Thursday, 11 February 2010

Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 2

Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 2



Penerangan lebih jelas

Abu al Sheikh Ibn Hibban dalam kitabnya al-Nawaib meriwayatkan secara marfu' hadith Jabir yang menyebutkan :

" Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada ALlah ayng memuatkan sesuatu fadilat, lalu dia beramal dengan keimanan terhadapnya serta mengharapkan ganjaran pahala-Nya, maka ALlah memberikan kepadanya yang demikian itu, sekalipun sebenarnya bukan begitu".


Hadith ini merupakan punca asas yang besar dalam membincangkan hukum-hukum berkaitan hadith dho'ief.

Para ulama menukilkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal bahawa dalam soal hukum hakam, beliau berpegang dengan hadith yang dhoief (jika ditampung kedhoiefan tersebut dengan kemasyhuran hadith terbabit). Beliau juga mengutamakan hadith dhoief terhadap pandangan.

Begitu juga para ulama Hanafi mendahulukan hadith dhoief terhadap pandangan akal, sebagaimana yang dinukilkan oleh al Zakarsyi, Ibn Hazm dan selainnya.

Mazhab Abu Daud samalah seperti mazhab Hanafi dan Hanbali, yang mana mereka mengutamakan hadith dhoif berbanding penggunaan akal, jika tidak ada sumber lain yang boleh dijadikan dalil dalam sesuatu bab yang dibincangkan.

Tidak ada yang menyanggahi ijma' bahawa hadith dhoief boleh diamalkan (dalam keadaan tertentu) melainkan Ibn al 'Arabi seperti yang dinukilkan oleh Ibn al Solah. Percanggahan oleh Ibn al 'Arabi ini mempunyai beberapa alasan yang telah dijawab oleh para ulama, atau penolakannya terhadap hadith dhoief itu hanya terbatas kepada alasan-alasan yang diberikannya sahaja.

Oleh itu, sebenarnya tidak ada percanggahan antara beliau dengan ijma' ulama dalam hal keharusan beramal dengan hadith dhoief jika kena pada tempatnya.

Di sana terdapat satu lagi bahagian hadith yang dinamakan hadith mudho'af, iaitu hadith yang mana senarai perawi dalam isnadnya dianggap dhoief (lemah) oleh satu kumpulan ulama sementara sekumpulan yang lain pula mengatakan mereka adalah perawi yang thiqah (dipercayai).

Kedudukan hadith yang sebegini berada di tengah-tengah antara hadith sahih dan dhoief. Dengan kata lain martabatnya kurang daripada hadith sahih tetapi melebihi taraf hadith dhoief. Ia adalah saudara kepada hadith hassan ataupun dari jenis yang lebih tinggi daripada hadith hassan. Oleh kerana itu, para ulama mengharuskan hadith sebegini dimasukkan dalam kitab-kitab sahih.

Namun hadith-hadith ini dimasukkan dalam kitab-kitab sahih hanya berperanan sebagai sokongan dan memperkuatkan dalil, atau hanya sekadar disebutkan sanadnya sahaja (inilah yang biasanya berlaku).

Al Bukhari telah mengeluarkan secara bersendirian (tanpa Muslim) sebanyak lebih empat ratus lapan puluh nama perawi yang lapan puluh orang daripadanya disebutkan oleh ahli hadith sebagai bertaraf lemah periwayatannya.

Dalam rangkaian sanad Muslim pula ada enam ratus dua puluh orang perawi, yang mana seratus enam puluh orang daripada mereka dikatakan bertaraf lemah. Namun mereka ini (yang dikatakan lemah periwayatannya) diperakukan sebagai perawi yang thiqah (dipercayai) oleh ramai ahli hadith yang lain.

Ibn al Solah menyebutkan :

Semua perawi yang disebutkan dalam sanad al Bukhari dan Muslim diputuskan sebagai sahih kecuali beberapa nama yang dipertikaikan oleh sesetengah al Naqd (pengkritik sanad) bukan kesemuanya.


Penulis mengatakan :
Beberapa nama yang dipertikaikan oleh sesetengah pengkritik sanad inilah yang termasuk dalam bahagian hadith mudho'af, yang mana ia harus dimasukkan ke dalam kitab-kitab hadith yang sahih.


Seterusnya menentukan sesuatu hadith sama ada bertaraf sahih atau hasan atau dhoief adalah berdasarkan pengamatan zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad. Sesuatu hadith dikategorikan sebagai sahih, hasan dan dhoief bukan berdasarkan hakikatnya, kerana hakikatnya yang sebenar hanya ALlah jua yang mengetahuinya.

Oleh kerana itulah para ulama hadith menyebutkan :

Mungkin ada di antara hadith yang sahih pada hakikatnya adalah dhoief, dan berapa banyak hadith yang dhoief pada hakikatnya ia adalah sahih. Yang menjadi kewajipan kita ialah membuat pemeriksaan dan berijtihad.


Mereka mengatakan lagi :

Ini kerana ada kemungkinan perawi yang adil melakukan kesilapan atau terlupa sebagaimana hal tersebut harus berlaku kepada orang lain. Oleh itu, keyakinan terhadap mutu hadith di sini hanya dalam bentuk iktibar (iaitu berdasarkan pengamatan yang zahir).

Apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayatkan hadith yang diambilnya daripada perawi yang tarafnya dhoief, maka ini bererti dia menganggap perawi itu bertaraf adil, menurut pendapat ulama usul.


Pengarang kitab al-Minhal menyebutkan :
Secara qiyasnya ini bererti perawi yang bertaraf adil itu menganggap hadith tersebut sebagai sahih.

No comments:

Post a Comment