itu yaitu barang yang dibukakan Allah bagi hanya salik daripada af’al ta’ala sekira-kira dilihat sekelian perkara itu berlaku dengan kudrat Allah ta’ala Ialah yang menggerakkan dan ,mendiamkan akan sebagai syuhud yang hali [iaitu pemandangan secara rohani yang dialami betul-betul oleh orang itu] lagi dhauqi [dhauq, 'secara kecapan rasa [rohani], bukan ’secara  fikir’] tiada mengetahui melainkan ahlinya; maka di sinilah tempat tergelincir kaki orang yang salik [apa lagi orang yang hanya 'fikir sendiri  ' seperti membaca surat khabar harian lalu 'fikir sendiri'] kerana ia menafikan perbuatannya sekali-kali maka hendaklah sangat-sangat memegang akan Syari’at ” (fol10A).
Seterusnya dibicarakan istilah-istilah yang berkaitan dengan pengelaman rohani dengan Tuhan seperti hal dan maqam (fol.10A), ‘ilmul-yaqin (ibid), ‘ainul-yaqin (ibid), al-jam’ (ibid), jam’ al-jam’I (ibid),  yang disebutkan [dalam hubungan dengan orang yang mengalaminya] martabat Ahadiah (perlu diingat martabat Ahadiah dalam hubungan dengan Tuhan sewaktu tiada ta’ayyun, itu satu, martabat ahadiah yang dialami oleh orang ‘arif terhadap Tuhan itu suatu perkara pula], al-farq al-awwal (ibid), al-farq al-thani (ibid),  tajrid (fol.10B),  siddiq (ibid), taqwa (ibid),  haibah (ibid), munajat (ibid), salih (ibid), wali (ibid), al-tasawwuf (fol.11A), ini menarik.
Tentang tasawwuf katanya:”Iaitu berhenti serta adab syari’at yang zahir dan yang batinnya; maka melihat akan hukumnya daripada zahirnya dalam batinnya dan daripada batin pada zahirnya, maka hasillah daripada dua hukum  itu sempurna yang tiada sempurnakan kemudian daripadanya”, atau dikata[kan]nya “iaitu jernih zahirnya daripada dosa dan jernih batinnya daripada aghyar” (fol.11A).
Antaranya dibicarakan : al-shari’ah (ibid),  ‘ishq dan ‘ashiq (ibid), ma’shuq (ibid), a’yan thabitah (ibid),  a’yan kharijiyyah (fol.11B), dan mahw dan ithbat dan lain-lainnya.termasuk beberapa kategori tauhid (fol.12A ), sebutan tentang ‘tujuh makam’ makam zulumat yang aghyar, iaitu dinamakan nafsu, padanya itu nafsu ammarah bissu’, kedua makam nur [anwar?], dan dinamakan nafsu padanya dengan nafsu lawwamah, ketiga makam asrar dinamakan nafsu padanya dengan mulhamah, keempat makam kamal dan dinamakan pula nafsu padanya itu dengan mutma’innah, kelima makam wasal dan dinamakan nafsu padanya itu radiyah, keenam makam tajalliyyat al-af’al dan dinamakan nafsu padanya itu dengan mardiyyah, ketujuh makam tajalliyyat al-sifat dan asma’ dan dinamakan nafsu padanya itu dengan kamilah.(fol.14A).
Antara nama-nama ulama yang menjadi sandaran dalam teks ini ialah ibn ‘Arabi (fol.1B, 3A), Sadr al-Din Buni [al-Qunyawi] (fol.1B, 5A),  Syaikh Ahmad al-Qusyasyi (fol.6B),  Nur al-Din al-Raniri (fol.7A), Syaikh Qasim Khan (fol.9A), Muhammad anak Sahal anak ‘Ata’ menyebut kata-katanya (fol.11A), Syaikh Abul-Mawahib  Muhammad Zain al-’Abidin ibn al-Ghumari dengan tauhid empat martabat (fol.12A),
Beberapa persoalan yang mungkin timbul dalam hubungan dengan martabat Tujuh sebagaimana yang terdapat dalam teks Syaikh Daud ini-rahimahu’Llahu ta’ala- ‘alim yang arif tentang akidah Ahlis-Sunnah wa al-Jamaah , fiqh Ahlis-Sunnah, tasawwuf Ahlis-Sunnah [dan huraian dalam 'al-Manhal al-Safi' adalah Ahlis-Sunnah, bukan Khawarij, bukan Mu'tazilah, bukan Rafidah atau Syi'a]),  adalah seperti berikut.
1.Adakah perkara seumpama  ini ada pada zaman nabi?  Sehubungan dengan itu kita juga boleh bertanya: Adakah perkara seumpama fiqh, usul al-din,  tafsir, nahu saraf, ada pada zaman nabi?  Kalau demikian bagaimanakah  kita melihatnya?
2.Tidakkah ber’falsafah-falsafah’ seperti ini asing daripada Islam, agama yang bersifat dengan tuntutan ke atas orang supaya beriman dan beramal?  Tidakkah ini pengaruh dari luar yang sebenarnya hendak meruntuhkan Islam? Meruntuhkan Syari’at dari dalam?
3.Tidakkah ini berlawanan dengan fahaman ilmu Ahlis-Sunnah yang sebenarnya?
Atau tidakkah ini sebenarnya adalah ajaran sesat dalam masyarakat Islam?
4.Tidakkah istilah-istilah itu direka-reka untuk mengusutkan fikiran Muslimin supaya mereka habis umur dengannya dan terbangkalai tugas-tugas mereka terhadap Islam dan umat?
5.Tidakkah fahaman yang sedemikian ini akan merosakkan syariat Islam yang mementingkan ketaatan dan taqwa?
6.Tidakkah ini tasauf theosofi atau tasauf falsafi yang asing daripada tasauf Sunni yang moderat seperti huraian Imam al-Ghazali?  Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat tasauf sebenarnya mengikut ulama yang muktabar?
7.Tidakkah cara berfikir yang sedemikian ini bercanggah dengan kepentingan umat yang mesti mengambil bahagian dalam teknologi untuk menghadapi globalisasi? Tidakkah ini bercanggah dengan kepentingan umat yang mesti mencapai kekuatan untuk menjaga kepentingannya?
Mungkin respons yang boleh terlintas kepada kita dalam hubungan dengan soalan-soalan di atas adalah seperti berikut:
1.Memang nampaknya tidak ada perkara yang seumpama ini pada zaman nabi s.a.w. dan zaman sahabat dan zaman salaf, Allah meredhai mereka semuanya. Bagaimanapun perkara yang sama boleh ditanya dalam hubungan dengan ilmu-silmu syara’ yang lain itu. Sebagaimana yang dihuraikan oleh ibn  Khaldun rh dalam “al-Muqaddimah”nya, dengan berlalu zaman dan sejarah maka ilmu-ilmu Islam itu muncul dengan perkembangan manusia dan masing-masing menjadi disiplin-disiplin dengan istilah-istilahnya sendiri, fiqh dengan fiqhnya, usul al-fiqh dengan usul al-fiqhnya, tafsir dengan tafsirnya, hadth dengan tafsirnya, tasawwuf dengan tasawwufnya dengan istilah-istilahnya masing-masing.Perkembangan ilmu-ilmu Islam ini dicatitkan sejarahnya dan isi kandungannya oleh ibn Nadim dalam ‘al-Fihrist’ dan ‘Kasyf al-Zunnun’ oleh Hajji Khalifah. Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.Amin.
Bagaimanapun dasar-dasar untuk perkembangan ilmu-ilmu itu semuanya ada dalam Qur’an dan Sunnah , istilah-istilahnya belum ada, juga masalah-masalah detailnya.Masalah-masalah pokoknya sudah ada. Maka dalam hubungan dengan ini boleh dinyatakan secara am dalam Ahlis-Sunnah bahawa apa-apa perkembangan yang baharu yang tidak bercanggah dengan Qur’an, Sunnah dan ijma’ maka itu boleh diterima, termasuk di bawah hukum yang lima.
Dalam hubungan dengan ini kita boleh merenung: Adakah ’salah’ ulama hadith menghuraikan istilah-istilah ’sahih’, “da’if’, ‘hasan’ , ‘mutawatir’, ‘mustafid’ ‘ahad, dengan maksud-maksudnya kerana nabi saw tidak membicarakannya? Adakah ’salah’ dalam al-Itqan al-Suyuti itu ada huraian-huraian tentang apa yang ‘makki’, yang ‘madani’, yang ‘am’, ‘yang khas’, yang ’safari’, yang ‘hadari’ dan lain-lain? Adakah ’salah’ ulama fiqh menghuraikan apa itu ’sah’, ‘batal’ ‘fasid’, ’sunat’, ‘harus’, makruh, dan lain-lain? Dan dalam usul al-fiqh pula Imam Syafi’I menghuraikan apa itu bayan? Dan lain-lain. Demikian pula salahkah kalau kita fikirkan ulama sufi bila terbaca kalimat ‘ahad’ dalam Surah al-ikhlas terlintas pada pandangan rohaninya pengenalan terhadap Tuhan dalam ‘ahadiah’? Bila bertemu dengan kata ‘wahid’ ia terlintas pula wahidiah? Dan ada yang mengalami yang demikian dalam sejarah mereka? “Salah”kah kalau terlihat dalam Qur’an kata ‘wahid’ terpandang pada syuhudnya pengenalan ma’rifat tahap ‘wahidiah’? Kalau mereka melihat alam , maka hakikat disebaliknya ialah Tuhan? Bukan alam itu dengan juzuk-juzuknya Tuhan, itu makhluk, tetapi bila terlihat alam, terpandang hakikat di sebaliknya, Tuhan? Maka  timbullah wahdah fi al-kathrah?  Demikian seterusnya.
2. Ajaran Martabat Tujuh yang diwakili oleh teks yang dibicarakan ini tidak meruntuhkan syariat, bahkan ia mengehendaki supaya syariat diamalkan dengan seboleh-bolehnya, kem udian didalamkan kesedaran batin supaya ketakwaan itu mencapai darjah ‘ihsan’ yang tinggi , dengan kejernihan hati dan sir. Dengan itu tergabunglah ketaatan terhadap syara’ dan ketinggian iman dan keikhlasan.
Tentang ‘pengaruh dari luar’ yang kerap disebut-sebut oleh Orientalis, Neo-Platonisme, dan pelbagai lagi, (sampai orang yang pintar seperti Iqbal pun-Allah yarhamuh- terkena kesannya) itu adalah kemungkinan dari segi peristilahan; itu boleh berlaku sebab budaya mendapat pengaruh horizontal dalam sejarah, seperti kiita sekarang juga ada istilah-istilah moden yang kita pakai, tetapi istilah itu bukanlah bermakna kita sudah berhenti menjadi Muslimin dan berfikir sebagai Muslimin dan menjadi orang yang berpegang kepada moderniti sebagai falsafah, atau kadang-kadang kita menggunakan istilah positif, bukan bermakna kita mengikut Auguste Comte dengan falsafah positivisme; kita gunakan istilah itu dalam gugusan istilah dalam faham alam atau kehidupan cara kita.
Demikian para ulama kita dahulu, misalnya mereka mengambil istilah mantik Yunani, bukan  bermakna mereka menerima falsafah Yunani dengan keseluruhannya dengan kesilapan-kesilapannya, mereka menerima yang berfaedah daripadanya, sebagaimana yang Imam al-Ghazali rd tunjukkan kaedahnya dalam “Tahafut al-Falasifah” dan “al-Munqidh Min al-Dalal”nya.
Lagi pula ulama kita tidak mengajarkan Martabat Tujuh itu kepada sesiapa sahaja, tetapi kepada mereka yang ada persediaan  yang patut, dan mereka memerlukan huraian itu dari segi intelektuil sebenarnya,  sebagai dokongan kesedaran rohani mereka, selepas mereka mengetahui akidah Ahlis-Sunnah, hukum-hukumnya, dan tasawuf mu’amalah.Ini bukan falsafah dalam erti huraian mental spekulatif semata, tetapi ia huraian tentang syuhud para ‘arifin yang sahih. Sebab itu Waliyu’Llah al-Dihlawi rh menyatakan bahawa sebenarnya aliran wahdatul-wujud ibn ‘Arabi yang ada dalam teks ini dengan aliran wihdatul-syuhud al-Sirhindi adalah sebenarnya merujuk kepada perkara yang sama, dengan istilah-istilahnya sahaja yang berbeza sahaja.(Lihat Burhan Ahmad Faruqi dalam The Mujaddid’s Conception of Tawhid, Sh Muhammnadِ Ashraf, Lahore, 1970, hal.97-100).
Ungkapan pengaruh luar kerap disebut oleh Orientalis untuk menunjukkan bahawa ilmu kerohanian sebenarnya tidak begitu ada dalam islam, ia kemuflisan dari segi ini, maka ia terpaksa ‘meminjam’. Sebaliknya ulama Ahlis-Sunnah menyebut bahawa tasawwuf adalah daripada Qur’an dan Sunnah dan  pengelaman rohani mereka yang muktabar dalam umat yang dirahmati Allah ini.
Mereka yang berpegang kepada ajaran tasauf seperti ini tidak meruntuhkan Syari’at bahkan mereka menguatkannya, sebagaimana yang boleh dilihat dalam huraian-hurain mereka itu, juga sebagaimana yang boleh dilihat dalam sejarah mereka, baik dalam kawasan asal Islam atau di Nusantara.Kemunculan kaum zindik  yang mengenepikan Syariat itu adalah dengan ijma’ diharamkan, membawa kepada kekufuran, na’udhubillahi min dhali.Kalau di rantau ini yang berpandangan demikian ialah Syaikh Nur al-Din al-Raniri Syaikh ‘Abd al-Rauf Singkel, Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Syaikh Arsyad al-Banjari, rakannya Syaikh Daud al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani, yang ayahandanya memiliki naskah ‘al-Manhal al-Safi’ ini, Allah memberi rahmat kepada mereka antara yang sekian ramai itu.
3.Ajaran sedemikian ini ada dalam kalangan ulama Ahlis-Sunnah wa al-Jamaah, hanya ia tidak disebut oleh al-Asy’ari rd dan al-Syafi’I rd. Tetapi ia dihuraikan oleh mereka yang berpegang kepada ajaran mereka berdua; dan ia bukan termaswuk ajaran sesat. Ini antaranya jelas daripada fatwa ibn Hajar rh dalam “al-Tuhfah”, (10) katanya:
وَشَطْحِ وَلِيٍّ حَالَ غَيْبَتِهِ أَوْ تَأْوِيلِهِ بِمَا هُوَ مُصْطَلَحٌ عَلَيْهِ بَيْنَهُمْ ، وَإِنْ جَهِلَهُ غَيْرُهُمْ إذْ اللَّفْظُ
الْمُصْطَلَحُ عَلَيْهِ حَقِيقَةٌ عِنْدَ أَهْلِهِ فَلَا يُعْتَرَضُ عَلَيْهِمْ بِمُخَالَفَتِهِ لِاصْطِلَاحِ غَيْرِهِمْ كَمَا حَقَّقَهُ أَئِمَّةُ الْكَلَامِ وَغَيْرُهُمْ وَمِنْ ثَمَّ زَلَّ كَثِيرُونَ فِي التَّهْوِيلِ عَلَى مُحَقِّقِي الصُّوفِيَّةِ بِمَا هُمْ بَرِيئُونَ مِنْهُ وَيَتَرَدَّدُ النَّظَرُ فِيمَنْ تَكَلَّمَ بِاصْطِلَاحِهِمْ الْمُقَرَّرِ فِي كُتُبِهِمْ قَاصِدًا لَهُ مَعَ جَهْلِهِ بِهِ وَاَلَّذِي يَنْبَغِي بَلْ يَتَعَيَّنُ وُجُوبُ مَنْعِهِ مِنْهُ بَلْ لَوْ قِيلَ بِمَنْعِ غَيْرِ الْمُشْتَهَرِ بِالتَّصَوُّفِ الصَّادِقِ مِنْ التَّكَلُّمِ بِكَلِمَاتِهِمْ الْمُشْكِلَةِ إلَّا مَعَ نِسْبَتِهَا إلَيْهِمْ غَيْرَ مُعْتَقِدٍ لِظَوَاهِرِهَا لَمْ يَبْعُدُ ؛ لِأَنَّ فِيهِ مَفَاسِدَ لَا تَخْفَى
Ertinya: Dan [perkataan yang bersifat sebagai] syatahat yang keluar daripada seorang wali masa hal pengelaman ghaibahnya [masa fananya] atau ta’wilan [kata-kata] yang dijadikan istilah teknikal di kalangan mereka, [tidak menjadi sebab kufur] walaupun yang lain dari kalangan mereka tidak mengetahui hal itu, kerana lafaz yang dijadikan istilah [di kalangan mereka yang ahli dalam sesuatu ilmu itu] adalah hakikat pada sisi mereka yang ahli di dalamnya, maka yang demikian itu tidak ditentang  mereka itu kerana istilah mereka menyalahi istilah golongan yang selain daripada golongan mereka , sebagaimana yang ditahkikkan tentang ini oleh imam-imam dalam ilm al-kalam dan yang lain daripada mereka.
Dengan itu, maka ramai mereka yang tergelincir kerana menyerang golongan muhakkikin dari kalangan sufiah dalam perkara-perkara yang mereka [sebenarnya] terbebas daripada [tuduhan] yang demikian, dan mereka berpergi datang melihat di kalangan mereka yang berbicara tentang istilah mereka yang tertulis dalam kitab-kitab mereka mencari-cari untuk itu [untuk menyerang], walhal mereka tidak mengetahui tentangnya [tentang maksud yang sebenar yang diketahui di kalangan golongan muhakkikin itu]. Maka tentu dan nyata mesti wajib ditegah mereka daripada yang demikian itu;  bahkan kalau dikatakan  bahawa mesti ditegah  orang yang tidak terkenal dengan [penglibatan dengan betul dengan ] tasauf dengan cara yang benar,  daripada berbicara tentang kata-kata [istilah] mereka yang boleh mendatangkan kemusykilan [ke atas masyarakat], kecuali dengan menisbahkan kepada mereka [mengikut benar-benar huraian kitab mereka] serta tidak beriktikad dengan apa yang zahir [daripada lafaz-lafaz itu] maka itu tidak jauh [daripada apa yang sebenarnya, ertinya hendaklah orang yang berbicara dengan cara yang menyalahi kitab-kitab ahli tasauf sendiri, mereka-reka tafsiran sendiri, hendaklah mereka ditegah daripada berbicara  tentang itu], kerana dalam perkara yang demikian itu [yakni orang yang berbicara bukan mengikut ulama tasauf secara sadiq, tetapi memandai sendiri, dan mengambil lafaz mengiktu zahirnya] itu mendatangkan kerosakan yang tidak tersembunyi lagi [memang nyatalah kerosakannya].
[Adapun mereka yang memang sesat akidahnya selepas dipereksa, dan itu bukan ajaran tasauf, tetapi dinisbahkan sahaja kepada mereka, kerana ada kepentingan, maka wali al-amr mesti mengambil tindakan terhadap mereka-penulis kertas].
Katanya lagi (11)
وَقَوْلُ ابْنِ عَبْدِ السَّلَامِ يُعَزَّرُ وَلِيٌّ قَالَ أَنَا اللَّهُ وَلَا يُنَافِي ذَلِكَ وِلَايَتَهُ لِأَنَّهُ غَيْرُ مَعْصُومٍ فِيهِ نَظَرٌ ؛ لِأَنَّهُ إنْ كَانَ غَائِبًا فَهُوَ غَيْرُ مُكَلَّفٍ لَا يُعَزَّرُ كَمَا لَوْ أُوِّلَ بِمَقْبُولٍ وَإِلَّا فَهُوَ كَافِرٌ وَيُمْكِنُ حَمْلُهُ عَلَى مَا إذَا شَكَكْنَا فِي حَالِهِ فَيُعَزَّرُ فَطْمًا لَهُ وَلَا يُحْكَمُ عَلَيْهِ بِالْكُفْرِ لِاحْتِمَالِ عُذْرِهِ وَلَا بِعَدَمِ الْوِلَايَةِ ؛ لِأَنَّهُ غَيْرُ مَعْصُومٍ  …( تَنْبِيهٌ ) قَالَ بَعْضُ مَشَايِخِ مَشَايِخِنَا مِمَّنْ جَمَعَ بَيْنَ التَّصَوُّفِ وَالْعُلُومِ النَّقْلِيَّةِ وَالْعَقْلِيَّةِ لَوْ أَدْرَكْتُ أَرْبَابَ تِلْكَ الْكَلِمَاتِ لَلُمْتُهُمْ عَلَى تَدْوِينِهَا مَعَ اعْتِقَادِي لِحَقِّيَّتِهَا ؛ لِأَنَّهَا مَزِلَّةٌ لِلْعَوَامِّ وَالْأَغْبِيَاءِ الْمُدَّعِينَ لِلتَّصَوُّفِ انْتَهَى وَإِنَّمَا يُتَّجَهُ إنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ غَرَضٌ صَحِيحٌ فِي تَدْوِينِهَا كَخَشْيَةِ انْدِرَاسِ اصْطِلَاحِهِمْ وَتِلْكَ الْمَفَاسِدُ يَدْرَؤُهَا أَئِمَّةُ الشَّرْعِ فَلَا نَظَرَ إلَيْهَا
Dan  pendapat ‘Izzuddin ibn ‘Abdis-Salam [rh] bahawa wali yang berkata ‘Aku Allah’ hendaklah dikenakan hukum ta’zir, itu tidak menafikan kewaliannya, kerana ia tidak ma’sum, padanya ada penilitian.Kerana, kalaulah ia dalam ‘ghaibah’, maka ia tidak mukallaf [waktu itu], maka dengan itu ia tidak dikenakan hukum ta’zir sebagaimana kalau dita’wilkan dengan yang makbul, kalau tidak [kalau ta' boleh dita'wilkan], maka ia kafir. Maka boleh ditanggungkan maknananya bahawa bila kita syak tentang halnya, maka ia dihukumkan dengan ta’zir, untuk menjauhkan dirinya [daripada 'kesalahan' yang demikian], dan tidak dihukumkan ia itu kafir kerana ihtimal [andaian] ia teruzur, dan juga bukan tidak dihukum ia bukan wali; kerana ia tidak ma’sum…(Peringatan) Kata setengah daripada syaikh-syaikh bagi syaikh-syaikh kami dari kalangan mereka yang menghimpunkan [dalam diri mereka] antara tasawwuf dan ilmu-ilmu nakliah dan akliah, :kalau aku bertemu dengan orang-orang yang ahli tentang istilah-istilah [sufiah yang sulit-sulit itu]  aku akan mencela mereka  menulis kitab tentangnya walhal aku beriktikad itu adalah benar, kerana ia adalah tempat tergelincir orang-orang awam dan orang-orang yang bodoh yang mendakwa penglibatan dengan tasauf.(Seleasi kenyataannya). Dan sesungguhnya yang lebih beralasan ialah [maksud kata-kata itu melarang mereka menulis itu] ialah bila pada mereka itu tidak ada alasan dan matlamat yang sahih dalam mengarang tentangnya seperti [antara matlamat yang boleh diterima itu ialah] takut terluputnya istilah-istilah mereka itu , maka kerosakan-kerosakan[yang telah tersebut dalam larangan tadi] tidak diambil kira oleh imam-imama syara’iah maka tidak diberi perhatian kepadanya [dengan itu kitab-kitab itu boleh ditulis untuk ahlinya dan tidak ditegah]. (10).
Katanya seterusnya :
( قَوْلُهُ : وَشَطْحِ وَلِيًّ ) عَطْفٌ عَلَى قَوْلِهِ سَبْقِ لِسَانٍ ( قَوْلُهُ : أَوْ تَأْوِيلِهِ ) عَطْفٌ عَلَى غَيْبَتِهِ ( قَوْلُهُ : وَمِنْ ثَمَّ ) أَيْ لِأَجْلِ الْمُخَالَفَةِ لِاصْطِلَاحِ غَيْرِهِمْ ( قَوْلُهُ : زَلَّ كَثِيرُونَ إلَخْ ) وَجَرَى ابْنُ الْمُقْرِي تَبَعًا لِغَيْرِهِ عَلَى كُفْرِ مَنْ شَكَّ فِي كُفْرِ طَائِفَةِ ابْنِ عَرَبِيٍّ الَّذِينَ ظَاهِرُ كَلَامِهِمْ الِاتِّحَادُ ، وَهُوَ بِحَسَبِ مَا فَهِمُوهُ مِنْ ظَاهِرِ كَلَامِهِمْ وَلَكِنَّ كَلَامَ هَؤُلَاءِ جَارٍ عَلَى اصْطِلَاحِهِمْ وَأَمَّا مَنْ اعْتَقَدَ ظَاهِرَهُ مِنْ جَهَلَةِ الصُّوفِيَّةِ فَإِنَّهُ يُعَرَّفُ فَإِنْ اسْتَمَرَّ عَلَى ذَلِكَ بَعْدَ مَعْرِفَتِهِ صَارَ كَافِرًا وَسَيَأْتِي الْكَلَامُ عَلَى هَذَا فِي كِتَابِ السِّيَرِ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى ا هـ مُغْنِي
(Katanya: dan kata-kata syatahat seorang wali) sambungan atas katanya terlanjur lidahnya (katanya atau ta’wilnya) sambungan atas keadaan ghaibahnya (katanya kerana itu) yakni kerana menyalahi [istilah mereka dengan] istilah golongan lain [seperti istilah fuqaha atau ahli usul aldin] (katanya: tergelincir ramai dan seterusnya sampai habis ayat) dan ibn al-Muqri mengikut bagi orang yang selainnya berpendapat kafir orang yang syak tentang kafirnya golongan ibn ‘Arabi [termasuk, kalau diterima, mereka yang mengikut huraiannya di Dunia Melayu, termasuk 'martabat tujuh' dalam al-Manhal al-Safi karangan Syaikh Daud ini]  yang zahir kata-kata mereka [memaksudkan] bersatu [antara Tuhan dan makhluk], itu adalah dengan kadar apa yang mereka faham dari zahir kata-kata mereka , tetapi kata-kata golongan ini adalah mengikut [system] peristilahan mereka ; adapun orang yang beriktikad atas zahirnya dari kalangan orang jahil antara mereka yang beramal dengan tasauf, maka hendaklah diberitahu dan diajarkan [apa yang sebenarnya, bukan zahir lafaznya], dan kalau ia meneruskan halnya selepas daripada mengetahui tentangnya [selepas diajar] maka ia menjadi kafir, dan pembicaraan ini akan dilakukan dalam ‘kitab al-Siyar’ insya’ Allah. Habis kenyataan dalam kitab ‘al-Mughni’. (11)
Dalam Mughni al-Muhtaj terdapat kenyataan yang hamper sama maksudnya:
وَكَذَا الْكَلِمَاتُ الصَّادِرَةُ مِنْ الْأَوْلِيَاءِ فِي حَالِ غَيْبَتِهِمْ ، فَفِي أَمَالِي الشَّيْخِ عِزِّ الدِّينِ بْنِ عَبْدِ السَّلَامِ أَنَّ الْوَلِيَّ إذَا قَالَ : أَنَا اللَّهُ عُزِّرَ التَّعْزِيرَ الشَّرْعِيَّ ، وَلَا يُنَافِي الْوِلَايَةَ لِأَنَّهُمْ غَيْرُ مَعْصُومِينَ ، وَيُنَافِي هَذَا قَوْلَ الْقُشَيْرِيِّ : مِنْ شَرْطِ الْوَلِيِّ أَنْ يَكُونَ مَحْفُوظًا ، كَمَا أَنَّ مِنْ شَرْطِ النَّبِيِّ أَنْ يَكُونَ مَعْصُومًا ، فَكُلُّ مَنْ كَانَ لِلشَّرْعِ عَلَيْهِ اعْتِرَاضٌ فَهُوَ مَغْرُورٌ مُخَادِعٌ ، فَالْوَلِيُّ الَّذِي تَوَالَتْ أَفْعَالُهُ عَلَى الْمُوَافَقَةِ ، وَقَدْ سُئِلَ ابْنُ سُرَيْجٍ عَنْ الْحُسَيْنِ الْحَلَّاجِ لِمَا قَالَ : أَنَا الْحَقُّ فَتَوَقَّفَ فِيهِ وَقَالَ : هَذَا رَجُلٌ خَفِيَ عَلَيَّ أَمْرُهُ وَمَا أَقُولُ فِيهِ شَيْئًا ، وَأَفْتَى بِكُفْرِهِ بِذَلِكَ الْقَاضِي أَبُو عَمْرٍو وَالْجُنَيْدُ وَفُقَهَاءُ عَصْرِهِ ، وَأَمَرَ الْمُقْتَدِرُ بِضَرْبِهِ أَلْفَ سَوْطٍ ، فَإِنْ مَاتَ ، وَإِلَّا ضُرِبَ أَلْفًا أُخْرَى ، فَإِنْ لَمْ يَمُتْ قُطِعَتْ يَدَاهُ وَرِجْلَاهُ ثُمَّ يُضْرَبُ عُنُقُهُ ، فَفُعِلَ بِهِ جَمِيعَ ذَلِكَ لِسِتٍّ بَقَيْنَ مِنْ ذِي الْحِجَّةِ سَنَةَ تِسْعٍ وَثَلَاثِمِائَةٍ ، وَالنَّاسُ مَعَ ذَلِكَ مُخْتَلِفُونَ فِي أَمْرِهِ ، فَمِنْهُمْ مَنْ يُبَالِغُ فِي تَعْظِيمِهِ ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُكَفِّرُهُ لِأَنَّهُ قُتِلَ بِسَيْفِ الشَّرْعِ ، وَجَرَى ابْنُ الْمُقْرِي تَبَعًا لِغَيْرِهِ عَلَى كُفْرِ مَنْ شَكَّ فِي كُفْرِ طَائِفَةِ ابْنِ عَرَبِيٍّ الَّذِينَ ظَاهِرُ كَلَامِهِمْ عِنْدَ غَيْرِهِمْ الِاتِّحَادُ وَهُوَ بِحَسَبِ مَا فَهِمُوهُ مِنْ ظَاهِرِ كَلَامِهِمْ ، وَلَكِنَّ كَلَامَ هَؤُلَاءِ جَارٍ عَلَى اصْطِلَاحِهِمْ ، إذَا اللَّفْظُ الْمُصْطَلَحُ عَلَيْهِ حَقِيقَةٌ فِي مَعْنَاهُ الِاصْطِلَاحِيِّ مَجَازٌ فِي غَيْرِهِ ، وَالْمُعْتَقِدُ مِنْهُمْ لِمَعْنَاهُ مُعْتَقِدٌ لِمَعْنًى صَحِيحٍ . وَأَمَّا مَنْ اعْتَقَدَ ظَاهِرَهُ مِنْ جَهَلَةِ الصُّوفِيَّةِ فَإِنَّهُ يَعْرِفُ ، فَإِنْ اسْتَمَرَّ عَلَى ذَلِكَ بَعْدَ تَعْرِيفِهِ صَارَ كَافِرًا ، وَسَيَأْتِي الْكَلَامُ عَلَى هَذَا أَيْضًا فِي كِتَابِ السِّيَرِ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى .
Ertinya: Demikian pula kata-kata yang keluar dari para aulia dalam hal pengelaman ghaibah mereka; dan dalam kitab ‘al-Amali’ Syaikh ‘Izzuddin ibn ‘Abdis-Salam : Sesungguhnya wali itu bila ia berkata:”Aku Allah’ hendaklah dikenakan hukuman ta’zir dengan ta’zir syari’i, dan itu tidak menafikan kewalian [orang yang berkenaan], kerana mereka bukannya maksum [seperti ma'sum anbia], dan ini diinafikan oleh pendapat al-Qusyairi :Termasuk ke dalam syarat kewalian ialah ia ‘mahfuz’ [terjaga] sebagaimana daripada nabi [pula] syaratnya ialah ma’sum, maka setiap orang yang bercanggah dengan syara’ maka ia terpedaya, menipu [diri sendiri], maka wali itu ialah orang yang berterusan amalannya bermuafakat [dengan Syara'], dan ditanya ibn Suraij berkenaan dengan Husain al-Hallaj  bila ia mengatakan ‘Aku Allah’, maka ia bertawakuf tentangnya.Ia lelaki yang tidak nyata kepadaku urusannya, dan aku tidak katakana sesuatu[pun] tentangnya.Dan al-Qadhi Abu ‘Amru dan Junaid dan fukaha zamannya mengkafirkannya kerana yang demikian itu, dan dinasihati supaya al-Muqtadir memukulnya dengan seribu pukulan kalau ia mati, kalau tidak seribu lagi, kalau ia tidak mati maka dipotong tangannya dan kakinya, kemudian dipotong lehernya.Itu semua dilakukan kepadanya  …dan manusia walaupun demikian mempunyai pendapat yang berlainan tentangnya.Antara mereka yang terlalu mengagung-agungnya,, antaranya mereka yang mengkafirkannya,  kerana ia dibunuh dengan pedang Syara’, dan ibn al-Muqri berpendapat mengikut mereka yang lain itu , menganggap kafir orang yang syak tentang kufurnya  golongan ibn ‘Arabi yang zahir k,ata-kata mereka [menunjukkan makna] penyatuan (al-ittihad) [antara Tuhan dan makhluk], dan itu adalah mengikut kadar apa yang mereka fahamkan dari kata-kata mereka.Tetapi golongan ini kata-kata mereka mengikut [system] peristilahan mereka [sendiri], kerana lafaz istilah itu bersifat hakiki pada maknanya secara istilah [teknikal]  dan bersifat majazi dalam yang lain daripadanya, maka orang yang beriktikad dari kalangan mereka adalah mengikut makna yang sahih, adapun orang yang beriktikad zahir [pada lafaznya] dari kalangan jahil pengikut tasauf maka ia hendaklah diberitahu [tentangnya], kalau ia terus juga dengan keadaannya [mengambil maknanya yang zahir pada lafaz juga], maka menjadi kafirlah ia.Huraian tenhtang ini juga akan dilakukan nanti dalam kitab al-siyar.In sya’ Allah.(12)
4.Tentang istilah-istilah yang muncul itu adalah proses yang berlaku terhadap semua ilmu-ilmu Islam seperti fiqh, tafsir, hadith, sirah, dan lainnya termasuk tasauf; dan tasauf pula ada yang mu’amalah dan ada yang mukasyafah; tentang martabat tujuh ini, ia termasuk ke dalam bahagian mukasyafah; tidak semua orang memerlukannya. Kedudukan tentang istilah-istilahnya disebut antaranya dalam kitab Tuhfah oleh ibn Hajar rh dan Mughnil-Muhtaj oleh Khatib Sharbini rh. Yang penting ialah kita memahai istilahy-istilah mengikut apa yang difahami di kalangan mereka yang ahli baginya.Ini pendirian ulama dalam Ahlis-Sunnah wa al-Jama’ah yang tidak menjadi tabiat dan resminya untuk mengkafirkan sesama sendiri sebagaimana yang dijelaskan antaranya dalam al-Tabsir fid-Din oleh al-Isfara’ini rh  juga al-Baghdadi rh dalam al-Farq bain al-Firaq.
5.Tasauf demikian adalah bertujuan untuk memantapkan ketaatan dan taqwa dengan memberi huraian-huraian yang bersifat intelektuil bagi mereka yang memerlukan; ia bukan untuk orang yang tidak memerlukannya, apa lagi mereka yang hendak memahaminya mengikut system istilah mereka sendiri. Hendaklah dibezakan mereka ini daripada golongan yang mendakwa tasauf dan melemparkan syariat daripada hidup mereka dan memperlekeh-lekehkannya.Na’udhu billahi min dhalik.
6.Sebenarnya ia bukan tasauf falsafah, sebab falsafah ialah setakat lamunan mental dengan fikiran dan minda, dan tidak menyentuh aspek-aspek yang batin  dan rohani manusia. Adapun yang demikian ini  adalah huraian tentang syuhud ‘arifin dengan system peristilahan mereka sendiri. Dan ia sebahagian daripada tasauf bahagian mukasyafahnya.Dan mereka adalah Ahlis-Sunnah bukan terkeluar daripada Ahlis-Sunnah, melainkan golongan yang memang disebutkan terkeluar daripada Ahlis-Sunnah sepertri yang disenaraikan dalam kitab Tuhfgah al-Raghibin karangan Syaikh Arsyad al-Banjari rh (13).Dalam hubungan dengan ini eloklah kita ingatkan pembahagian ibn ‘Arabi rd tentang ilmu itu ada tida kategori: ada yang akliah, yang boleh difahami dengan akal,  ada yang bersifat sebagai “hal” yangh dialami oleh jiwa dan roh,  ada yang bersifat ‘hakikat-hakikat” (al-haqa’iq).Ini boleh didapati pada awal “Futuhat”nya, jilid I.
Seperkara lagi ia bukan akidah, ia syuhud, ini perlu dibezakan maksudnya.Kalau akidah semua orang mesti mengetahuinya dan meyakininya, seperti sifat-sifat Tuhan dalam ilmu akidah, berdasarkan Qur’an, hadith dan ijma’.Adapun pengelamanb syuhud para ‘arifin itu “hal” mereka, atau “makam” mereka, yang mereka alami, bukan akidah yang mesti dipelajari oleh semua mukallaf. Sebab itu ’salah’ kalau dikatakan akidah ibn ‘Arabi rd adalah ‘wihdatul-wujud’, sebab akidahnya ialah sebagaimana yang dibentangkannya pada awal kitab al-Futuhatnya, yang isinya hampir-hampir sama dengan akidah Imam al-Ghazali rd dalam Ihya’nya. Adapun pengelaman syuhudiah, itulah yang disebutkan orang sebagai wihdatul-wujud itu.
7.Tentang kepentingan adanya sains dan teknologi, ini tidak menjadi persoalan, sebab metafisika tasauf yang demikian  bukannya bercanggah dengannya, bahkan ia memberi kerangka metafisika dan rohani kepada ilmu sains dan teknologi, dan ia tidak menafikan undang-undang sebab  musabbab pada alam syahadah ini; seseorang boleh menjadi sufi sebenarnya (selain daripada mengingati contoh para Sahabat rd dan Tabi’in dan generasi Salaf rd)  dan juga ahli sains; sebab tasauf yang sebenar yang dimaksudkan boleh ada pada ahli fakir seperti Imam al-Ghazali, ahli sejarah dan sosiologi, seperti ibn Khaldun, boleh ada pada pemerintah seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan ‘Abdul Hamid Turki (sayangnya ia menjadi mangsa konspirasi manusia  zamannya, termasuk manusia yang Islam, selain daripada konspirasi Barat),  atau tasauf yang ada pada bendahara Tun Perak di Melaka. Kalau di Negara kita sarjana sains seperti Prof Osman Bakar boleh mendapat fahaman yang jelas dalam metafisika sufi untuk fahaman sainsnya, demikian juga sarjana seperti Prof Mohd Yusoff Othman, sekadar menyebut beberapa nama, walaupun tidak dikaitkan mereka dengan tasauf secara yang tersangat ketat.
Kesimpulan:
Nampaknya perbincangan menunjukkan bahawa Martabat Tujuh sebagaimana yang difahami oleh mereka yang ahli sebenarnya adalah harmonis dan mendapat tempat dalam wacana ilmu Ahlis-Sunnah ; hanya ia perlu difahami dengan sebenarnya, mengikut para ahlinya, sebab semua pengetahuan ada ahlinya.Tentang adanya golongan sesat dalam masyarakat yang menisbahkan diri kepada tasauf, atau adanya orang yang jahil yang memahaminya secara zahir lafaznya, maka itu bukan alasan untuk dinyatakan ia terkeluar daripada Ahlis-Sunnah ataupun terkeluar daripada lingkungan keimanan, na’udhu billahi min dhalik.Apa lagilah, sikap negatif itu tidak menasabah, bila diingatkan, bahawa  dalam rantau ini, ia melibatkan peribadi-peribadi  seperti Wali Sunan Kalijaga, Sunan Bonang, Syaikh Nur al-Din al-Raniri, Syaikh ‘Abdul-Rauf Singkel, Syaikh al-Qusyasyi, Syaikh Syamsul-Din Pasai, Syaikh Arsyad al-Banjari, Syaikh Yusuf al-Makasari yang menentang penjajah itu, Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani penyebar faham Imam al-Ghazali, Syaikh Daud al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani (guru To’ Kenali) [editor kitab-kitab Jawi zaman kerajaan Othmaniah dulu], dan seluruh gernerasi mereka itu-Allah memberi rahmat kepada mereka.Amin; kalau diambil sikap yang negatif sebagaimana mula dikesani, maka seolah-olah sudah berlaku satu jenis “dekonstruksi ilmu Ahlis-Sunnah” –sementara ada ungkapan yang lebih menasabah untuk ini- dalam hubungan dengan mereka yang sebenarnya wajib diberikan layanan yang “lebih beradab” dan “lebih bertamadun”.  Dan tentang  perlunya bidang ini   tidak diceburi oleh mereka yang tidak sewajarnya di kalangan orang awam, itu juga diterima, dan wali al-amri perlu melakukan tindakan kawalan dengan bantuan mereka yang ahli di dalamnya. Dan ia tidak boleh dibicarakan dihadapan orang awam. Wallahu a’lam.
Nota:
(1)Dalam Ihya’ ‘Ulumi’d-Din, kitab berkenaan dengan ilmu.
(2) Lihat Martin van Bruinessen, “Sufism and the Islamization of the Archipelago”, dalam http://www.let.uu.nl/~martin.vanbruinessen/personal/publications/Sufi
(3)ibid.
(4)C.A.O.van Nieuwenhuijze, Shamsusu’l-Din van Pasai, (Leiden, Brill,1945), lihat ibid.
(5)Lihat Anthony H.Johns The Gift Addressed to the Spirit of the Prophet,(Canberra, ANU, 1965).cf ibid.
Skima Syaikh Syams al-Din Pasai tentang martabat wujud yang tujuh itu ialah Ahadiah, Zat Tuhan yang kadim, wahdah, Zat Tuhan dengan Sifat-SifatNya , yang kadim, dengan kepelbagaian sifat-sifatNya, kadim, Wahidiah, juga kadim, abadi, Tuhan dengan nama-Namanya, Alam Arwah, yang diciptakanNya, dengan bahagian-bahagian alamnya, Alam Mithal, yang diciptanya, wujud Tuhan tertajalli padanya, Alam Ajsam, alam jism-jisim, tercipta olehNya, tertajalli wujud Tuhan padanya, Alam al-Insan, yang tercipta, yang tertatajalli wujud Tuhan padanya. Lihat ringkasan tentangnya dalam karangan Peter Riddell, Islam and the Malay-Indonesian World, Horizons Books, Singapore, 2003, p113. Skima yang sedemikian boleh didapati dalam al-Manhal al-Safi karangan Syaikh daud al-Fatani rh yang akan dibicarakan kemudian.
(6)”Sufi Legendaris   dari Nagaroe Aceh” dalam www.sufinews.com/
(7)Sir Richard Winstedt, A History of Classical Malay Literature, JMRAS, jilid 31, bahagian 3, no.183 , 1961. hal.121. Tentang ibn ‘Arabi rd di Dunia melayu nampaknya ada penulisan yang serius tentangnya yang dilakukan oleh Dr Kautsar Azhari Noer, Ibn ‘Arabi Wahdat al-Wujud Dalam Perdebatan, dengan pengantar oleh Kamaruddin Hidayat, Paramadina, Jakarta, 1995.
(8) Dalam “Sufism and the Islamization of the Archipelago”, dalam http://www.let.uu.nl/~martin.vanbruinessen/personal/publications/Sufi
(9)http://feqah.al-islam.com/Display.asp?DocID=69&MaksamID=1&ParagraphID=3275&Sharh=0
(10)ibid.
(11)ibid.
(13) yang dihurai isi kandungannya oleh penulis kertas iuni berdasarkan pembentangannya dalam seminar antarabangsa di Brunei, tidak lama sebelum ini.Ini boleh diakses dalam laman web berikut: http://traditionalislam.tripod.com/Tasawwuf_Kedudukannya_DiNusantara.htm -di bawah tajuk “Tasawwuf dan Kedudukaannya di Nusantara”, bahagian “wujudiah”.Dalam laman web: http://www.geocities.com/traditionalislam/pendidikandakwahAlbanjari.htm- dibawah tajuk Pendidikan dan Dakwah Syaikh Arsyad al-Banjari, yang dibentangkan dalam persidanganm antarabangsa tentang Syaikh Arsyad al-Banjari di Banjarmasin tahun 2001, penulis menerangkan  hal ini di bawah tajuk “tasawwuf” mengikut syaikh Muhammad Arsyad rh.
LAMPIRAN:
Dalam Lampiran ini penulis hendak  perkenalkan naskah tulisan tangan kitab  Syaikh Daud rh yang menjadi “rakan” kepada kitab “al-Manhal al-Safi” ini, judulnya Riyad al-Nufus al-Zakiyyah ila al-Taraqqi A’la Maqam al-Nufus  al-Mutma’innah, ["Taman-Taman Jiwa Yang Suci kepada Pendakian ke Makam-Makam Tertinggi Nafsu Mutma'innah"] , terjemahan kitab Sair al-Suluk ila Malik al-Muluk karangan al-’Arif billah Malik al-Muridin Hujjah al-Muhaqqiqin, Shaikh Qasim Khan al-Halabi. Beliau menyatakannya  pada bahagian akhir terjemahan “Inilah akhir yang hamba hendak kenang [?] risalah yang bernama akan dia Riyad al-Nufus al-Zakiyyah ila al-taraqqi ‘ala Maqam al-Nafs al-Mutma’innah, pada menyatakan nama nafsu yang  tujuh masyhur pada ahlinya, maka adalah sekeliannya hamba nakal daripada kitab yang bernama Sair al-Suluk ila malik al-Muluk karangan bagi al-’Arif billah…Qasim Khan al-Halabi nafa’ana ‘Llahu biha  kama nafa’a bi-asliha .Amin.” (fol.17B). Katanya “telah selesai faqir ila ‘Llah ta’ala Daud bin ‘Abdullah daripada mentaswid [yakni menulis] akan bayad [kertas ] ini pada malam Rabu delapan belas haribulan Rabi’ al-Awwal, di Makkah al-Musharrafah pada Hijrah  (fol.17b) seribu dua ratus empat puluh…” (fol.18A). MS ini ditulis oleh Ma’  Saleh ibn Jenal pada 3 haribulan Syawwal 1324, dengan tandatangannya pada akhirnya. Saya ucapkan “jazaka’Llahu khairal-jaza’ ” kepada rakan baik saya saudara Zaidi Mohd Hassan atas baik budinya membekalkan saya dengan salinan naskah MS yang bernilai ini. Takdirnya yang menyebut kitab “al-Manh al-Safi” karangan Syaikh Daud rh pada tahun 1976 dalam tulisan saya “Peradaban Dalam Islam”  itu saya ,  waktu itu kitab itu nampaknya belum tersebut dalam persuratan, dan sekarang kitab beliau ini saya sebutkan di sini dalam sessi ini. Fali’Llahi ‘-hamd ‘ala’n-ni’am.
Kandungannya mennandungi huraian berkenaan dengan “Nafsu Tujuh” pada bahagian awal lagi disebutkan ia berbicara berkenaan dengan “perbezaan nafsu ammarah dan nafsu lawwamah, dan nafsu mulhamah, dan nafsu mutma’innah, dan nnafsu radiyah, dan kamilah yang tujuh namanya, dan menyatakan perjalanannya, dan alamnya, dan halnya, dan tempatnya, dan waridnya, dan sifatnya, dan kejahatannya, dan kaifiat melepaskan daripadanya dan kaifiat naik ke atas yakni naik nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah dan daripada nafsu mulhamah hingga kepada tujuhnya.Fasal yang pertama pada menyatakan nafsu ammarah dan perjalannya dan alamnya dan halnya dan tempatnya…”( fol.1B).
Dikkuti dengan perbincangan tentang nafsu ammarah  dengan ringkas (fol.2A) kemudian nafsu lawwamah katanya “perjalannya ila’Llah yakni kepada Allah dan alamnya itu alam syahadah yakni mulki yang didapat dengan pancaindera yang lima, dan tempatnya dada dan halnya yakni kelakuannya condong kepada kejahatan dan waridnya itu syari’at…” (fol.2A).
Tentang nafsu itu berbilang-bilang tetapi ia yang satu itu juga, katanya “pada hakikatnya itu nafsu suatu jua tetapi yang berbiulang-bilang itu namanya bersalahyan perangai jkua, dan lagi bahawasanya nafsu itu ialah yang berkata dan iaitu hati sweperti mana Allah ta’ala [berfirman] padanya [iaitu berkenaan dengannya]  (    ذلك لمن كان له  قلب  ) ‘yang demikian bagi orang yang ada baginya hati’  kerana tiada dikehendaki daripada hati itu sepotong daging[dalam badan manusia], maka bahawasanya kehendak hati [itu ialah] hanya nur yang latif [iaitu zat halus yang bukan benda] yakni yang halus lagi rabbani yakni yang dibangsakan rabbani [yakni dinisbahkan kepara Tuhan, Rab], tetapi tatkala [ber]cerai  sebab cenderung kepada tabi’ah dan syahwah dan berjinak-jinak akan nafsu syahwaniyyah yakni roh haiyawani  jadi berlutur [?] ia serupa pada perjalan[an]nya haiyawanat dan bertukarlah segala sifat yang kepujian dengan sifat yang kecelaannya, dan jadilah [ia] tiada dapat berbeza daripada mereka itu melainkan dengan rupa  [jadilah ia seumpama] syaitan daripada tenteranya.” (fol.2b).
Katanya meneruskan huraiannya :”Ketahui olehmu bahawasanya cahaya hati itu enam ba[ha]gi, pertama qalb tempatnya nur yang kelam kedua syaghaf tempat nur yang merah ketiga fu’ad tempat nur yang kuning keempat  habbatul-qalb [lit. inti hati]tempat nur yang putih,  kelima bahjah al-qalb  tempat nur samadiyyah cahaya yang tidak boleh dibagaikan, iaitulah sirr , eenam suwaid al-qalb tempat nur yang hitam lagi sangtat halusnya .(ali-ha’ [ertinya intaha, habis nukilan kata]). [katanya] Dan setengah daripada sifatnya itu yakni sifat nafsu ammarah itu jahil dan bakhil dan loba dan takabur dan pemarah [ikut syahwat] dan dengki dan jahat perangai  dan masuk di dalam perci[n]ta  (berangan-angan) dan pekerjaan yang tiada memberi faedah daripada perkataan dan lainnya dan [ber]senda-senda dan pemarah dan mensakiti [yakni menyakiti] akan orang dengan tangannya dan lidahnya dan yang lain daripadakeduanya berbagai-bagai yang jahat; maka iaitu nafsu yang amat jahat…”(fol.2B-3A).
Ini diikuti dengan zikir dan wirid untuknya . Kemudian ia pewrgi kepada nafsu lawwamah (fol.4B  dengan huraian tentang perjalannya, alamnya, tempatnya, waridnya, sifatnya,  ubat untuk menyelesaikan masalah-masalahnya, dan seterusnya sampai kepada akhir perbincangan tentang nafsu nyang tujuh itu.
Kitab diringkaskan isinya oleh Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani dalam Sair al-Salikinnya dalam jilid III hal.8-13.
Ringkasnya kitab ini adalah”rakan” yang menyempurnakan huraian dalam ‘al-manhal al-Safi” ini.
*Nota yang disediakan untuk pembentangan dalam Seminar Tasawwuf anjuran Jabatan Agama Negeri Sembilan, pada 14  Ogos 2004 di Allison Kelana Resort Seremban, Negeri Sembilan Darulkhusus.
Penulis ialah Fellow Amat Utama Akademik Institut Pemikiran dan Peradaban Islam, UIAM juga Fellow Kehormat IKIM.

No comments:

Post a Comment